Siri Halal 8: Halal Memelihara Harta

Pendahuluan

Perkataan harta telah disebut sebagai mal (kata tunggal) atau amwal (kata majmuk) di dalam al-Quran berulang-kali. Definisi umum harta ialah sesuatu barang berharga yang dimiliki. Berharga bermaksud mempunyai nilai tertentu dalam kalangan manusia dan mempunyai manfaat kepada pemiliknya. Asasnya harta merupakan sesuatu yang mempunyai fizikal tertentu serta boleh dilihat dan dipegang. Namun definisi ini dikembangkan di dalam amalan pada hari ini kepada sesuatu yang tidak boleh dilihat atau tidak mempunyai fizikal tertentu seperti manfaat dan ilmu pengetahuan walaupun terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan ulama Islam.

(Gambar sekadar hiasan)

Di dalam penghayatan ilmu sosiologi, harta diperluas skop takrifannya kepada nilai kehidupan seperti keluarga, anak-anak, kebahagiaan, ketenangan, kelapangan masa, peluang-peluang baik serta tempat tinggal dan kenderaan yang baik. Semuanya ini merupakan ‘sesuatu yang berharga dan boleh dimiliki’, ia memberi manfaat secara langsung mahupun tidak dalam kehidupan seseorang manusia. Harta boleh dimiliki melalui usaha yang dilakukan. Usaha-usaha tersebut ialah seperti bekerja untuk mendapatkan upah atau perbuatan yang besungguh-sungguh dengan niat dan azam yang teguh untuk mendapatkan sesuatu.

Memelihara Harta dengan Aspek Halal

Harta yang diperoleh mestilah daripada sumber yang halal dan dibelanjakan ke arah yang halal juga. Harta tidak boleh diperoleh daripada pekerjaan yang haram seperti mencuri, bekerja sebagai penghidang arak, menjual sembelihan tidak halal, menjual produk haram, menipu dalam timbangan barang yang diniaga, pecah amanah semasa melaksana tugas dan seumpamanya. Harta juga perlu dibelanjakan ke arah yang halal dengan membeli makanan dan minuman yang halal sahaja, tidak melakukan perbuatan yang boleh mendatangkan mudharat seperti merokok, tidak mengguna perkhidmatan yang syubhah atau haram serta mengelak daripada pembaziran dan pemborosan.

Jual beli sesuatu yang haram adalah dimurkai oleh Allah swt. Jual beli sesuatu yang mendatangkan mudharat merupakan perkara makruh dan membazir. Jual beli barangan yang mempunyai syubhah, harta tersebut tidak mendapat berkat daripada Allah swt. Maka apabila seseorang manusia dapat memelihara diri daripada makan dan minum produk yang haram serta mengelak daripada menggunakan barangan yang boleh mendatangkan mudharat, nescaya mereka terhindar daripada melakukan pembaziran dan pemborosan, sekaligus dapat memelihara harta seseorang.

Maqasid halal memelihara harta adalah mengambil makanan mahupun minuman yang halal dan secara halal. Makanan dan minuman halal adalah seperti yang dibenarkan syarak dan secara halal pula adalah memperolehnya dengan cara yang diizinkan syarak juga. Bermaksud bukan secara haram seperti mencuri, menipu, memanipulasi, memaksa dan riba’. Memelihara harta adalah memastikan harta tidak berpunca dan tidak digunakan untuk perkara haram, memastikan rezeki datang dari sumber yang sah, menghindari pembaziran pada barangan harus dan makruh yang mahal dan tiada keperluan penting, serta memastikan harta yang dipunyai memperoleh keberkatan. Hakikatnya, maqasid agama agar umatnya mengambil perkara halal terhadap harta menjustifikasikan pengurusan kewangan lebih bijak, terancang dan berkesan.

Halal bermaksud harus atau dibenarkan. Jika kita memperincikan kepada halalan-tayiiban dalam konteks memelihara harta, kita boleh melihat melalui skop tiga tahap maqasid iaitu dharuriyyat, hajiyyat dan tahsiniyyat. Apabila harta yang dimiliki ditumpukan kepada penggunaan ke arah mencapai tayyiban, maka manfaat yang hendak diperoleh bukan sekadar luaran atau fizikal, tetapi lebih kepada secara dalaman atau kepentingan rohani diri. Membelanjakan harta pada setiap hari dengan menggunakan asas pertimbangan dharuriyyat, hajiyyat dan tahsiniyyat mampu membimbing amalan yang diredhai Allah lantas mencapai maqasid pemeliharaan harta dalam erti kata yang sebenar iaitu bijak merancang dan membelanjakan harta. 

Keberkatan Rezeki

Harta yang diperoleh dibelanjakan untuk perkara halal yang mendatangkan ketenangan dan keberkatan. Antaranya tidak terjebak dengan pembaziran. Allah swt secara jelas telah menyatakan bahawa orang yang membazir itu adalah kawan atau saudara syaitan. Tidak sahaja syaitan dalam kalangan jin, tetapi orang-orang yang tidak tunduk kepada perintah Allah serta melakukan maksiat dan kejahatan juga merupakan golongan syaitan. Contoh yang boleh dilihat mata kasar dan kerap berlaku dalam kalangan umat Islam adalah ketika membeli juadah berbuka pada bulan Ramadhan. Bulan Ramadhan adalah bulan paling mewah dengan makan dan minuman yang pelbagai dan perbelanjaan yang paling banyak untuknya.

Namun apa yang berlaku adalah lebihan yang juga bermaksud pembaziran, sama ada dari sudut peniaga mahupun pembeli. Dilaporkan pada bulan Ramadhan, bahan sisa dan lebihan makanan dan minuman adalah lebih tinggi berbanding bulan selain Ramadhan. Bagaimana keberkatan harta hendak diperoleh sedangkan dalam masa yang sama pembaziran sedang berlaku? Juadah berbuka perlukan dibeli dengan kemampuan dan keperluan sahaja, bukan secara boros dan berlebih-lebihan. Enaknya sesuatu makanan hanya pada lidah sahaja. Selepas makanan melepasi lidah, ianya tidak berbeza, sama ada manis, masin, masam atau tawar. Apabila konsep dharuriyyat, hajiyyat dan tahsiniyyat ini dihayati sebaiknya, ia menjadikan kita hamba yang berpada atau qana’ah, berjimat cermat dan bijak membelanjakan harta.

Aspek lain keberkatan rezeki adalah memastikan pelaksanaan tugas semasa bekerja untuk memperoleh gaji atau upah dilaksanakan dengan mengikut kontrak yang telah disepakati, tiada unsur culas atau mencuri tulang, melaksana tugas dengan cekap, amanah dan sempurna, menjaga waktu solat dan tidak membuat sebarang perbuatan yang menyalahi etika serta syarat pekerjaan. Gaji yang diperoleh diperuntukkan sebaiknya sebagai melunaskan keperluan nafkah, membayar hutang, menyimpan atau menabung serta membayar zakat dan memberi sedekah. Makanan dan minuman yang halal tetapi dijual dan dibeli di atau dari tempat yang dipenuhi atau dikelilingi maksiat juga boleh menghalang keberkatan makanan. Segala aspek ini menjamin harta yang lebih luas dan amalan yang diterima oleh Allah swt.

Allah swt berfirman dalam surah al-Ghafir atau nama lainnya surah al-Mu'min (40) ayat 60 yang bermaksud: Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu". Namun, jika tiada berkat dan bersumberkan haram, membuahkan natijah sesuatu amalan, ibadah dan ibadah terhalang naik ke langit dan tidak diterima oleh Allah swt. Daripada Sayidina Abu Hurairah r.a yang diriwayatkan oleh Muslim, berkata yang bermaksud: "...Kemudian Nabi saw menceritakan tentang seorang lelaki yang telah menempuh perjalanan jauh (musafir), sehingga rambutnya kusut, masai dan berdebu. Orang itu mengangkat tangannya ke langit seraya berdoa: “Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku.” Padahal, makanannya dari barang yang haram, minumannya dari yang haram, pakaiannya dari yang haram dan diberi makan dari yang haram, maka bagaimanakah Allah akan memperkenankan doanya?” Seorang ulama, Imam Wahab bin Munabbih rahimahullah ada berkata: "Siapa yang ingin doanya dimakbulkan oleh Allah swt, maka perbaikilah makanannya".

Penutup

Mengambil perkara yang halal semata secara langsung mengelakkan pembaziran dalam perbelanjaan harta setiap hari. Jika dilihat, makanan dan minuman haram yang dijual sering kali mahal seperti arak. Malah ada juga perkara yang tiada atau tidak bernilai seperti rokok. Meninggalkan membeli perkara haram seperti arak, membeli perkara yang memudharatkan seperti rokok dan syisya, ianya bermeksud kepada penjimatan wang yang signifikan. Hukum fiqh muamalat menjelaskan harta yang haram tidak boleh dimiliki dan tidak boleh dibuat jual beli ke atasnya. Ia dipandang tiada nilai di sisi agama. Maka berjual beli perkara yang haram tidak diragui lagi menyebabkan pembaziran harta.

Hidup terus mencari..

Bandar Baru Bangi,
19 Zulkaedah 1447H.

Comments