Bersangka Buruk Dalam Rumah Tangga

 Pendahuluan
Islam, sebuah agama yang benar lagi indah, tidak hanya meraikan fitrah dan keperluan hidup manusia dalam konteks perasaan seperti ingin dikasihi malah memberikan panduan yang sangat jelas dan kukuh berkenaan dengannya. Islam juga bukan hanya sekadar meraikan, tetapi hakikatnya memenuhi keinginan manusia untuk mempunyai pasangan hidup, seterusnya memiliki keluarga. Pasangan dan keluarga kedua-duanya adalah tempat untuk mencurah, memberi dan mengembangkan perasasaan cinta dan kasih sayang. Hal ini sangat jelas seperti yang difirmankan oleh Allah SWT dalam Surah al-Rum ayat 21.
 
وَمِنْ ءَايَـٰتِهِۦ خَلْقُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَٱخْتِلَـٰفُ أَلْسِنَتِكُمْ وَأَلْوَٰنِكُمْ ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَـٰتٍ لِّلْعَـٰلِمِينَ

Maksudnya:
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”


Islam telah membahagikan niat seseorang berkahwin kepada lima iaitu wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Antara bentuk individu yang diharamkan berkahwin ialah dia mempunyai kesanggupan dan kemampuan untuk berkahwin, tetapi menimbulkan bahaya kepada isterinya seperti berkahwin bertujuan menyakiti hati isteri. Penetapan hukum adalah sebelum seseorang berkahwin, ini bermakna seseorang yang berniat sedemikian maka hukum dia mahu berkahwin tersebut adalah haram. Sekiranya hukum ini ditimbal balik kepada pihak perempuan, ia berniat atau mempunyai niat untuk menyakiti hati suami maka boleh juga jatuh hukum yang sama.
 
Apabila terbentuk ikatan perkahwinan, setiap pihak terikat dengan hukum yang ada dalam perkahwinan itu iaitu yang meliputi hak dan tanggungjawab suami terhadap isteri serta isteri terhadap suami. Perlu diingat bahawa tanggungjawab yang dipikul sama ada ia dilaksanakankan atau sebaliknya akan memberi kesan kepada timbangan amalan seseorang yang menjadi bekalan di akhirat kelak, sama ada suami atau isteri.
 
Komunikasi yang baik, saling berkasih sayang dan bermesra antara satu sama lain adalah satu keperluan untuk memenuhi tujuan perkahwinan seperti yang telah dijelaskan. Apabila keperluan untuk mencurahkan rasa cinta dan kasih sayang serta hidup berpasangan itu terlaksana, maka akan memudahkan jalan untuk mencapai matlamat perkahwinan, memperoleh mawaddah wa rahmah. Selanjutnya, kehidupan di dunia akan dirasai dan dinikmati bersama dengan rasa bahagia walau apa ujian yang menimpa. Namun, apabila ciri-ciri kebahagiaan dan keperluan dalam perkahwinan itu gagal ditunaikan, ia memberi kesan sebaliknya.
 
Setiap orang yang berkeluarga pasti mengharapkan keharmonian dan kebahagiaan dalam rumah tangga mereka. Setiap perkahwinan yang dibina pasti ada ujian yang mendatang, tidak dinafikan cabaran hidup berumah tangga tersebut. Boleh jadi pada awal perkahwinan kaya, kini telah jadi miskin. Semasa awal kahwin dahulu isterinya cantik atau suaminya baik, tetapi sekarang kedua-duanya sudah berubah. Pelbagai faktor menjadi penyebab antaranya usia, kewangan, pekerjaan, cara hidup dan lain-lain.
 
Antara keadaan yang boleh berlaku di mana tiadanya komunikasi yang harmoni, kemesraan dan belaian kasih sayang tertera daripada sikap dan layanan antara kedua-dua belah pihak suami dan isteri ialah timbulnya bibik mahu buruk sangka. Perbuatan, sikap dan tindakan yang menjurus kepada perasaan buruk sangka terhadap pasangan ini boleh memusnah dan menghancurkan keharmonian, kemesraan dan perasaan kasih sayang. Sikap ini wujud pada permulaan atau pertengahan sesuatu perkahwinan. Ia seterusnya akan menjadi lebih parah dan teruk apabila ia dilayan sama ada mengikut hawa nafsu atau hasutan syaitan.
 
Apa yang berlaku kemudiannya ialah keinginan mahu mencari salah. Walaupun terhadap sesuatu fakta atau perkara yang benar, namun kerana tetap ingin mencari salah, perkara yang yang telah sedia betul dan jelas dipersoalkan dan dipersalahkan. Walaupun ia terhasil daripada kejujuran, namun sekiranya tiada salah yang hendak dijadikan alasan, selagi itu sesuatu kesalahan akan terus cuba untuk dicipta. Disebabkan persepsi yang semakin menguasai dan telah dipengaruhi nafsu amarah, tindakan seterusnya yang dilakukan ialah menuduh, lantas mencari-cari dan mengumpul bukti.
 
Seseorang menuduh pasangannya tidak hanya melalui ucapan, namun ianya boleh terlihat melalui tindakan. Menuduh sama ada upacan secara langsung atau secara kiasan. Apabila pasangan mula mencari-cari bukti sama ada membuka telefon bimbit pasangan, mencari-cari maklumat daripada pihak ketiga, mengekori di media sosial, atau sengaja menimbulkan isu dalam sesuatu perkara, itu petanda awal kepada sebuah kegagalan perkahwinan. Lebih buruk lagi, akhirnya menyebabkan keruntuhan rumah tangga.

Sikap suka mencari salah lantas menuduh bukan sahaja boleh menyebabkan pergaduhan, malah secara psikologi setiap tuduhan secara beransur-ansur membina perasaan 'anxiety' dalam diri individu yang sering dituduh. Selain itu semakin banyak dan kerap tuduhan dan mencari-cari salah diberikan, semakin kuat 'emotional ambush' dalam diri individu yang dituduh. Pasangan akan semakin mendalam rasa jauh hati sehingga akan memberi kesan terhadap kemesraan dalam perhubungan.
 
Umumnya 'emotional ambush' adalah serangan emosi  apabila seseorang mengatakan sesuatu kepada seseorang yang lain sehingga menyebabkan orang tersebut tiba-tiba diselubungi dengan emosi negatif. Antara contoh 'emotional ambush' termasuk kritikan, sindiran, penafian dan sebagainya. 

Selepas sesuatu 'emotional ambush' berlaku, orang yang diserang akan berasa gementar, gelisah (anxiety) ketika mana berada dalam lingkungan kawangan individu yang melakukan 'emotional ambush'. Situasi menganggap sebagai ancaman emosi akan wujud iaitu lawan kepada emosi neutral atau emosi selesa. Kegelisahan ini seterusnya meningkatkan tahap kortisol yang tidak sihat sehingga boleh mengurangkan kemesraan dan kesejahteraan sesuatu hubungan dalam jangka masa yang panjang.

Pasti setiap tindakan mempunyai punca yang hanya diketahui kedua-dua pihak. Ibu bapa atau keluarga adalah orang asing yang tidak tinggal bersama dan sudah pasti tidak mengetahui apa yang berlaku. Di dalam kehidupan suami isteri mungkin atau pasti ada beberapa sikap dan perbuatan yang tidak disenangi pasangan, lumrah kejadian manusia mempunyai kelebihan dan kelemahan.
 
Sangka Buruk
Dalam konteks sesebuah masyarakat, buruk sangka atau bersangka buruk dan suka mencari salah orang lain adalah perbuatan yang dimurkai Allah SWT. Ia boleh membawa kepada perpecahan ummah. Ini jelas dalam perintahNya agar menjauhi prasangka kerana tindakan itu adalah perbuatan dosa. Bersangka buruk tergolong dalam sifat-sifat mazmumah, manakala mencari-cari kesalahan orang lain pula hadir apabila wujudnya sangkaan buruk dalam hati. Apabila timbul perasaan buruk sangka dalam diri seseorang, sudah tentu rasa ingin mencari kesalahan timbul sehingga berniat mahu mencari-cari kesalahan, membuka aib dan kelemahan seseorang itu.
 
Orang sebegini tidak akan merasa puas dan senang hati melainkan dia telah menjumpai aib dan kelemahan tersebut. Hatinya tidak tenang selagi tiada kesalahan yang dijumpainya. Setelah itu, ia akan menjaja dan menyebarkannya. Ataupun menjadikan kesalahan serta aib tersebut sebagai modal atau bukti untuk dirinya bahawa orang tersebut melakukan kesilapan. Dengan itu dia merasakan dirinya lebih baik, mulia dan tinggi kedudukan berbanding orang yang dia telah menjumpai aib tersebut.
 
Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat, ayat 12:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱجْتَنِبُوا۟ كَثِيرًا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ ٱلظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا۟ وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ
 
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.
 
Di dalam perintah tersebut menjelaskan berkenaan larangan berbuat tajassus iaitu mencari kesalahan, keburukan atau aib orang lain yang biasanya kesan daripada prasangka yang buruk. Antara sebab atau punca buruk sangka ialah sikap prejudis dan berprasangka, taksub atau ekstrem, berfikir negatif, keliru, bingung terhadap diri sendiri, mulia diri, kerap salahkan orang lain dan sikap iri hati.
 
Terdapat pelbagai penulisan menjelaskan betapa bersangka buruk boleh memusnahkan ummah, masyarakat dan tamadun. Segala bentuk sikap dan sifat yang akan memecahkan dan memusnahkan persaudaraan harus dilawan dan dijauhi, bahkan segala bentuk sikap dan sifat yang dapat merosak ukhuwah harus dihilangkan. Ini bagi memastikan hubungan ukhuwah sesuatu ummah itu tetap terjalin dengan baik. Oleh kerana itu seseorang yang mengakui beriman kepada Allah perlulah sentiasa berfikiran bersih dan jernih serta menjauhi sikap bersangka buruk. Ini bagi memastikan dirinya sentiasa berlaku adil kepada kawan mahupun lawan. Jika benar sekalipun kisah, maklumat atau berita berkenaan keburukan mahupun kelemahan seseorang mukmin yang disampaikan itu, ia sama sekali tidak menghalalkan seseorang berterusan mencari-cari dan membuka keaiban serta kesalahan orang lain.
 
Bersangka dan Mencari Salah dalam Rumah Tangga
Berprasangka buruk terhadap orang lain, khusus sesama muslim seperti dalam al-Quran adalah salah dan berdosa. Apa lagi sekiranya dilakukan terhadap suami sendiri, isteri sendiri iaitu pasangan hidup. Sikap buruk sangka, mencari-cari kesalahan dan memikirkan perkara negatif terhadap pasangan ini hanya merosakkan hubungan suami isteri. Perbuatan ini adalah salah dan dilarang. Apalah perlunya berkahwin, hidup bersama, tidur bersama, kemudian mempunyai hasrat ingin mencari salah dan aib?
 
Tindakan mengintip memeriksa telefon bimbit, e-mel dan akaun media sosial bertujuan mencari-cari kesalahan pasangan perbuatan yang tidak amanah. Selain ia melanggar hak peribadi seseorang individu, tindakan itu juga menggalakkan pergaduhan. Sekiranya tindakan mencari salah dan bersangka dilarang terhadap umat Islam keseluruhannya, maka apakah kedudukan pasangan mereka sendiri lebih rendah daripada itu sehingga mahu dicari kesalahan dan keaiban diri?
 
Nabi Muhammad SAW ada bersabda yang kefahamannya agar berwaspada daripada tindakan berprasangka buruk kerana prasangka buruk adalah sedusta-dusta ucapan. Larangan juga adalah dalam kalangan umat yang saling mencari keburukan orang lain, saling intip-mengintip, saling mendengki, saling membelakangi dan saling membenci. Nabi menyarankan agar umatnya menjadi hamba-hamba Allah yang bersaudara.
 
Dikisahkan Abu Hatim bin Hibban al-Busti menjelaskan dalam kitabnya Raudhah al-‘Uqala’ berkenaan perbuatan tajassus atau mengintip kesalahan orang lain: “Tajassus adalah cabang daripada kemunafikan, seperti sebaliknya prasangka yang baik adalah cabang daripada keimanan. Orang yang berakal akan berprasangka baik kepada saudaranya, dan tidak mahu membuatnya sedih dan berduka, sedangkan orang yang bodoh akan selalu berprasangka buruk kepada saudaranya dan tidak segan-segan berbuat jahat dan membuatnya menderita.”
 
Kejujuran bukan segalanya untuk mencapai kebahagiaan dan keharmonian. Ada kes yang berlaku walapun pasangan saling jujur untuk membuka kata laluan, melihat telefon bimbit, membaca mesej-mesej, namun jika wujud juga sikap mencari salah atau sengaja mewujudkan isu pasti akan berlaku pertengkaran. Mesej adik beradik, ahli keluarga, saudara mara yang berbalas mesej telah disalah tafsir, tidak mahu terima penjelasan malah berkeras dengan prasangka sendiri, hanya pendapat dan kata-katanya sahaja yang betul.
 
Ada juga kes ahli keluarga mencari-cari kesalahan yang dilakukan oleh ipar mereka. Tidak sahaja ipar yang melakukan, tetapi membabitkan mentua. Sesuatu permasalahan kecil, sengaja diperbesar dan dirumitkan. Malahan jika ada perkara yang tidak ada apa masalah sengaja ditimbulkan isu dan mahu disalahfaham serta disalaherti agar kelihatan salah. Saling berpakat untuk menghukum dan menyalahkan ipar tersebut.
 
Privasi dan Rahsia Peribadi Dalam Rumah Tangga
Privasi bermaksud keadaan atau suasana bersendiri tanpa sebarang gangguan, kata mudahnya ‘tidak diganggu’. Rahsia pula bermaksud benda yg tersembunyi (diketahui oleh satu atau beberapa orang sahaja) atau dengan kata lain sesuatu (benda, akal, dll) yg sengaja disembunyikan supaya orang lain tidak mengetahuinya. Peribadi bermaksud manusia sbg diri sendiri (diri perseorangan). Jika digandingkan menjadi rahsia peribadi ia bermaksud sesuatu yang disembunyikan perihal diri sendiri atau diri perseorangan supaya orang lain tidak mengetahuinya. Privasi tidak sama maksud dengan rahsia peribadi.
 
Privasi seperti seseorang sedang mandi, membuang air besar, beribadat, membaca buku, bermain game dan seumpama. Keadaan yang sama apabila seseorang dalam situasi yang sangat marah, sangat kecewa berkenaan sesuatu perkara. Mereka memerlukan masa untuk bersendirian bagi menenangkan jiwa dan meredakan kekusutan. Walaupun telah berumah tangga, namun kadang-kala pasangan akan berhdapan situasi atau keadaan sedemikian. Pada waktu tersebut pastinya ruang privasi sangat diperlukan, hanya untuk diri sendiri. Apabila emosi dan pemikiran kembali tenang atau menjadi lebih lega, barulah peranan dan kewujudan pasangan akan kembali masuk dan hadir dalam ruang pemikirannya.
 
Manakala rahsia peribadi masih ada yang perlu terus kekal sebagai rahsia dan simpanan dalam kotak memori kehidupan seseorang. Antaranya kisah perhubungan masa lampau, pendapat peribadi atau perasaan tertentu yang sensitif terhadap keluarga pasangan, pendapat peribadi yang mungkin boleh mewujudkan ketegangan atau sensitiviti dan seumpamanya.
 
Pertama, apa sahaja yang berlaku dalam diri seseorang sebelum bertemu pasangannya, sebelum berumah tangga, sejarah dan memori perhubungan masa lampau, kisah dan maklumat percintaan, pergaduhan, krisis yang lepas, adalah hak orang itu dan bukannya hak pasangan. Malah tidak ada seseorang pun berhak untuk memaksa pasangan mereka mendedahkan dan menceritakan apa yang telah berlaku sekiranya ia tiada kaitan dan tidak memberi mudharat. Tidak orang yang tahu bahawa dirinya sedang dalam proses melupakan, ‘move on’ mahu membina kehidupan dan perhubungan baru yang lebih baik. Setipa peringkat kehidupan seseorang tidak dap[at lari melalui fara-fasa sedih, gembira, turun dan naiknya.
 
Keadaan ini berpotensi menjadi lebih keruh. Paling tidak patut berlaku ialah seseorang ‘menghukum’ pasangan mereka di atas apa yang telah berlaku pada masa lampaunya. Perangai serta tabiat suka memerli, mengungkit, menyebut-nyebut, menyindir, malah ada yang mengadu domba sepatutnya tidak berlaku dan perlu dielakkan sepenuhnya. Tidak hanya dalam bentuk perkataan, tetapi juga dalam isyarat badan. Realitinya ramai yang melakukan hal ini terhadap pasangan terutama semasa bergaduh, malah ada juga buat secara sengaja tanpa sebab. Boleh jadi mungkin sebagai modal untuk menghentam atau menyalahkan pasangan pada masa akan datang.
 
Kedua, pendapat peribadi atau perasaan tertentu yang sensitif terhadap keluarga pasangan. Walaupun telah berumah tangga, tidak mustahil akan timbul pendapat yang tidak baik atau pandangan yang kurang enak berkenaan seseorang atau sesuatu perkara yang ianya sensitif terhadap ahli keluarga pasangan. Cara yang terbaik ialah mengelak sebarang kerumitan, ketegangan atau pergaduhan, bersetuju pada perkara yang benar walaupun ianya pahit dan sukar diterima. Sekiranya ia perlu diselesaikan, perlulah dileraikan dengan sebaiknya.
 
Ketiga, seseorang juga tidak dapat lari daripada perasaan kurang selesa, kurang senang, marah, geram, minat, meluat terhadap seseorang dalam kalangan ahli keluarga pasangan. Mungkin juga boleh berlaku terhadap keluarga, adik-beradik atau saudara marasa sendiri. Kebiasaannya jika hal ini berlaku, simpanlah dan pendamlah sahaja di dalam hati. Belajar untuk bersikap terbuka, berjiwa besar, berlapang dada, menerima takdir, mengakui keberadaan sebenar dan tidak lupa mendoakan kebaikan.
 
Keadaan sebegini boleh menyebabkan penat mental dan emosi kepada pasangan sehingga membawa kepada tekanan yang berterusan. Tekanan yang tidak mampu diurus lama kelamaan penyebab kepada timbulnya kepenatan mental dan emosi, ditambah sekiranya wujud bebanan perkara lain seperti masalah-masalah peribadi, bebanan kewangan, keinginan seksual dan sebagainya. Antara keadaan yang boleh dikenalpasti seseorang senang menghadapi tekanan yang bertuesan adalah seperti berikut:
 
Hilang minat – Apabila keadaan tertekan tersebut telah mencapai titik maksimum kemampuan mental dan emosi, seseorang boleh hilang minat terhadap pasangannya serta perkara-perkara rutin hariannya. Sehinggakan pasangan mereka dilihat sebagai bebanan sehingga menyebabkan komunikasi menjadi hambar dan kurang bersunggung melaksanakan peranan.
 
Terlalu sensitif – Sesuatu perkara remeh dan ringkas boleh menyebabkan seseorang mudah terasa hati, marah, merajuk dan sebagainya.
 
Berputus asa – Apa yang sering dilalui oelh pasangan tersebut akan menyebabkan seseorang mengubah persepktifnya kepada sudut negatif. Ini kerana telah merasa kalah dengan situasi yang dihadapinya tidak bertambah baik atau tidak selesai sehingga membiarkan perasaan berputus asa menguasai diri sendiri.
 
Tiada keinginan majukan diri – Dalam emosi yang kepenatan, semua perkara akan kelihatan samar dan tidak objektif sehingga menyebabkan hilang minat terhadap perkara yang berlaku di sekeliling. Rasa berputus asa untuk melakukan sesuatu dengan cara terbaik kerana perubahan kepada lebih baik dilihat sudah tidak lagi berlaku.
 
Tiada perasaan – ada sesetangah orang mampu menzahirkan tekanannya melalui tangisan, luasan, perkongsian atau melakukan aktiviti yang disuakinya. Namun ada yang tidak mampu berbeuat demikian, lastas henya memndamkan semuanya di dalam hati.
 
Penutup
Hakikatnya, sepanjang kehidupan di dunia ini, seseorang pasti akan berjumpa dengan tiga golongan orang. Manusia yang suka membina, manusia yang tidak kisah dan manusia yang suka merosakkan. Justeru, perlulah berhati-hati memilih pasangan. Terdapat banyak kajian konsisten membuktikan bahawa sokongan daripada orang-orang yang terdekat boleh meningkatkan ketahanan diri kita. Seseorang yang suka bersangka dan mencari-cari kesalahan diibaratkan sebagai mengkhianati pasangannya, memusnahkan hubungan cinta dan kemesraan, membinasakan matlamat perkahwinan serta melahirkan rasa kebencian, dendam dan kemarahan. Inilah contoh pasangan yang ‘toksik’, sekiranya telah tahu lebih dan dapat dikesan sebelum berumah tangga, orang sebegini lebih baik dielak dan dijauhi.
 
Hidup perlu bersyukur..

Rujukan:
  1. https://www.mstar.com.my/xpose/ad-din/2022/02/07/kalau-isteri-sakiti-suami-boleh-jatuh-nusyuz-dan-dosa-besar
  2. https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2017/07/292362/wajib-taubat-jika-buruk-sangka
  3. https://www.keluarga.my/jika-hormat-pasangan-berilah-ruang-apabila-diperlukan-tetapi-beritahu-segalanya-yang-mereka-perlu-tahu-ini-kunci-kebahagiaan-hubungan-suami-isteri/
  4. https://www.yadim.com.my/v2/prasangka-buruk-menbudaya-dalam-masyarakat-islam/
  5. https://bidaraspecialist.com/sangka-buruk/
  6. https://www.hmetro.com.my/addin/2019/06/469545/makan-hati-suami-buruk-sangka
  7. https://prpm.dbp.gov.my
  8. https://www.humanimprovement.org/blog/have-you-seen-an-emotional-ambush
  9. Lain-lain

Bandar Baru Bangi,
12 Ramadhan 1443H.

Comments