SIRI HALAL 7: HALAL MEMELIHARA KETURUNAN

Pendahuluan

Di dalam perbahasan maqasid, ianya disebut hifz al-mar’ah atau hifz al-nasl iaitu memelihara maruah atau memelihara keturunan. Walaupun ia menggunakan istilah yang berbeza, namun kedua-duanya mempunyai perkaitan rapat secara langsung. Maruah sering dikaitkan dengan diri, keluarga dan latar belakang keturunan seseorang. Bidalan Melayu yang menyentuh ‘jangan menconteng arang di muka ibu bapa’, ‘ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi’, ‘mencarik kain di dada. dan ‘bagaimana acuan, begitulah kuihnya’ menjelaskan wujudnya hubungan antara maruah dan ketururan atau kekeluargaan.

(Gambar sekadar hiasan)

Maruah dan Keturunan

Suami dan bapa merupakan ketua institusi sebuah keluarga. Isteri dan ibu adalah pelengkap kepada istitusi tersebut. Dari keluarga ini akan membentuk keperibadian, kepimpinan, pendidikan, cara berfikir, adab dan akhlak, tatacara etika dan perlakuan, pengurusan hidup dan lain-lain. Bidalan seumpama ‘bapa borek, anak rintik’, ‘benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau’ dan seumpama jelas mentafsirkan bahawa perlakuan ibu bapa akan mencorak dan diwarisi kepada anak. Keadaan ini adalah suatu realiti dan benar berdasarkan hadis Nabi Muhammad saw Riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud "Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah. Kemudian kedua ibu bapanya lah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi." Kefahaman daripada hadis ini adalah fitrah bayi yang lahir membawa potensi untuk mengenali Allah dan cenderung kepada agama Islam. Maka, ibu bapa berperanan dan bertanggungjawab membentuk akidah serta didikan agama anak-anak serta membentuk pengaruh persekitaran yang mentaati Allah dan RasulNya. Hasil dan pengaruh didikan, persekitaran dan budaya keluarga akan membentuk pegangan agama anak.

Maruah berasal daripada perkataan arab muru’ah yang dimaksudkan dengan harga diri. Ia merupakah keperluan asasi bagi manusia. Wujud sahaja manusia, maka pada dirinya telah terwujud nilai nyawa dan harga dirinya. Di dalam Islam, pemeliharaan maruah ini juga disebut bersama dengan pemeliharaan terhadap keturunan. Dalam memahami halal memelihara keturunan tidaklah bermaksud dalam konteks jangka pendek, tetapi ia perlu dilihat secara jangka panjang kerana memelihara keturunan atau maruah berlaku dalam tempoh yang panjang dan berterusan.

Di dalam Islam, melakukan perkara yang haram merupakan kehinaan dan keburukan, termasuklah perbuatan makan dan minum yang haram. Semua perkara haram mengundang kemurkaan Allah swt yang menghalang memperoleh keberkatan, petunjuk dan bimbingan ketuhanan dalam hidup. Tabiat pengambilan makanan dan minuman serta hidup dalam sistem atau perkhidmatan yang haram boleh dianggap peribadi fasiq iaitu selalu melakukan dosa. Sekiranya makanan dan minuman haram menjadi kebiasaan, tidak mustahil perbuatan haram lain juga akan dilakukan. Orang yang melakukan perkara yang haram akan binasa jatidirinya dan musnah akhlak serta pekerti yang mulia. Manusia yang beriman akan membenci apa yang dibenci oleh Allah swt dan menyukai apa yang disukai oleh Allah swt. 

Al-Quran telah menyatakan bahawa lelaki yang baik dan beriman adalah untuk perempaun yang baik dan beriman juga dan perempuan yang baik dan beriman adalah untuk lelaki yang baik dan beriman. Di dalam panduan memilih pasangan hidup juga, Islam memerintahkan agar mementingkan tahap keimanan bakal pasangan serta elemen sekufu antara mereka. Ini adalah penting kerana keserasian ini menjamin kerukunan dan keharmonian rumahtangga kelak. Kebiasaannya pasangan yang tidak serasi tahap iman dan tahap kufu, perkahwinan mereka sukar kekal lama atau tidak berada dalam kebahagiaan yang diidamkan. Sekufu dalam budaya Melayu merujuk kepada konsep kesepadanan, kesetaraan, atau kesedrajatan antara calon suami dan isteri, terutamanya dari segi agama, keturunan, pendidikan, dan status sosial-ekonomi. Ia berasal daripada perkataan Arab kafa'ah (كفاءة) yang bermaksud seimbang, bertujuan memastikan keharmonian, persefahaman, dan kelancaran pengurusan rumah tangga.

Halal Memelihara Keturunan

Aspek-aspek utama dalam membuat pertimbangan dan penilaian sekufu adalah agama dan kesolehan, pendidikan dan mentaliti, status sosial dan ekonomi serta adat dan budaya. Dalam kesemua aspek ini, aspek agama dan kesolahan adalam paling utama kerana ianya menjadi teras, atau tulang belakang kepada aspek-aspek yang lain. Kefahaman terhadap pengamalan beragama yang baik dalam kehidupan seharian akan mengemudi serta melandasi aspek lain agar sentiasa dalam keadaan yang harmoni, diberkati dan dirahmati. Contoh paling mudah, jika salah seorang daripada pasangan merupakan tidak mementingkan pemakanan yang halal dan baik, kaki arak dan judi dan hidup dalam kemaksiatan, tidak melaksanakan rukun Islam, sedangkan seorang lagi sebaliknya, mereka tidak akan dapat hidup bersama dalam suasana aman dan harmoni. Kehidupan perkahwinan dua keperibadian yang saling bertentangan ini adalah rapuh. Ibadah kepada Allah juga tidak dilaksanakan. Rumahtangga akan menjadi lintang pukang serta anak-anak tidak dapat diurus dengan baik. Akhirnya hilanglah maruah keluarga, maruah pasangan serta musnahlah keturunan yang baik daripada generasi mereka.

Penutup

Pepatah 'anda ialah apa yang anda makan' perlulah menjadi satu pandauan penting dalam memastikan diri tidak memakan makanan dan minuman yang haram.  Pepatah ini memberi maksud bahawa makanan yang kita makan adalah penting dan menentukan bagaimana untuk kita terus dapat hidup dan tubuh kita berfungsi dengan baik untuk melaksanakan ibadah kepada Allah swt. Jika kita makan makanan dan minuman yang halalan-tayyiban, makan dengan seimbang, maka tubuh kita akan berfungsi dengan baik, lantas menjamin kelangsungan keturunan yang baik, itulah piawaian kehendak syarak yang telah dipenuhi.

Hidup terus mencari..

Bandar Baru Bangi, 
17 Zulkaedah 1447H.

Comments