SIRI HALAL 6: HALAL MEMELIHARA AKAL

Pendahuluan

Akal merupakan keperluan asasi manusia selepas agama dan nyawa. Akal menjadi titik perbezaan utama antara manusia dan haiwan serta makhluk yang lain. Tanpa akal, kedudukan manusia akan menjadi lebih rendah tanpa sebarang keistimewaan dan kelebihan. Kepentingan akal digambarkan oleh Islam melalui perintah memelihara kesihatan otak dan akal, berusaha mengembangkan potensi melalui tuntutan berfikir, serta memeliharanya daripada kerosakan dan kebinasaan. Pengambilan makanan yang halal dan baik mampu membina fizikal dan fungsi otak yang baik dan sihat.

Melalui fungsi akal, manusia mampu memahami kehendak dirinya dan kehendak persekitarannya, merakam peristiwa dan pengetahuan, seterusnya menggunakannya kembali ketika menghadapi kehidupan mereka. Akal akan berfungsi dengan lebih baik apabila berlakunya peningkatan ilmu yang menjadi tanda kematangan dan kemampuan akal seseorang manusia. Oleh itu manusia perlu mengembangkan potensi akal dengan cara yang baik dan betul. Firman Allah swt yang bermaksud: “Maka apakah mereka tidak berjalan di atas muka bumi, lalu mereka mempunyai akal yang dengan itu mereka dapat memahami…” (al-Hajj :46).

(Gambar sekadar hiasan)

Fungsi Akal

Allah swt sangat menekankan dan mementingkan peranan akal untuk berfikir mengenai penciptaan makhluk dan pelaksanaa pensyariatan hukum-hakam serta hikmah dan tauladan yang boleh dimanfaatkan. Ini bertujuan membina kehidupan manusia itu sendiri kepada yang lebih baik sehingga selari dengan tujuan pensyariatan yang dikehendaki oleh Allah swt yang membawa kepada keredhaan-Nya. Manusia perlu memelihara dan melatih akal mereka agar sentiasa sihat, berfungsi dan berkembang dengan lebih positif. Tidak hairanlah pada hari ini, seawal kelahiran bayi, terdapat pelbagai produk susu sebagai alternatif susu ibu yang mengandungi pelbagai elemen kecerdasan otak bagi memastikan potensi otak dan akal dikembangkan dengan baik.

Dari segi kerohanian, kemudharatan mengambil perkara dan makanan yang haram boleh menyebabkan hati manusia terhalang mendapat cahaya petunjuk daripada Allah serta boleh melemahkan daya akal fikiran dan pengetahuan. Sesungguhnya daya fikiran merupakan kepentingan terbesar bagi seseorang manusia selepas iman kerana ianya boleh menghubungkan manusia dengan pengetahuan terhadap rahsia-rahsia ibadah kepada Allah. Akal mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk menyaksikan, merenung, mengingat, berfikir, memahami, menganalisis serta mentafsir hikmah dan kebijaksanaan. Ibnu Taymiyah menyatakan akal manusia mampu menganalisis, katanya: “Sejenis (pemikiran) yang mungkin benar dan mungkin juga salah, mungkin terpuji dan mungkin juga tercela” (Ibn Taimiyah (t.t) Fatawa, Kitab al-Suluk, Jil. 10, Hal. 32). Melalui peranan dan kemampuan akal menganalisis baik dan jahat, benar dan salah, pahala dan dosa, terpuji dan tercela, diredhai atau dimurkai, manusia mampu memilih yang terbaik untuk dirinya dan persekitarannya.

Apabila akal ini tidak dipelihara dengan perkara yang baik serta bermanfaat, bergelumang dengan perkara haram dan dosa, sehingga menjejaskan peranan, fungsi dan tujuan penciptaan akal oleh Allah, dibimbangi manusia ini akan tergolong dalam kelompok yang kelak memasuki neraka sepertimana firman Allah swt yang bermaksud: Dan mereka berkata: "Kalaulah kami dahulu mendengar dan memahami (sebagai orang yang mencari kebenaran), tentulah kami tidak termasuk dalam kalangan ahli neraka." Akhirnya mereka mengakui dosa-dosa mereka (sebagai orang-orang yang kufur ingkar), maka tetaplah jauhnya rahmat Allah dari ahli neraka” (al-Mulk 10-11).

Antara hikmah pengharaman arak dan penyalahgunaan dadah adalah seperti:

1. Memelihara kewarasan akal fikiran
2. Mengekalkan kesihatan mental dan fizikal
3. Menjamin keharmonian keluarga dan masyarakat
4. Mengelakkan pergaduhan dan permusuhan
5. Mengelakkan penyakit merbahaya
6. Membendung jenayah seperti mencuri dan merompak
7. Mencegah pembaziran duit


Kerangka Maqasid

Dalam kerangka Maqasid Syariah, pemeliharaan akal (Hifz al-Aql) adalah salah satu daripada lima rukun utama. Hubungan antara makanan halal dan kecerdasan akal bukan sekadar dogma agama, malah mempunyai sandaran saintifik dan falsafah yang sangat kuat.

Unsur utama dalam makanan halal bukan sekadar penyembelihan yang sah, tetapi sifatnya yang tayyib iaitu baik, suci dan berkualiti. Islam adalah agama yang sejahtera, maka sangat mementingkan manfaat, kebaikan, kebersihan, kesucian dan menolok segala bentuk kemudaratan, kekotoran, keburukan, kejijikan dan ketidaksucian. Islam mengharamkan perkara yang memabukkan terutamanya arak dan selainnya seperti dadah atau sebarang makanan dan minuman yang boleh menyebabkan kelalaian atau kehilangan kewarasan akal. Islam juga mengharamkan bahan yang kotor atau khaba'ith yang merangkumi darah dan bangkai. Darah yang dimaksudkan ialah darah kotor, kuantiti yang banyak, darah yang mengalir daripada urat darah haiwan secara langsung. Kedua-dua darah dan haiwan mati yang bersatus bangkai adalah medium pembiakan bakteria dan toksin. Bangkai adalah haiwan yang mati tanpa melalui sembelihan halal kecuali ikan dan belalang. Mengambil makanan yang tercemar secara biologi boleh menyebabkan keradangan otak (neuroinflammation) yang boleh menjejaskan memori dan tumpuan kognitif seseorang.

Maqasid syariah telah meletakkan akal sebagai elemen yang perlu dipeliharan oleh syarak. Bermaksud, matlamat sesuatu penetapan hukum syarak memasukkan akal sebagai asas pertimbangan yang menjadi keutamaan. Akal merupakan alat untuk mengenal Allah selain membezakan ketuhanan dan kecenderungan yang mengarah kepada apa-apa unsur ketuhanan lain yang batil. Contohnya ketuhanan agama dan budaya lain serta ideologi atau 'isme' yang boleh mempengaruh dan mencorak gaya pemikiran masyarakat Islam. Menjadikan perkara lain sebagai tuhan tidak semata dalam bentuk menyembah sujud dan mempersembahkan korban, tetapi bentuk meletakkan kepercayaan, pegangan dan panduan hidup terhadap ideologi dan isme yang bertentangan dengan Islam. Apabila sesuatu makanan dan minuman yang masuk ke dalam tubuh mengandungi toksin atau unsur haram, ia merosakkan fungsi kognitif dan kejernihan berfikir dengan bernas dan terbimbing. 

Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulumuddin menekankan bahawa makanan haram bukan sahaja mengeraskan hati, malah menggelapkan akal sehingga sukar menerima kebenaran. Katanya, "Sesiapa yang memakan makanan syubhah, maka agamanya akan menjadi samar-samar dan akalnya akan menjadi gelap." Sheikh Yusuf al-Qaradawi pula menjelaskan bahawa pengharaman alkohol dan dadah dalam Islam bertujuan melindungi "harta" manusia yang paling berharga iaitu akal, agar manusia kekal sebagai makhluk yang bertanggungjawab (mukallaf). Perlulah dimaklumi dengan lebih jelas bahawa perkara atau makan minum halal termasuklah bangkai, tidak disembelih, makanan curi dan tidak dibayar, makanan yang syuhbab status halal, syubhah proses masakan dan penyediaannya, makanan yang tidak diketahui tuan dan selainnya.

Sudut Pandang Sains dan Pakar Pemakanan
Islam tidak menolak sains, malah penemuan sains yang akhirnya membenarkan apa yang dibawa dalam Islam. Malah sains yang sepatutnya dibimbing oleh agama agau segala penemuan dan proses penyelidikan memenuhi kehendak Tuhan dan hukum alam. Sains moden menyokong penuh konsep bahawa apa yang kita makan membentuk struktur kimia tubuh badan terutamanya otak kita.

Dalam aspek neurobiologi, pakar pemakanan sering mengaitkan diet yang bersih iaitu konsep halalan-tayyiban dengan fungsi neurotransmitter. Sebagai contoh, berlakunya mikrobiom usus atau disebut sebagai 'The Second Brain' di mana sains membuktikan adanya paksi "Gut-Brain Axis". Makanan yang bersih dan bebas daripada bakteria berbahaya (seperti dalam babi atau bangkai) menjaga kesihatan usus. Usus yang sihat menghasilkan serotonin iaitu hormon kegembiraan dan kestabilan mental. Gut-brain axis adalah istilah untuk rangkaian komunikasi dua arah antara sistem saraf pusat iaitu otak dan sistem saraf enterik yang ada di saluran pencernaan. Rangkaian ini menghubungkan pusat emosi dan kognitif otak dengan fungsi usus di perut. Hubungan ini menjelaskan mengapa keadaan mental kita boleh memengaruhi perut dan sebaliknya keadaan perut kita mampu mempengaruhi mental serta kognitif kita.

Hubungan antara otak dengan perut dan usus atau sistem kognitif dengan sistem pencernaan adalah saling memengaruhi kerana keduanya sentiasa berfungsi secara timbal balik. Contoh keadaan pertama iaitu dari otak ke usus adalah saat seseorang merasa cemas, stres atau gemuruh, otak akan mengirimkan isyarat stres ke usus. Contohnya sebelum seseorang untuk melakukan pembentangan, pengucapan atau menghadiri temu duga. Situasi ini kebiasaannya menyebabkan perut rasa memulas, krem perut atau perubahan pola buang air besar. Inilah alasan munculnya istilah "butterflies in my stomach". 

Contoh keadaan kedua pula iaitu dari usus ke otak adalah ketika keseimbangan bakteria di usus terganggu (dysbiosis) atau terjadi keradangan, maka usus akan mengirimkan isyarat ke otak yang dapat memengaruhi suasana hati atau mood, meningkatkan perasaan cemas, bahkan mempengaruhi kemampuan berfikir secara normal atau stabil yang disebut sebagai brain fogBrain fog ialah istilah untuk menggambarkan keadaan berlakunya gangguan kognitif. Ia bukan sejenis penyakit, tetapi menyebabkan fikiran rasa "blur," tidak jelas, atau lambat berfikir. Ia dicirikan sebagai kesukaran menumpukan perhatian, masalah ingatan atau pelupa, kekeliruan dan keletihan mental yang menjejaskan fungsi harian.

(Getty Images: Makanan halal secara langsung memastikan "enjin" pemikiran manusia sentiasa berada dalam keadaan optimum untuk menjalankan tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah di muka bumi)

Di bawah adalah contoh dalam diet dan amalan seharian bagaimana amalan pemakanan halal memberi kesan langsung kepada fungsi akal:

Amalan Diet

Kesan kepada Akal

Penjelasan Saintifik

Menghindari Alkohol

Mengekalkan neuron

Alkohol menyebabkan atrofi otak (pengecutan) dan gangguan memori jangka panjang.

Memilih Daging Sembelihan

Kesihatan emosi

Kaedah sembelihan Islam memastikan darah (sumber toksin dan hormon stres) keluar sepenuhnya, menghasilkan daging yang lebih bersih untuk kestabilan hormon.

Pengambilan Madu & Kurma

Nutrisi kognitif

Disarankan dalam Islam (sunnah). Mengandungi antioksidan tinggi yang melindungi sel otak daripada kerosakan oksidatif.

Menghindari Khinzir

Mengelak parasit

Menghindari risiko jangkitan Taenia Solium (cacing pita) yang boleh berpindah ke otak (neurocysticercosis).



Antara Mental dan Emosi

Seringkali juga ia disebut sebagai kognitif dan psikologi. Sebagai seoang yang beragama Islam, kita tidak boleh merawat emosi dalaman tanpa menyuburkan akal. Kita juga tidak boleh mengharapkan akal yang tajam jika jiwa dalam keadaan tertekan, terganggu dan tidak tenang. Penjagaan diri seperti tidur yang cukup, senaman dan pengambilan nutrisi yang seimbang daripada pemakanan yang halalan-tayyiban membantu kedua-dua aspek ini secara serentak. Kesihatan akal (kognitif) dan kesihatan mental (psikologi) tidak boleh dianggap sebagai dua elemen yang terasing walaupun berbeza. Ini kerana secara hakikat keduanya seolah dua sisi daripada syiling yang sama. Kognitif merujuk kepada alat atau perkakas yang digunakan untuk pemprosesan maklumat, manakala mental merujuk kepada perisian emosi dan tingkah laku. 

Terdapat beberapa contoh keadaan yang boleh dikenalpasti. Contoh pertama, akal bertindak sebagai pemprosesan maklumat sedangkan emosi memberi respons terhadap maklumat tersebut. Kognitif akan bertindak memberi perhatian atau attention, lantas emosi menentukan bagaimana bertindakbalas terhadap perhatian tersebut lantas memberi bentuk bagaimana seseorang mentafsir lantas memberi kesan kepada tindakannya.

Contoh kedua, kesihatan kognitif yang baik membolehkan seseorang berfikir secara logik untuk menyelesaikan sesuatu masalah atau konflik. Realitinya, apabila fungsi kognitif seseorang terganggu seperti disebebkan keletihan melampau, kesakitan atau umur tua, seseorang akan merasa hilang kawalan terhadap agenda kehidupan sehariannya. Perasaan tidak berdaya dan kelesuan ini adalah punca utama tekanan perasaan dan rendah diri yang menjurus kepada isu psikologi.

Contoh ketiga, pengaruh terhadap kawalan impuls dan emosi. Perlu disedari bahawa bahagian otak yang dipanggil sebagai Prefrontal Cortex bertanggungjawab untuk fungsi kognitif dan juga mengawal emosi. Jika fungsi kognitif di bahagian ini lemah, seseorang akan sukar mengawal marah atau kesedihan. Kegagalan mengurus emosi ini secara berterusan akan berkembang menjadi gangguan psikologi yang lebih serius.

Penutup

Telah terbukti bahawa mengambil makanan dan minuman yang haram atau dari sumber haram boleh menjejaskan fungsi rohani dan fizikal seseorang serta hubungan antara keduanya. Pemahaman Maqasid Syariah terhadap pemeliharaan akal melalui makanan halal adalah bersifat holistik secara keagamaan, budaya dan saintifik. Apabila manusia menjaga kehalalan sesuatu makanan dan minuman yang mereka ambil, dari aspek fizikal otak akan memperoleh nutrisi yang bersih dan terhindar daripada bahan kimia berbahaya. Manakala aspek rohani pula, akal akan menjadi stabil, lapang dan tenang, sehingga memudahkan proses berfikir seterusnya membuat keputusan yang bijak dan rasional.

Hidup terus mencari..

Bandar Baru Bangi,
16 Zulkaedah 1447H.

Comments