SIRI HALAL 5: HALAL MEMELIHARA NYAWA

Pendahuluan

Pada diri manusia mempunyai dua komponen utama iaitu jasad dan ruh. Jasad merupakan bentuk fizikal manusia yang bermula perkembangannya sejak di dalam rahim ibu sehinggalah mencapai peringkat kanak-kanak, remaja, dewasa dan seterusnya tua. Manakala ruh pula merupakan nyawa yang berada di dalam diri manusia. Gabungan jasad dan nyawa inilah yang memberi kehidupan kepada manusia. Tanpa salah satu daripadanya, kehidupan tidak akan wujud di dunia ini tidak akan terlaksana tuntutan perhambaan manusia kepada Tuhannya dan peranan mereka sebagai khalifah di muka bumi. Nyawa tidak boleh digambarkan oleh pancaindera manusia kerana hanya Allah sahaja yang mengetahui. Tetapi manusia wajib beriman dengan kewujudan nyawa dan manusia perlu menyerahkan urusan tersebut sepenuhnya kepada Allah semata.

Halal Memelihara Nyawa

Kepentingan nyawa dan pemeliharaan jasad manusia di dalam Islam sangat jelas kedudukannya. Ini digambarkan melalui hukuman qisas yang disyariatkan di dalam al-Quran untuk memelihara keselamatan nyawa manusia. Hukuman qisas ini mampu memberi peringatan, pengajaran yang berkesan kepada sesiapa sahaja yang berani melakukan kesalahan tersebut. Hukuman ini juga sebagai proses halangan daripada mana-mana pihak mencabul hak kehidupan orang lain. Malah, secara tabiat hukum alam, semua makhluk yang hidup memerlukan makanan untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka dan mendapatkan makanan adalah matlamat utama semua kehidupan selain jin dan manusia.

(Gambar sekadar hiasan)

Nyawa perlu dipelihara dan dipertahankan oleh tuan badannya. Caranya ialah dengan memelihara diri daripada sebarang perkara yang boleh menyebabkan kematian dirinya seperti membunuh diri secara terancang ataupun sebaliknya. Contohnya memakan sesuatu makanan yang boleh mendatangkan mudharat seperti racun sehingga mendatangkan penyakit dan kematian. Juga membahayakan diri sendiri dengan amalan pemakanan yang tidak baik iaitu hilangnya nilai dan aspek 'halalan tayyiban' seperti banyak makan dan kerap mengambil makanan tidak berkhasiat sehingga menyebabkan penyakit kronik yang mengundang kesulitan hidup serta kematian.

Islam telah menetapkan hukum-hakam dengan tujuan memelihara nyawa melalui cara memastikan nyawa dan kehidupan manusia akan terus terjaga dan terjamin kualitinya dengan menjaga kesihatan, memakan makanan yang halal dan baik serta mengamalkan gaya pemakanan yang betul. Pencapaian maqasid syariah dalam produk halal untuk pemeliharaan nyawa adalah melalui proses pembinaan produk yang dijalankan oleh industri halal itu sendiri, samada berbentuk perkhidmatan ataupun barangan.

Sebagaimana diketahui, makanan dan minuman merupakan asas utama kelangsungan kehidupan manusia. Malah di sisi syariah, antara kepentingan yang diiktiraf terhadap seseorang manusia adalah kesihatan. Ilmu kesihatan ibarat mahkota yang dipakai oleh para doktor, ia tidak diketahui melainkan orang-orang yang sakit. Seseorang doktor tidak diiktiraf memiliki ilmu kesihatan melainkan apabila ia beradab dengan adab-adab agama yang mulia dan mengikuti segala apa yang diperintahkan kepadanya dan meninggalkan apa yang dilarang kepadanya. Ini adalah kerana apa yang dikehendaki oleh agama di dalam pemakanan itu sendiri ialah kesihatan bagi tubuh manusia dan kekuatan jisim atau fizikal mereka. Bahkah inilah hakikat apa yang dimaksudkan dengan ilmu perubatan.

Allah swt telah memberi petunjuk kepada manusia melalui makanan dan minuman sehinggalah manusia dapat hidup dengan kehidupan yang baik serta memperkuat jasad untuk bekerja dan mencari nafkah bagi keperluan dunia selain melaksanakan amal ibadah sebagai bekalan di akhirat kelak. Allah juga melarang manusia daripada melampaui batas di dalam makan dan minum serta pembaziran. Halal, haram dan tayyiban sesuatu makanan dan minuman sebenarnya berkait rapat dengan mudharat yang  boleh menimpa tubuh manusia dan anggota badan mereka.

Di dalam laman web AL-KAFI #687 perihal Haiwan-haiwan yang Haram untuk Dimakan dalam Islam telah menjelaskan tiga prinsip halal dan haram sesuatu makanan. 

Prinsip Pertama: Semua binatang yang dianggap elok oleh orang Arab semasa hidup senang dan pada zaman Rasulullah SAW adalah halal.

Prinsip Kedua: Semua binatang buas yang mempunyai taring yang kuat untuk menangkap mangsa adalah haram.

Prinsip Ketiga: Semua  binatang yang disunatkan bunuh adalah haram.

Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji dijelaskan contoh haiwan yang haram dimakan kerana mendatangkan keburukan dan kerosakan terhadap badan manusia. Contoh-contoh haiwan tersebut seperti tikus, helang, ular, kala jengking dan gagak. Sama ada ianya dianggap baik atau buruk oleh masyarakat Arab atau budaya lain, haiwan tersebut dan keturunan serta seumpamanya adalah haram dimakan kerana hadith Nabi SAW telah menghukumkannya sunat dibunuh. Haiwan-haiwan ini mempunyai risiko yang berbeza-beza, sama ada daripada toksin semula jadi (bisa) atau kuman dan parasit yang dibawa oleh persekitaran mereka. Sebahagian contoh diterangkan seperti di bawah:

Tikus

Tikus dianggap sangat berbahaya untuk dimakan kerana mereka adalah pembawa (vektor) pelbagai penyakit zoonotik:

  1. Bakteria Leptospira: Menyebabkan kencing tikus (Leptospirosis) yang boleh merosakkan buah pinggang dan hati.
  2. Salmonella & E. coli: Menyebabkan keracunan makanan yang teruk.
  3. Parasit: Tikus membawa cacing pita dan kutu yang boleh memindahkan virus merbahaya kepada manusia.
  4. Racun Luaran: Tikus sering memakan racun tikus (Anticoagulant) di kawasan perumahan, yang boleh meracuni manusia jika dagingnya dimakan.

Ular & Kala Jengking (Haiwan Berbisa)

  1. Bahaya Utama: Risiko terbesar adalah semasa mengendalikan atau menyiang haiwan ini. Jika kantung bisa pecah atau terkena luka pada mulut/saluran darah semasa makan, ia boleh membawa maut. Selain itu, ular liar sering membawa parasit seperti cacing paru-paru (Pentastomids).
  2. Bisa (Venom): Secara teknikal, bisa ular dan kala jengking adalah protein yang biasanya musnah oleh asid perut atau haba masakan (berbeza dengan "racun" atau poison yang bertindak melalui penghadaman).

Helang & Gagak (Burung Pemangsa dan Kutip Sisa)
Kedua-dua burung ini berada di rantaian makanan yang tinggi, menyebabkan pengumpulan bahan berbahaya (bioakumulasi):
  1. Logam Berat: Terutama burung pemangsa seperti helang, mereka mungkin mempunyai kandungan merkuri atau plumbum yang tinggi dalam tisu badan.
  2. Bakteria Bangkai: Gagak sering memakan bangkai dan sampah, menjadikan daging mereka sarang bakteria seperti Botulism atau kuman reput yang boleh menyebabkan kegagalan organ manusia.
  3. Virus: Burung-burung ini boleh membawa virus Selsema Burung (H5N1) atau virus West Nile.
Haiwan ini dikategorikan sebagai sumber makanan yang haram dan tidak selamat kerana risiko jangkitan kuman dan parasit jauh lebih tinggi berbanding nilai nutrisinya. Walaupun sebahagian budaya di dunia mendakwa terdapatnya kebaikan, ubatan atau manfaat tertentu daripada haiwan ini, namun alasan dan dakwaan tersebut tidak boleh diterima.

(Gambar sekadar hiasan)

Kaedah Usul Fiqh ada menyebut Al-Dhararu Yuzal iaitu Kemudaratan Hendaklah Dihilangkan. Kaedah ini berasaskan hadis Nabi SAW: "La dharara wa la dhirara" (Tidak boleh memberi mudarat dan tidak boleh membalas mudarat). Dalam konteks memakan haiwan di atas, kaedah ini jelas menegaskan bahawa apa sahaja yang terbukti secara saintifik atau perubatan boleh merosakkan tubuh badan, akal, atau nyawa, maka ia wajib dijauhi.

Apabila berhadapan dengan situasi haiwan yang mungkin mempunyai "manfaat" sedikit tetapi "bahaya" yang besar, ulama menggunakan beberapa kaedah sebagai sokongan dan penegasan seperti:

Dar’ul Mafasid Muqaddamun ‘ala Jalbil Masalih iaitu menolak kerosakan atau mudarat itu lebih utama daripada mengambil maslahah atau manfaat. Sebagai contoh walaupun ada yang mendakwa daging ular mempunyai khasiat tertentu, namun risiko racun, parasit, dan jangkitan kuman (mudarat) jauh lebih besar. Maka, meninggalkannya adalah lebih utama.

Al-Aslu fil-At’imah al-Ibahah illa ma Dalla al-Dalil ‘ala Tahrimihi iaitu hukum asal makanan adalah harus, melainkan ada dalil yang mengharamkannya. Di dalam keadaan haiwan-haiwan tadi, dalil pengharamannya bukan sahaja kerana nas iaitu teks agama semata, tetapi  kerana sifatnya yang khabaith bermaksud keji dan kotor serta membawa kemudaratan  dalam bentuk mudarat fizikal.

Iza Ta’aradha al-Halal wal-Haram, Ghuliba al-Haram adalah apabila berkumpulnya perkara halal dan haram, maka hukum haram lebih diutamakan. Ini bermaksud jika sesuatu makanan itu diragui keselamatannya atau bercampur antara unsur yang baik dengan toksin yang berbahaya, prinsip berhati-hati (ihtiyat) mewajibkan umat Islam meninggalkannya daripada makan.

Penutup

Nyawa merupakan perkara yang diberi keutamaan dan keutamaannya dalam Islam selapas agama. Tanpa nyawa, Islam mana mungkin dapat ditegakkan dan dilaksanakan. Menyedari pentingnya menjaga pemakanan kita seharian daripada perkara yang jelas haram lantas boleh mengancam nyawa secara langsung dan serta merta mempunyai tahap kepentingan yang sama dengan makanan dan cara pemakanan yang boleh mengancam nyawa secara perlahan dan beransur-ansur. Tanpa nyawa, maka berakhirlah kehidupan di dunia dan tiadalah lagi peluang beramal ibadah untuk memperoleh kebahagian di akhirat kelak.

Hidup terus mencari..

Bandar Baru Bangi,
15 Zulkaedah 1447H.

Comments