Islam telah menerangkan bahawa agama merupakan keperluan
asasi bagi manusia. Islam menjadikan manusia sebagai makhluk yang paling mulia
kedudukannya. Ini kerana manusia dianugerahkan kewajipan pelaksanaan ajaran Islam
disamping dikurniakan akal berserta nafsu. Sedangkan makhluk lain tidak
sesempurna kajian manusia. Agama sebagai keperluan bermaksud keterikatan kepada
ajaran atau syariat agama. Semakin teguh keterikatan manusia terhadap agamanya,
bermaksud semakin teguh iman yang berada di dalam dirinya. Agama Islam sebagai
platform iman itulah yang merupakan keperluan asasi manusia. Agama menjadi
keperluan tertinggi kerana walaupun manusia itu tidak wujud, namun agama dan
iman itu telah sedia wujud di sisi Allah.
Hakikatnya, maqasid terbesar dalam pengambilan atau pemakanan makanan halal, juga penggunaan perkhidmatan halal ialah memelihara agama Islam itu sendiri. Umat Islam sepatutnya melihat dan menyedari bahawa maksud sebenar pemerkasaan industri dan pengeluaran produk halal adalah untuk memasakkan keyakinan bahawa apa-apa yang dimakan dan diminum, atau diambil sebagai ubat-ubatan atau bahan tambahan dalam makanan, serta sembelihan yang memenuhi kehendak syara’, pelaksanaan perkhidmatan yang tidak berunsurkan amalan yang haram, semuanya semata mengutamakan keredhaan Allah swt dan keberkatan di dalam apa jua urusan kehidupan termasuk amalan-amalan khusus yang diperintahkan olehNya.
Persoalan halal dan haram sangat signifikan dan berkait rapat dengan bidang makanan dan minuman secara literal serta produk makanan, barangan dan perkhidmatan yang lain. Ini kerana di dalam Islam penggunaan atau pengambilan sesuatu makanan daripada sumber yang haram boleh menjadi penyebab sesuatu doa tertolak dan tidak dimakbulkan (Riwayat Muslim, Tirmizi daripada Abu Hurairah, Ibnu Kathir, al-Ghazali), sehinggakan terdapat ancaman bahawa daging manusia yang tumbuh daripada sumber yang haram neraka adalah lebih layak untuknya. Manakala penggunaan barangan dan perkhidmatan yang haram juga memberi implikasi yang tidak kecil terhadap kehidupan seseorang muslim.
Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Setiap daging yang tumbuh dari sumber dan perkara yang haram, maka nerakalah lebih layak baginya.” (al-Hakim, Abu Abdillah bin Muhammad bin Abdullah, al-Mustadrak ‘ala al-Sohihain, Beirut, Darul Makrifah, 1418 H/1998 M, No. Hasid: 7244, Jil. 5, Hlm. 175). Pemahaman dari haids ini, umat Islam hendaklah mengelakkan diri mereka daripada memakan makanan yang berasal dari sumber atau bahan yang haram. Ini kerena mereka perlulah menghindarkan diri mereka daripada terjerumus ke dalam api neraka yang Allah swt sediakan bagi mereka yang melanggar syariat dan hukum-hakam agamaNya. Jelasnya, pemakanan yang haram adalah berpunca daripada jenis haiwan yang dimakan, cara sembelihan, tumbuhan dan haiwan yang mempunyai racun, ubat-ubatan yang bersumber bahan yang haram dan seumpamanya.
Hukum hakam yang ditetapkan di dalam syariat Islam berbentuk sama ada suruhan melakukan atau larangan melakukan, dihalalkan atau diharamkan, ditetapkan dengan mandatori atau diberi keringanan atau pengecualian (rukhsah – رُخْصَة). Ini kerana ayat al-Quran yang berbentuk hukum ada yang tetap (tsawabit – ثَوَابِت) dan yang berubah-ubah (mutaghayyirat – مُتَغَيَّرَات).
Antara ayat hukum yang berbentuk suruhan atau perintah (al-amru – الأَمْرُ) ialah kewajiban mengambil sesuatu yang halal dan meninggalkan yang haram. Segala hukum yang disyariatkan ini mempunyai tujuan atau maksud dan hikmah yang diiktiraf syara’ walaupun wujud juga yang bersifat perhambaan (ta’abbudi – تَعَبُّدِ) semata-mata. Hukum-hukum Islam tertegak di atas dasar dan bermatlamat memelihara kebaikan (maslahah – مَصْلَحَة) masyarakat umum dan individu (Muhammad Thohir Ibnu ‘Asyur, 2009) serta menolak keburukan atau kerosakan (mafsadah – مَفْسَدَة).
Menurut istilah ulama Usul, maslahah didefinisikan sebagai manfaat yang dimaksudkan oleh Allah Yang Maha Bijaksana untuk hamba-hambaNya iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta (Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti, 1982). Keseluruhan nas al-Quran dan hadis menunjukkan penghujahan yang amat kuat bahawa Islam sangat mengambil berat tentang halal dan haram, kerana semua yang halal itu akan mendatangkan manfaat, sedangkan perkara haram akan mendatangkan keburukan ke atas manusia (Dr. Yusuf al-Qardawi, 1994) baik di dunia mahupun akhirat.
Membincangkan halal-haram juga berkait secara langsung dengan konsep baik-buruk (tayyibat-khaba’ith خَبَائِث - طَيِِبَات- ) dalam pemakanan (al-A’raf, 7:157). Mengulas ayat tersebut, Ibn Taymiyyah menjelaskan setiap perkara yang memberi manfaat adalah suci manakala setiap yang mendatangkan kemudaratan adalah kotoran. Terdapat perbezaan pendapat dalam menafsirkan makna baik-buruk. Pendapat pertama Imam Malik berpandangan tayyibat iaitu sesuatu yang dihalalkan dan sifatnya baik dan khaba’ith adalah sesuatu yang diharamkan. Pandangan kedua berpendapat tayyibat adalah sesuatu yang dirasakan baik oleh cita rasa orang Arab dan khaba’ith adalah sesuatu yang dianggap jijik oleh orang Arab. Pandangan ketiga tayyibat adalah sesuatu yang dihalalkan oleh Allah, yang bermanfaat kepada orang yang makan pada agamanya. Manakala khaba’ith adalah sesuatu yang memudaratkan pada agamanya. Ini merupakan padangan Ibn Taymiyyah dan beliau menisbahkan pada persepakatan ulama (Mohd Anuar Ramli dan Mohammad Aizat Jamaludin, 2011).
Ulama juga telah menyenaraikan kriteria asas suatu makanan yang baik dan buruk, iaitu; ia tidak mengandungi najis, ia tidak mengandungi sesuatu yang memabukkan (arak), ia tidak bersumberkan darah haiwan, ia bukan berasaskan sumber daripada manusia, ia tidak mengandungi khinzir dan deratifnya, ia tidak bersumberkan bangkai dan ia tidak mendatangkan bahaya atau mudarat (Mohd Anuar Ramli dan Mohammad Aizat Jamaludin, 2011).
Dalam Islam, matlamat makanan adalah lebih luas daripada sekadar kenyang dan memberi tenaga semata-mata. Makanan bukan sahaja untuk membina tisu badan dalam proses tumbesaran dan membaik pulih tubuh badan, tetapi ia berkait secara langsung dengan akhlak dan kerohanian seseorang. Bagi orang Islam, makan adalah satu tanggungjawab dan ia sebagai satu ibadah kerana makanan yang dimakan bertujuan memberi kesihatan tubuh badan bagi membolehkannya menyumbang tenaga ke arah pembangunan ilmu dan kesejahteraan ummah, melaksanakan ibadah wajib seperti solat, puasa, mengerjakan haji (Jafri Abdullah dll., 2011) dan berjihad.
Sebagai hamba Allah, manusia mempunyai sasaran kehidupan untuk memastikan setiap aktiviti dan pekerjaan yang dilakukan seharian menjadi ibadah yang diredhai oleh Allah swt. Sesuatu pekerjaan yang mahu diktiraf sebagai ibadah kepada Allah perlu memenuhi dua aspek penting iaitu iman dan amal soleh. Iman dterjemahkan dalam niat dan matlamat yang suci, benar dan patuh kepada perintah Allah swt. Manakala amal soleh pula terdiri daripada akhlak mulia yang ditunjukkan dalam melaksanakan pekerjaan, prestasi terpuji hasil daripada sesuatu aktiviti dan tidak meniggalkan ibadah-ibadah wajib khususnya solat lima waktu (M. Harith Mahmud, 2011).
Ia menepati kehendak tujuan hidup seseorang hamba di dunia ini oleh Allah swt. Firman Allah swt yang bermaksud: Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.” (al-An’aam, 6:162). Firman Allah swt lagi: Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku (adz-Dzariyat, 51:56).
Kepentingan memakan makanan yang halal diterangkan oleh
Nabi Muhammad saw bahawa ia menjadi sebab doa dimakbulkan, dalam kata lain
makanan yang haram doanya tidak diterima Allah swt. Perlu diketahui dan
ditekankan kesan daripada memakan dan mengguna sesuatu barang yang bersumberkan
perkara yang haram. Sifat bagi sesuatu yang haram itu adalah buruk dan keji,
sedangkan segala sesuatu yang halal adalah baik dan bagus. Sehubungan dengan
itu ditegaskan bahawa untuk menghindari yang haram (Drs. Ahmad Rafaai bin
Ayudin, 1994) perlulah:
- Meninggalkan sepenuhnya sesuatu yang haram secara pasti mengikut fatwa ulama fiqh,
- Menghindari daripada segala perkara yang memungkinkan haram,
- Menghindari sesuatu yang tidak diharamkan oleh fatwa ulama dan tidak diragukan halalnya, tetapi dikhuatiri boleh membawa kepada haram,
- Meninggalkan sesuatu yang diharuskan kerana diketahui ianya bercampur dengan hal-hal makruh dan menimbulkan kecurigaan.
Sebagai penutup, marilah bersama kita menghayati sebuah hadis yang sangat penting dalam kita memahami konsep halal dan pengamalan kita seharian. Diriwayatkan oleh Ibn Mardawaih, Ibn ‘Abbas berkata: “Surah al-Baqarah (ayat 168-169) dibacakan
kepada Sa’ad bin Abi Waqqas lalu berkata, “Wahai Rasulullah! Bagaimana Allah
memperkenankan doaku?” Rasulullah menjawab “Carilah makanan yang halal
maka doa kamu akan diperkenankan. Bahawa sesungguhnya seseorang lelaki yang
menelan satu suapan yang haram dalam perutnya maka doanya tidak akan diterima
selama 40 hari. Bahawasanya seseorang hamba yang tumbuh dagingnya daripada
‘suht’ (makanan haram) dan riba’ maka neraka adalah paling utama baginya” (Riwayat
al-Hakim).
Comments