SIRI HALAL 3: HALAL DALAM PERSPEKTIF MAQASID

Pendahuluan

Islam merupakah sebuah cara hidup yang lengkap merangkumi setiap aspek kehidupan manusia. Bermuamalah dengan perkara yang halal umumnya merupakah suatu suruhan Allah swt kerana apa yang halal ialah juga perkara yang diharuskan dan lawan baginya adalah perkara makruh ataupun haram. Kedua-dua perkara makruh dan haram ini hendaklah dijauhi kerana keduanya merupakan perkara yang dibenci oleh Allah dan ditegah untuk melakukannya. Secara khusus, pengambilan makanan yang halal merupakan suruhan yang wajib dilaksanakan dan makanan yang baik sebagai suatu tuntuta yang pasti. Secara praktikalnya ia dapat dilihat dalam banyak ayat al-Quran dan sunnah baginda Nabi saw.


Terdapat lima perspektif halal:

  1. Maqasid Syariah
  2. Perbandingan Agama
  3. Budaya dan Etika
  4. Kepenggunaan Islam
  5. Perniagaan dan Pemasaran

Definisi Maqasid Syariah

Ulama silam tidak membincangkan definisi maqasid syariah secara terperinci dan jelas. Namun, ia dipelopori oleh ulama kontemporari yang membincangkan maksud istilah ini dengan beberapa bentuk tetapi memberi maksud yang sama seperti maqasid al-syari’, maqasid al-syari'ah dan al-maqasid al-syar’iyyah. Di bawah ini disertakan beberapa defininisi yang dinyatakan oleh beberapa ulama terkenal.


(Gambar sekadar hiasan)

Ibnu 'Asyur: “Matlamat umum hukum Islam ialah untuk memelihara kerukunan umat untuk memastikannya membangun secara sihat dengan menjana kesejahteraan hidup manusia. Kesejahteraan dan kebaikan hidup manusia termasuklah kesejahteraan akal fikirannya, kesejahteraan perilakunya dan kesejahteraan segala aspek duniawi di mana dia hidup dan dipertanggungjawabkan.”

Imam al-Ghazali: “Maksud syara’ daripada penciptaan makhluk adalah untuk memelihara lima perkara yang menyentuh aspek pemeliharaan agama mereka, kehidupan mereka, akal fikiran mereka, zuriat keturunan mereka dan harta mereka. Apa sahaja yang dapat memastikan penjagaan lima perkara asas ini adalah dianggap maslahah, manakala sesuatu yang merosakkan lima perkara asas ini dianggap mafsadah dan apa jua bentuk tindakan untuk menghindarinya merupakan maslahan yang dituntut.”

Imam al-Syatibi: “Matlamat utama syara’ ialah untuk mengeluarkan manusia mukallaf daripada hasutan hawa nafsunya supaya dia menjadi hamba Allah berasaskan pilihan sebagaimana dia menjadi hamba Allah tanpa sebarang pilihan.”

Kesimpulan: Maqasid al-Syariah merujuk kepada objektif yang ingin dicapai oleh syariah ketika menetapkan sesuatu hukum yang bertujuan menjaga kemaslahatan manusia. Objektif ini merupakan sudut utama yang dianggap penting dalam kehidupan manusia. Ia dikenali sebagai dharuriyyat al-khams yang merangkumi agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Imam al-Syatibi menyatakan: “Hakikat syarak yang berhasrat untuk menjaga tiga asas iaitu dharuriy, hajiy dan tahsiniy mestilah berdasarkan kepada dalil yang disandarkan kepadanya. Dan sandaran itu mestilah dalil dzanni atau qath’i, dan kalaulah ia dalil yang dzanni, maka ia adalah batil, kerana ia merupakan satu asas daripada asas-asas syariah, bahkan ia merupakan asas kepada asas-asasnya (syariah), dan asas-asas syariah adalah perkara yang qath’i sebagimana yang dimaklumi. Maka asas kepada asas-asas syariah seeloknya merupakan perkara yang qath’i…”

Tahap Kepentingan Maqasid

Di dalam ilmu maqasid al-syariah, terdapat tahap dan peringkat kepentingan di dalam sesuatu perkara atau isu. Ianya mestilah melibatkan tiga peringkat kepentingan, iaitu; al-dharuriyyat, al-hajiyyat dan al-tahsiniyyat. Jadual di bawah menerangkan mengenainya dengan membawa contoh untuk difahami:

 

Maqasid Syariah

Dharuriyyat

Hajiyyat

Tahsiniyyat

Memelihara agama

Memelihara dan melaksana kewajipan agama termasuklah ibadah khusus rukun Islam. Jika diabaikan, tergugatlah agama di dalam dirinya.

Melaksana perkara yang dituntut dan digalakkan oleh agama dengan maksud menghindari kesulitan seperti rukhsah solat. Jika tidak dilaksanakan, tidak tergugat agama seseorang, tetapi mendatangkan kesulitan.

Mengikuti saranan-saranan agama dalam memelihara martabat manusia, sekaligus melengkapkan pelaksanaan kewajipannya kepada Allah. Ianya merangkumi aspek akidah, ibadah dan akhlak. Jika tidak dilaksanakan tidak tergugat agama seseorang, tetapi tiada kesempurnaan amalan.

Memelihara nyawa

Memenuhi keperluan kewujudan dan memelihara kehidupan termasuklah makanan. Jika diabaikan, tergugatlah kewujudan kehidupan manusia.

Diharuskan menikmati makanan yang halal, baik dan lazat. Jika diabaikan tidak tergugat kehidupan manusia, tetapi mendatangkan kesulitan dan kesuraman dalam hidupnya.

Mengikut tata tertib cara makan dan minum yang betul, sekaligus memelihara kesihatan tubuh badan. Jika tidak dilaksanakan tidak tergugat kehidupan manusia, tidak mendatangkan kesulitan, tetapi tiada ketertiban semasa makan.

Memelihara akal

Memelihara kewarasan akal dengan diharamkan meminum minuman yang memabukkan serta penyalahgunaan dadah. Jika diabaikan, tergugatlah kewujudan sumber pemikiran manusia iaitu akal.

Diwajibkan menuntut ilmu pengetahuan terutama ilmu fardhu ain. Jika diabaikan tidak tergugat pemikiran manusia, tetapi memberi kesulitan kepada seseorang untuk memahami sesuatu perkara dan menyelesaikannya.

Menghindari diri daripada perkara yang mendatangkan kealpaan seperti berkata, mendengar dan melihat sesuatu yang tidak berfaedah. Perkara ini sama sekali tidak mendatangkan kesulitan atau menggugat pemikiran manusia. Malah boleh mencerdaskan pemikiran seseorang.

Memelihara keturunan

Memelihara maruah kesinambungan keturunan dengan disyariatkan perkahwinan serta pengharaman zina. Jika diabaikan, tergugatlah kesinambungan keturunan yang mulia.

Diwajibkan membuat pemeriksaan HIV, talesemia dan penyakit kritikal kepada pasangan sebelum berkahwin. Jika diabaikan tidak tergugat pernikahan dan hubungan suami-isteri, tetapi mendatangkan kesulitan kepada pasangan dan keluarga sekiranya menghidapi penyakit tersebut.

Melaksanakan proses peminangan dan mengadakan walimatul urus bagi pernikahan. Ia dilaksana untuk melengkapkan majlis perkahwinan. Sekiranya tidak dilaksanakan, tidak tergugat kewujudan dan kesinambungan keturunan seseorang.

Memelihara harta

Melaksanakan pensyariatan jual beli dan diharamkan mengambil harta orang lain secara batil seperti riba’, mencuri dan helah. Jika diabaikan, ia menggugat dan mengancam kewujudan harta.

Disyariatkan jual beli dengan cara salam dan digalakkan menyimpan wang di dalam bank atau seumpama yang diiktiraf. Jika diabaikan tidak tergugat dan mengancam kewujudan harta, tetapi menyulitkan banyak pihak dalam urusniaga dan transaksi tertentu.

Menghindarkan diri dari helah perniagaan, penipuan dan spekulasi. Perkara ini merupakan etika muamalah Islam. Sekiranya tidak dilakukan, ianya tidak menggugat kewujudan dan kepemilikan harta seseorang, malah menjamin keharmonian urusniaga pelbagai pihak.


Penutup

Membicarakan sesuatu hukum dan panduan beragama dalam Islam berlandaskan bingkai maqasid mampu memandu para penggubal dasar, badan pelaksana dan seterusnya rakyat kepada pemahaman Islam yang betul. Dalam keadaan pelbagai ideologi yang menyelubungi pemikiran umat Islam, ditambah kurangnya pemahaman terhadap ilmu selain pegangan agama yang tidak kukuh boleh menyebabkan negara memiliki umat Islam yang kosong jiwanya dan rapuh jatidirinya. Kembali kepada kefahaman maqasid menjamin keharmonian hidup di dunia dan akhirat.

Hidup terus mencari..

Bandar Baru Bangi,
13 Zulkaedah 1447H.

Comments