Syariat Islam merupakan suatu cara hidup berpaksikan elemen ruh yang bersifat ketuhanan ( rabbaniyyah - رَبََّّنِيَّة ) dan keagamaan ( diniyyah- دِينِيَّة ). Ianya datang dan bersumberkan dari Tuhan yang mencipta alam dan manusia. Ia bukan hanya bersifat lahiriah semata-mata, tetapi ia melibatkan soal ganjaran pahala dan balasan dosa. Syariat Islam adalah bersifat keduniaan dan keakhiratan, berhubungkait dengan keimanan dan keislaman, hukuman dan pembalasan sama ada di dunia mahupun akhirat. Syariat Islam adalah syariat yang lengkap (al-Jathiyah, 45:18) dan berperanan untuk memajukan umat manusia serta memimpin ke jalan kebenaran dan kebaikan, serta menghindar daripada kerosakan dan kemudaratan (Abdul Monir Yaacob, 2006).
Bidalan “kita adalah apa yang kita makan” seringkali didengari. Apabila disebut tentang makanan, apa yang terbayang adalah jenis makanannya, pembukusannya, tarikan hidangan sehingga kepada bayangan kelazatan dan kesedapannya. Termasuk juga barangan gunaan dan kosmetik atau dandanan diri yang digambarkan dengan kemegahan, keselesaan, keharuman dan kesegaran. Namun apa yang lebih penting bagi seseorang muslim adalah halal atau haram sesuatu makanan atau barang tersebut. Allah swt memerintahkan para hambanya agar makan makanan yang halal dan baik (al-Baqarah, 2:168; al-Maaidah, 5:88). Allah swt telah menyatakan makanan halal terdiri daripada segala apa yang terdapat di atas muka bumi ini (al-Baqarah, 2:168), segala yang baik (al-A’raf 7:157), haiwan-haiwan ternak (al-Hajj, 22:30) dan semua haiwan laut (al-Maidah 5:96) melainkan apa yang dinyatakan haram (al-Hajj, 22:30).
Makanan yang baik adalah makanan yang dianggap lazat mengikut citarasa manusia yang normal, manakala makanan yang buruk adalah makanan yang dianggap jijik oleh manusia yang normal (al-A’raf, 7:157). Makanan yang halal serta baik adalah merupakan makanan yang mengandungi banyak khasiat serta baik untuk kesihatan. Allah swt pada dasarnya telah menciptakan segala apa yang ada di bumi ini adalah halal melainkan terdapat bahaya di dalamnya, maka Allah swt mengharamkannya.
Perkara perkara yang dinyatakan haram secara jelas di dalam al-Quran ialah bangkai, darah yang mengalir, daging babi dan haiwan yang disembelih tidak disebut nama Allah (al-Baqarah, 2:173; al-Maaidah, 5:3; al-Nahl, 16:115; al-An’aam, 6:145), haiwan yang tidak sempat disembelih dengan sempurna lalu mati, disembelih untuk berhala sebagai haram (al-Maaidah, 5:3). Selain itu dinyatakan juga bahawa arak dan judi adalah haram dan merupakan dosa yang besar (al-Baqarah, 2:219).
Makanan merupakan sesuatu yang menjadi santapan dan menjadi darah daging manusia. Manusia tidak boleh memakan makanan melainkan yang telah dihalalkan oleh syarak. Makanan yang baik adalah makanan yang dianggap lazat mengikut citarasa manusia yang normal, manakala makanan yang buruk adalah makanan yang dianggap jijik oleh manusia yang normal. Makanan yang halal serta baik adalah merupakan makanan yang mengandungi banyak khasiat serta baik untuk kesihatan. Allah swt pada dasarnya telah menciptakan segala apa yang ada di bumi ini adalah halal melainkan terdapat bahaya di dalamnya, maka Allah swt mengharamkannya.
Islam secara jelas telah menerangkan implikasi memakan atau menggunakan sesuatu yang halal dan haram. Ayat perintah memakan makanan yang halal lagi baik merupakan bukti dan lambang ketaqwaan (al-Maaidah, 5:88), keimanan (al-Baqarah, 2:168), sifat bersyukur (al-Nahl, 16:114) dan pengabdian (al-Baqarah, 2:172) seseorang hamba kepada Allah swt.
Selain perkara yang haram secara pasti, perkara yang boleh membawa kepada haram juga perlu dihindari dan diberi perhatian yang serius. Ia adalah sesuatu yang masih belum dipastikan samada halal atau harus, serta dikhuatiri dan dicurigai memasuki perkara haram. Ia disebut ( الشُبْ هَة – al-syubhah ). Apabila seseorang terjebak ke dalam perkara yang syubhah, ia boleh membawa kepada haram. Perkara syubhah biasanya berlaku tanpa disedari kerana ia samar-samar dan tidak jelas, yakni tidak diyakinkan salah satunya antara halal atau haram kerana tidak terang halal dan haramnya disebabkan pertentangan dalil.
Nabi Muhammad saw bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas dan sesungguhnya perkara yang haram itu jelas dan di antara tersebut ada perkara-perkara samar (syubhah) yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubhah, maka sesungguhnya dia telah membersihkan agama dan maruah dirinya, dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhah, maka dia telah termasuk dalam perkara haram. Umpamanya seorang pengembala yang mengembala di sekeliling larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu adalah perkara-perkara yang diharamkanNya. Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik, maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Nu’man bin Basyir).
Antara sumber yang boleh dikenalpasti mengandungi unsur syubhah seperti wujud keraguan dalam menetapkan sesuatu sumber yang dihalalkan dan diharamkan, keraguan kerana percampuran (bercampur sesuatu yang halal dan haram dalam bilangan yang banyak, benda haram yang tertentu bercampur dengan sesuatu yang halal dan tidak terhitung jumlahnya), jalan halalnya dicampuri dosa dan maksiat serta wujud perselisihan dengan dalil-dalil mengenai kehalalan dan keharaman sesuatu benda (Drs. Ahmad Rafaai bin Ayudin, 1994). Seseorang muslim yang berpegang teguh pada ajaran Islam hendaklah prihatin dan mengambil berat terhadap pemakanan yang dimakan.
Makanan terproses halal sekiranya ia memenuhi ciri-ciri seperti bahan-bahan mentah yang digunakan adalah halal, komponen ramuan dan aditif (bahan tambahan) adalah halal dan proses penghasilannya berdasarkan garis panduan Islam. Perlu ditekankan bahawa aspek pemakanan juga tidak dapat lari daripada kesan perkembangan teknologi makanan sehingga menyebabkan banyak keraguan timbul mengenai soal sama ada bahan dan proses yang digunakan adalah halal dan bersih (Salma Binti Mat Yasim, 2011) atau sebaliknya. Jafri Abdullah dll. (2011) menyebut dalam konteks makanan dan barang gunaan serta Mian N. Riaz dan Muhammad M. Chaudry (2004) menyatakan bahawa syubhah boleh berlaku sama ada disebabkan perbezaan pendapat dalam kalangan ulama (pakar) tentang sesuatu hukum atau disebabkan oleh kehadiran bahan yang tidak dikenal pasti dalam sesuatu makanan atau barang gunaan.
Sebagai contoh, sekiranya bahan mentah yang tertera pada bungkusan adalah ‘lemak haiwan’, maka produk berkenaan adalah syubhah kerana tidak diketahui sama ada lemak haiwan itu diperoleh daripada haiwan yang halal atau tidak, sekiranya dipastikan ia daripada haiwan halal, maka perlu pula dipastikan bahawa sembelihan haiwan itu dilakukan menepati syariat Islam atau sebaliknya. Sekiranya belum dipastikan, produk berkenaan perlu dihindari, kecuali setelah pemeriksaan dibuat dan yakin ia diperoleh dariopada sumber yang disahkan halal oleh pihak yang berautoriti (Jafri Abdullah dll., 2011). Pada hari ini, zaman di mana teknologi berkembang amat pesat dengan pelbagai ramuan dana kaedah baharu diperoleh dan digunakan dalam menghasilkan produk makanan dan barang gunaan sehingga sukar untuk dipastikan status halal atau haramnya (Jafri Abdullah dll., 2011) sehingga menyebabkan keraguan terhadap status halal di kalangan orang Islam.
Konsep halal perlu dilaksanakan dengan pegangan dan penghayatan yang kukuh berserta kefahaman yang betul. Pegangan yang menjadi etika serta perlu dihayati dan difahami ialah:
- Perkara yang berkaitan halal-haram adalah peraturan daripada Allah. Oleh itu, ia adalah bersifat rabbani, qur’ani, nubuwwah dan iman.
- Pelaksanaan hukum halal-haram adalah memenuhi tuntutan zikrullah dalam mencapai taqarrub ila Allah yang disatukan dengan konsep penerimaan ibadah di sisi Allah.
- Halal merupakan medan memenuhi matlamat dan hasil kepenggunaan Islam yang mempunyai sasaran membangunkan kualiti peribadi muslim, kualiti produk dan kualiti ummah secara menyeluruh.
- Halal adalah medan pemantapan keimanan dan jatidiri individu yang menjadi teras kemajuan manusia secara harmoni, bersepadu dan mulia di dunia dan akhirat.
- Falsafah dan matlamat produk halal adalah suci, mulia dan terhormat di sisi Allah dan dalam kalangan manusia. Pelaksanaan tuntutan penghasilan produk halal serta tuntutan penyelidikan dan pembangunan mengenainya adalah bernilai ibadah.
- Produk halal merupakan pemangkin kekuatan dalaman individu dan masyarakat yang membimbing ke arah al-falah, iaitu kejayaan dan kemajuan ummah.
- Produk halal adalah medan pemerkasaan dan percambahanilmu pengetahuan dan pengalaman serta medan budaya yang luhur.
- Produk halal merupakan medan perantara yang memperkukuh hubungan manusia dengan Allah dan sesama manusia serta persekitaran.
- Matlamat utama dan sasaran unggul pelaksanaan halal-haram ialah pembinaan khaira ummah (umat yang terbaik), sebagai ummatan wasata (umat rujukan dalam bersederhana), khalifah Allah (kepimpinan terbaik) dan baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur (negara yang baik dan diampuni oleh Tuhannya).
Comments