SIRI HALAL 1: KONSEP DAN FALSAFAH HALAL

Konsep dan Falsafah Halal

Definisi Halal

Perkataan halal berasal daripada perkataan Arab iaitu halla, yahillu, hillan, wahalalan ( حَلَّ ، يَحِلُّ ، حِلاًّ ، وَحَلاَلاً ) yang bermaksud dibenarkan atau dibolehkan oleh hukum syarak. Dalam al-Munjid fi al-Lughah al-‘Arabiyyah al-Mu’asirah, ia didefinisikan sebagai sesuatu yang dibolehkan oleh Allah swt. Manakala menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, halal bermaksud hukum membenarkan sesuatu perbuatan dilakukan (dalam Islam), diperbolehkan (tidak ditegah oleh syarak), diizinkan, dibenarkan. Ia merupakan perkataan yang berlawanan maksud dengan perkataan haram.

Dari sudut istilah, halal membawa maksud sesuatu yang harus dan diizinkan oleh syara (Wizarah al-Awqaf wa al-Shu’un al-Islamiyyah, 1990). Dr. Yusuf al-Qardawi (1994) telah mendefinisikan halal sebagai sesuatu yang diharuskan, yang terungkai padanya ikatan larangan dan diizinkan oleh syara untuk melakukannya. Berpandukan definisi tersebut, dapatlah dirumuskan bahawa halal adalah merujuk kepada sesuatu yang diharuskan oleh Allah swt untuk manusia memakan, mengguna, bermuamalah dan sebagainya. Sehubungan itu, skop halal dalam Islam bukan sahaja tertumpu kepada makanan dan barang gunaan, bahkan, meliputi sistem ekonomi, kewangan dan seluruh aspek kehidupan manusia.

Dasar yang ditetapkan oleh Islam terhadap semua yang diciptakan oleh Allah swt, biar apa jua barangan, benda dan manfaat, hukum asalnya adalah halal dan boleh digunapakai. Tiada yang haram melainkan terdapat dalil yang benar dan kukuh menetapkan ianya haram. Jika tiada dalil yang kukuh atas pengharamannya, maka ia kembali kepada hukum asal iaitu harus (mubah حمُبَا). Ulama telah menetapkan dasar sesuatu barangan dan manfaat ialah harus atau dibolehkan, berdasarkan ayat-ayat al-Quran yang jelas. Allah menerangkan bahawa Dialah yang menjadikan segala sesuatau di atas muka bumi ini (al-Baqarah, 2:29) untuk kegunaan dan faedah serta rahmat buat hamba-hambaNya (al-Jathiah, 45:13).

Di dalam perkara yang berkaitan halal-haram ini juga, Nabi Muhammad saw bersabda yang maksudnya:

“Apa sahaja yang dihalalkan oleh Allah swt di dalam kitabNya, maka ianya dalah halal dan apa sahaja yang diharamkanNya, maka ianya pula adalah haram. Dan apa sahaja yang didiamkanNya, maka ianya dimaafkan …” (Riwayat al-Hakim dan al-Bazzar). Menerusi sebuah riwayat lain daripada Salman al-Farisi ra katanya, Rasulullah saw pernah ditanya mengenai hukum minyak sapi, keju dan keldai liar, lalu Baginda saw menjawab: “Yang halal itu ialah sesuatu yang dihalalkan Allah swt di dalam KitabNya dan yang haram itu sesuatu yang diharamkan Allah swt di dalam KitabNya. Dan mana-mana yang didiamkanNya sahaja, maka ianya termasuk apa yang dimaafkan buat kamu.” (Riwayat Tirmizi). 

(Gambar sekadar hiasan)

Apabila segala sesuatu adalah harus kecuali yang ditetapkan sebagai haram, maka segala yang haram telahpun diterangkan satu persatu oleh Allah swt (al-Anam 6:119). Allah telah menyatakan bahawa makanan yang dihalalkan olehNya merupakan makanan yang baik-baik (al-Maidah, 5:4-5), bermaksud padanya kebaikan dan memberi manfaat. Sekiranya sesuatu makanan haram, pasti di sana wujud perkara yang mendatangkan mudharat dan kerosakan. Apabila wujud pertimbangan sesuatu yang memberi manfaat, tetapi dijelaskan oleh Allah swt ianya sebagai haram, pengharaman itu perlu dipatuhi dan manfaat tersebut perlu diketepikan (al-Baqarah, 2:219). Perlulah ditegaskan bahawa segala yang harus dan dibolehkan itu tidak terbatas kepada barangan, makanan dan harta benda sahaja, namun ia meliputi semua perbuatan dan pekerjaan yang tidak termasuk dalam perkara ibadah (al-Araaf, 7:33), iaitu perbuatan yang biasa kita namakan sebagai adat kebiasaan dan muamalah (Dr. Yusuf al-Qardawi, 2014).

Falsafah Halal-Haram

Falsafah halal-haram terbahagi kepada dua perspektif, iaitu umum dan khusus. Falsafah umum berkait dengan hubungan manusia dengan Allah dan hubungan sesama manusia serta persekitaran. Manakala falsafah khusus adalah berkaitan dengan konteks kepenggunaan Islam.

Falsafah Halal-Haram

Umum – Perspektif Syarak

Khusus – Perspektif Kepenggunaan

Hubungan manusia dengan Allah

Penghayatan syahadah

Pengabdian dan mengingati Allah

Hubungan sesama manusia

Penyucian dan pemurnian jiwa

Pendidikan dan pembelajaran

Hubungan manusia dengan persekitaran

Masyarakat berkualiti

Menyuruh kebaikan dan menegah kemungkaran


Hubungan Manusia dengan Allah

Manusia merupakan makhluk dan Allah adalah Khaliq atau Pencipta. Allah merupakan Tuhan yang disembah, Tuhan yang mentadbir alam dan Tuhan yang mempunyai kemuliaan pada nama-namaNya dan sifat-sifatNya. Tujuan penciptaan manusia ialah beribadah dan memperhambakan diri kepada Allah. Manusia beribadah kepada Allah melalui dua cara iaitu ibadah khusus dan ibadah umum. Pensyariatan ibadah khusus utama adalah seperti yang disebut di dalam Rukun Islam iaitu syahadatain, solat lima waktu sehari semalam, berpuasa di bulan Ramadhan, membayar zakat, dan menunaikan haji bagi yang berkemampuan.

Selain bertujuan menjadi hamba Allah, manusia juga diberi peranan dan tanggungjawab sebagai khalifah di atas muka bumi supaya bumi diurus dengan baik selari apa yang diperintahkan oleh Allah. Sumber rujukan utama manusia mengurus bumi ialah firman-firman Allah di dalam al-Quran dan sabdaan rasulNya, Nabi Muhammad saw. Allah telah menerangkan apa yang wajib dilaksanakan dan wajib ditinggalkan. Allah juga menerangkan apa yang dituntut dan apa yang dibenci olehNya. Mentaati perintah Allah merupakan ciri hamba yang diredhai serta khalifah yang mendapat petunjuk dan sebarang kemungkaran menyebabkan kemurkaan Allah.

Setiap tingkah laku manusia seharian perlulah diniatkan kerana Allah, sama ada ibadah khusus ataupun umum. Jika ibadah khusus tidak diniatkan kerana Allah, maka ibadah tersebut menjadi tidak sah ataupun batal. Ia tidak dikira sebagai telah dilaksanakan di sisi Allah swt, tiada implikasi daripada perbuatan tersebut. Seperti solat Subuh didirikan tanpa niat, seolah ianya tidak pernah didirikan, perbuatan tersebut tidak wujud dan implikasi solat tersebut tiada. Sama juga dengan sembelihan halal, niat kerana Allah merupakan sempadan sembelihan tersebut diterima di sisi Allah serta halal dimakan ataupun sebaliknya. Manakala ibadah umum yang dibuat tanpa niat kerana Allah, maka tiadalah kaitan ganjaran dari sisi Allah swt.

Hubungan Sesama Manusia

Allah menciptakan manusia beranak-pinak dan berketurunan. Bermula Nabi Adam as bersama Hawa, manusia telah membiak dan berkembang ke seluruh dunia sehingga membentuk pelbagai bangsa, kelompok, bahasa, budaya, adat dan peraturan setempat. Allah menyatakan bahawa kepelbagaian ini untuk dikenali, diiktiraf dan diraikan sebaiknya melalui landasan syariat. Allah telah menyebut nilai-nilai dan ciri-ciri yang mesti dilaksanakan dalam mengurus hal ehwal sesama manusia.

Hubungan Manusia dengan Persekitarannya

Makhluk yang diciptakan oleh Allah ada yang bernyawa dan ada yang tidak bernyawa. Makhluk bernyawa seperti manusia, malaikat, jin, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Makhluk yang tidak bernyawa adalah seperti air, api, angin, batu, pasir, planet-planet, bintang-bintang dan segala bentuk penciptaan daripada tangan-tangan manusia. Malah terdapat juga makhluk-makhluk lain yang tidak mempunyai fizikal tersendiri seperti masa.

Atas hal keadaan dan realiti inilah, manusia hakikatnya mempunyai hubungan secara langsung dan tidak langsung dengan makhluk-makhluk ini. Berdasarkan kedudukan mereka juga sebagai makhluk Allah, ia perlulah dihormati dan perlu ditunaikan hak-hak mereka berdasarkan peranan yang Allah swt telah berikan kepada manusia iaitu ‘khalifah di atas muka bumi’, agar hubungan-hubungan ini terpelihara dalam keadaan yang baik dan harmoni.

Falsafah khusus Halal-Haram dalam kepenggunaan Islam merangkumi aspek berikut:
  1. Syahadatain (penghayatan syahadah)
  2. ‘Ubudiyyah dan zikrullah (pengabdian dan mengingati Allah)
  3. Tazkiyatun nafs (penyucian dan pemurnian jiwa)
  4. Tarbiyyah (pendidikan dan pembelajaran)
  5. Jama’ah tayyibah (masyarakat berkualiti)
  6. Al-amru bi al-ma’ruf wa al-nahyu ‘an al-munkar (menyuruh kebaikan dan menegah kemungkaran)
  7. Al-falah (kejayaan)

Hidup terus mencari..

Bandar Baru Bangi,
11 Zulkaedah 1447H.

Comments