Pengurusan
Efektif Menurut Perspektif Islam
Sekiranya pihak organisasi mengambil lewa dalam
aspek sistem pengurusan yang berkualiti dan efektif seperti tidak mengendahkan
sebarang aduan yang dibuat, nescaya akan melahirkan kesan negatif terhadap
organisasi serta para pekerjanya sendiri (Hoppock, 1935 dalam Lai, 2011).
Mereka akan terpalit dengan sikap malas, dengki, tidak produktif, ponteng kerja
dan menipu serta pelbagai lagi sikap yang secara langsung menjejaskan
produktiviti dan kualiti sesuatu perkhidmatan ataupun penghasilan produk (Ab. Mumin Ab. Ghani dan Siti Arni Basir,
2013). Empat elemen yang dibincangkan di sini ialah sumber manusia atau insaniyyah,
konsep itqan
dan konsep ihsan.
Elemen insaniyyah (soft
factor) iaitu aspek dalaman atau kemanusiaan sangat ditekankan oleh sarjana
barat di dalam pengurusan. Ia merupakan elemen dalam bidang sumber manusia. Pentingnya
program pengurusan termasuklah program kualiti diseiringkan dengan faktor insaniyyah . Terdapat kajian yang
menunjukkan jika pengurusan memberi penekanan kepada aspek-aspek kualiti, didapati
bahawa program tersebut akan berjaya dan akhirnya memperbaiki prestasi
organisasi secara keseluruhannya. Faktor insaniyyah ini mestilah diterap dan
disuburkan kerana setiap program pengurusan yang hanya menekankan aspek
teknikal semata-mata didapati membawa kesan buruk bukan hanya kepada
organisasi, malahan kepada golongan pekerja itu sendiri (Ab. Mumin Ab. Ghani dan Siti Arni
Basir, 2013).
Konsep ihsan dapat
difahami dalam konteks pengurusan seperti yang diterangkan oleh Syed Othman
al-Habshi (1998). Menurutnya sifat ihsan dapat didefinisikan kepada tiga komponen utama.
Pertama, tingkah laku yang betul, baik, kebajikan, berperikemanusiaan dan belas
kasihan (Ali ‘Imran, 3:159). Kedua, suatu perasaan takut yang timbul dalam diri
dan merasakan dirinya sentiasa diperhatikan oleh Allah swt sewaktu mendekatkan
diri kepadaNya atau muraqabah (Hadith
‘Iman-Islam-Ihsan’ riwayat Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah ra). Ketiga,
melakukan sesuatu pekerjaan dengan kaedah yang terbaik (proficiency). Ini
kerana sifat ihsan (suka
melakukan kebaikan) amat berkaitan dengan aspek kecemerlangan dalam pekerjaan disebabkan
seseorang akan melakukan tugas melebihi daripada keperluan minimum (Ab. Mumin Ab. Ghani dan Siti Arni
Basir, 2013) sebagaimana hadith
Rasulullah saw yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mewajibkan berlaku ihsan
(kebaikan) dalam segala hal” (Riwayat Muslim). Selain itu, ihsan
dalam organisasi juga boleh difahami dengan memberikan lebih banyak daripada
apa yang diminta, bekerja lebih baik daripada apa yang ditugaskan, bekerja
lebih masa daripada masa yang diminta, serta memberikan perkhidmatan terbaik
walaupun perkhidmatan yang diberikan telah pun baik (Muhammad Nubli Abdul
Wahab, 2008).
Konsep kesempurnaan pula diterangkan di alam ayat al-Quran surah
al-Mulk, (67:3). Kesempurnaan hanyalah milih Allah, tetapi manusia perlu
berusaha menuju kesempurnaan kerana terdapat saranan-saranan Rasulullah saw
melalui hadith yang mengutamakan aspek kesempurnaan dan boleh dibina daripada
komitmen serta kesungguhan. Ia boleh dijelmakan melalui kualiti amalan dalam
setiap tingkah laku dan ibadah manusia. Hadith yang berkaitan ialah hadith
riwayat al-Baihaqi ra melalui Saydatina ‘Aisyah ra iaitu Rasulullah saw pernah
bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyukai sekiranya seseorang
melakukan sesuatu perbuatan secara itqan (atau tekun, bersungguh-sungguh sehingga sempurna)”. Konsep ihsan
penting dalam pengurusan organisasi dalam memastikan setiap barangan dan
perkhidmatan yang ditawarkan sentiasa dalam keadaan terbaik.
Sifat itqan (bersungguh-sungguh, komited, kesempurnaan) berkait
sangat rapat dengan kualiti sesebuah organisasi dan merupakan perkara yang
penting yang melibatkan seluruh warga organisasi. Konsep itqan amatlah
dititikberatkan dengan harapan memperoleh hasil yang terbaik dan berkualiti (Ab. Mumin Ab. Ghani dan Siti Arni
Basir, 2013) dan merupakan elemen terpenting dalam pengurusan efektif. Ia juga
boleh diberi tafsiran kualiti dalam konteks pengurusan dan ia melibatkan tiga
dimensi iaitu kualiti pemimpin, kualiti pekerja dan kualiti barangan. Kualiti
barangan boleh dimaksudkan sebagai peralatan yang digunakan atau barangan yang
dihasilkan (Rasid Muhamad dll., 2011). Itqan juga merupakan penghasilan
atau perkhidmatan yang diberikan, iaitu hendaklah baik dan memenuhi kehendak
pelanggan atau sesuatu yang ditetapkan. Barangan yang dikeluarkan berkualiti
iaitu dengan mencapai standard yang ditentukan, selamat, tahan lama, berpatutan
harganya dan di dalam konteks Islam ianya hendaklah bersih, halal dan baik
(Rasid Muhamad dll., 2011).
Pengurusan Efektif
Menurut Perspektif Barat
Mullins (1989) menyatakan bahawa sesebuah organisasi boleh mencapai tahap efektif hanya hanya melalui interaksi dengan persekitaran luarannya. Ini menunjukkan bahawa struktur organisasi, sistem pengurusan, dan proses mestilah direka untuk menangani faktor-faktor yang wujud dalam persekitaran luaran itu. Prinsip ini boleh menjadi teras kepada penilaian kendiri sesuatu organisasi yang meliputi peringkat sistemik, institusi dan individu.
Fungsi sesuatu pengurusan mengandungi lima aktiviti yang asas iaitu perancangan, pengorganisasian, motivasi, pengurusan kakitangan dan kalawan. Fungsi bagi setiap peringkat tersebut diterangkan di dalam jadual di bawah.
Fungsi | Penerangan | Tahap Proses Pengurusan Strategik |
Perancangan (planning) | Perancangan terdiri daripada semua aktiviti pengurusan yang berkaitan dengan persediaan untuk masa depan. Tugas-tugas khusus termasuk meramalkan, menubuhkan objektif, merangka strategi, membangunkan dasar dan menetapkan matlamat. | Ramuan Strategi |
Mengorganisasi (organizing) | Mengorganisasi merangkumi semua aktiviti pengurusan yang menghasilkan struktur tugas dan hubungan kuasa autoriti. Bidang spesifik termasuk rekabentuk organisasi, pengkhususan kerja, penerangan pekerjaan, spesifikasi pekerjaan, jangka panjang kawalan, keselarasan arahan, koordinasi, rekabentuk pekerjaan dan analisis pekerjaan. | Pelaksanaan Strategi |
Memotivasi (motivating) | Motivasi melibatkan usaha yang ditujukan untuk membentuk tingkah laku manusia. Topik khusus termasuk kepimpinan, komunikasi, kumpulan kerja, pengubahsuaian tingkah laku, delegasi kuasa, pengayaan pekerjaan, kepuasan kerja, memenuhi keperluan, perubahan organisasi, semangat pekerja, dan semangat pengurusan. | Pelaksanaan Strategi |
Kakitangan (staffing) | Aktiviti kakitangan ditumpukan kepada kakitangan atau pengurusan sumber manusia. Ia termasuk pentadbiran upah dan gaji, faedah pekerja, temuduga, pengambilan pekerja, lantikan, latihan, pembangunan pengurusan, keselamatan pekerja, tindakan afirmatif, peluang pekerjaan yang sama, hubungan kesatuan, pembangunan kerjaya, penyelidikan personel, dasar disiplin, prosedur keluhan dan perhubungan awam. | Pelaksanaan Strategi |
Pengawalan (controlling) | Pengawalan merujuk kepada semua aktiviti yang diarahkan untuk memastikan bahawa hasil sebenar adalah konsisten dengan hasil yang dirancang. Bidang utama termasuk kawalan kualiti, kawalan kewangan, kawalan jualan, kawalan inventori, kawalan perbelanjaan, analisis variasi, ganjaran dan sekatan. | Strategi Penilaian |
Jadual: Fungsi Asas Pengurusan
Tujuan utama organisasi ditubuhkan di dalam Islam adalah untuk membekalkan barangan dan perkhidmatan yang diperlukan oleh masyarakat. Lima keperluan asasi individu dan masyarakat ialah menjaga agama, menjaga nyawa, menjaga akal, menjaga keturunan atau maruah dan menjaga harta. Islam menggariskan penjagaan keperluan berkenaan perlu mengikut keutamaan dan fungsi setiap bahagian dan unit (Muhammad Nubi Abdul Wahab, 2008).
|
Kemahiran
Teknik dan Pengurusan
|
Teknik, Komersil, Kewangan, Keselamatan,
Perakaunan, Mengurus
|
|
Fungsi
Pengurusan
|
Perancangan, Penyusunan, Pengarahan,
Penyelarasan, Pengawalan
|
|
Prinsip
Pengurusan
|
Pembahagian kerja, Autoriti,
Disiplin, Satu perintah, Satu arahan, Mengutamakan kepentingan organisasi, Pembayaran
upah, Pemusatan, Rantai pemerintahan, Susunan, Keseimbangan, Kestabilan
personel, Inisiatif, Kekitaan
|
Jadual: Senarai fungsi-fungsi pengurusan (Juhairy Ali, 2000)
Pendekatan sistem telah menekankan organisasi sebagai satu sistem dan mengandungi sistem-sistem kecil yang bekerjasama untuk mencapai matlamat organisasi. Pendekatan kontigensi telah menyentuh aspek situasi yang mempengaruhi keberkesanan dan kecekapan sesuatu tindakan di mana teori organisasi disamakan dengan teori sistem am sehingga menletakkan sesebuah organisasi merupakan suatu sistem yang terbuka. Ia diterangkan sepertimana rajah di bawah.
Di dalam menerangkan prinsip dan fungsi pengurusan, Henri Fayol dalam Juhairy (2000) telah membehagikannya kepada tiga. Pertama, membezakan kemahiran teknikal dengan kemahiran pengurusan; kedua, mengenalpasti fungsi-fungsi pengurusan yang khusus; dan ketiga, senarai empat belas fungsi pengurusan.
Rajah: Gambaran organisasi adalah suatu sistem terbuka (Gerald M. Goldhaber, 1992)
Bagi menjadikan sistem ini menjadi asas kepada pengurusan
efektif, sistem ini perlu digerakkan dalam bentuk berkitar dan ia digambarkan
dalam maklum balas. Sebahagian daripada maklumat output dihantar kembali
ke dalam sistem membentuk kitaran dan dijadikan sebagai input baru.
Transformasi sama makna dengan proses, namun istilah ini digunapakai bagi
menerangkan proses sesuatu input itu ditukarkan menjadi output
dan menurut Katz dan Kahn, ia membawa maksud yang lebih menyeluruh (Gerald M.
Goldhaber, 1992).
Rajah: Rantaian proses operasi sembelihan halal
Proses boleh didefinisikan sebagai satu
rangkaian aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan secara rutin ataupun
berulang-ulang oleh organisasi. Di dalam skop proses, rantaian penambah nilaian
(value-added) berlaku di antara rangkaian aktiviti-aktiviti yang
dijalankan. Ia berlaku melalui transformasi input-output yang boleh
diukur daripada satu aktiviti kepada aktiviti yang lain. Penambah nilaian dalam
proses boleh berlaku apabila wujud aktiviti-aktiviti transformasi input-output
yang melibatkan interaksi manusia, mesin, maklumat, bahan, prosedur dan
persekitaran. Rangkaian aktiviti-aktiviti di dalam proses ini akan menghasilkan
output akhir yang akan diberikan kepada pelanggan/pengguna proses
tersebut.
Faktor-faktor persekitaran dalaman yang
mengawal dan mempengaruhi perjalanan organisasi ada lima iaitu; pertama, tujuan
dan matlamat; kedua, orang yang berada dalam organisasi; ketiga, tugas yang
dijalankan; keempat, struktur organisasi; dan kelima, teknologi yang digunakan (Juhairy
Ali, 2000). Manakala faktor-faktor persekitaran luaran pula ialah; pertama,
keadaan ekonomi yang terdiri daripada pembekal dan pelanggan; kedua, keadaan
politik; dan ketiga, keadaan sosial yang terdiri daripada demografik dan faktor
kebudayaan (Juhairy Ali, 2000).
Carta alir
di bawah menggambarkan faktor-faktor yang mempengaruhi kecekapan pengurusan dan
pengusaha selain daripada falsafah pengurusan yang diberi penekanan yang kuat
oleh aliran pemikiran pengurusan tradisional. Faktor-faktor perekitaran telah
diberi penekanan penting dalam mempengaruhi kecekapan pengurusan (Pradip N.
Khandwalla, 1977).
Rajah: Penyelidikan pengurusan bentuk Crosscultural
mengikut model Negandhi dan Prasad (Ahmad Atory Hussain, 1996)
Hidup terus mencari..
Bandar Baru Bangi,
5 Zulkaedah 1447H.
Comments