Pengurusan Efektif Dalam Sembelihan Halal (Siri 1)

Pendahuluan

Islam merupakan agama yang paling cepat dan cergas berkembang di dunia dengan melebihi 1.4 bilion Muslim di seluruh dunia. Populasi Muslim dijangka bertambah 35% sepanjang kurun ini jika dibandingkan dengan perkembangan umum populasi iaitu 1.6%. Keberadaan mereka dirasai dan diketahui melalui perkembangan politik dan sosial, contohnya melalui permintaan pelabelan makanan yang lebih baik dan produk makanan yang dapat dikenalpasti statusnya. Makanan halal merangkumi 17% daripada keseluruhan industri makanan dunia dan ia dapat memberi pulangan tahunan sebanyak $632 bilion dengan permintaan tertinggi makanan halal adalah daripada United Kingdom. Perkembangan Islam yang pantas adalah seiring dengan pertambahan permintaan terhadap sembelihan ritual, iaitu daging halal.


Perkembangan pengeluaran daging halal berlaku adalah secara tidak langsung. Ini kerana method sembelihan halal menuntut pelaksanaan yang tepat dan betul. Kepelbagaian dan perbezaan method sembelihan yang wujud boleh dipertimbang dan diterima impaknya walaupun penggunaan teknologi moden mengambil alih. Sesuatu daging halal boleh menjadi haram jika berlaku padanya sebarang ketidakpatuhan method atau prosedur penetapan halal.

Permasalahan Kajian
Di dalam media massa, banyak dilaporkan berita berkenaan isu sembelihan halal dan pengurusannya. Antaranya ‘terbeli ayam cucuk’, ‘pusat sembelihan ayam tiada sijil halal’, ‘ayam sembelihan bercampur dengan ayam bangkai’, ‘ayam disembelih tidak putus urat’, ‘ayam direndam dalam air rebusan yang kotor dan berdarah’, ‘penyembelih ayam dilakukan warga asing tiada pengetahun syarak’, ‘status halal 1.3 juta ayam sembelih diragui’, ‘ayam disuntik unsur bagi untuk percepat tumbesaran’, ‘pembekal ayam yang tidak disembelih’, ‘penyeludupan ayam dari China’  dan ‘produk tenusu tercemar’. Namun begitu, dilaporkan juga langkah mengahatasi masalah yang dicadangkan seperti ‘pelabelan ayam halal’, ‘mewujudkan pusat sembelihan halal’, ‘pusat sembelihan bersepadu diwujud’, serta ‘isu sembelihan haram patut ada penyelesaian’.

Laporan daripada booklet Inisiatif dan Impak Pelaksanaan Focus Group Pengurusan Sijil Halal (FGPSH) menyatakan contoh-contoh ketidakakuran dalam Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) khusus bagi rumah sembelihan ialah penyembelih tidak mempunyai tauliah penyembelih yang sah, tidak menempatkan halal checker di kawasan penyembelihan, tiada pengasingan antara sembelihan sempurna dengan tidak sempurna, pisau sembelihan tumpul dan kotor, pengendalian tempat sembelihan kotor dan penggunaan kawalan voltan tidak menepati had yang ditetapkan.

Antara bentuk kesalahan syariah lain ialah penggunan bahan haram setelah memiliki sijil halal, pencemaran atau penyimpanan bahan atau produk halal bersama yang haram, penggunaan peralatan bercampur aduk dengan halal dan haram, memproses haiwan yang tidak sempurna mati dan sembelihan, serta penggunaan alat kejutan sehingga menyebabkan haiwan mati.

Pengurusan penyembelihan yang dilakukan di dalam industri pemprosesan makanan hari ini sering disalahtafsir sehingga menimbulkan kekeliruan. Penyembelihan bukan sekadar memutuskan urat leher haiwan supaya haiwan halal dimakan, tetapi merangkumi keseluruhan prosesnya, bermula dari ladang sehinggalah kepada pengguna. Menurutnya lagi, status halal sembelihan tidak diyakini, keadaan premis tidak sesuai, tiada jaminan kualiti serta pencemaran alam sekitar, sembelihan diragui membabitkan sembelihan yang dilakukan oleh individu tidak bertauliah dan warga asing. Premis tidak mempunyai pengesahan sijil halal, kualiti sembelihan tidak terkawal dan percampuran bahan yang tidak halal dalam premis. Malah, pematuhan Pensijilan Halal tidak memuaskan sehingga ada premis yang ditarik balik pensijilan dan tauliah penyembelihan. Mengekalkan tahap prestasi kualiti halal menjadi kritikal sekiranya ia sering diabaikan dalam proses sembelihan halal.

Objektif Kajian

Objektif kajian ialah mengenalpasti isu dan masalah pengurusan sembelihan halal serta bentuk pengurusan sembelihan halal yang lebih efektif. Data yang diperolehi melalui kaedah temubual, pengamatan dan soal-selidik ke atas individu berautoriti di Bahagian Halal JAKIM.

Penyembelihan secara halal menjadi kewajiban kepada umat Islam seluruh dunia dan tidak terkecuali di Malaysia. Justeru, pengurusan penyembelihan halal perlulah memastikan hukum Islam dijadikan dasar rujukan serta diaplikasikan sepenuhnya sepertimana yang dituntut di dalam Al-Quran dan Hadith Nabi saw. Pengurusan sembelihan halal ini tertumpu kepada penyembelihan berskala industri merangkumi haiwan unggas seperti ayam dan puyuh serta haiwan ruminan seperti kambing, bebiri, lembu, kerbau, unta dan arnab.

Tinjauan Literatur

Kecenderungan dan keprihatinan masyarakat hari ini terhadap produk halal semakin meningkat. Tahap kecenderungan dan kepekaan ibubapa dan guru dalam memilih makanan halal adalah berada pada tahap yang baik dan tinggi. Tahap kefahaman dan pengetahuan pengguna Islam terhadap produk halal juga berada dalam keadaan yang baik dan memuaskan.

Isu pengurusan efektif dipandang penting kerana ia hasil daripada pematuhan keperluan standard dan perundangan. Di dalam sains pengurusan, pendekatan secara saintifik di dalam pengurusan perlu diamalkan agar pengurusan efektif dapat dicapai. Ini dibuktikan bahawa sorotan kajian-kajian lepas banyak mendapati kesan dimensi sistem pengurusan kualiti seumpama piawaian ISO, Sistem Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM) dan seumpamanya sering berkadar langsung dengan kepuasan para pelanggan, khususnya para pekerja dalaman sesebuah organisasi.

Tindakan pemantauan dan penguatkuasaan halal oleh JAKIM/JAIN menunjukkan bahawa kerajaan komited dengan produk halal dan syarat persijilan halal yang telah ditetapkan. Standard dan jaminan kualiti halal Malaysia yang telah digazetkan oleh kerajaan adalah penting untuk mencapai keperluan dan matlamat halal yang digariskan oleh Islam dan mendapati pihak kerajaan mempunyai tingkat kepedulian yang tinggi terhadap produk halal di Malaysia. Contoh good governance dan best practices yang dilaksanakan di dalam amalan sembelihan halal iaitu tidak menzalimi haiwan dan kebajikan haiwan diambil berat. Titik kawalan untuk sembelihan halal boleh mempromosi pengawasan dan pentaksiran integriti produk halal daripada pihak industri sembelihan halal boleh dibuktikan sekiranya ada kajian berkenaan isu tersebut dibuat.

Implimentasi sistem jaminan halal merupakan keperluan dalam mengukur nilai efektif dan efisien pengeluaran produk halal, malah pengurusan efektif sembelihan halal sebenarnya melibatkan pematuhan terhadap perundangan halal yang merangkumi aspek dokumentasi, proses dan operasi. Pengurusan sembelihan yang efektif adalah apabila memenuhi tuntutan syara’ dan segala keperluan prosedur, standard, garis panduan serta undang-undang dipatuhi  secara menyeluruh seperti GHP, GMP, HACCP, ISO 22000, Food Safety Management dan lain-lain yang berkaitan. 

Laporan oleh Halal Industry Development Corporation menyatakan isu integriti halal dipandang serius seperti integriti rantaian bekalan bahan halal. Namun sesuatu yang menyedihkan apabila mendapati integriti pekerja dan pengusaha rumah sembelihan yang terlibat dalam pematuhan standard adalah diragui. Integriti halal melibatkan juga pematuhan bersih dan suci untuk keseluruhan makanan daripada sebarang unsur antibiotik, bahan terubah GM dan percampuran DNA. Lebih membimbangkan wujud najis mughalazah serta pelbagai laporan media massa berkenaan ketidakakuran sembelihan halal yang menggambarkan pengurusan sembelihan halal tersebut tidak efektif.

Permintaan terhadap makanan halal semakin meningkat selari dengan peningkatan kesedaran dalam kalangan muslim dan juga kesedaran global terhadap kepentingan keselamatan makanan. Ini disebabkan standard halal telah memenuhi standard kualiti dan keselamatan makanan itu sendiri. Standard kualiti dan keselamatan makanan telah memberi kesan terhadap pelanggan dan pengguna secara khusus dan pasaran halal secara umum. Kesan kepada sembelihan halal yang lebih meluas ialah kemampuan menjadi industri yang signifikan untuk kemajuan ekonomi negara dan peringkat antarabangsa. Kajian mengenai ‘Ekonomi Halal’ telah menjadi salah satu agenda komuniti dan salah satu pemangkin ekonomi sebagai alternatif terbaik bagi menyelesaikan sistem ekonomi hari ini.

Kajian untuk menilai tahap efisien, efektif dan kejayaan sektor daging di negara yang sedang pulih dari ketidakstabilan sivil menunjukkan bahawa premis sembelihan yang dikendali dan diselia oleh usahasama sektor awam-swasta (public-private partnership (PPP)) telah menghasilkan produk daging yang berkualiti tinggi dengan tahap pencemaran yang rendah berbanding yang dikendalikan oleh majlis perbandaran tempatan. Kajian menyatakan bahawa tindakan penambahbaikan perlu dilaksanakan terhadap fasiliti dan praktikaliti di rumah-rumah sembelihan dengan meningkatkan kesedaran terhadap pekerja, pengurus dan penyelia risiko daging. 

Di samping itu, infrastruktur rumah sembelihan tidak memenuhi garis panduan yang ditetapkan di mana banyak yang tidak akur dengan keperluan struktur yang asas fasiliti sanitasi seperti tandas dan laluan air. Kedua-dua kajian ini dilaksanakan di Barat Somalia dan Barat Kenya serta tiada lagi kajian yang dilakukan di Malaysia. Dua aspek utama di dalam isu perundangan yang berkait dengan produk halal iaitu penguatkuasaan dan pendakwaan. Kajian mencadangkan agar menambah baik sistem penguatkuasaan dan pengawalan pematuhan standard dan integriti halal di kalangan pengusaha.

Pengurusan Sembelihan Halal

Menjadi suatu kemestian bagi semua pengusaha premis rumah sembelihan halal mematuhi dan melaksanakan manual prosedur yang ditetapkan melalui pengurusan yang efektif. Ini kerana, apabila pengendalian sembelihan halal ini tidak dilaksanakan dengan sistematik, cekap dan berintegriti, ianya akan menimbulkan pelbagai masalah dan isu. Sistem penyembelihan halal menyeluruh hendaklah dirangkumkan bersama pengurusan sisa dan najis, pengurusan pencemaran bau dan udara, penyediaan kaedah yang teratur, efisien, bersih serta bercirikan Islam. Ini bagi memastikan haiwan sembelihan halal berkualiti dan bernilai eksport, berproduktiviti tinggi, selain meningkatkan bekalan daging tempatan dan eksport.

Syarikat yang mengendalikan sembelihan halal perlu menguruskan dengan baik aliran pendapatan dan kos pengeluaran dengan mengawal rapi keseluruhan proses pengurusan – pengeluaran, pengedaran, inventori, fasiliti, perakaunan dan sebagainya – serta mengekalkan tahap prestasi yang konsisten. Beberapa contoh kegagalan sesebuah organisasi sembelihan halal adalah apabila mereka gagal memberi perhatian kepada keperluan semasa industri halal. Mengekalkan prestasi organisasi sembelihan halal melibatkan; penetapan matlamat yang jelas dan mampu dicapai, sentiasa memantau prestasi semasa dan mencapai sasaran yang ditetapkan, melaksana aktiviti perancangan, menilai dan menganalisa risiko, memastikan proses dan presedur dilaksanakan serta menyediakan latihan dan pembangunan yang relevan untuk ahli organisasi.

Aplikasi halal dan haram telah memasuki era pengurusan, penyelidikan dan pengukuhan sistem. Penetapan logo halal, pematuhan peraturan dan undang-undang serta pelestarian prosedur dan standard  telah diberi perhatian serius oleh kerajaan yang selari dengan permintaan global. Ini menjadikan isu halal dan haram sering bermain dalam kalangan institusi, industri mahupun masyarakat pengguna amnya lebih-lebih lagi ia menjadi sensitiviti masyarakat Melayu Islam.

Di dalam aktiviti perniagaan atau perindustrian pengeluaran produk-produk halal, aktiviti tersebut perlulah dimulakan dengan niat yang baik. Seseorang yang mengaku beriman kepada Allah swt perlu mempunyai niat yang suci, iaitu semua pekerjaan daripada aktiviti tersebut bertujuan mendapat keredhaan Allah swt. Keimanan juga menentukan setiap yang dilakukan tidak melanggar hukum yang telah ditetapkan oleh Allah serta sangat berhati-hati terhadapnya. Setiap pekerjaan yang disifatkan sebagai ibadah juga mengandungi komponen amalan soleh iaitu sentiasa berkahlak mulia dan mengikut etika dan garis panduan semasa melaksanakan sesuatu pekerjaan.

Misalnya menjaga penampilan, kebersihan pakaian, tubuh badan dan alatan, menjaga kod etika, memenuhi piawaian dan carta alir pengurusan, amanah, tidak menipu, helah dan sebagainya. Setiap aktivti yang dilakukan dengan niat untuk mendapat keredhaan Allah swt pastinya akan menuju ke arah prestasi pekerjaan yang terpuji. Natijahnya pekerjaan yang dilakukan tidak dibuat dengan sambil lewa, tiada komitmen dan kesungguhan, melepas tangan atau secara sambil lewa. Malah setiap pekerjaan yang dilakukan dibuat dengan sepenuh tumpuan dan sesempurna mungkin serta berhati-hati agar hasilnya memberi kepuasan kepada semua pihak. Ia selari dengan apa yang disabdakan oleh Nabi Muhammad saw yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah swt suka kepada seseorang daripada kamu yang melakukan kerjanya dengan tekun dan bersungguh-sungguh.”

Hidup terus mencari..

Bandar Baru Bangi,
11 Ramadhan 1447H.

Comments