Tinjauan Deskriptif
Pengkaji menggunakan kaedah tinjauan berbentuk deskriptif di dalam penyelidikannya. Tinjauan deskriptif yang dilaksanakan oleh pengkaji merupakan salah satu bentuk penyelidikan yang bermatlamat untuk menerangkan sesuatu fenomena yang sedang berlaku (Mohd Majid, 2005; Merriam, 1988). Hal ini kerana kajian deskriptif adalah salah satu bentuk kajian yang berfokus dan terperinci disebabkan segala permasalahan dapat diteliti dengan mendalam (Tobin, 2010). Pemilihan tinjauan berbentuk deskriptif oleh pengkaji adalah sesuai dan selari dengan sebuah kajian kuantitatif serta keperluan kajian.
Analisis yang digunakan dalam kajian ini iaitu kaedah deskriptif iaitu bagi menganalisis tahap kemahiran responden serta menyatakan kekerapan, min, peratusan, dan sisihan piawai berdasarkan soal selidik. Statistik deskriptif adalah satu angka tunggal yang boleh digunakan untuk melihat sesuatu taburan data atau nilai-nilai pemerhatian.
Soal selidik berbentuk Google Form
Penggunaan Google form atau borang Google adalah percuma. Sesiapa sahaja boleh mewujudkan borang dan membina soalan untuk tinjauan lantas merakam atau merekod respons daripada borang tersebut sebelum dipindahkan ke dalam spreadsheet sedia ada. Analisis menjadi lebih fleksibel dilaksanakan kerana mengurangkan kekangan masa dan tempat responden iaitu secara atas talian sahaja. Melalui borang Google, analisis deskriptif lebih mudah dilaksanakan dengan, bantuan spreadsheet yang dijana secara automatik. Kemudiannya ia boleh di muat turun ke dalam fail format excel selain carta juga dihasilkan. Dapatan tinjauan tersebut mudah untuk dipindahkan ke aplikasi SPSS di mana kemudiannya analisis kuantitatif lebih mendalam dapat dijalankan.
Penggunaan Google form oleh pengkaji adalah selari dengan trend kajian terkini bagi mengurangkan masalah atau risiko kos, masa dan keberadaan responden. Selain selari dengan konsep kelestarian tenaga, alam sekitar dan usaha pengkajian, sesuatu penyeledikan dapat dilaksanakan dengan lebih jimat, cekap, tepat dan efisien.
Rujukan Jadual Penentuan Saiz Sampel Krejcie dan Morgan
Sampel kajian yang digunakan oleh pengkaji adalah berdasarkan Jadual Penentuan Saiz Sampel Krejcie dan Morgan. Dalam kajian Krejcie dan Morgan (1970), satu jadual telah diperkenalkan dengan merujuk kepada jumlah populasi penduduk dalam menentukan sampel saiz. Jumlah sampel saiz yang paling sesuai untuk membantu dalam mengutip data adalah sebanyak 370 dengan jumlah populasi sebanyak 10,000 orang. Oleh yang demikian, dengan jumlah responden seramai 80 orang dan persamplen yang diambil seramai 66 orang adalah sesuai dan selari.
Analisis menggunakan Statistical for Social Science (SPSS) versi 25.0
Program atau aplikasi SPSS kebiasaannya digunakan bagi menguji frekuensi, peratusan, min dan sisihan piawaian analisis dapatan kajian. Kajian berbentuk statistik deskriptif amat sesuai menggunakan SPSS kerana ia boleh meringkas dan mempersembah data dengan menggunakan nombor sama ada data dari pemboleh ubah kuantitatif seperti ketinggian, kecerdasan, berat atau daripada pemboleh ubah kategori seperti jantina, judul buku, jenis sekolah dan sebagainya. SPSS jelas menyediakan kemudahan kepada pengkaji data-data yang dikumpul dapat diproses dan disusun dalam bentuk yang mudah dibaca dengan menggunakan pelbagai cara seperti graf, jadual, dan carta (Muhammad Amirul, 2012).
Penilaian menggunakan kaedah Skala Likert 5 Mata
Skala Likert adalah jenis skala yang dibina oleh Rensis Likert 1932. Ia digunakan untuk mengukur sikap, pendapat, dan persepsi dalam kajian sosial. Terdapat dua jenis Skala Likert yang biasa digunakan iaitu 4 mata dan 5 mata Perbezaan utama antara keduanya adalah jumlah pilihan respon yang tersedia bagi responden. Pada kebiasaannya Likert 4 mata terdiri daripada pilihan respon yang bermula dengan “sangat setuju”, “setuju”, “tidak setuju” dan “sangat tidak setuju”. Sementara Likert 5 mata mempunyai penengah yang bersifat neutral atau tidak pasti yang berada di tengah-tengah antara pilihan respon yang lain. Skala Likert 4 mata mungkin memberi sedikit beban bagi responden kerana hanya memiliki empat pilihan respon, sehingga responden tidak perlu terbeban untuk memilih (Ahmad Shidki Mat Yusoff et al., 2024). Kedua-dua Skala Likert ini dapat menjadi ukuran yang mempunyai kesahan dan kebolehpercayaan dari sikap, pendapat, dan persepsi dan pemilihan skala terbaik harus didasarkan pada konteks dan tujuan kajian yang spesifik. Sehubungan itu isu pemilihan Skala Likert sama ada 4 atau 5 mata perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas (Ahmad Shidki Mat Yusoff et al., 2024).
Penggunaan Likert 4 mata lebih pasti daripada Likert 5 mata kerana hanya memiliki empat pilihan respon yang jelas, sehingga ia lebih mudah diinterpretasikan untuk membuat keputusan. Likert 5 mata mungkin lebih sensitif daripada Likert 4 mata kerana memiliki pilihan respon tambahan untuk mengambarkan wujudnya ketidakpastian atau sikap neutral responden iaitu tidak berpihak kepada mana-mana pilihan. Secara ringkasnya boleh dikatakan pilihan antara Likert 4 mata atau 5 mata bergantung pada persoalan kajian, pemboleh ubah yang diukur, dan karakteristik pilihan respon (Ahmad Shidki Mat Yusoff et al., 2024).
Pengkaji memilih Likert 5 mata walaupun mungkin mendatangkan beban, namun ianya mempunyai penengah yang bersifat neutral iaitu sikap neutral responden tidak berpihak kepada mana-mana pilihan. Penengah ini juga mewujudkan pilihan untuk keadaantidak pasti yang berada di tengah-tengah antara pilihan respon yang lain menjadikan bentuk skala menjadi lebih sensitif. Kesensitifan ini dianggap sebagai faktor utama pengkaji menggunakan Likert 5 berbanding Likert 4.
Rumusan
Dua bentuk ilmu baru yang diperolehi iaitu pertama, ilmu kaedah kajian dan kedua ilmu perihal BBM. Ilmu baru kaedah kajian diperolehi adalah perincian terhadap teori dan pelaksanaan kaedah-kaedah kajian yang digunapakai oleh pengkaji. Antaranya perihal tinjauan deskripitf, saiz persampelan dan skala Likert. Selain itu adalah menilai pengalaman dan kemahiran pengkaji untuk menyusun dan mempersembahkan kajian serta dapatannya seperti cara mengumpulkan data, menganalisis data, mendapatkan hasil kajian dan terakhir merumus kajian.
Ilmu perihal BBM juga saya peroleh terutama berkenaan pengistilahan, konsep, konteks, pelaksanaan, kelebihan, kekangan dan masalah dan cabaran. Ianya dilihat bukan sahaja dari aspek guru pelatih, tetapi juga pengamalan dan pelaksanaan di peringkat sekolah-sekolah arus perdana. Perincian perbicangan BBM ini memberikan pendedahan yang luas untuk memastikan penghayatan dan kompetensi diri sendiri dalam profesyen keguruan ini.
Rujukan
Ahmad Shidki Mat Yusoff, Fan Siong Peng, Fahmi Zaidi Abdul Razak,
Syed Ismail Syed Mustapa, Shamsazila Saaban & Salmiah Md. Salleh. (2024). Penggunaan
Penengah dalam Skala Likert: Kajian Retrospektif Maklum Balas Kepuasan
Pelanggan IPG. Seminar Kebangsaan Pendidikan Negara 2023. Bandar Baru
Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Kamarulnizam bin Sani dan Nur Solehah binti Azmi. (2024). Kemahiran
Penggunaan Bahan Bantu Mengajar Guru Pelatih Fakulti Pendidikan Universiti
Islam Selangor Semasa Latihan Mengajar. Attarbawiy: Malaysian Online Journal
of Education. 6(1):26-38. Rujuk https://attarbawiy.uis.edu.my/index.php/jurnal/article/view/179/182
Krejcie, R. V., & Morgan, D. W. (1970). Determining Sample Size
for Research Activities. Educational and Psychological Measurement.
30(3): 607–610.
Merriam, S. B. (1988). Case study research in education: A
qualitative approach. San Francisco: Jossey-Bass Inc Publishers.
Mohd Majid, K. (2005). Kaedah Pengkajian Pendidikan Edisi Ke-7.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Muhammad Amirul Abdullah. (2012). Analisis Data Menggunakan Perisian
SPSS. Jitra: Kolej Komuniti Bandar Darulaman.
Tobin, Ruthanne. (2010). Descriptive case study. Encyclopedia of
Case Study Research. Vol. 1: 288-289.
Comments