PENYUSUAN IBU DALAM ISLAM: PERSPEKTIF FALSAFAH ILMU

Falsafah Penyusuan

Ontologi hukum penyusuan adalah daripada kalam Allah iaitu al-Qur’an. Di dalam al-Qur’an terdapat sepuluh perkataan yang terbit daripada perkataan dasar (radha’a) merujuk kepada kitab al-Mu’jam al-Mufahras li Alfaz al-Qur’an al-Karim yang terangkum dalam enam ayat dari lima surah yang berlainan (Muhammad Fuad ‘Abd al-Baqi, 2007) dengan topik yang berbeza, namun mempunyai keterikatan atau hubungkait (munasabah) hukum yang saling melengkapi.

Jadual 1: Menunjukkan penggunaan perkataan yang terbit daripada kata dasar radha’a di dalam al-Qur’an

Selain daripada ontologi falsafah ilmu dalam membincangkan hukum penyusuan, ia berkait juga dengan ontologi sosial. Menurut Walter, ontologi sosial boleh diterjemahkan sebagai asal usul sesuatu teori atau fenomena yang berlaku (Muhammad Hisyam dan Azalina Irdawati, t.th). Ontologi sosial merupakan tuntutan serta andaian normal mengenai sesuatu realiti sosial yang berlaku dalam masyarakat, bagaimana fenomena itu wujud, bagaimana ia ditafsirkan, bagaimana ia berkembang dan bagaimana setiap unit itu berinteraksi di antara satu sama lain (Muhammad Hisyam dan Azalina Irdawati, t.th). Menurut Blaikie, perkara yang paling penting dalam ontologi ini ialah bagaimana kepercayaan kita terhadap realiti sosial tersebut (Muhammad Hisyam dan Azalina Irdawati, t.th). Tambahan pula bidang sains sosial sebenarnya adalah pecahan daripada bidang falsafah (Solehah dan Hairunnaja, t.th).

Hunt dan Colander menyatakan sains sosial merupakan sebahagian daripada falsafah yang terbit secara empirikal selain daripada falsafah yang terbit bukan secara empirikal seperti persoalan ketuhanan (Solehah dan Hairunnaja, t.th). Persoalan mengenai sains aosial pula tidak boleh berdiri sendiri di mana ia terpaksa dihubungkan dengan sesuatu falsafah atau tanggapan mengenai kewujudan. Ini menjadikan sesuatu perbincangan mengenai sains sosial perlulah mempunyai tanggapan-tanggapan falsafah (Kassim Ahmad, 1983).

Menurut Rohana, bidang sains sosial adalah suatu disiplin akademik yang mempersoalkan tentang kemanusiaan dalam konteks sosialnya, atau mempelajari kehidupan sosial, atau lebih tepat mempelajari pola tinkahlaku yang lazim ada pada kelompok-kelompok manusia (Solehah dan Hairunnaja, t.th). Jika kita merenung fenomena sosial berkaitan penyusuan, pastinya ia telah berlaku sejak bermulanya kehidupan manusia di atas muka bumi ini dan terus berlaku sehingga ke hari akhirat. Menyorot kronologi ayat dan kisah kerasulan yang disebutkan di dalam al-Qur’an, fenomena penyusuan paling awal disebutkan ialah kisah penyusuan terhadap Nabi Musa AS dalam surah al-Qassas (28:7&12) dan penyusuan ini akan terus berlaku sehinggalah ke saat-saat terjadinya hari kiamat seperti dijelaskan dalam surah al-Hajj (22:2). Penyusuan berlaku terhadap anak kecil yang baru dilahirkan dan ia bertujuan sebagai sumber makanan melalui air susu ibu. Ini menunjukkan bahawa air susu ibu menjadi sebahagian daripada keperluan utama kehidupan seseorang bayi.

Dari segi idealnya, penyusuan berlaku apabila ibu kepada anak menyusukan secara terus daripada payudaranya melalui puting ke dalam mulut anak dan anak menghisap susu daripadanya serta menelannya. Namun dari segi realiti, tidak semua ibu berdaya untuk menyusukan anaknya, ada ibu yang bermasalah mengenai bentuk puting sehingga anak tidak boleh mendapatkan susu, ada ibu atau anak yang menghadapi penyakit kritikal, payudara yang tidak menghasilkan susu, kecederaan dan kesakitan pada payudara, kekangan masa dan pelbagai halangan lain. Dalam erti kata lain, secara ideal penyusuan berlaku selaras dengan fitrah kejadian manusia yang asal, sama seperti haiwan. Namun fitrah itu boleh berubah kepada beberapa keadaan tertentu yang membentuk realiti sosial semasa.

Menurut al-Jabiri, epistemologi Islam memiliki tiga kecenderungan, iaitu bayani, ‘irfani, dan burhani. Epistemologi bayani adalah tanggapan bahawa sumber ilmu adalah teks (nas) atau penalaran dari teks. Epistemologi ‘irfani adalah tanggapan bahawa sumber ilmu pengetahuan adalah ilham. Epistemologi burhāni adalah tanggapan bahawa sumber pengetahuan adalah akal (Agus Toni, t.th). Sistem bayani yang dominan merupakan warisan produk klasik yang telah diperturun dan diwarisi. Menurut Suparman Syukur, sistem bayani diinterpretasikan sebagai metode pemikiran khas Arab yang menekankan autoriti teks (nas) secara langsung atau tidak langsung yang dijustifikasikan oleh akal sebagai linguistik serta digali oleh pendalilan (istidlal). Ia berlawanan dengan sistem pengetahuan ‘irfani dan burhani (Agus Toni, t.th).

Namun bagi penulis, metode bayani masih lagi relevan sebagai asas bersandarkan bahawa al-Qur’an menggunakan bahasa Arab dan ia mempunyai nilai linguistiknya yang tersendiri. Malah, perkembangan dan perbahasan terperinci mengenai bahasa Arab itu sendiri bersumberkan al-Qur’an. Sistem bahasa yang diperoleh melalui teks al-Qur’an dan digunakan di dalam al-Qur’an tetap menjadi satu identiti mukjizat yang mana manusia tidak mampu untuk meniru seumpamanya dan berbohong ke atasnya. Tambahan lagi, al-Qur’an itu diperlihara oleh Allah secara kesuluruhannya.

Terma radha’ah berbentuk masdar dari kata رضاعة - یرضع  - رضع. Pada dasarnya kata radha’ah berakar dari susunan huruf ra, dhat dan ʻain, [ra.dha.’a]. Kata akar ini kemudian dipolakan menjadi bentuk fi’lu al-madhi (kata kerja yang menunjukkan waktu lampau), fi‘lu al-mudhari’ (kata kerja yang menunjukkan waktu kini atau akan datang), fi’lu al-amr (kata kerja perintah), masdar (perubahan bentuk kata kerja menjadi kata kerja abstrak atau kata yang mengandung erti kata kerja dan menunjukkan pada sesuatu peristiwa yang tidak terkait dengan waktu tertentu, lampau, kini dan akan datang), ismu al-faʻil dan bentuk jama’ ismu al-faʻil iaitu merupakan bentuk pelaku dalam radha’ah (Siti Ardianti, 2015). Seterusnya terma radha’ah ini juga boleh dilihat dan dikembangkan melalui etimologi sebagai usaha memperoleh hakikat makna.

Kronologi penurunan surah-surah al-Qur’an berkenaan istilah radha’ah seperti yang ditunjukkan memperlihatkan persamaan susunan surah-surahnya. Ini adalah sepertimana yang digambarkan oleh Siti Ardianti (2015) daripada Taufik Adnan Amal dengan mengambil tiga periwayatan iaitu: pertama, Ibnu Abbas; kedua, Umar bin Muhammad bin Abd al-Kafi; dan ketiga, Ikrimah dan Husain bin Abi al-Hasan. 

Jadual 2: Menunjukkan urutan kronologi terma radha’ah, disusun seperti jadual di bawah.

Rajah 1: Menunjukkan kronologi penurunan ayat digambarkan dalam bentuk garisan graf.

Susunan kronologi riwayat surah-surah al-Qur’an di atas menunjukkan bahawa riwayat pertama dan kedua adalah sama. Jika disemak ini kerana keduanya bersumber dari manuskrip kitab yang disusun oleh al-Kafi. Sedangkan riwayat yang ketiga memiliki sedikit perbezaan. Perbezaan ini disebabkan dengan perbezaan penghitungan jumlah surah berdasarkan Makkiyyah dan Madaniyyah. Berdasarkan jadual di atas, maka didapati bahawa urutan kronologi surah al-Qur’an menggunakan terma radha’ah adalah surah al-Qasas, al-Baqarah, al-Nisa’, al-Talaq, dan al-Hajj (Siti Ardianti, 2015).

Selain daripada itu,  topik-topik yang berkaitan dengan penyusuan di dalam al-Qur’an adalah seperti yang akan disenaraikan di bawah. Perbincangan epistemologi dan aksiologi berdasarkan topik-topik ini boleh dirungkai lagi melalui perbahasan ahli tafsir di dalam kitab-kitab tafsir mereka:

 

Pertama: Wanita yang berusaha menyusui anaknya

Kedua-dua ayat ini menceritakan proses penyusuan Nabi Musa as yang hidup pada zaman kekejaman Firaun mahu membunuh semua bayi laki-laki yang lahir pada waktu itu kerana dianggapnya membahayakan diri dan kekuasaannya sebagai Tuhan (al-Qasas, 28:7&12).

 

Kedua: Suruhan ibu menyusukan anaknya

Ia dibincangkan dalam konteks sama ada ia perintah ditujukan kepada wanita secara umum, atau diceraikan atau kedua-duanya selama dua tahun. Terdapat juga perbincangan berkenaan persoalan hak dan tanggungjawab penyusuan oleh ibu terhadap anaknya (al-Baqarah, 2: 233).

 

Ketiga: Kewajipan ayah dan waris mengenai penyusuan

Kewajiban seorang ayah dan ahli waris terhadap anak yang sedang menyusui adalah memberikan nafkah, kerana proses mengandung dan menyusui anak memerlukan kos tertentu bagi memastikan pertumbuhan dan perkembangan kesihatan yang baik untuk anak dan ibu (al-Baqarah, 2: 233).

 

Keempat: Hukum anak menyusu dengan wanita lain dan diberi upah

Dalil yang menjelaskan seorang anak boleh menyusu kepada wanita lain (al-Baqarah, 2: 233).

 

Kelima: Wanita yang haram dinikahi

Setiap wanita ajnabi menjadi halal terhadap lelaki dengan dua perkara iaitu pernikahan dan memiliki hamba, sedangkan yang menghalangi sebuah pernikahan atau menjadi haram ada tiga hubungan, iaitu: nasab (keturunan), radha’ah (penyusuan) dan musaharah (persekedudukan), seperti yang dijelaskan dalam al-Qur’an (al-Nisa’, 4:23).

 

Keenam: Upah susuan

Ayat yang membahas tentang upah susuan termasuk terhadap wanita yang telah diceraikan (al-Talaq, 65:6).

 

Ketujuh: Wanita yang melalaikan anak susuannya

Kisah wanita menyusui anak tetapi melalaikan anak susuannya. Sikap lalai ini terjadi kerana dahsyatnya kemusnahan yang akan terjadi pada hari kiamat (al-Hajj, 22:2).

 

Kelapan: Cerai susu

Manakala terdapat topik berkenaan cerai susu oleh ibu terhadap anaknya walaupun tidak dikaitkan dengan perkataan radha’ah secara langsung seperti mana yang diterangkan di dalam surah Luqman, (31:14) dan surah al-Ahqaf, (46:15).

 

Kesembilan: Perihal susu

Allah menjadikan daripada bahan najis iaitu darah dan kotoran yang berbau busuk susu yang enak dan lazat rasanya serta harum baunya, sebagai sumber rezeki serta makanan buat manusia di dalam surah al-Mu’minun (23:21) dan al-Nahl (66:16) serta sungai di syurga daripada susu di dalam surah Muhammad (47:15).

Topik perbahasan yang terlibat dalam istilah radha’ah ini adalah seperti terminologi radha’ah atau penyusuan, iaitu wanita yang menyusukan, anak yang disusui, air susu ibu, sumber air susu, khasisat susu ibu, tempoh penyusuan, cara penyusuan, kadar penyusuan, ‘illah penyusuan, jenis penyusuan, kebaikan penyusuan, matlamat penyusuan, upah susuan, hak dan kewajipan ibu dan waris, pembuktian penyusuan, hukum cerai susu, hukum pengharaman penyusuan, penentuan mahram susuan serta isu-isu yang berkait dengan persekitaran semasa dan latarbelakang masyarakat setempat.

Perbahasan falsafah epistemologi hukum penyusuan boleh dilanjutkan juga melalui kaedah merungkai makna-makna berdasarkan beberapa sifat terpilih di dalam bahasa Arab yang menjadi tunjang kepada kemukjizatan al-Qur’an. Antara sifat-sifat atau konteks tersebut ialah kaedah nazm al-Qur’an (ikatan dan perkaitan antara perkataan-perkataan dalam ayat), huruf al-za’idah (huruf-huruf tambahan), al-tanasuq (kekuatan kaitan setiap perkataan dalam ayat) al-fasilah (kalimah terakhir dalam sesuatu ayat al-Qur’an), al-taraduf (ibarat tentang penyatuan pada pemahaman), isytiraq al-lafzi (satu lafaz memberi lebih atau kurang dari dua puluh makna atau maksud yang berbeza), al-kinayah (sesuatu ungkapan yang dimaksudkan dengan makna lain yang bukan makna asalnya), al-tasybih (ilmu untuk menzahirkan, mendedahkan dan menerangkan sesuatu), al-isti’arah (penggunaan lafaz bukan pada tempat asalnya kerana ada hubungan kesamaan dan ada konteks yang menghalang makna asal), al-musyakalah (mengenali bentuk-bentuk pengindahan kata-kata dan mengharmoniskannya setelah mengambil kira persamaan dan kejelasan petunjuknya), al-jinas (persamaan pada dua kalimah atau lebih pada setiap huruf sedangkan terdapat perselisihan pada maknanya), al-amthal (menyamakan sesuatu dengan sesuatu yang lain mengenai perkara yang berkaitan dengan hukum), al-hazfu (penghapusan dan pengguguran) dan fawatih al-suwar (pembuka-pembuka surah) (Ahmad Mujahideen b. Hj. Yusoff, t.th). Keseluruhan kajian terhadap konteks ini yang disertai dengan pentaakulan terhadap nilai boleh dipandang dalam perspektif semulajadi disebabkan manusia itu sendiri sebahagian daripada kosmos.

Sumber kedua selepas al-Qur’an bagi hukum penyusuan adalah daripada hadis Nabi Muhammad SAW. Di dalam hadis terdapat banyak perkataan yang menggunapakai daripada perkataan dasar [ra.dha.’a]. Selain itu terdapat juga perkataan lain yang membawa maksud radha’ah. Kesemuanya terangkum dalam topik yang pelbagai, tetapi berkemungkinan besar mempunyai keterikatan atau hubungkait (munasabah) hukum antara satu dengan yang lain. Terdapat beberapa topik penyusuan di dalam hadis, antaranya penyusuan mengharamkan apa yang diharamkan dalam kelahiran dan nasab, pengharaman penyusuan dengan lima kali, penyusuan kerana lapar dan laban al-fahl. Selain itu terdapat juga athar sahabat Nabi yang merangkumi topik-topik yang hampir sama. Di bawah ini hanya membawa dua topik sahaja. Hadis diperoleh daripada sumber laman web mausu’ah al-hadis di alamat http://library.islamweb.net/hadis/index.php.

Jadual 3: Menunjukkan hadis mengenai penyusuan yang membawa topik pernyusuan mengharamkan apa yang diharamkan dalam kelahiran dan nasab.

Jadual 4: Menunjukkan hadis mengenai penyusuan yang membawa topik penyusuan kerana lapar.

Jadual 5: Perkataan terbitan dari kata dasar radha’a (A. J. Winsink, 1936).


Kesimpulan

Kajian falsafah ilmu terhadap penyusuan ibu dalam Islam mampu merungkai perbahasan yang lebih melebar dan mendasar disamping menjadikannya sebagai panduan dan landasan ke arah perbincangan yang lebih meluas mengikut peredaran masa dan keperluan semasa. Kajian terhadap tekstual ayat al-Qur’an dan hadis membuktikan ianya adalah salah satu bentuk kajian yang mengikut lunas-lunas saintifik. Ini membuktikan kedua-dua rujukan utama ini perlu diterimapakai dan diiktiraf sebagai medium perbahasan kajian saintifik. Kehebatan perbahasan penyusuan ibu ini mampu diungkap dengan merenungi ilmu-ilmu Allah SWT.


*Rujukan terperinci sumber tidak disertakan di sini.

Hidup terus mencari..

Bandar Baru Bangi,
4 Ramadhan 1447H.

Comments