Pergolakan Moral: Keperibadian Guru Dapat Mempengaruhi Murid

 

Pendahuluan

Kamus Dewan Edisi Keempat memberi definisi pergolakan sebagai kekacauan (kekalutan, kekeruhan), huru-hara dan keadaan tidak tenteram (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2024). Bergolak pula membawa maksud timbul huru-hara, tidak tenang, tidak tenteram (fikiran, perasaan), bergelora dan sangat gelisah. Moral boleh dimaksudkan sebagai ajaran atau pegangan tentang buruk baik sesuatu perbuatan (kelakuan, kewajiban, dll), sikap atau cara berkelakuan yang ber­asaskan atau yang diukur dari segi baik buruk se­suatu akhlak, ia berkaitan dengan apa yang betul atau adil, bermoral mempunyai moral, berakhlak.

Maka pergolakan moral boleh difahami sebagai kekacaun, kekalutan atau keadaan tidak tenteram sikap atau cara berkelakuan seseorang yang didasari oleh sesuatu ajaran atau pegangan perihal sesuatu perbuatan sama ada ia dianggap sebagai baik mahupun buruk. Pergolakan ini boleh berlaku sama ada terhadap hati, fikiran atau perasaan. Norma kesusilaan Timur dan Islam telah menjadi amalan masyarakat  Malaysia sejak sekian lama. Maka ia telah diterima dan dimaksudkan sebagai moral yang baik. Pertentangan atau lawan bagi nilai sesuatu norma dan kesusilaan Timur serta Islam merupakan suatu keadaan moral yang buruk.  Asas pertimbangan sesuatu nilai tidak boleh dirujuk semata-mata melalui bidang antropologi dan sosiologi Barat, tetapi perlu mempunyai asas yang kukuh daripada sumber agama khususnya Islam.

Kefahaman Terhadap Moral dan Pendidikan Moral

Øyvind Kvalnes (2019) membawa definisi moral yang diketengahkan oleh Goodpaster (1992) dan Buchholz & Rosenthal (1998) sebagai satu set keperibadian dan berkongsi dengan kepercayaan terhadap apa yang betul dan apa yang salah dalam interaksi antara manusia. Pembentukan insan berakhlak mulia dalam kalangan murid boleh diterap dengan memberi penekanan terhadap tiga kriteria iaitu penaakulan moral, emosi moral dan perlakuan moral. Ia merupakan fokus dari perspektif Pendidikan Moral. Kriteria pertama iaitu penaakulan moral di mana ia merujuk kepada keupayaan mental murid untuk menaakul dalam suatu situasi yang kabur atau berkonflik nilai untuk mengenalpasti sesuatu perlakuan itu baik dan benar atau perlakuan yang buruk dan salah.

Seterusnya keadaan ini melibatkan pula kriteria emosi moral kerana seseorang murid seterusnya berada dalam kesedaran emosi dengan menzahirkan kepedulian daripada hati nurani yang menyebabkan mereka berasa gembira terhadap sesuatu perkara yang betul dan rasa bersalah terhadap perkara yang tidak betul. Hasilnya perlakuan bermoral akan terbit dan menjadi jatidiri secara rela hati dan rasa bertanggungjawab serta berintegriti moral (Nadarajan Thambu et al., 2021).

Santrock (2008) menjelaskan dari aspek perkembangan moral, ia berkait dengan perkembangan pertimbangan moral yang berfokus kepada darjah kebaikan/kebetulan atau ‘rightness’ dan darjah keburukan/kesalahan atau ‘wrongness’ dalam tingkah laku seseorang manusia. Keupayaan inilah menurut Bartels et al. (2015) diperlukan untuk memperbaiki kemoralan atau ‘morality’ seseorang. Oleh itu, cara membuat pertimbangan moral adalah asas kepada kehidupan manusia untuk bagaimana  seseorang manusia berfikir  dan menjustifikasikan isu-isu moral yang timbul dalam kehidupan (Carpendale et al., 2013 & Rachels, 2003)

Faktor Pergolakan Moral

Kajian oleh Wan Abdul Fattah Wan Ismail et al. (2022) telah menyenaraikan  dapatan berkenaan punca-punca berlakunya permasalahan keruntuhan akhlak dalam  kalangan remaja muslim di Malaysia. Terdapat lima punca dominan yang diketengahkan iaitu kurang didikan agama, latar belakang keluarga yang bermasalah, nilai pendidikan yang rendah, teknologi yang berleluasa dan pengaruh rakan sebaya. Selain itu ialah sifat ingin tahu dan mencuba serta pengaruh media massa. Manakala Nasarudin Desa @ Man et al. (2018) menyenaraikan ciri-ciri remaja berisiko menghadapi keruntuhan akhlak ialah mempunyai keluarga yang tidak berfungsi, mempunyai latar belakang status sosioekonomi yang rendah dan tidak mempunyai sistem sokongan.

Golongan seperti ibu atau bapa, ahli keluarga, ahli masyarakat, warga institusi sekolah dan agama sebenarnya merupakan asas utama dalam menentukan pola akal dan perlakuan remaja bahkah merekalah yang perlu menjuarai sebagai ‘faktor pelindung’ remaja. Walaupun perbincangan yang dibuat perihal punca keruntuhan akhlak, namun penulis membunyai keyakinan dan kepercayaan yang tinggi bahawa ia juga merupakan punca atau faktor berlakunya pergolakan moral dalam diri seseorang individu termasuklah murid sekolah.

Satu topik yang ada dibincangkan dalam subjek moral ialah dilema moral. Konteks dilema moral adalah perihal membuat pilihan antara dua alternatif untuk membuat sesuatu keputusan moral. Antara alternatif kefahaman bagi masalah pergolakan moral ialah melalui pemahaman dan pelaksanaan Teori Kemoralan Sosial. Teori ini meliputi pantang larang dalam masyarakat demi menjaga kerukunan sosial. Teori ini menyenaraikan empat faktor penyelesaian iaitu mematuhi peraturan, nilai dan norma masyarakat, menjadikan teori ini sebagai pedoman hidup, mengikis sifat mementingkan diri sendiri dan berbincang dengan orang yang dipercayai mengenai sesuatu masalah.

Keperibadian Guru Dapat Mempengaruhi Murid

Sejak sekian lama personaliti serta keperibadian guru menjadi ikutan, juga idola atau ikon kepada masyarakat. Status kerjaya sebagai guru dipandang tinggi dan mulia oleh masyarakat. Model ‘the role of teacher’ mempunyai nilai penghormatannya yang tersendiri berbanding kerjaya lain (Korthagen et al., 2005). Perspektif ini tidak wujud sehingga dalam kalangan golongan dewasa secara tiba-tiba, namun sebenarnya telah tertanam sedikit demi sedikit sejak kecil lagi dalam lingkungan masyarakat. Personaliti yang membentuk keperibadian atau perwatakan seseorang guru dalam kehidupan sosial mereka memainkan peranan penting dalam mempengaruhi kumpulan kehidupan sosial murid.


Rajah 1: Pembangunan Manusia. Urutan etika di mana individu meluaskan perhatian ke luar melebihi diri ke tahap yang lebih inklusif secara progresif. Ihsan Reed Noss (Philip J Cafaro & Richard B Primack, 2013).

Melalui pendidikan yang baik oleh guru, murid akan mampu untuk belajar dan membangunkan dirinya dari konteks pengetahuan, kemahiran dan kefahaman yang diperlukan untuk membuat sesuatu keputusan yang bijak selain menyumbang secara positif kepada masyarakat (Hasanbasri & Ellya Roza, 2023). Kebiasaannya guru sering menjadi perhatian para murid. Guru yang mempunyai sikap bertimbang rasa, kesediaan mendengar, periang, mesra, bersemangat, kreatif dan inovatif serta murid dapat melihat secara langsung di hadapan mata mereka akan meninggalkan kesan yang mendalam buat murid. Malahan guru yang memiliki sifat-sifat seperti sabar yang tinggi, adil, berdedikasi, amanah, berintegriti, akan tergambar melalui perwatakan dan gerak kerja mereka lantas dapat disedari oleh murid secara tidak langsung dan diingati dalam minda bawah sedar mereka.

Jika kita merenung keperibadian Nabi Muhammad SAW, Baginda menjadi ‘role model’ atau suri teladan yang memberi gambaran kepada nilai-nilai mulia, beretika dan bermoral yang menjadi fundamental dalam agama Islam (Ikhwan, 2021). Melalui attitud, perbuatan dan perkataan, Baginda memberikan contoh yang realistik sebagai seorang manusia biasa tanpa sebarang sifat ketuhanan pada dirinya untuk membentuk peribadi hamba yang sejati. Baginda tidak hanya berkata-kata atau bermadah, tetapi seluruh kehidupan Baginda adalah terjemahan apa yang Baginda sebutkan (Hasanbasri & Ellya Roza, 2023). Pemikiran pendidikan yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW menegaskan bahawa perubahan etika dan moral yang baik adalah lebih penting daripada semata-mata penampilan (Imam Tabroni et. al., 2022).

Selain menggalakkan umatnya melakukan perkara yang baik, Baginda yang juga merupakan seorang pemimpin, guru, pembimbing ketua angkatan tentera, pendamai, suami dan bapa yang dipenuhi dengan sifat ihsan dan kasih sayang. Sejajar dengan itu, seseorang guru seharusnya mengamalkan sifat penyayang bukan sahaja terhadap murid tetapi anggota masyarakat. Profesyen mulia sebagai seorang guru harus menerapkan ‘guru sayang murid’ dan ‘murid kasih guru’. Sekiranya konsep ini dapat diterapkan dengan baik, murid akan menemui idola, ikutan atau contoh teladan buat diri mereka. Tabroni & Juliani (2022) dan Ainain (1985) menegaskan seseorang yang menyembah Allah SWT (beriman kepada wujudnya Tuhan yang Esa) akan mempunyai etika yang baik terhadap alam persekitaran. Keadaan ini akhirnya mampu mengurangkan pergolakan moral dalam diri murid, lantas mengurangkan angka gejala sosial, keruntuhan akhlak dan perlakuan jenayah dalam kalangan murid.

Penutup

Dapatan kajian daripada Sathish Rao Appalanaidu (2018) mendapati bahawa pertimbangan yang dilakukan oleh sesorang murid bermotivasi apabila mereka dimotivasikan dengan kepentingan nilai-nilai moral yang terdapat dalam pembelajaran yang diterima di dalam kelas. Hal ini adalah mustahak dan perlu disanjung tinggi serta bertepatan dengan matlamat diri iaitu untuk menjadi insan yang baik.  Ini jelas membuktikan guru sangat berperanan mempengaruhi murid dari aspek kehidupan sosial mereka terhadap kehidupan sosial murid sama ada di dalam mahupun di luar kelas.


Rujukan

Bartels, D. M., Bauman C.W., Cushman, F., Pizarro, D. A. & McGraw, P. A. (2015). Moral judgment and decision making. Dalam  Keren, G.  & Wu, G. (Eds.),  The Wiley Blackwell  Handbook of  Judgment and Decision Making. Edisi Pertama. (pp. 478-515). Chichester, UK: Wiley.

Carpendale, J. I. M., Hammond, S. I. & Atwood, S. (2013). A relational developmental systems approach to moral  development dalam Advances  in  Child  Development  and  Behavior.  45,  125-153.  Diambil  dari: http://dx.doi.org/10.1016/B978-0-12-397946-9.00006-3

Hasanbasri & Ellya Roza. (2023). Exemplifying the Behaviour of the Prophet Muhammad Saw: An Approach to Islamic Character Education. Edukasi. 11(2): 230-244. Sila rujuk https://ejournal.staim-tulungagung.ac.id/index.php/edukasi/article/view/401/319

Ikhwan, A. (2021). Pendidikan Agama Islam Berbasis Islam Kontemporer Perspektif Indonesia. CV. Tahta Media Group.

Imam Tabroni, Dean Dwi Putra, Najah Adawiah & Rosmiati. (2022). Forming Character with Morals Prophet Muhammad SAW. East Asian Journal of Multidisciplinary Research (EAJMR). 1(1): 41-48.

Kamus Dewan Edisi Keempat. (2024). https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=pergolakan

Korthagen, F. A. J., Loughran, J., & Lunenberg, M. (2005). Teaching teachers: Studies into the expertise of teacher educators. Teaching and Teacher Education. 21(2): 107–115.

Nadarajan Thambu, Aminah Abd. Rhapor & Sukadari. (2021). Teater Perbincangan Dilema Moral: Pendekatan Transformatif Dalam Melaksanakan Kandungan Kurikulum Buku Teks Pendidikan Moral. Muallim Journal of Social Science and Humanities (MJSSH) Online. 5(3): 1-17.

Nasarudin Desa @ Man, Tengku Intan Zarina Tengku Puji & Sabri Mohamad. (2018). Menangani Keruntuhan Akhlak Masa Kini Menurut Islam. Jurnal al-Turath. 3(1): 55-63. Rujuk https://journalarticle.ukm.my/15742/1/62-138-1-PB.pdf

Øyvind Kvalnes. (2019). Work Rethinking Ethics in Organizations dalam Moral Reasoning. London: Palgrave Pivot Cham. Sila rujuk Springer Nature di https://link.springer.com/content/pdf/10.1057/9781137532619_2.pdf

Philip J Cafaro & Richard B Primack. (2013). Environmental Ethics. Amsterdam: Elsevier Inc. Sila rujuk https://www.researchgate.net/publication/288177969_Environmental_Ethics

Santrock, J.W. (2008). Children (10th Ed.). New York: McGraw-Hill.

Sathish Rao Appalanaidu. (2018). Pertimbangan Moral dan Motivasi Pelajar dalam Pendidikan Moral. Journal of Research , Policy & Practice of Teachers & Teachers Education. 8(2): 53-70.

Wan Abdul Fattah Wan Ismailⅰ, Lukman Abdul Mutalibⅱ, Nik Salida Suhaila Nik Salehⅲ, Ahmad Syukran Baharuddinⅳ, Zulfaqar Mamatⅴ, Syh Noorul Madihah Syed Husinⅵ, Mohamad Aniq Aiman Aliasⅶ & Nurul Syazwani Abdullah Kahar. (2022). Permasalahan Keruntuhan Akhlak Dalam Kalangan Remaja Muslim Di Malaysia: Isu, Cabaran Dan Cadangan Penyelesaian. Al-Qanatir: International Journal of Islamic Studies. 26(2): 47-61.


Hidup perlu berbudi..
Bandar Baru Bangi,
9 Ramadhan 1445H.

Comments