Domain Pengurusan Dalam Teknologi Pendidikan

Pendahuluan

Teknologi Pendidikan (Educational Technology) ialah satu teori berkenaan bagaimana permasalahan pembelajaran manusia dapat ditentukan dan diselesaikan. Teknologi pendidikan merupakan satu bidang yang terlibat dalam mengaplikasi sesuatu yang kompleks, proses yang diintegrasi untuk menganalisis dan menyelesaikan masalah-masalah dalam pengajaran manusia. Penerangan ini menjurus kepada pemahaman perihal teknologi yang bersifat pendidikan atau pengajaran. Seringkali ‘educational technology’ ini disalah erti dengan pemahaman ‘technology in education’ dan ‘instructional technology’. Apabila Educational Technology ini tidak sama maksudnya dengan Technology in Education, ini menjadikan perbahasan Educational Technology lebih meluas dan menyeluruh.

Domain Fungsi Pengurusan dalam Educational Technology

Domain yang mengandungi fungsi pengurusan seperti yang dinyatakan oleh Association for Educational Communications and Technology (AECT) pada tahun 1977 adalah berbeza dengan tahun 1994. Pada tahun 1977, fungsi pengurusan terangkum dalam dua domain utama iaitu pengurusan sumber pembelajaran dan pengurusan pengajaran. Manakala pada tahun 1994 fungsi pengurusan berada di dalam satu domain utama tetapi dipecahkan kepada empat elemen iaitu projek, sumber, sistem maklumat dan sistem penyampaian.

Rajah 1: Domain AECT pada tahun 1977 dan 1994.


Domain Pengurusan AECT 1977

Persidangan AECT 1977 menjelaskan asas kepada fungsi pengurusan adalah menyelaras, mengembang dan mengawal pengajaran atau pendidikan. Setiap fungsi sebagaimana matlamatnya adalah mengarah atau mengawal sama ada satu atau lebih Fungsi Pembangunan Pengajaran/Pendidikan atau juga disebut sebagai Fungsi Pengurusan Pengajaran/Pendidikan bagi memastikan pengoperasian dilaksana dengan efektif. Ia diterangkan dalam jadual seperti Rajah 2 di bawah.

Rajah 2: Fungsi Pengurusan Pengajaran/Pendidikan (AECT, 1977)

 

Fungsi domain pengurusan dapat diringkaskan melalui jadual seperti dalam Rajah 3 di bawah:

 Rajah 3: Ringkasan Tumpuan Domain Pengurusan 1977

Proses-proses pengarahan atau mengkoordinasi satu atau lebih fungsi-fungsi yang disebutkan dapat dikenalpasti dengan Fungsi Pengurusan Pendidikan dalam Pengurusan Organisasi dan Pengurusan Kakitangan. Hubungan Domain dalam Model Teknologi Pendidikan digambarkan seperti Rajah 4 di bawah.

Rajah 4: Hubungan Domain dalam Model Teknologi Pendidikan (AECT, 1977).


Domain Pengurusan 1994

Domain Pengurusan 1994 berfokus kepada proses, walaupun penggunaan educational technology telah berubah kepada instructional technology sebagai konsep teras. Teknologi pengajaran ialah teori dan amalan yang melibatkan reka bentuk, pembangunan, penggunaan, pengurusan dan penilaian proses dan sumber untuk pembelajaran (Seels dan Richey, 1994). Domain pengurusan ini meliputi projek, sumber, sistem penyampaian dan sistem maklumat (AECT, 1994). Ia merujuk kepada keupayaan untuk memprogram, menyelia kakitangan, mereka bentuk dan mengurus dana dan kemudahan serta melaksanakan perubahan (AECT, 1994). Ia boleh difahami melalui jadual dalam rajah 5 di bawah:

Rajah 5: Domain Pengurusan Pendidikan 1994 (AECT, 1994).

Pengagihan sumber yang terancang dan teliti, seterusnya memastikan setiap wang yang dibelanjakan adalah bertujuan untuk meningkatkan keberhasilan dan kemenjadian murid. Pihak sekolah perlu menggembeleng segala sumber untuk melakukan perubahan dengan cara yang berbeza terhadap perkara yang paling penting, iaitu kemenjadian murid. Produktiviti sumber seharusnya menjadi keutamaan dalam pengurusan kerana ia berpotensi meningkatkan kecekapan agihan sumber dan pelaksanaan terhadap program yang memberi impak yang besar kepada peningkatan pendidikan di sekolah dengan lebih telus, responsif dan berfokuskan kepada keberhasilan (KPM, 2013). Proses pendidikan berlaku sepanjang hayat dan dipengaruhi oleh sumber yang ada di pesekitarannya. Pengalaman yang diperolehi daripada persekitaran yang melibatkan masyarakat setempat, keluarga, tempat kerja dan juga media massa boleh membantu individu mendapatkan kemahiran dan nilai-nilai yang baik (Hussin bin Sarju et. al, t.th).

Institusi pendidikan perlu memenuhi keperluan sistem maklumat bagi mempermudah dan melancarkan gerak kerja tenaga pengajar. Pelaksanaan sistem penyampaian maklumat dalam pendidikan hendaklah menerima guna pendekatan yang terancang dan tersusun menerusi elemen penting seperti kompetensi guru, kurikulum, pentaksiran dan inovatif yang dibangunkan melalui inisiatif asas sedia ada. Sesuatu inisiatif sistem maklumat hendaklah bertujuan memperkukuh dan meningkatkan keberkesanan rangkaian sistem maklumat secara menyeluruh. Apa-apa isu atau permasalahan dalam sistem maklumat hendaklah diselesaikan agar dapat dimanfaatkan bagi mewujudkan akses yang berkesan terhadap sumber pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti tinggi (KPM, 2013).

Sistem penyampaian yang berkualiti merupakan sebahagian daripada strategi pelaksanaan sistem sokongan yang mantap selain daripada kepimpinan yang cekap dan berkesan. Ia merupakan perkara yang kritikal bagi merealisasikan usaha peningkatan kemenjadian murid. Sistem penyampaian maklumat yang cekap dan berkesan menjadi tonggak sistem pendidikan itu sendiri yang berfungsi menyokong pencapaian akses, kualiti dan ekuiti berdasarkan keberhasilan murid dan perpaduan dalam kalangan murid (KPM, 2013).

Sistem penyampaian maklumat penting bagi meningkatkan bimbingan dan sokongan kepada guru bagi penambahbaikan penyampaian pengetahuan, kemahiran, dan nilai merentasi semua aspek kurikulum dan kokurikulum. Elemen pelaksanaan sistem penyampaian maklumat ini adalah mementingkan kapasiti organisasi dan orientasi penyampaian yang boleh direntas dengan lebih lebar bagi memastikan sumber yang diperuntukkan ke arah membangunkan infrastruktur asas dalam sistem pendidikan digunakan secara cekap dan berkesan (KPM, 2013).

Dalam menghadapi  isu dan karenah pengurusan ini, pendekatan ‘pengurusan perubahan’ perlu digunakan bagi mengenalpasti isu-isu yang mempunyai kesan yang paling besar kepada sumber manusia disebabkan oleh jangkaan perubahan dan pembangunan serta pelaksanaan strategi untuk menyelesaikannya sesuatu isu (Lee Allen, 2004).

Rumusan

Kamus Dewan Edisi Keempat memberi dua definisi bagi teknologi. Pertama, teknologi bermaksud aktiviti atau kajian yang menggunakan pengetahuan sains untuk tujuan praktis dalam industri, pertanian, perubatan, perniagaan, sains gunaan dan lain-lain. Kedua, teknologi bermaksud kaedah atau proses menangani sesuatu masalah teknikal. Teknologi maklumat bermaksud teknologi yang berkaitan dgn pemerolehan, penyimpanan, pemprosesan dan penyebaran maklumat secara elektronik. Teknologi maklumat dan komunikasi bermaksud teknologi yang berkaitan dengan pemerolehan, penyimpanan, pemprosesan dan penyebaran maklumat melalui penggunaan teknologi komputer dan telekomunikasi. Manakala teknologi tinggi bermaksud teknologi yang berasaskan kajian saintifik termaju seperti penggunaan peralatan elektronik yang canggih (Kamus Dewan Edisi Keempat).

Definisi yang diberikan memberi gambaran yang jelas bahawa educational technology atau dalam bahasa Melayu disebut sebagai Teknologi Pendidikan tidak disempitkan dalam konteks penggunaan bahan atau alat teknologi dalam pendidikan atau pengajaran, tetapi lebih meluas menjurus kepada Sains Pendidikan, iaitu perbahasan perihal pendidikan serta pengajaran secara saintifik, terperinci, mendalam dan berstruktur. Penguasaan seseorang guru atau pentadbir pendidikan berkenaan teknologi pendidikan akan memberi impak yang sangat positif terhadap kelancaran, keharmonian dan kejayaan organisasi atau institusi pendidikan itu sendiri.

Rujukan

AECT. (1977). The definition of educational technology. Washington DC: AECT. Sila rujuk https://files.eric.ed.gov/fulltext/ED192759.pdf

AECT. (2004). The Meanings of Educational Technology dalam AECT Definition and Terminology Committee document #MM4.0. Sila rujuk https://www.tlu.ee/~kpata/haridustehnoloogiaTLU/defineeducationaltechnology.pdf

Lee Allen. (2004). Technology as a Vehicle for Institutional Change dalam Association for Educational Communication and Technology Conference on Emerging Technologies and Theories for Teaching and Learning.  Kertas Prosiding 17-19 Jun 2004 di Denton, TX. Denton: AECT.

Hussin bin Sarju, Rohana binti Hamzah dan Amirmudin bin Udin. (t.th). Pendidikan: Matlamat Dan Fungsinya. t.tp: t.pt. Sila rujuk http://eprints.utm.my/id/eprint/14919/1/Pendidikan_-_eprint4.pdf

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2013). Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia. Sila rujuk https://www.moe.gov.my/muat-turun/penerbitan-dan-jurnal/1818-pelan-pembangunan-pendidikan-2013-2025/file

Seels, B., & Richey, R. (1994). Instructional technology: The definition and domains of the field. Washington DC: Association for Educational Communications and Technology.


Hidup perlu berbudi..

Bandar Baru Bangi,
11 Rejab 1444H.

Comments