Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Sebenarnya telah sekian lama ada hasrat untuk berkongsi berkenaan service yang dibuat terhadap kereta yang dimiliki. Selain daripada sebagai satu bentuk catatan diari, mungkin ia boleh dirujuk semula pada masa-masa mendatang. Atau mungkin boleh memberi manfaat kepada sesiapa sahaja yang membaca berkenaannya.
Pengalaman yang kita lalui setiap hari dan setiap waktu boleh jadi sama atau hampir serupa dengan orang lain. Mungkin bezanya banyak dan samanya sedikit, atau bezanya sedikit dan samanya banyak. Apa yang pasti, niat sebagai satu perkongsian diharapkan menjadi ibadah kerana memberi manfaat kepada orang lain. Hidup ini tidak bermakna melainkan jasad dan akal yang diberikan, wujudnya seseorang di atas muka bumi ini memberi kesan kebaikan kepada orang lain. Sebaliknya, amat rugi andai lebih banyak memberi mudarat, kesusahan dan keburukan kepada makhluk lain sepanjang nyawa dikandung badan.
Prolog
Kereta yang dimiliki ini dibeli sekitar tahun 2016, sebelum hari raya Aidilfitri pada tahun berkenaan. Pada peringkat awal pembelian kereta, hanya berniat mahu membeli kereta sedan yang sederhana keadaannya dan harganya. Asalkan memudahkan pergerakan ke mana-mana tempat selain mempunyai ruang mencukupi untuk barang-barang, iaitu Saga. Jika ingin dituruti minat, lebih berminat dengan Preve ataupun Waja, atau seperti Inspira dan Perdana generasi kedua iaitu versi Honda Accord 2.4. Namun pada waktu tersebut sudah tiada keluaran baru Preve, apatah lagi Waja.
Pertama, kereta yang aku minati sebenarnya adalah kereta yang mempunyai bentuk badan yang kelihatan gagah dan padu, terutama di bahagian hadapan yang melibatkan hood, bumper dan fender. Kelihatan gagah bermaksud tidak meruncing atau menguncup ke hadapan. Tak pasti apakah istilah ini betul digunakan. Maka, bentuk yang aku betul-betul minat dan berkenan ialah seperti BMW 3 Series, Audi A5-A7, Mazda 6 dan seumpama. Kedua, aku agak rigit penampilan belakang sesebuah kereta. Lebih suka yang 'simple', tidak terlalu seperti 'beriya'. Tak pandai nak ulas panjang.
Polish
Tahun 2022 menandakan umur kereta Saga FLX Plus 1.3 ini telah mencapai umur enam tahun. Sepanjang umur ini jika tidak silap dua kali sahaja basuh kereta menggunakan water wax, selain itu basuh biasa sahaja. Sempena umurnya yang telah melebihi usia enam tahun ini, buat pertama kali diberikan service polish. Menurut laman web https://www.ketukcatkereta.com/, polish bertujuan menghilangkan kesan minyak, gris, lecah tanah, lumpur dan calar. Mereka memberi analogi mudah polish seperti facial muka. Manakala menurut https://www.wapcar.my/, polish kereta bertujuan untuk mengilatkan kereta di samping cara membuang kotoran yang tidak dapat ditanggalkan dengan cara mencuci biasa. Polish juga dilihat sebagai langkah pertama daripada dua langkah penjagaan kereta lain.
Ada beberapa jenis bentuk polish. Antaranya jenis menggunakan krim, cecair dan semburan yang ada sebatian bahan pelarut untuk menghilangkan kotoran menjadikan cat bersinar. Polish akan mengeluarkan kotoran tetapi tidak dapat memberikan sebarang perlindungan pada permukaan kereta. Selalunya jika ada calar-calar halus, polish kereta terbaik untuk menutup tanda-tanda yang tidak diingini tersebut. Kekurangan polish kereta adalah ia tidak memberikan apa-apa perlindungan ke atas cat kereta.
Wax
Wax biasanya digandingkan selepas kereta dibasuh dan kereta yang telah selesai polish. Fungsinya adalah untuk menambahkan lapisan berkilat pada kereta dan sebagai lapisan perlindungan. Kebaikan melakukan wax pada kereta antaranya ialah melindungi kereta daripada sinaran UV, mencegah kereta daripada pencemaran dan habuk lain, selain lapisan wax akan mengurangkan lembapan daripada terkena cat. Sebenarnya lembapan inilah yang akan menyebabkan air terkena cat dan cat akan terhakis.
Polish untuk cuci manakala wax untuk perlindungan dan mengilatkan kereta. Wax merupakan suatu lapisan yang melindungi permukaan cat selepas dikilatkan. Walaubagaimanapun, lapisan wax kereta akan habis dalam jangkamasa sekitar tiga bulan, bergantung kepada keadaan seperti akibat terhakis dengan panas dan kelembapan. Menurut laman web https://www.wapcar.my/, bagi seseorang yang skeptik, mereka dinasihatkan tidak memilih penggunaan wax daripada kedai basuh kereta bertaraf amatur sekiranya tidak mempercayahi kebolehan pekerja yang membasuh kereta untuk melakukan wax ini.
Sebab Polish
Terdapat lima sebab untuk membuat polish terhadap kereta menurut https://www.ketukcatkereta.com/:
1- Kereta baru lepas kemalangan yang meninggalkan seperti kesan calar-balar pada kereta amat jelas dan menjengkelkan. Atau kereta mengalami kemik teruk, perlu cari bengkel ketuk kereta dan tukar bahagian kereta.
2- Selalu bergesel dengan kereta lain atau kereta lain bergesel dengan kereta anda. Gilapkan kereta dengan segera untuk menghilangkan kesan geseran kerana seperti lebih berbaloi daripada dibiarkan sebegitu sehingga mendatangkan masalah lain.
3- Kereta kerap melalui kawasan bertanah dan berlumpur. Boleh jadi di dalamnya terdapat campuran tanah, batu kecil, malah mungkin ada batu yang besar serta ranting kayu, menyebabkan kebarangkalian kereta calar amatlah tinggi.
4- Kerap membawa kereta/kenderaan memasuki hutan. Faham-faham sahaja jika masuk hutan, badan manusia sendiri pun boleh calar-balar, sama juga dengan kereta. Melainkan kereta dipakaikan baju tebal atau jaket lah, macam manusia bila masuk hutan tu.
5- Antara fungsi polish ialah menjaga kereta, iaitu mengekalkan keadaan cat kereta supaya tak kering, merekah atau terkopak. Sekiranya cat kereta telah kelihatan atau mula merekah, atau terkopak sedikit, jangan menggatal untuk mengupasnya menggunakan jari. Ia boleh menyebabkan 'tone' warna tak sekata, akhirnya kena cat balik sebab menyakitkan mata yang memandang. Apabila polish kereta, mudah untuk kekalkan warna cat kereta. Menukar warna cat yang baru mungkin agak mahal, tetapi pilihan mengekalkan cat kereta dan digilap, polish, ia adalah pilihan yang lebih baik.
Antara kelima-lima sebab ini, sebenarnya sebab kelima tu yang pertama terlintas di fikiran. Bak kata bagi hadiah sekali sekala buat rawatan 'facial' untuk harta yang dimiliki ni. Niat yang nombor lima ini, merangkumi akhirnya penyebab lain dari satu sehingga empat.
Coating
Coating kereta merupakan satu lapisan untuk melindungi cat kereta. Walaubagaimanapun, proses melakukan coating kereta lebih lama dan lebih rumit. Pembetulan warna cat dan tambah kilat dilakukan sebelum lapisan coating ini dilakukan. Coating kereta juga mampu bertahan lebih lama dengan penjagaan yang betul. Kebiasannya, coating kereta mahal.
Ingatan!
Berhati-hati dengan harga servis wax kereta murah dan coating kereta murah. Seperti yang didedahkan, kadangkala peniaga memaparkan harga coating yang sangat murah tetapi sebenarnya anda perlu melakukan polish, colour correction dan gloss enhancement sebelum mendapatkan harga coating murah tersebut.
Klimaks
Kereta Saga FLX Plus ini hanya menjalani proses polish, basuh dan wax sahaja. Rasanya belum sampai masa keperluan untuk coating. Asalnya niat basuh biasa, tapi nak mencuba rawatan polish. Anggaran masa yang disebut ialah satu setengah jam, namun keseluruhan mengambil masa sekitar dua jam lebih kalau tak silap. Tidak dinafikan juga banyak kenderaan lain bergiliran sama ada basuh, wax dan polish atau pakej. Di dalam bilik menunggu, ada pula gitar mungkin milik salah seorang pekerja mereka. Asalnya tidak berani nak sentuh, tapi ada seorang pekerja tu masuk ke bilik menunggu dan menyuakan gitar. Apa lagi, kegirangan lah Mustafa.. Memang dia layan betul dengan gitar tu..
Epilog
Setiap sesuatu rawatan atau service kereta pastinya akan melibatkan kos tertentu. Itulah aturan alam. Terdapat diskaun yang diberikan dengan pilihan service wash, vacuum, silicon wax + coating dan polish 3 layer treatment. Tapi aku rasa yang diorang betul-buat ialah wash, vacuum, silicon wax dan polish 3 layer treatment dengan jumlah keseluruhan RM250. Walaupun aku rasa dia buat macam baru dua layer sahaja, tiada coating (seperti yang telah dimaklumkan hakikat sebenar service coating ini). Apapun, ini semua pengalaman dan pengetahuan. Aku terima seadanya service ini dan akan melihat tempoh sebulan mendatang. Pekerja maklumkan dalam masa beberapa tempoh mendatang jika dan basuh kereta jangan gunakan bahan chimical melainkan sabun dan air sahaja atau air sahaja. Padahal sabun itu pun sebahagian bahan kimia juga kan..
Di bawah ini gambar sebelum dan selepas rawatan atau service polish.
Akan datang lebih berhati-hati dengan pengalaman dan pengetahuan yang ada. Moga polish ini tetap kekal dan harta kereta ini sentiasa dalam lindungan Allah SWT.
Hidup perlu bersyukur..
Bandar Baru Bangi,
23 Jamadil Awwal 1444H.
Comments