MALAIKAT DAN TUGAS-TUGASNYA

Pendahuluan

Allah SWT Tuhan sebagai pencipta atau khaliq yang Maha Berkuasa menjadikan seluruh alam ini yang merangkumi segala sesuatu yang berada di bumi, di dalamnya atau di langir serta segala sesuatu yang berada di antara keduanya. Meliputi segala apa yang boleh dilihat dengan mata kasar atau tidak mampu dilihat iaitu bersifat ghaib. Sesuatu yang melampaui masa sama ada yang telah lepas, sedang berlaku dan akan berlaku. Semua ciptaanNya itu merupakah makhluq, bersfiat fana’ iaitu akan binasa sedangkan Ia tetap wujud dengan sifatNya baqa’. Semua makhluq tunduk di bawah kekuasaan dan suruhanNya serta peraturanNya.

Firman Allah SWT dalam surah al-An’aam (6) ayat 102 yang bermaksud:

“Yang demikian (sifat-sifatNya dan kekuasaanNya) ialah Allah Tuhan kamu, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, maka beribadatlah kamu kepadaNya. Dan (ingatlah) Dia lah yang mentadbirkan segala-galanya.”


Manusia berada di bawah dua kekuatan naluri iaitu naluri yang membina sifat ketundukan, kepatuhan dan ketaatan, melalui akal yang waras iaitu mampu membezakan antara baik dan buruk, betul dan salah serta sebagainya. Naluri yang  kedua ialah naluri  yang merosakkan dan meruntuhkan iaitu ketundukan di bawah tuntutan hawa nafsu. Contoh naluri ini seperti membunuh atau menumpahkan darah, melakukan kerosakan, meruntuhkan keamanan serta memusnahkan kehidupan individu, keluarga, masyarakat dan alam keseluruhannya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Zalzalah (99) ayat 6-8 yang bermaksud:

Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) - untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka. Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

Naluri yang pertama merupakan fitrah manusia atas kedudukannya sebagai makhluq. Manakala naluri yang kedua hasil daripada kesesatan dan kepesongan daripada kebenaran disebabkan belitan nafsu dan hasutan syaitan. Naluri fitrah tersebut adalah seperti dalam firman Allah SWT dalam surah al-A'raaf (7) ayat 171 yang bermaksud:

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): "Bukankah Aku tuhan kamu?" Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini".

Tujuan Manusia Diciptakan

Terdapat satu tujuan agung penciptaan manusia oleh Allah SWT dan satu fungsi utama manusia ini diamanahkan di atas muka bumi. Tujuan agung tersebut ialah seperti firman Allah SWT dalam surah adz-Dzaariyaat (51) ayat 56 yang bermaksud:

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”

Manakala fungsi utama penciptaan manusia di atas muka bumi ini ialah ditugaskan sebagai khalifah melalui firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah (2) ayat 30 yang bermaksud:

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".”

Berdasarkan kepada tujuan agung serta fungsi utama manusia itu tadi, ternyatakan bahawa cara yang paling baik dan berkesan menyelamatkan individu hamba dan manusia itu tadi, seterusnya menyelamatkan keluarga, masyarakat, negara dan dunia ini adalah beriman dengan iman yang bnar, sejati dan ikhlas kepada Allah SWT. Hanya dengan iman ini sahajalah akan wujudnya hubungan kepada Tuhan sekalian alam ini, Dia yang sentiasa mengawasi dan menguasai segala sesuatu di alam ini.

Iman Seseorang Hamba

Sebelum membahaskan perihal malaikat, hendaklah diketahui terlebih dahulu apa yang dimaksudkan sebagai iman. Iman berasal daripada perkataan Arab [a.mi.na] bermaksud aman atau membentuk suatu keadaan yang aman, tenteram dan harmoni (Haron Din, 1988). Di dalam perhabasan ilmu tauhid atau akidah, iman bermaksud membenarkan dengan hati, berikrar dan melafazkan dengan lidah atau perkataan serta seterusnya beramal dengan apa yang dibawakan oleh Allah SWT sebagai petunjuk serta ajaran-ajaran agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW sebagai Nabi dan Rasul penutup.

Bagi memenuhi keimanan tersebut, maka seseorang manusia hendaklah mengakui dan bersaksi bahawa Islam adalah agama yang benar, membuktikan dengan pernyataan lidah segala kebenaran beragama serta melaksanakan dengan perbuatan semua tuntutan-tuntutan agama ke atas dirinya.  Sekiranya tiada ketiga-tiga elemen ini, maka tidaklah sempurna agama Islam di dalam diri seseorang.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud (Haron Din, 1988):

“Bukanlah iman itu dengan cita-cita dan perhiasan, tetapi ialah apa yang tersemat di hati dan dibuktikan dengan perbuatan.”

(Riwayat sebahagian ahli sunan) 

Antara keperluan yang paling utama ialah beriman dengan perkara ghaib. Beriman kepada perkara ghaib menjadi garis perbezaan di antara manusia dengan haiwan. Haiwan hanya dapat mengetahui setakat apa yang dapat dicapai oleh pancainderanya sahaja. Sedangkan manusia mampu mentafsirkan segala yang sabit perihal sesuatu kewujudan dan ialanya adalah lebih luas dari apa yang dapat dicapai dengan pancaindera semata-mata. Manusia harus menyedari bahawa segala perkara ghaib yang ada di luar alam zahir ini adalah lebih luas dari apa yang boleh dicapai dan ditaakul oleh akal mereka.

Tenaga dan kemampuan akal di sebalik keterbatasan dan kelemahan yang dikurniakan Allah kepada manusia adalah patut digunakan untuk menjalankan tugas mengatur kehidupan alam ini dengan cara memerhati, mengkaji dan mengambil kesimpulan, lantas mengambil tindakan yang sebaiknya untuk mencapai lebih kemakmuran di atas muka bumi ini. Ia adalah keutamaan bagi menyelamatkan tenaga akal yang terbatas itu dari terbuang dengan perkara yang sia-sia. Ternyatalah di sini bahawa sebarang usaha untuk mengetahui perkara-perkara yang di luar kemampuan jangkauan pemikiran manusia termasuk alam Malaikat dengan tenaga dan limitasi yang terhad, berserta batasan-batasan hidup di bumi ini tanpa panduan Al-Quran dan Sunnah Nabi SAW adalah suatu usaha yang sia-sia yang akhirnya akan menemui kegagalan.

Pegangan akidah ahli sunnah wal jamaah adalah tertakluk kepada enam rukun iman iaitu beriman kepada Allah SWt, beriman kepada para malaikat, beriman kepada kitab-kitab, beriman kepada para rasul, beriman kepada hari kiamat dan beriman kepada qadha’ dan qadar Allah SWT (Sa’id, 1997).

Beriman Kepada Malaikat

Kewujudan malaikat tidak dapat dikesan dan dibuktikan dengan penyelidikan dan pemikiran tanpa panduan dan suluhan wahyu Allah SWT dan sabdaan Nabi SAW. Kedua-dua sumber ini adalah benar dan tidak palsu serta dusta. Manusia tidak boleh menafikan kewujudan malaikat semata-mata mereka tidak dapat melihat malaikat dengan pandangan mata kasar mereka. Kelemahan tahap pemikiran manusia tidak boleh menjadikan sandaran serta hujah untuk membuktikan bahawa malaikat itu tidak wujud.

Kuasa Allah SWT sama sekali tiada batasan. Sekiranya manusia tidak mempercayai kewujudan malaikat seolah-olah telah menafikan kekuasaan Allah SWT untuk menjadikan sesuatu apa pun atas kehendakNya. Tidak bermakna sesuatu yang ghaib atau tidak mampu dilihat manusia bermakna perkara itu tidak wujud. Anggapan ini sama sekali tidak benar kerana ia membawa kepada natijah pemikiran bahawa Allah SWT terikat dengan batasan-batasan pengetahuan dan pemikiran manusia. Al-Quran ada dinyatakan sifat-sifat orang bertakwa, antaranya ialah beriman kepada perkara-perkara ghaib. Firman Allah dalam surah al-Baqarah (2) ayat 3 yang bermaksud:

“Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.”

Beriman dengan perkara ghaib serta beriman kepada malaikat merupakan sebahagian daripada pegangan Ahli Sunnah wal Jama’ah (Siradjuddin, 1984).

Menurut ilmu bahasa Arab (lughawi), kata “malaikah” merupakan kata jamak dari kata “malak” yang berarti kekuatan, yang berasal dari kata masdaralalukah”, yang berarti risalah atau misi. “Sang pembawa misi” biasanya disebut dengan al-Rasul (utusan). Di dalam beberapa ayat al-Quran, malaikat juga disebut dengan “rusul” (utusan) seperti firman Allah SWT dalam surah Huud (11) ayat 69.

Dalil Beriman Kepada Malaikat

Beriman dan percaya kepada wujudnya malaikat adalah salah datu rukun iman dalam agama Islam. Beriman kepada malaikat termasuk dalam perkara-perkara ghaib dan perihal tentangnya banyak diketahui melalui cara sam’iyyat. Yakin dan percaya dengan perkara ghaib adalah petanda utama ciri-ciri orang bertakwa.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah (2) ayat 285 yang bermaksud:

“Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya. (Mereka berkata): "Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya". Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami, dan kepadaMu jualah tempat kembali".”

Beriman kepada malaikat merupakan salah satu daripada kebaikan, selari dengan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah (2) ayat 177 yang bermaksud:

“Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi ...”

Sedangkan orang yang tidak beriman dengan malaikat Allah SWT, lantas memusuhinya, mereka akan memperoleh azab. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah (2) ayat 98 yang maksudnya:

“Sesiapa memusuhi Allah (dengan mengingkari segala petunjuk dan perintahNya) dan memusuhi Malaikat-malaikatNya dan Rasul-rasulNya, khasnya malaikat Jibril dan Mikail, (maka ia akan diseksa oleh Allah) kerana sesungguhnya Allah adalah musuh bagi orang-orang kafir.”

Malaikat Lambang Kekuasaan Allah SWT

Malaikat menjadi lambang kekuasaan dan keagungan Allah SWT melalui tugas serta peranan yang diberikan oleh Allah SWT kepada mereka. Para malaikat menjadi hamba yang bekerja atas arahan Allah SWT dalam keteraturan dan kesempurnaan perjalanan alam ini. Penciptaan malaikat membuktikan kehendakNya yang tidak boleh dinafi dan dipertikaikan, lantas membuktikan betapa tersusun dan maha disiplin Allah dalam menguruskan alam ini walaupun Dia mampu melakukan sesuatu tanpa Malaikat.

Mengenai bilangan para Malaikat, ia amat banyak sehingga tidak diketahui jumlahnya melainkan Allah. Tiap-tiap seseorang mukallaf diwajibkan beriman kepada Malaikat dengan cara ijmal atau umum tanpa perlu memperincikan bilangannya (Jabatan Mufti Negeri Terengganu, 2022). Menurut sesetangah pandangan, malaikat Munkar dan Nakir itu hanya dua orang, manakala pendapat yang lain menyatakan seramai orang yang mati kerana akan datang setiap orang yang mati itu dua malaikat. Allah SWT juga  menjadikan dua malaikat kepada setiap mukallaf untuk mencatat amalan mereka (kiraman katibin) (Syeikh Daud, 2013).

Setiap mukallaf wajib beriktikad bahawa bilangan malaikat itu adalah sangat banyak serta tiada seorang pun mengetahui bilangannya secara lengkap dan tepat melainkan Dia (Mohd Ziadi, 2000).

Kejadian Malaikat

Malaikat dijadikan dari cahaya atau nur dan mereka sejenis makhluk yang ghaib yang tidak dapat diketahui keadaan mereka dengan pancaindera lahiriah kecuali melalui jelmaan atau samaran sebagai makhluk yang wujud secara fizikal. Haron Din (1988), Hamzah (t.th) dan Mulyana Abdullah (2018) membawa riwayat daripada Muslim, menyatakan telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Rafi' dan Abdu bin Humaid, berkata Abdu, telah mengkhabarkan kepada kami, sedangkan Ibnu Rafi' berkata, telah menceritakan kepada kami Abdurrazzaq, telah mengkhabarkan kepada kami Ma'mar dari Az Zuhri dari Urwah dari Aisyah RA. berkata: Rasulullah SAW bersabda:

“Dijadikan malaikat daripada cahaya dan dijadikan jin daripada percikan api dan Adam diciptakan dari apa yang telah diterangkan kepadamu.”

Kejadian malaikat telah ditetapkan kedudukan dan tugasan mereka masing-masing. Tiada sebarang keingkaran dan persoalan berkenaan dengannya, melainkan semua malaikat ini patuh dengan taat ketetapan Allah SWT tersebut. Firman Allah SWT dalam surah al-Saaffaat (37) ayat 164-166 yang bermaksud:

“(Malaikat pula menegaskan pendirian mereka dengan berkata): "Dan tiada sesiapapun dari kalangan kami melainkan ada baginya darjat kedudukan yang tertentu (dalam menyempurnakan tugasnya). "Dan sesungguhnya kamilah yang sentiasa berbaris (menjunjung perintah dan beribadat), "Dan sesungguhnya kamilah yang sentiasa bertasbih (mensucikan Allah dari sebarang sifat kekurangan)!"

Rupa dan Sifat Malaikat 

Di dalam kitab al-Din al-Islamiy (Haron Din, 1988), Nasruddin Razak menjelaskan bahawa malaikat merupakan makhluk yang sangat kuat. Malaikat mempunyai sayap-sayap yang sangat bayak menyebabkan mereka mempu membuat pergerakan yang tangkas dan pantas. Firman Allah SWT dalam surah Faathir (35) ayat 1 yang bermaksud:

“Segala puji tertentu bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, yang menjadikan malaikat utusan-utusan yang bersayap: dua, tiga dan empat; Ia menambah pada bentuk kejadian makhluk yang diciptakanNya apa jua yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

Malah, gambaran kepantasan ini disebut di dalam Al-Quran melalui firman Allah SWT di dalam surah al-Ma’arij ayat 4 yang bermaksud:

“Yang dilalui oleh malaikat-malaikat dan Jibril ke pusat pemerintahanNya (untuk menerima dan menyempurnakan tugas masing-masing, terutama) pada satu masa yang adalah tempohnya (dirasai oleh orang-orang yang bersalah) 50 ribu tahun, (kerana banyak hitungan hisab dan berat soal jawabnya).”

Said bin al-Musaiyab berkata (Jabatan Mufti Negeri Terengganu, 2022; Mohd Ziadi, 2000) bahawa mereka itu bukan lelaki dan bukan perempuan, mereka tidak makan, tidak minum dan tidak tidur, menyampaikan segala khabar berita. Bagi mengenal Malaikat selanjutnya, maka bolehlah dikatakan bahawa mereka adalah jenis makhluk yang dilengkapkan oleh Allah dengan segala persediaan untuk mematuhi perintah Allah semata-mata. Maka dengan itu, mereka tidak akan pernah menderhaka kepada Allah sekali-sekali. Firman Allah dalam surah al-Nahl (16) ayat 49-50 yang bermaksud:

“Dan bagi Allah jualah tunduk sujud apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dari makhluk-makhluk yang bergerak serta malaikat; sedang mereka (malaikat-malaikat itu) tidak berlaku sombong takbur (daripada beribadat dan sujud kepadaNya). Mereka takut kepada Tuhan mereka yang mengatasi mereka (dengan kekuasaanNya), serta mereka mengerjakan apa yang diperintahkan.”

Para malaikat tidak ditetapkan jenis kelamin dalam penciptaan meraka oleh Allah SWT seperti dalam firmanNya dari surah al-Najm (53) ayat 27 yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat sahajalah, yang tergamak menamakan malaikat itu dengan nama perempuan.”

Malaikat semestinya tidak mampu dilihat dalam keadaan biasa, namun meraka boleh menjelma dalam apa jua bentuk yang baik seperti manusia dengan kehendak Allah SWT, lantas menyebabkan manusia mampu melihat mereka. Ini jelas melalui kalamullah dan sabdaan Nabi SAW.

Allah SWT berfirman dalam surah Maryam ayat 16 sehingga 17 berkenaan kisah Maryam yang bermaksud:

“Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab Al-Quran ini perihal Maryam, ketika dia memencilkan diri dari keluarganya di sebuah tempat sebelah timur. Kemudian Maryam membuat dinding untuk melindungi dirinya dari mereka maka Kami hantarkan kepadanya: Roh dari kami (iaitu malaikat Jibril) lalu ia menyamar diri kepadanya sebagai seorang lelaki yang sempurna bentuk kejadiannya.”

Di dalam hadis, dikisahkan pertemuan Jibril AS mengajarkan Nabi Muhammad SAW tentang iman, islam, dan ihsan yang cukup masyhur. Dalam kitab Sahih Muslim, Imam Muslim meriwayatkan sebagai berikut:   

“Suatu ketika para sahabat sedang duduk bersama Rasulullah Muhammad SAW. Tiba-tiba muncul seorang laki-laki yang mengenakan pakaian berwarna sangat putih dan berambut sangat hitam menghampiri Rasulullah. Kemudian laki-laki tersebut bertanya kepada Rasulullah tentang Islam, iman, dan ihsan. Di depan para sahabatnya, Nabi Muhammad lantas menjawab pertanyaan laki-laki tersebut. “

Dari Umar bin al-Khathab, dia menceritakan detik itu:

“Suatu ketika kami para sahabat duduk di dekat Rasulullah, tiba-tiba muncul seorang lelaki dengan pakaian sangat putih dan berambut hitam, tidak ada tanda-tanda bekas perjalanan darinya dan tidak ada seorang pun dari kami yang mengenalnya. Lelaki itu segera duduk di hadapan Nabi Muhammad, kemudian lututnya disandarkan ke lutut Nabi dan meletakkan kedua tangannya di atas paha Nabi”.

 

Kemudian dia berkata: “Wahai Muhammad, beritahu kepadaku tentang Islam”.” 

Di dalam kitab al-Jawahirul al-Kalamiyah ayat 15 (Hamzah, t.th) menyatakan:

“Mereka (malaikat) itu adalah jisim-jisim yang halus, dijadikan daripada cahaya, tidak makan dan tidak minum, mereka adalah hamba-hamba yang dimuliakan, tidak menderhakai Allah dalam melaksanakan apa-apa yang diperintahkan kepada mereka, dan mereka mengerjakan apa-apa yang diperintahkan kepada mereka”

Tugas dan Peranan Para Malaikat

Malaikat secara umum mempunyai pelbagai tugasan. Ada yang ditugaskan menggerakkan cakerawala, menurunkan hujan, mengatur rezeki, menumbuh dan menyuburkan tumbuh-tumbuhan dan tanam-tanaman, menghala dan menahan segala angin dan awan, menjaga dan menguasai gunung ganang, bukit-bukau, lautan dan selainnya. Antara tugasan malaikat yang dinyatakan di dalam al-Quran adalah seperti berikut:

Malaikat menunaikan solat, firman Allah SWT dalam surah Ali ‘Imran (3) ayat 39 yang bemaksud:

“Lalu ia diseru oleh malaikat sedang ia berdiri sembahyang di Mihrab, (katanya): "Bahawasanya Allah memberi khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakanmu seorang anak lelaki bernama) Yahya, yang akan beriman kepada Kalimah dari Allah, dan akan menjadi ketua, dan juga akan menahan diri dari berkahwin, dan akan menjadi seorang Nabi dari orang-orang yang soleh".”

Malaikat bertasbih kepada Allah SWT seperti dalam surah al-Ra’d (13) ayat 13 yang bermaksud:

“Dan Dia lah juga yang guruh dan malaikat bertasbih memujiNya, kerana takut kepadaNya. Dan Dia lah juga yang menghantarkan petir, lalu Ia mengenakan dengan panahannya kepada sesiapa yang dikehendakinya Dan mereka yang ingkar itu membantah (serta mendustakan Rasul) mengenai perkara yang berhubung dengan Allah (dan kuat kuasaNya) Padahal Ia Amat keras azab seksanya.”

Menyampaikan pengkhabaran dari sisi Allah SWT seperti firmanNya dalam Ali ‘Imran (3) ayat 42 yang bermaksud:

“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika malaikat berkata: "Wahai Maryam! Sesungguhnya Allah telah memilihmu, dan mensucikanmu, dan telah memilihmu (beroleh kemuliaan) melebihi perempuan-perempuan seluruh alam (yang sezaman denganmu).”

Malaikat berperanan sebagai saksi kebenaran Al-Quran seperti dalam firman Allah SWT dalam surah al-Nisaa’ (4) ayat 166 yang bermaksud:

“(Orang-orang kafir itu tidak mahu mengakui apa yang telah diturunkan Allah kepadamu wahai Muhammad), tetapi Allah sentiasa menjadi saksi akan kebenaran Al-Quran yang telah diturunkanNya kepadamu. Allah menurunkannya dengan ilmuNya, dan malaikat juga turut menjadi saksi. Dan cukuplah Allah menjadi saksi (akan kebenaran Al-Quran ini).”

Malaikat ditugaskan mengambil nyawa seperti firman Allah SWT dalam surah al-Nahl (16) ayat 32 yang bermaksud:

“(Iaitu) mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan mereka bersih suci (dari kufur syirik dan maksiat), sambil malaikat itu berkata kepada mereka: "Selamat sejahtera kepada kamu; masuklah ke dalam syurga disebabkan amal baik yang telah kamu kerjakan".”

Bagi setiap seorang manusia, ada malaikat yang menjaganya silih berganti seperti firman Allah SWT dalam surah al-Ra’d ayat 11 yang bermaksud:

“Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah ...”

Akidah ahli sunnah wal jamaah beriman bahawa pada setiap malam ada malaikat yang sentiasa mendampingi manusia selama hidupnya yang dipanngil sebagai al-hafazah seperti yang dinyatakan dalam kitab ‘Aqidatun Najin (Mohd Ziadi, 2000)

Malaikat ditugaskan mencatat amalan manusia, firman Allah SWt dalam surah al-Infital (82) ayat 10 sehingga 13 yang bermaksud:

“Padahal sesungguhnya, ada malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawas segala bawaan kamu, (Mereka adalah makhluk) yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal-amal kamu); Mereka mengetahui apa yang kamu lakukan. (Gunanya catitan malaikat-malaikat itu ialah: untuk menyatakan siapa yang berbakti dan siapa yang bersalah) - kerana sesungguhnya: orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada dalam Syurga yang penuh nikmat;”

Ada juga malaikat yang diciptakan dengan tugasan menanggung ‘arasy Allah SWT melalui firmanNya dalam surah al-Haaqqah ayat 16 sehingga 17 yang bermaksud:

“Maka pada saat itu berlakulah hari kiamat, - Dan terbelahlah langit, lalu menjadilah ia pada saat itu reput (dan runtuh), Sedang malaikat-malaikat (ditempatkan) mengawal segala penjurunya, dan Arasy Tuhanmu pada saat itu dipikul oleh lapan malaikat di atas malaikat-malaikat yang mengawal itu.”

Malaikat juga ditugaskan menjaga dan mengawal neraka seperti dalam firman Allah SWT dari surah al-Tahrim (66) ayat 6 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”

Malaikat menjadi tentera dan membantu dalam jihad peperangan seperti firman Allah SWT dalam surah Ali ‘Imran (3) ayat A-li'Imraan ayat 126 yang bermaksud:

“Dan Allah tidak menjadikan bantuan tentera malaikat itu melainkan kerana memberi khabar gembira kepada kamu, dan supaya kamu tenteram dengan bantuan itu. Dan (ingatlah bahawa) pertolongan yang membawa kemenangan itu hanya dari Allah Yang Maha kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

Malaikat juga ditugaskan memberi keteguhan iman dan ketenangan hati orang-orang yang beriman. Ini dapat dijelaskan melalui firman Allah SWT dalam surah al-Anfaal (8) ayat 12 yang bermaksud:

“(Ingatlah) ketika Tuhanmu wahyukan kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku menyertai kamu (memberi pertolongan), maka tetapkanlah (hati) orang-orang yang beriman. Aku akan mengisi hati orang-orang yang kafir dengan perasaan gerun; oleh itu, pancunglah leher mereka (musuh) dan potonglah tiap-tiap anggota mereka".”

Terdapat juga malaikat yang ditugaskan meniup sangka kala, seperti firman Allah SWT dalam surah al-Zumar (39) ayat 68 yang bermaksud:

“Dan sudah tentu akan ditiup sangkakala, maka pada waktu itu matilah makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali sesiapa yang dikehendaki Allah (terkemudian matinya); kemudian ditiup sangkakala sekali lagi, maka dengan serta merta mereka bangun berdiri menunggu (kesudahan masing-masing).”

Berkenaan hal ini, Nabi SAW bersabda (Siradjuddin, 1984) yang bermaksud:

“Malaikat Israfil itu peniup sangka kala.”

Malaikat juga sebagai makhluk yang dijadikan daripada cahaya, ilmu pengetahuan yang benar juga dianggap sebagai cahaya yang menerangi kegelapan, maka tidak hairanlah malaikat akan menghormati dan bersama-sama di dalam majlis orang yang menuntut ilmu (Mohd Ziadi, 2000). Ini jelas melalui sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi dan Abu Daud yang bermaksud:

“Sesungguhnya malaikan menghamparkan sayap-sayapnya bagi penuntut ilmu kerana suka dengan apa yang dilakukan oleh penuntut itu.”

Antara sifat malaikat yang boleh diteladani seperti yang disenaraikan oleh Mulyana Abdullah (2018) ialah mentaati dengan penuh disiplin segala perintah Allah SWT, menghindari diri mereka daripada perilaku negatif iaitu mengingkari suruhan Allah SWT, rasa bertanggungjawab, mensucikan pujian kepada Allah SWT, mengajak kepada kebaikan, sentiasa berzikir dan beribadah kepada Allah SWT.

 Wajib Beriman dengan 10 Malaikat

Sepuluh Malaikat yang mesti diimani secara satu persatu dengan tugasan mereka iaitu (Mohd Ziadi, 2000):

Nama Malaikat

Tugas

Jibril

Menyampaikan wahyu

Mikail

Mengurus hal ehwal penghidupan

Israfil

Meniup sangkakala

‘Izrail

Mengetuai Malaikat-Malaikat yang mengambil nyawa

Ridhuan

Menjaga syurga

Malik

Menjaga neraka (Zabaniah)

Raqib

Menulis amal manusia (kiraman katibin)

‘Atid

Menulis amal manusia (kiraman katibin)

Munkar

Menyoal orang mati di alam barzakh

Nakir

Menyoal orang mati di alam barzakh

Kepentingan Beriman Kepada Malaikat

Di dalam enam rukun ini, hanya dua yang melibatkan perkara yang boleh dilihat secara pandangan kasar iaitu beriman kepada kitab-kitab dan beriman kepada rasul. Sedangkan empat lagi rukun termasuk dalam perkara ghaib yang hanya akan dapat dimengertikan melalui Al-Quran dan Sunnah Nabi SAW. Penciptaan malaikat lambang Maha Agung, Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui segala sesuatu melalyu tugas dan peranan para malaikat itu sendiri seperti yang telah dijelaskan di atas. Maka, barangsiapa yang mengingkari, mempersenda dan melawan kewujudan para malaikat berserta tugas-tugasnya yang telah dinyatakan, mereka adalah kufur. Ini jelas melalui firman Allah SWt dalam surah al-Baqarah (2) ayat 98 yang bermaksud:

“Sesiapa memusuhi Allah (dengan mengingkari segala petunjuk dan perintahNya) dan memusuhi Malaikat-malaikatNya dan Rasul-rasulNya, khasnya malaikat Jibril dan Mikail, (maka ia akan diseksa oleh Allah) kerana sesungguhnya Allah adalah musuh bagi orang-orang kafir.”

Berdalilkan ayat di atas, jelas menyatakan beriman kepada para malaikat menjadi salah satu sebab dari sudut sah dan batalnya iman seseorang selepas beiman kepada Allah SWT. Walaupun manusia wajib beriman dan mempercayai kewujudan dan tugas malaikat, haruslah berwaspada agar tidak meletakkan malaikat ke tahan ketuhanan dan pemujaan yang pastinya melanggari syariat Islam (Mohd Ziadi, 2000).

Rumusan

Keimanan kepada para malaikat jelas membuktikan bahawa alam ini turut dihuni dan didiami oleh makhluk-makhluk lain. Terlalu banyak bukti kekuasaan Allah menciptakan makhluk yang dapat dilihat oleh pandangan mata, namun lebih banyak lagi makhluk yang tidak dapat dilihat oleh pancaindera manusia. Sekiranya Allah mengizinkan untuk memperlihatkan setiap makhluk ini, maka semua manusia mampu melihatnya. Semoga keimanan kita kepada malaikat menjadikan kita hamba yang lebih taat dan berwaspada terhadap segala tingkah laku.

Semoga Allah merahmati kita semua dan menggolongkan kita dalam kalangan hambanya yang beriman dan beramal soleh.


Rujukan

Hamzah Ya’qub (Dr. Hj.). (t.th). Ilmu Makrifah Sumber Kekuatan & Ketenteraman Hati. t.tp: Darul Taqwa.

Haron Din (Prof. Dr.). (1988). Manusia dan Islam. Kuala Lumpur: Percetakan Watan Sdn. Bhd.

Mulyana Abdullah. (2018). Meneladani Sifat-Sifat Malaikat Allah Sebagai Bentuk Mengimani Adanya Malaikat. Jurnal Pendidikan Agama Islam - Ta’lim. 16(2): 147-156.

Mohd Ziadi Abdullah. (2000). Pegangan Sejati Ahli Sunnah wal-Jamaah. Satu Keluhuran dan Kemurnian Pegangan Hidup. Kuala Lumpur: Syathariyah Niagajaya Sdn. Bhd.

Sa’id bin Hj. Ibrahim (Hj.). (1997). Perbandingan Akidah dan Pahaman Umat Islam. Cetakan Pertama. Kuala Lumpur: Dar al-Ma’rifah.

Siradjuddin Abbas, K.H. (1984). I’tiqad Ahlussunnah wal-Jama’ah. Cetakan Ke-10. Jakarta: Pustaka Tarbiyah.

Syeikh Daud bin Syeikh Abdullah al-Fatani. (2013). Mutiara Berharga Pada Menyatakan Aqidah Orang Yang Beriman. Cetakan Pertama. Putrajaya: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Bibliografi

Jabatan Mufti Negeri Terengganu. (2022). Beriman Kepada Adanya Malaikat. Sila lihat di pautan http://mufti.terengganu.gov.my/index.php/perkhidmatan/unit-fatwa/kemusykilan-agama-islam/akidah-1/225-beriman-kepada-adanya-malaikat [Diakses pada 24 Oktober 2022].


Jika bejana ilmu itu sudi mencintaiku,

Akan ku serahkan segala kudrat dan masaku.

Ku mohon kau tetaplah di sisiku,

Akan ku ikrar bahawa kau segalanya buatku.


Hidup perlu bersyukur..


Bandar Baru Bangi,

28 Rabi'ul Awwal 1444H.

Comments