Sekadar catatan ringkas..
Pendahuluan
Berdasarkan carian di Google dengan menggunakan frasa “masalah (disiplin) di sekolah”, berikut adalah jumlah penemuan bahan terhadap tiga masalah disiplin; iaitu, buli (16,100), gangterisme (9,400) dan vandalisme (98,500). Jika frasa pencarian diubah kepada “masalah (disiplin) di sekolah pdf”, iaitu penemuan dalam bentuk dokumen penulisan jumlah bahan yang ditemui ialah; buli (160,000), gangterisme (5,480) dan vandalisme (54,800) [Carian dibuat pada 26 Ogos 2022, 5:50 sehingga 6:08 pagi]. Situasi ini jelas menggambarkan permasalahan yang berkait dengan disiplin di sekolah hangat diperkatakan. Itu belum lagi dibuat carian istilah melalui media-media sosial seperti di Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain.
Carian Google sekadar hiasan.
Justifikasi Masalah Buli
Sekolah merupakan sebuah institusi yang amat penting dalam negara. Di sinilah generasi pemimpin dan peneraju negara di masa hadapan dididik dan dibentuk. Bukan itu sahaja, institusi sekolah juga merupakan tempat memupuk dan membentuk jati diri serta patriotisme anak bangsa selain berfungsi sebagai tempat pendidikan akademik dan kemahiran.
Pemilihan permasalahan disiplin buli kerana ia boleh berlaku secara nyata dan tidak nyata, sama ada tempoh yang pendek mahupun tempoh yang panjang. Buli boleh berlaku di sebalik perwatakan pelajar walaupun seolah mereka sentiasa dalam keadaan baik, beretika dan berdisiplin ketika di kelas atau persekitaran sekolah. Situasi ini membezakannya dengan perlakuan gangsterisme dan vandalisme yang dilihat lebih nyata dan agresif. Sehubungan dengan itu, main di dalam kelas jika dilaksanakan dengan terancang, berperingkat dan komprehensif ia dapat dilihat mampu menyelesaikan masalah buli daripada akar umbi.
Definisi Buli
Pelbagai definisi buli boleh ditemukan daripada pelbagai sumber. Kamus Dewan Edisi Keempat (2022) memberi dua definisi [bu.li] iaitu; pertama - perbuatan mendera, mempermainkan seseorang supaya dapat menyesuaikan diri dengan suasana yang baru; dan kedua - membuli mempermain-mainkan orang, biasanya orang yang lemah, dengan tujuan untuk menggertak, mencederakan, menakutkan dan sebagainya orang yang berkenaan; pembuli (ialah) orang yg membuli orang lain. Di dalam laman portal Rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia atau MyHealth (2022), definisi buli dinyatakan sebagai sesuatu tindakan dengan niat untuk menyakitkan hati dan memberi tekanan kepada seseorang. Ia juga boleh dikatakan sebagai penderaan rakan sebaya (peer abuse). Buli melibatkan serangan fizikal dan ancaman, mencuri dan peras ugut, penderaan lisan termasuk mengejek isu perkauman dan gangguan seksual.
Ciri dan Jenis-jenis Buli
Khusus membicarakan berkenaan buli di sekolah, portal MyHealth (2022) memaklumkan tiada definisi yang seragam, namun menjelaskan ciri-ciri buli iaitu niat bermusuhan, ketidakseimbangan kuasa dan berulang dalam tempoh masa tertentu. Jenis-jenis buli yang berlaku di sekolah adalah seperti buli fizikal, buli lisan, buli berkaitan hubungan dan buli siber.
Buli fizikal adalah apa-apa buli yang melibatkan memukul, menendang, mencuri, menyembunyikan atau merosakkan harta benda orang lain atau memaksa mangsa buli melakukan perkara-perkara yang tidak diingini. Mangsa mungkin akan diejek, diseksa dan dipukul oleh rakan sekelas mereka sehingga kadang-kadang ia berakhir dalam keadaan tragis seperti kecederaan parah atau kematian. Buli lisan adalah jenis buli yang paling biasa berlaku melalui percakapan seperti mengusik atau menghina, menyebarkan khabar angin (fitnah), mengancam dan mengejek orang lain.
Buli berkaitan hubungan dilakukan dengan niat untuk membuat seseorang berasa terpinggir atau ditolak seperti dengan keengganan untuk bercakap dengan seseorang; atau menggalakkan orang lain untuk membuli dalam beberapa cara. Buli berkaitan hubungan tidak berlaku terang-terangan dan boleh terus berlaku untuk jangka masa yang lama tanpa diketahui. Buli siber pula berlaku melalui penggunaan teknologi seperti e-mel, mesej segera, laman rangkaian sosial, mesej teks dan telefon bimbit bertujuan untuk mengganggu, mengugut, memalukan atau menyasarkan orang lain.
Punca Buli
Antara punca buli yang berlaku di sekolah seperti yang diperoleh daripada kajian Nor Junainah Mohd Isa et. al. (2019) daripada perspektif guru ialah pembuli ingin menunjukkan kekuatan dan kehebatan, ingin membuktikan bahawa mereka ketua sebenar dan digeruni pelajar lain, mahu dilihat sebagai orang yang hebat selain ingin mencapai sesuatu dengan jalan mudah.
Faktor penyebab mangsa dibuli ialah suka menunjuk-nunjuk, sombong dengan kelebihan, anak manja dalam keluarga, serta tidak pandai bersosial dengan rakan, tingkah laku terpinggir dan tidak mempunyai rakan, tidak mampu membina kumpulannya sendiri. Akhirnya mereka menjadi mangsa buli apabila dilihat lemah dari segi fizikal dan mental. Manakala faktor luaran berlakunya buli adalah seperti latarbelakang keluarga bermasalah, pengaruh rakan sebaya, pengaruh media dan lain-lain. Antara permasalahan yang menjadi faktor sampingan serta dikenalpasti adalah kurang kesedaran dalam kalangan masyarakat sehingga ke lapis anak-anak berkenaan negatif perbuatan buli, kurang promosi mengatasi permasalan buli dan kurang didikan moral serta penghayatan elemen nilai dalam pengajaran dan pembelajaran (Nurul Farayantie, 2006).
Cadangan Penyelesaian Masalah Buli Melalui Main di Sekolah
Pelbagai kaedah boleh digunakan secara dasarnya untuk menyelesaikan masalah displin di sekolah. Antaranya ialah memupuk tingkah laku serta budaya hidup yang murni di samping mewujudkan persekitaran dan suasana yang kondusif ke arah pembentukan akhlak mulia. Para pelajar perlu diajar dan didedahkan untuk menerima dan menghayati nilai-nilai yang terdapat dalam adat resam dan institusi-institusi lain yang ada dalam masyarakat. Selain itu, sekolah perlu mempunyai strategi yang bersesuaian bagi melaksanakan dan mengawal perilaku disiplin (Chin Pek Lian et. al., 2005).
Sebagai usaha mengatasi dan mengekang masalah buli, aktiviti main di dalam kelas yang sesuai ialah bermatlamat menyemai semangat kekitaan antara pelajar yang terdiri daripada pelbagai latar belakang keluarga, cara hidup, berfikir dan tabiat atau perangai masing-masing. Aktiviti main yang dilaksanakan haruslah mampu membina disipin dan sahsiah pelajar yang kukuh selain penyertaan berasaskan kerelaan, kesedaran serta keseronokan dan bukannya paksaan. Hasil yang diharapkan ialah membina sikap dan keperibadian pelajar di sekolah serta mencegah mereka daripada terlibat kesalahan buli.
Contoh Main dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP)
Pendekatan main dalam PdP merupakan aktiviti yang dijalankan secara spontan seterusnya membawa kepada hasil pembelajaran. Main merupakan ekspresi kendiri yang kreatif dan perkembangannya paling jelas pada peringkat kanak-kanak. Main boleh menjadi penanda aras penting terhadap seseorang pelajar bagi perkembangan dan kekuatan sahsiah, daya cipta, kestabilan emosi, sosial dan intelek, di samping dapat memperkembangkan kekuatan fizikal, kordinasi dan ketangkasan mereka seperti yang dinyatakan oleh Caplan & Caplan.
Jerome Singer menganggap imaginative play sebagai usaha pelajar menggunakan kebolehan fizikal dan mental mereka dalam menyusun pengalaman. Melalui permainan, pelajar meneroka alam yang boleh menjadikan mereka berkebolehan dalam menghadapi masalah persekitaran dan boleh menjadikan mereka kreatif. Main dilihat mampu membangunkan daya imaginasi, intelektual, emosi dan sosial pelajar untuk menganggapi isu-isu buli seterusnya membuat pertimbangan agar tidak terjebak dengan masalah tersebut serta berfungsi sebagai pembimbing rakan sebaya sekiranya menghadapi permasalah buli di hadapan mata.
Kraus menegaskan bermain bukanlah satu aktiviti yang dipaksa malah merupakan keinginan semulajadi kanak-kanak. Bermain dianggap sebagai satu pekerjaan bagi pelajar tetapi bukanlah pekerjaan yang memerlukan hasil akhiran atau tujuan tertentu seperti yang dinyatakan oleh Kraus. Main atau bermain dalam PdP secara amnya boleh didefinisikan sebagai sebarang aktiviti yang memberikan kegembiraan dan kepuasan kepada pelajar tanpa menimbangkan apakah hasil aktiviti tersebut. Dengan lain perkataan, pelajar bermain bukan kerana menginginkan sesuatu atau mencapai tujuan tertentu.
Selain itu Mak Soon Sang menjelaskan main merupakan satu teknik mengajar yang memberi peluang kepada para pelajar melakukan sesuatu aktiviti secara berpura-pura di dalam keadaan terkawal. Belajar melalui bermain adalah satu pendekatan yang terancang dan berstruktur bagi memberi peluang kepada pelajar untuk belajar dalam suasana yang bebas dan selamat, menggembirakan dan bermakna. Pembelajaran melalui bermain akan mendatangkan keseronokan dan kepuasan serta berkesan dalam sesuatu pengajaran yang hendak disampaikan. Bermain mampu menghasilkan penguasaan dalam perkembangan intelektual, fizikal, emosi, bahasa, dan sosial terhadap pelajar.
Mewujudkan suasana permasalahan buli dengan menghadirkan pemikiran kritikal, pertimbangan emosi dan kesedaran sosial mampu membangkitkan kefahaman dan kesedaran pelajar terhadap negatif dan buruknya perbuatan buli. Apabila pemikiran tersebut tertanam dengan baik dalam sanubari dan jatidiri pelajar, diharapkan kelak ia mampu mengekang permasalah sosial dan isu disiplin buli ini dari terus berlaku dan menular dalam kalangan pelajar sama ada di dalam kelas dan kawasan sekolah atau di persekitaran luar.
Rumusan
Kebanyakan masalah jenayah di sekolah bermula dengan masalah buli. Keseriusan masalah buli di kalangan murid sekolah perlulah ditangani dengan segera. Jika tidak, ianya mungkin menjadi satu masalah besar kepada negara pada masa hadapan. Bagi mengatasi pemasalahan disiplin murid terutamanya buli memerlukan kerjasama erat dari pelbagai pihak. Para guru mempunyai tugas mengekang buli dari peringkat akar umbi iaitu dalam konteks pengajaran dan pembelajaran PdP di sekolah. Pengurusan sekolah yang berperanan utama haruslah mendapat sokongan daripada PIBG, NGO tempatan, pihak surau atau masjid, polis, rangkaian sekolah sama ada kerajaan atau swasta, kerajaan tempatan, negeri, media dan sebagainya. Sinergi secara bersepadu diperlukan agar aktiviti buli yang tidak sihat ini dapat dibendung semaksima mungkin seterusnya mengukuhkan kelestarian falsafah pendidikan negara dan mengukuhkan kemenjadian murid di peringkat sekolah.
Lampiran 1
Contoh RPH Main dalam PdP
Hari: Isnin
Tarikh: 3 Oktober 2022
Masa: 20 minit
Tajuk: Perbuatan negatif buli
Sub tajuk: Mencegah buli di sekolah
Aktiviti: Main peranan melalui Sosiodrama
Tunjang Utama: Tunjang Komunikasi Bahasa Malaysia
Standard Kandungan: Kemahiran bertutur
Standard Pembelajaran Utama: Melakonkan watak situasi buli di sekolah
Standard Pembelajaran yang disepadukan: Main peranan mengikut situasi dengan menggunakan bahasa yang sesuai untuk menghidupkan watak dengan bimbingan.
Objektif pembelajaran
Pada akhir pembelajaran:
- Murid dapat menggambarkan suasana buli di sekolah.
- Murid dapat berimaginasi situasi pembuli dan mangsa buli.
- Murid dapat bertutur menggunakan ayat yang mudah perihal buli.
- Murid dapat menunjukkan perasaan benci perlakuan buli apabila melakonkan watak tersebut.
- Murid dapat menghayati fenomena negatif buli dan menolak perbuatan buli dalam kehidupan
Peralatan dan bahan:
i) Kad bergambar, ii) Kad perkataan, iii) Set mainan, iv) Wang
Penerapan Nilai:
i) Mendengar arahan, ii) Menghormati sesama rakan, iii) Bekerjasama, iv) Sabar, v) Jujur, vi) Berani
Rujukan
Nor Junainah Mohd Isa, Mohd Sobri Ismail dan Amelia Mohd Noor. (2019). Masalah Buli Dalam Kalangan Pelajar: Apakah Kata Guru? Jurnal Perspektif. 11(2): 1-14.
MyHealth. (2022). Buli Di Sekolah. Kementerian Kesihatan Malaysia. http://www.myhealth.gov.my/buli-di-sekolah/ [Diakses pada 17/09/2022].
MyHealth. (2022). Buli. Kementerian Kesihatan Malaysia. http://www.myhealth.gov.my/buli/ [Diakses pada 17/09/2022].
______. (2022). Kamus Dewan Edisi Keempat di dalam Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM). https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=buli&d=175768& [Diakses pada 17/09/2022].
Nurul Farayantie Mohd Shahid. 2006. Kajian Masalah Buli Pelajar di Sekolah Menengah. Tesis Sarjana Muda Seni Gunaan dengan Kepujian (Teknologi Senireka). Universiti Malaysia Sarawak: Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif.
Chin Pek Lian et. al. (2005). Isu-Isu Masalah Disiplin Pelajar: Pendekatan Dan Penyelesaian. Seminar Pendidikan. Universiti Teknologi Malaysia: Fakulti Pendidikan.
Bibliografi
Yuthisdeeran A/L Maniam, Mages A/P Panjaman, Nurul Farhana Jumaat dan Nor Fadila Amin. (2018). Pendekatan Pembelajaran Melalui Bermain Untuk Meningkatkan Kemahiran Murid Membatangkan Suku Kata Terbuka Kv+Kv Menggunakan Teknologi Realiti Maya. Prosiding Inovasi dalam Pembelajaran dan Pengajaran (Jilid 1). Universiti Teknologi Malaysia: Fakulti Pendidikan.
Belajar melalui bermain. https://strategipdp18.wordpress.com/belajar-melalui-bermain/ [Diakses pada 18/09/2022].
Hidup perlu bersyukur..
Bandar Baru Bangi,
27 Safar 1444H.
Comments