Sorotan Ringkas Tokoh Psikologi Islam: Imam Al-Ghazali

Biodata Asas Imam Al-Ghazali

Imam al-Ghazali atau nama penuhnya Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Tusi al-Ghazali, dikenali juga sebagai Algazel di Barat (Rahman, Jihad Pendidikan: Satu Sorotan Kepada Autobiografi Al-Ghazali (1058M-1111M) Al-Munqidh Min Al-Dalal, 2014). Beliau lahir pada 450H atau 1058M seperti yang dinyatakan oleh Ibnu Jawzi, namun Griffel (Griffel, Al-Ghazali's Philosophical Theology, 2009) mencadangkan tarikh mengikut kiraan moden kelahiran beliau adalah pada tahun 448H atau bersamaan 1056M. Kelahiran beliau adalah di kota Ghazalah berhampiran Tus, Khurasan, bahagian Utara Iran. Kehidupan keluraga Imam al-Ghazali terutama ayahnya tidaklah mewah dan mempunyai banyak harta. Ayahnya hanya bekerja menenun kain dari bulu biri-biri dan hasil tenunan kainnya itu dibawa dari desa Ghazalah ke kota Tus untuk dijual di sana.

Sumber: Wikipedia

Namun, keluarga Imam al-Ghazali mempunyai latarbelakang berpegang teguh dengan ajaran agama. Ayahnya merupakan seorang yang jujur dan baik hati dan suka bergaul dengan para alim dan sering pula mendengar uraian-uraian daripada mereka. Ayahnya juga selalu bergaul dan mendampingi para sufi sambil memetik ilmu-ilmu agama serta berbakti dan berkhidmat kepada mereka. Setelah ayahnya meninggal dunia ketika umur Imam al-Ghazali sekitar enam tahun, beliau dan adik lelakinya yang bernama Ahmad hidup di bawah asuhan dan penjagaan seorang sahabat ayah mereka yang merupakan seorang ahli sufi. Setelah wang tanggungan kehidupan yang diwasiatkan oleh ayahnya habis, sahabat ayah tersebut menasihatkan mereka berdua supaya pergi ke Tus dan belajar dan menuntut ilmu di sana. Biodata Imam al-Gahazali ada diceritakan dalam kitab al-Imam al-Ghazali Hujjatu al-Islami wa al-Mujaddidu al-Miati al-Khamisah (al-Syami, 1993).

Pemerintahan Baghdad dan Khurasan ketika itu berada di bawah Dinasti Syiah al-Buwaihiyah teramsuklah Oman dan al-Jabal dengan pemerintahnya menggupakai gelaran amir al-umara’ yang berpusat di Parsi. Pemerintah Baghdad dan Khurasan ketika itu merupakan seorang raja yang bernama al-Malik al-Rahim bermula 440H sehinggalah dikuasai oleh tentera Seljuk sekitar tahun 447H (Munaimunah, 1987) bersamaan 1055M oleh antara pengasas Empayar Seljuk iaitu Abu Talib Muhammad Tughril ibn Mika'il atau dikenali sebagai Tughril 1. Beliau asalnya merupakan penghulu bagi bangsa Turkoman (Fleet, 2009) dan seterusnya mewujudkan Empayar Seljuk, memerintah empayar bermula 1037 sehingga 1063M. Dinasti Syiah al-Buwaihiyah berakhir sepenuhnya pada tahun 1062M. Pemerintahan Seljuk ini berada di bawah pentadbiran kerajaan Bani Abbasiyah dan situasi ini menandakan permulaan pengaruh Seljuk ke atas Khalifah. Imam al-Ghazali wafat pada 505H bersamaan 1111M.

Jadual 1: Ringkasan Hayat Imam al-Ghazali (al-Uthman, t.th)

Anggaran Tahun (Hijrah)

Peristiwa

450

Lahir di Tus

465

Pengajian ilmu dengan Sheikh Ahmad al-Razkani dan kemudian pergi ke Jurjan dan menuntut ilmu dengan Sheikh al-Isma’ili.

470

Kembali ke Tus dan menetap selama tiga tahun.

473

Pergi ke Naisabur dan menuntut ilmu dengan Abi al-Ma’ali al-Juwayni dan al-Farmadi

478

Selepas kewafatan al-Juwayni beliau ke al-‘Askar atas permintaan Nizam al-Mulk

Jamadil Awwal, 484

Diutus mengajar ke Baghdad

484 sehingga 488

Tempoh pengajarannya di Baghdad dan menjadi seorang yang terkenal dan disanjungi

488

Meninggalkan kerjaya pengajar, keluar dari Baghdad serta menunaikan haji. Seterusnya bermusafir ke Syam.

488-490

Berpindah randah antara Damsyiq, Baitul Muqaddis, Mekah dan Madinah

490

Kembali ke Baghdad dan kekal di sana. Tempoh pengajarannya dipermudahkan. Kemudian bermusafir ke Hamdan

493

Kembali ke Tus dan menetap di sana dalam tempoh yang lama

499

Mengajar di Madrasah Nizamiyah, Naisabur

503

Meninggalkan pengajaran dan kembali ke Tus

505

Wafat pada hari Isnin 14 Jamadil Akhir di Tus

 

Keilmuan Imam al-Ghazali

Imam al-Ghazali mula menuntut ilmu pada usia muda berumur sekitar 15 tahun iaitu pada 465H (al-Uthman, t.th) dengan mempelajari ilmu fiqah di Tus daripada Syeikh Ahmed Al-Radhkani. Kemudian pergi ke Jurjan dan menuntut ilmu dengan Syeikh Ismailiyah. Imam al-Ghazali kemudiannya berpindah ke Naisabur untuk menuntut ilmu dengan Imam al-Haramain Abu al-Maali al-Juwayni dan mempelajari sebahagian besar ilmu daripada gurunya ini.

Ketika umurnya baru mencapai 34 tahun sekitar 1091M, telahpun mencapai keharuman nama sebagai seorang sarjana. Imam al-Ghazali telah berpindah ke Baghdad apabila dilantik menjadi ketua kumpulan sarjana atau pakar hukum di Madrasah Nizamiyah, Baghdad oleh Nizam al-Mulk iaitu Perdana Menteri kesultanan Maliksyah dari Kerajaan Saljuk. Dalam tempoh itu, beliau menjadi sangat terkenal dan menjadi rujukan para penuntut ilmu dari seluruh negara sehingga dilaporkan bahawa lebih daripada 400 orang ternama dan ulama sedang duduk dalam majlisnya mendengar dan menulis syarahannya (al-Hanbali, 1986). Al-Ghazali dikurnia pelbagai gelaran dalam hidupnya. Beliau sempat mengajar di institusi tersebut selama empat tahun dan dalam tempoh itulah beliau menulis karyanya Maqasid al-Falasifah (Maksud Ahli Falsafah) dan Tahafut al-Falasifah (Kecelaruan Ahli Falsafah). Gelaran yang paling terkenal ialah Hujjatu al-Islam selain Zain al-Din, Muhajjatu al-Din, al-‘Alim al-Awhad, Mufti al-Ummah, Barakatu al-An’am, Imam A’immatu al-Din dan Syarfu al-A’immah (al-Syami, 1993).

Imam al-Ghazali merupakan sarjana atau tokoh dalam bidang fiqah, usul al-fiqh, falsafah dan kesufian. Beliau berpegang dengan mazhab Syafi’i dalam fiqah serta menyertai tarekat dalam kesufian. Imam al-Ghazali bermazhab al-Asya’irah dalam akidah, malah dikenali sebagai pengasas ilmu kalam dalam mazhab tersebut.  Beliau memberi peranan dan sumbangan yang sangat besar dalam bidang keilmuan Islam terutama dalam falsafah, fiqah mazhab Syafi’i, teologi, tasawwuf dan mantiq serta meninggalkan banyak penulisan dalam bidang-bidang tersebut (al-A'sam, 1998).

Ketokohan dan keilmuan al-Ghazālī tidak hanya diperakui oleh pengkaji Islam bahkan turut sama diiktiraf oleh pengkaji-pengkaji Barat seperti Montgomery Watt (Watt, 1953). Selepas mencipta nama untuk dirinya sebagai pengarang yang cekap karya akademik dalam pelbgai bidang ilmu, al-Ghazâlî telah menulis sekitar 1,095 buah buku untuk beliau menangani cabaran yang ditimbulkan oleh ahli falsafah dan oleh teologi daripada Syiah Ismaili (Griffel, al-Ghazali, 2007).


Teori-teori Psikologi

Psikologi berasal dari kata dalam bahasa Yunani Psychology yang merupakan gabungan dan kata psyche dan logos. Psyche berarti jiwa dan logos berarti ilmu, maka secara harfiah psikologi diertikan sebagai ilmu jiwa. Istilah psyche atau jiwa masih terlalu sulit didefinisikan kerana jiwa itu merupakan objek yang bersifat abstrak, ghaib dan sukar dimengerti kewujudannya. Sejak kebelakangan ini istilah jiwa sudah jarang dipakai dan diganti dengan istilah psikik. Psikologi dapat difahami sebagai ilmu yang mempelajari gejala-gejala kejiwaan dan dalam perkembangannya diertikan sebagai ilmu tentang tingkah laku manusia (Singgih, 1996).

Semua pendekatan psikologi mempunyai falsafahnya tersendiri sebagai titik permulaan tentang apa yang dimaksudkan sebagai manusia. Kepercayaan falsafah ini telah berubah secara dramatik mengikut masa dan saling berbeza. Kebimbangan utama ahli psikologi bagaimanapun kekal sebagai perbezaan antara manusia dan bukan manusia. Istilah psikologi masih belum wujud sebagai disiplin yang berasingan sehingga lewat 1800-an. Sejarahnya yang paling awal dikesan telah wujud ketika zaman Yunani awal iaitu Plato yang dikesan melalui perbahasan falsafah oleh al-Farabi, Ibnu Sina dan Ibnu Rusyd.

Semasa abad ke-17, seorang ahli falsafah Perancis bernama Rene Descartes (1596-1650M) memperkenalkan idea dualisme yang menegaskan bahawa minda dan badan adalah dua entiti yang berinteraksi untuk membentuk pengalaman manusia (Mehta, 2011). Rene Descartes mengahdapi dilema berkenaan masalah "mind-body" dalam falsafah. Walaubagaimanapun, beberapa bukti seolah-olah menunjukkan bahawa Descartes banyak dipengaruhi oleh tulisan al-GhazaIi. Lawatan seorang sarjana Tunisia ke perpustakaan Descartes di Paris mendedahkan bahawa dia memiliki salinan terjemahan buku al-Ghazali al-Munqidh min al-Dalal dengan komen tulisan tangan di tepi. Salah satunya ialah "ini harus diguna pakai dalam metodologi kami” (al-Qaradawi, 1993).

Pengamatan al-Ghazali yang mendalam berserta kritikan terhadap diri sendiri dengan membawa pelbagai pertimbangan baik dan buruk yang dilaluinya menterjemahkan suatu sisi pandang yang jelas berkenaan ilmu psikologi. Ini diperakui oleh William James seorang tokoh falsafah dan ahli psikologi Barat yang menjelaskan bahawa pengalaman yang telah direkodkan oleh al-Ghazali di dalam al-Munqidh min al-Ḍalāl adalah penting dengan menyatakan teks autobiografi ini penting bagi memahami tentang kekuatan pengalaman spiritual dalam agama di dalam bukunya Variety of Religious Experience (James, 2012). Teks autobiografi Imam al-Ghazali dilihat selari dengan Confession tulisan St. Agustine (354-430M) yang menceritakan tentang kegelisahan intelektual dan spritual (Fakhry, 1970).

Seorang ahli fisiologi Jerman bernama Wilhelm Wundt (1832-1920M) telah menggunakan kaedah penyelidikan saintifik untuk menyiasat tindak balas masa. Bukunya yang diterbitkan pada tahun 1873 bertajuk ‘Principles of Physiological Psychology’ menggariskan banyak hubungan utama antara sains fisiologi dan kajian pemikiran dan tingkah laku manusia (Blumenthal, 2001). Beliau telah menubuhkan makmal psikologi pertama di Leipzig pada tahun 1875. Pengaruhnya meluas di Jerman dan seterusnya merebak dengan cepat ke Britain dan Amerika Syarikat, di mana makmal-makmal psikologi model Wundt di Leipzig telah ditubuhkan (Silke Schmidt, 2005).

Sarjana muslim terutama yang berbicara tentang falsafah dan menyentuh konteks psikologi hari ini seperti al-Farabi, Ibnu Sina dan Ibnu Rusyd menganggap pencarian ilmu merupakan perintah Tuhan dan pengetahuan tentang jiwa dan khususnya akal, sebagai komponen penting dalam pencarian ini. Al-Ghazali menyebut tentang ketidakmampuan ahli falsafah adalah menjelaskan bahawa “jiwa manusia adalah zat rohaniah yang serba lengkap, lengkap, tanpa prejudis. Ia bukanlah jasad mahupun kesan dalam jasad, tidak pula bersambung dengan jasad dan tidak pula terpisah daripadanya" (al-Ghazali, Tuhafat al-Falasifah, t.th).

Al-Ghazali berpandangan bahawa istilah ‘diri’, ‘jiwa’ atau al-nafs ini digunakan dalam dua pengertian. Pertama, ia menjadi istilah umum yang membawa maksud padanya terkumpul sifat-sifat tercela terdiri daripada kekuatan kehaiwanan yang berlawanan dengan kekuatan pemikiran atau akal. Kedua, ia bermaksud jiwa atau al-nafs itu segala-galanya adalah hakikatnya, iaitu tempat yang dapat difahami dan ia dari alam kerajaan (al-Ghazali, Ma'arij al-Quds fi Madarij Ma'rifah al-Nafs, 1975). Jiwa, roh, hati dan akal adalah yang dimaksudkan dengan al-nafs/jiwa manusia, iaitu tempat yang boleh difahami (al-Ghazali, Ma'arij al-Quds fi Madarij Ma'rifah al-Nafs, 1975).

Al-Ghazali (al-Ghazali, Kimiya’ al-Sa’adah, t.th), menyandarkan setiap fenomena jasad kepada qalb. Beliau menghuraikan secara mendalam hakikat qalb dan perkara-perkara yang bersangkutan dengannya. Qalb terbahagi kepada fizikal dan spiritual. Qalb (fizikal) adalah merujuk kepada jantung. Manakala qalb (spiritual) merujuk kepada nafs atau roh. Qalb spiritual inilah menjadi momentum atau kuasa pendorong utama kepada jasad mausia. Kimiya’ al-Sa’adah adalah antara kitab terakhir yang dihasilkan al-Ghazali sebelum meninggal dunia (Bowering, 1995). Ia memfokuskan substansi dan nilai-nilai (Rahem, 2018).

Al-Ghazali juga menjelaskan bahawa interaksi antara akal dan nafsu menentukan akhlak seseorang. Tatkala akal mendominasi syahwat, maka akan muncul amalan terpuji. Sebaliknya, apabila syahwat yang mendominasi dan mengendalikan akal, maka hati pun akan menuruti kehendak syahwat. Natijahnya muncul akhlak atau amal yang jelek dari jasad tersebut (Mohd Khir Johari bin Abas & Aida Soraya binti Yusof, 2020).


Sumbangan Teori Psikologi Imam al-Ghazali

Imam al-Ghazali telah menggariskan tauladan melalui pembangunan diri secara komprehensif dalam membentuk asas dan kesungguhan berdasarkan teks autobiografinya iaitu mencari kebenaran dan memerangi kebatilan dan pemurnian hati serta pengukuhan nilai spiritual (Rahman, 2014). Sehubungan dengan itu al-Ghazali menjelaskan bahawa minda sangat berperanan terhadap jiwa kerana ia memliki kemampuan yang merangkumi keupayaan berfikir, berkhayal, berkata-kata dan menterjemah, bertindak melakukan sesuatu dan fungsi pancaindera (al-Ghazali, Mizan al-'Amal, 1964).

Seorang sarjana psikologi Barat iaitu Edward menjelaskan perbezaan antara ilmu psikologi dan kajian saintifik lain adalah berkenaan pemilihan subjek di mana psikologi terutamanya cenderung untuk memerhati dan memahami tingkah laku manusia (Edward, 1968). Beliau menambahkan bahawa salah satu tujuan Psikologi adalah untuk memahami, meramal dan mengawal fenomena seperti semua disiplin yang menggunakan kaedah saintifik (Fernald, Dogde & Fernald, P. S., 1996).

Sigmund Freud berpendapat watak semulajadi manusia adalah jahat (man is evil by nature), manakala golongan humanis berpendapat manusia asasnya adalah baik, namun hanya dari segi material dan fizikal. B.F. Skinner, seorang behavioris Amerika pula berpandangan manusia tidak mempunyai watak dasar (man has no nature), sementara Carl Rogers dengan pendekatan humanisnya beranggapan manusia baik secara dasarnya (man is good by nature). Berbeza dengan Imam al-Ghazali yang mengatakan bahawa watak manusia semulajadinya (by nature) adalah fitrah dan suci (spiritual goodnes). Ini menjadikan seseorang manusia mempunyai dua watak dasar (dual nature) iaitu baik dan jahat/buruk, iaitu penentuan baik dan buruk watak tersebut ditentukan oleh keadaan spiritualnya. Ini menjadikan watak seseorang manusia bukan bergantung kepada aspek penentuan biologi (biological determinism) seperti pendapat Sigmund Freud, atau lingkungan luar/persekitaran (environmental) seperti pandangan Skinner, atau diri sendiri (internal, self) seperti anggapan Rogers (Ali, 1995).

Tidak keterlaluan menyatakan sumbangan besar Imam al-Ghazali dalam konsteks psikologi berkait secara langsung dengan ilmu tasawwuf dan kebatinan. Walaupun istilah tasawwuf  ini digunakan secara khusus dalam dunia islam, namun peranan serta fungsi ilmu tersebut diiktiraf dan digunapakai di seluruh dunia. Pengistilahan dan perbahasan psikologi sebagai suatu bidang khusus yang tidak hanya berada dalam konteks falsafah oleh sarjana Barat menjadikan karya-karya sarjana Islam lalu digali dan dikaji semula untuk mengimbangi pembangunan dan pengukuhan ilmu psikologi ini. Tujuan utamanya adalah bagi meneroka psikologi dari perspektif Islam, namun tidak dinafi sumbangan tersebut digunapakai dan dirujuk oleh sarjana Barat juga untuk mereka lebih memahami dan mendalami perbahasan ilmu psikologi ini.

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan semua definisi tasawwuf Émenjurus kepada pengertian yang sama iaitu ilmu penyucian jiwa. “Samada ianya disebut tasawwuf, ihsan atau tazkiyyatu al-nafs, ia tetaplah membawa kepada maksud yang sama iaitu ilmu dan amal berhubung penyucian diri bagi mencapai maqam yang tertinggi dari sudut ruhiyyah dan mencapai redha Allah SWT”. Syeikh Muhammad Amin al-Kurdi mendefinisikan tasawuf adalah: “Suatu yang dengannya diketahui hal ehwal kebaikan dan keburukan jiwa, cara membersihkannya daripada yang tercela dan mengisinya dengan sifat-sifat terpuji, cara melaksanakan suluk dan perjalanan menuju keredhaan Allah dan meninggalkan larangannya.” (Lihat Tanwir al-Qulub fi Mu’amalah ‘Alam al-Ghuyub, m. 406) (Al-Afkar #86: Definisi Tasawwuf, 2022).

Dalam banyak kata Al-Quran menyebut kata manusia dengan segala penafsiran dan tujuannya seperti al-insan,  al-nas, al-basyar dan bani adam. Istilah-istilah ini kemudiannya diperincikan oleh al-Ghazali untuk mengetahui komponen atau eleman yang membentuk diri ‘seseorang manusia’ tersebut (Abdul Ghofur & Unisma Bekasi, 2018). Al-Ghazali membahaskan dalam bukunya Ihya’ Ulum al-Din bahawa terdapat empat unsur utama struktur manusia yang membentuk tingkah laku iaitu al-qalb, al-ruh, al-‘aql dan al-nafs (al-Ghazali, The Book of Knowledge, 1962). Penerokaan al-Ghazali perihal manusia ini memberi banyak jawapan dan membongkar permasalahan berkenaan sisi misteri manusia melalui perilaku-perilakunya yang hangat dibincangkan oleh sarjana psikologi Barat sehingga ke hari ini dan ilmu tasawwuf dan kebatinan (ta’limiyyah) dalam kalangan sarjana Islam. Teori dan penjelasan berkenaan diri manusia oleh Imam al-Ghazali memberi panduan kepada ahli psikologi dan ahli tasawwuf perihal keperluan pemahaman terhadap diri secara bersederhana, berpegang kepada ilmu yang benar, tidak fanatik, tidak bersikap melampau atau sehingga menyimpang daripada syariat Islam.


Sumbangan Teori Psikologi Imam Al-Ghazali kepada Bidang Pendidikan

Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang telah dirumuskan pada tahun 1988 secara holistik memberi penegasan dan komitmen yang tinggi terhadap keseimbangan, potensi dan kesejahteraan individu. Seseorang manusia merupakan komponen terkecil dalam membentuk sebuah masyarakat dan tamadun. Pelaksanaan falsafah ini sangat memerlukan pemahaman ilmu psikologi dan penghayatan terhadap ilmu tasawwuf bagi memastikan FPK ini mencapi hasilnya dalam konteks pembentukan karakter dan kemenjadian seterusnya memberi sumbangan kepada masyarakat.

Imam al-Ghazali menjelaskan pendidikan karakter perlu bermula pada zaman kanak-kanak kerana ia merupakan peringkat paling kritikal untuk pembentukan dan pembangunan karaker individu. Beliau memberikan lima kategori utama bagi membangunkan karakter individu iaitu: (a) disiplin diri; (b) penyempurnaan diri; (c) mengajar watak yang baik; (d) mengelakkan sahabat buruk; dan (e) pencegahan daripada gaya kehidupan mewah (al-Ghazali, The Alchemy of Happiness, 2007). Tidak hairanlah Abdullah Nasih Ulwan menegaskan pola asuhan anak dan didikan ibu bapa sebagai kaedah yang utama dalam membentuk karakter anak-anak. Hal ini juga selari dengan apa yang dinyatakan oleh Ibnu Sina iaitu untuk mengaplikasikan pembangunan karakter maka pendidikan mestilah diberikan perhatian dari segi kurikulum di usia kanak-kanak sehingga remaja (Sakinah & Rahimah, 2017).

Pandangan Imam al-Ghazali bahawa pembentukan peribadi dan personaliti bertujuan mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat boleh diterjemahkan dalam konteks Psiko Pendidikan karakter di mana seseorang individu mampu mencapai kebahagiaan melalui dua cara iaitu pengetahuan dan perbuatan. Perbuatan yang terbaik adalah mengikut Nabi SAW yang dipanggil husn al-khuluq (watak yang baik) (Sakinah Salleh & Awli Mohd Yunus, 2021). Teori psikologi Islam berpandangan pembangunan karakter individu juga dipengaruhi oleh keadaan persekitaran. Pengaruh persekitaran yang menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai ‘uswatun hasanah’ iaitu contoh teladan yang baik sama ada percakapan, perwatakan, amalan serta penampilan yang baik menjadikan pembangunan psiko-pendidikan karakter dalam teori psikologi Islam berada pada landasan yang kukuh. Hakikatnya, proses penerapan nilai amat penting dalam pembangunan psiko-pendidikan karakter yang berlaku melalui pendidikan secara langsung mahupun tidak langsung (Sakinah Salleh & Awli Mohd Yunus, 2021).

Pembentukan peribadi dan personaliti adalah selari dengan konsep kemenjadian murid yang dibahaskan pada hari ini. Ruzlan (2017) menjelaskan kemenjadian murid bermaksud kejayaan seseorang guru dalam mendidik muridnya menyebabkan muridnya dapat menguasai apa yang telah diajar, bukan sahaja dari segi nilai pendidikan bahkan nilai-nilai moral yang menjadikan murid itu sempurna. Kemenjadian murid sudah tentu mempunyai hubungan yang signifikan dengan kemenjadian guru. Keberhasilan untuk membentuk sahsiah pelajar dan memastikan proses kemenjadian pelajar menjadi satu realiti bergantung pada keupayaan guru melaksanakan tugas sebagai seorang guru 'sejati' ketika di sekolah (Zetty Nurzuliana Rashed & Ab Halim Tamuri, 2017).

Aspek-aspek yang dititikberatkan dalam kemenjadian generasi al-Quran (secara khusus dan pastinya kemenjadian seluruh murid secara umum) adalah adalah seperti berikut; pertama berkaitan dengan penghayatan ilmu, kedua adalah pembentukkan akhlak mulia, ketiga adalah peningkatan kecekapan dan kemahiran, keempat adalah pencapaian akademik manakala yang terakhir adalah aplikasi dalam kehidupan (Zetty Nurzuliana Rashed & Ab Halim Tamuri, 2017). Menurut Ibnu Sina bermula dari usia kanak-kanak mereka perlulah mula mempelajari al-Quran serta mengenali huruf ejaan dan menghafal syair melalui perpatah lalu qasidah (Sakinah & Rahimah, 2017). Ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak dengan ilmu agama supaya mereka dapat melakukan segala perintah dan meninggalkan larangan yang diperintah oleh Allah SWT.


Kritikan Terhadap Teori

Pada bahagian ini tidaklah dimaksudkan bahawa Imam al-Ghazali memberi kritikan terhadap teori-teori psikologi yang diuatarakan kerana teori tersebut wujud jauh terkemudian selepas tempoh hayat Imam al-Ghazali. Oleh yang demikian, bahagian ini hanya menjawab beberapa persoalan atau permasalahan yang wujud melalui teori psikologi yang diutarakan oleh tokoh psikologi Barat berdasarkan perspektif atau penegasan daripada Imam al-Ghazali.


1- Komentar Imam al-Ghazali terhadap Falsafah (Psikologi)

Antara peranan penting al-Ghazali ialah beliau memperkenalkan idea-idea Ibnu Sina ke dalam aliran Ahli Kalam dalam mazhab Asya’irah sehingga akhirnya idea tersebut diterima pakai oleh tradisi Ahli Kalam ialah berkenaan psikologi manusia dan penjelasan rasional kenabian (al-nubuwwah). Berdasarkan sebahagian teks Aristotle yang diterjemahkan, Ibnu Sina membangunkan ilmu psikologi yang menganggap kewujudan beberapa elemen jiwa manusia yang berbeza. Elemen-elemen ini lebih kuat atau lebih lemah pada setiap individu manusia. Kenabian adalah gabungan tiga elemen kemampuan yang dimiliki oleh para Nabi dalam bentuk keterikatan yang sangat kuat. Elemen pertama membolehkan para Nabi memperoleh pengetahuan teori dengan serta-merta tanpa belajar, kedua menjelaskan pengetahuan yang diterima melalui simbol atau dalam bentuk perumpamaan termasuk wahyu yang mengisahkan perkara yang akan datang dan ketiga untuk membawa kesan terhadap alam di sekeliling diri para Nabi tersebut seperti penurunan hujan dan kejadian gempa bumi. Hakikatnya, ketiga-tiga elemen ini wujud dalam diri setiap manusia dalam ukuran yang kecil (Griffel, al-Ghazali, 2007).

Antara lain, berdasarkan penentuan ontologi yang dilakukan oleh Ibnu Sina iaitu setiap kejadian di alam ini ciptaan adalah dengan sendirinya di luar kawalan (mumkim al-wujud bi-dzatihi) namun juga diperlukan oleh sesuatu yang lain (wâjib al-wujûd bi-ghayrihi). Kenyataan ini memberikan tafsiran yang sesuai tentang sesuatu ketentuan oleh Tuhan dan ia mudah diterimapakai oleh al-Ghazâlî walaupun dia tidak pernah mengakui atau menggunakan perbahasan Ibnu Sina tersebut. Ibnu Sina menyatakan kewujudan pertama adalah Tuhan dan seterusnya menjadikan semua makhluk dan kejadian lain perlu. Namun bagi al-Ghazali, setiap kejadian adalah kehendak Tuhan yang berbeza daripada zat-Nya, menjadikan semua makhluk dan peristiwa dalam penciptaan-Nya memerlukan-Nya. Selain itu, al-Ghazali melakukan penyesuaian andaian asas Ibnu Sina terhadap kosmologi serta menerima hampir keseluruhan idea psikologi dan kenabian yang dibawa oleh Ibnu Sina (Griffel, al-Ghazali, 2007).


2- Manusia Sebagai Seorang yang Rasional Versus Manusia Sebagai Mesin

Dehumanisasi secara besar-besaran demikian juga psikoanalisis dan behaviorisme telah membawa kepada kuasa ketiga dalam psikologi iaitu pendekatan humanistik. Ia merupakan sebagai tindak balas kepada determinisme biologi psikoanalisis dan determinisme alam sekitar behavioris. Kumpulan humanis menganjurkan pendirian nondeterminisme di mana mereka menekankan kebolehan manusia untuk mencipta dan mengarahkan nasib mereka sendiri. Bagi mereka manusia tidak dicipta oleh mana-mana makhluk dan manusia juga tidak berkembang daripada apa-apa. Manusia sangat bebas dan hanya diperlukan untuk memberi kehidupan dengan makna peribadi dan manusia mempunyai kapasiti tanpa had untuk pertumbuhan dan pembaikan diri. Secara ringkasnya, tuhan mereka adalah diri mereka sendiri. Akibatnya, matlamat seorang humanis adalah untuk menghabiskan masa dan berusaha untuk menerangkan apa yang seseorang mampu lakukan. Fahaman ini sangat berkait dengan fahaman kebebasan, humanistik psikologi, penolakan terhadap ketuhanan dan Darwinisme (Ali, 1995).

AI-Ghazali menyedari berabad-abad yang lalu bahawa perbincangan tentang isu fitrah manusia memaksa seseorang untuk segera menangani isu metafizik. Sepanjang karyanya, dia menegaskan batasan alasan sesuatu teori, sementara dia mengakui peranan kehendak dan pengalaman agama serta moral dalam usaha untuk memperoleh pengetahuan. Hakikatnya, persoalan berkenaan manusia sebagai sebagai seorang rasional atau sebagai mesin telahpun dijawab oleh al-Ghazali. Baginya apa-apa kisah tentang sifat semula jadi manusia, acuan di mana manusia diciptakan, tidak dapat dihayati sepenuhnya tanpa pemahaman tentang tujuan penciptaan dan makna kehidupan sekarang. Allah (SWT) menyatakan dalam al-Quran: "Aku hanya menciptakan jin dan manusia supaya mereka mengabdi kepada-Ku" (51:56) (Ali, 1995). Namun disebabkan cengkaman sekularisme dan darwinisme terhadap pemikiran dan pengetahuan masyarakat Barat, pemahaman dan penghayatan tentang ilmu psikologi ini tidak dapat dibahas dengan sempurna oleh sarjana psikologi mereka.


3- Pergolakan Jiwa

Sigmund Freud memberi perspektif bahawa sesuatu pergolakan yang berlaku dalam jiwa manusia adalah berasaskan kepada minda. Rentetan itu, Freud cenderung untuk melihat potensi minda dalam memberi ketenangan dan kegelisahan kepada diri manusia kerana beliau percaya minda manusia mempunyai pelbagai bentuk tenaga temasuk psikik. Bagi mengenalpasti punca kepada pergolakan jiwa tersebut beliau mendapati bahawa tingkah laku manusia adalah berdasarkan kepada faktor-faktor yang tidak disedari (Denis & John, 2012; Charles & Michael, 2012; Dennis & John, 2011; Azlina, 2005; Freud, 1965). Faktor yang tidak disedari tersebut perlulah dikenalpasti terlebih dahulu dan Freud telah mengklasifikasikan minda kepada sedar, prasedar dan bawah sedar (Nurul Hidayah & Azlina, 2017).

Menurut al-Ghazali, apa yang dimaksudkan dengan jiwa atau al-nafs sama ada maknanya merangkumi keseluruhan kekuatan amarah, syahwat yang ada pada diri manusia, atau sifat kebaikan yang ada pada manusia pada hakikatnya, ia adalah jiwa manusia dan zat jiwa itu sendiri. Akan tetapi ia disifatkan dengan sifat yang berbeza mengikut kepada keadaan yang berbeza. Jika jiwa berada di bawah suatu perintah dan tidak terganggu atau tiada pertentangan dengan keinginan, maka ia dipanggil jiwa yang menenangkan. Allah SWT berfirman dalam perumpamaan: “Hai orang-orang yang merasa tenteram, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang ridha lagi redha” (Al-Fajr: 27-28). Jiwa, dalam pengertian kekuatan amarah dan syahwat, gambaran jiwa sebegini tidak kembali kepada Allah SWT, malah Ia jauh dari Allah (al-Ghazali, Ihya' Ulum al-Din, t.th).


4- Pembentukan Personaliti dan Karakter

Menurut Sigmund Freud, bahagian terbesar dari jiwa manusia berada dalam minda bawah sedar dan merupakan sasal kepada semua hal serta mengandungi elemen-elemen penting seperti nafsu, instinct, motivasi, dorongan terhadap hasrat seseorang dan emosi (Dennis, 2012); (Denis, C. & John, O. M., 2011). Baginya, elemen-elemen tersebut yang berada dalam minda bawah sedar merupakan faktor yang sangat penting kerana ianya memainkan peranan yang cukup besar dalam membentuk karakter atau perwatakan seseorang (Gregory, J. F. & Erika, L. R., 2012); (Ronald, C. & Elizabeth, G., 2011); (Gregory, J. F. & Erika, L. R., 2010). Dapatlah difahami bahawa Sigmund Freud melihat kunikan dan kesenian jiwa manusia berdasarkan kepada minda manusia (Nurul Hidayah & Azlina, 2017).

Al-Ghazali mendefinisikan karakter sebagai keadaan jiwa yang mantap. Individu yang memiliki jiwa yang mantap adalah individu yang mengetahui ilmu jiwa (ilmu psikologi) seterusnya mereka dapat mengenali ketidaksempurnaan rohaninya. Oleh yang demikian, bagi memastikan individu memperolehi karakter yang baik mereka harus memahami dan mengetahui tentang ilmu jiwa. Menurut beliau lagi, karakter yang baik dapat dicapai dengan adanya komponen karakter (al-khuluq) iaitu tindakan, kekuatan, pengetahuan dan keadaan jiwa. (al-Ghazali, The Alchemy of Happiness, 2007).

Perbahasan karakter merujuk nilai moral, sikap, perilaku dan budi pekerti yang membezakan seseorang dengan yang lain. Al-Ghazali berpandangan bahawa karakter yang baik akan sentiasa mensucikan jiwa mereka dari anasir-anasir yang buruk. Ia selari dengan apa yang dinyatakan oleh Ibnu Sina bahawa semua ciri moral, baik dan buruk adalah diperolehi dari manusia dengan cara berubah dan menyesuaikan diri mengikut pengaruh persekitaran dan sistem pendidikannya  (Sakinah Salleh & Rahimah Embong, 2017). Individu yang berkarakter baik atau unggul adalah seorang yang berusaha untuk melakukan hal-hal yang baik yang menjurus kepada perkara berkaitan dengan dirinya sendiri, keluarga, bangsa, negara dan suruhan Tuhan serta dikaitkan dengan kesedaran emosi dan motivasinya (perasaan) (Mohamad Khairi, O. & Asmawati, S., 2010). Berdasarkan pandangan ini, dapat difahami bahawa jika individu sudah terbiasa melakukan kejahatan maka dia akan cenderung menjadi jahat, manakala jika terbiasa dengan kebaikan, maka dia akan menjadi baik (Sakinah Salleh & Alwi Mohd Yunus, 2021).


Rujukan

Abdul Ghofur & Unisma Bekasi. (2018). Tasawuf Al-Ghazali: Landasan Psikologi Pendidikan Islam. Jurnal Islam Nusantara, 2(1), 1-16.

Al-Afkar #86: Definisi Tasawwuf. (23 8, 2022). Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan: https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-afkar/4094-al-afkar-86-definisi-tasawwuf

al-A'sam, A. a.-A. (1998). al-Filasuf al-Ghazali. Kaherah: Dar Quba'.

al-Ghazali, A. H. (1962). The Book of Knowledge. (N. A. Faris, Trans.) Lahore: Sh. Muhammad Ashraf.

al-Ghazali, A. H. (1964). Mizan al-'Amal. Kaherah: Dar al-Ma'rifah.

al-Ghazali, A. H. (1975). Ma'arij al-Quds fi Madarij Ma'rifah al-Nafs. Beirut: Dar al-Afaq al-Jadidah.

al-Ghazali, A. H. (2007). The Alchemy of Happiness. (C. Field, Trans.) Kuala Lumpur: Islamic Book Trust.

al-Ghazali, A. H. (t.th). Ihya' Ulum al-Din. Beirut: Dar al-Ma'rifah.

al-Ghazali, A. H. (t.th). Kimiya’ al-Sa’adah. In A. H. al-Ghazali, Majmu’ah Rasail al-Imam al-Ghazali (pp. 447-457). Kaherah: al-Maktabah al-Tawfiqiah.

al-Ghazali, A. H. (t.th). Tuhafat al-Falasifah. Kaherah: Dar al-Ma'rifah.

al-Hanbali, A. H.-'. (1986). Syazarah al-Dzahb fi Akhbar min Dzahb (شذرات الذهب في أخبار من ذهب). Damsyiq: Dar Ibn Kathir.

Ali, A. H. (1995). The Nature of Human Disposition: al-Ghazali's Contribution to an Islamic Concept of Personality. Intellectual Discourse, 3(1), 51-64.

al-Qaradawi, Y. (1993). al-Imam al-Ghazali bayna Madihihi wa Naqidihi (al-Ghazali between his Proponents and Opponents). Cairo: Maktabat Wahbah.

al-Syami, S. A. (1993). al-Imam al-Ghazali Hujjatu al-Islami wa al-Mujaddidu al-Miati al-Khamisah. Damsyiq: Dar al-Qalam.

al-Uthman, A. K. (t.th). Sirah al-Ghazali wa Aqwal al-Mutaqaddimin Fihi. Damsyiq: Dar al-Fikr.

Block, M. (2011). Maslow’s Hierarchy of Needs. In N. J. Goldstein S, Encyclopedia of Child Behavior and Development. Boston: Springer. doi:10.1007/978-0-387-79061-9

Blumenthal, A. H. (2001). A Wundt Primer. In R. D. Rieber RW, Wilhelm Wundt in History. Boston: Springer. doi:10.1007/978-1-4615-0665-2_4

Bowering, G. (1995). The Alchemy of Happiness. Journal of Near Eastern Studies, 54(3), 227-228.

Dennis, C. & John, O. M. (2011). Psychology: A Journey. United States: Wadsworth Cengage Learning.

Dennis, C. &. (2012). Introduction to Psychology: Active Learning through Modules Twelve Edition. United States: Wadsworth Cengage Learning.

Edward, D. C. (1968). General Psychology. London: The Mac Millan Company.

Fakhry, M. (1970). A History of Islamic Philosophy. London: Columbia University Press.

Fernald, Dogde & Fernald, P. S. (1996). Overview of General Psychology. Bostoon: Houghton Mufflin Company.

Fleet, K. (2009). The Cambridge History of Turkey: Byzantium to Turkey, 1071-1453 (Vol. 1). (K. Fleet, Ed.) University of Cambridge: Cambridge University Press.

Gregory, J. F. & Erika, L. R. (2010). Psychology Making Connection. New York: McGraw-Hill Higher Education.

Gregory, J. F. & Erika, L. R. (2012). Psychology: Perspective & Connection (2nd ed.). New York: McGraw-Hill.

Griffel, F. (14 Ogos, 2007). al-Ghazali. Retrieved 21 Ogos, 2022, from Stanford Encyclopedia of Philosophy: https://plato.stanford.edu/entries/al-ghazali/

Griffel, F. (2009). Al-Ghazali's Philosophical Theology. Oxford: Oxford University Press.

James, W. (2012). The Varieties of Religious Experience. Oxford: Oxford University Press.

Mehta, N. (2011). Mind-body Dualism: A Critique from a Health Perspective. Mens Sana Monogr, 202-209. doi:10.4103/0973-1229.77436

Mohamad Khairi, O. & Asmawati, S. (2010). Peranan Sekolah dan GUN dalam Pembangunan Nilai Pelajar Menerusi Penerapan Nilai Murni: Satu Sorotan. MALIM: Jurnal Pengajian Umum Asia Tenggara, 11, 117-130.

Mohd Khir Johari bin Abas & Aida Soraya binti Yusof. (28 December, 2020). Manusia Daripada Sudut Pandang Al-Ghazali: Telaah Kitab. Attarbawiy: Malaysian Online Journal of Education, 4(2), 140-147.

Munaimunah, H. (1987). Tarikh al-Daulah al-Buwaihiyah. Beirut: al-Dar al-Jami'iyyah.

Nurul Hidayah & Azlina. (2017). Psikologim daripada Perspektif Islam dan Barat. Kuala Nerus: Penerbit UMT.

Rahem, Z. (2018). Menggali Paradigma Pendidikan Berkeadaban dari Kitab Ayyuha Al-Walad dan Kimiatus Sa’adah. Jurnal Islam Nusantara, 2(1), 60-71.

Rahman, K. A. (2014). Jihad Pendidikan: Satu Sorotan Kepada Autobiografi Al-Ghazali (1058M-1111M) Al-Munqidh Min Al-Dalal. Jurnal Penyelidikan dan Inovasi, 1, 55-68.

Ronald, C. & Elizabeth, G. (2011). Psychology around Us. United States: John Wiley & Sons.

Sakinah Salleh & Alwi Mohd Yunus. (23 12, 2021). Pembangunan Psiko-Pendidikan Karakter: Analisis Teori Psikologi Barat. Jurnal Perspektif, 13(2), 22-32.

Sakinah Salleh & Rahimah Embong. (2017). Educational views of Ibnu Sina. Al-Irsyad: Journal of Islamic and Contemporary Issues, 2(1), 13-24.

Silke Schmidt, M. P. (2005). Clinical Psychology. In K. Kempf-Leonard, Encyclopedia of Social Measurement. Texas: University of Texas at Dallas.

Watt, W. M. (1953). The Faith and Practice of Al-Ghazali. London: George Allen and Unwin Ltd. Retrieved from https://www.ghazali.org/works/watt3.htm

Zetty Nurzuliana Rashed & Ab Halim Tamuri. (2017). Pendekatan IHES Melalui Kurikulum Pendidikan Islam Membentuk Kemenjadian Generasi Al-Quran. Seminar Kebangsaan Isu-isu Pendidikan (ISPEN2017) (pp. 17-24). Kajang: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor.


Hidup perlu bersyukur..

Bandar Baru Bangi,
27 Muharram 1444H.

Comments