Rakan Kongsi

Suasana pagi ini agak kelam kabut. Zarif Holdings agak terlewat pagi itu. Dengan segera dia hanya mencapai apa yang sempat lantas segera ke kenderaan rakannnya, menghidupkan enjin. Beberapa ketika kenderaan tersebut bergerak laju menuju destinasi.

Pagi ini merupakan suatu sejarah buat Zarif Holdings. Persetujuan awal daripada kedua-dua belah pihak membuahkan persepakatan. Hari ini perjanjian akan dimetrai dengan rakan kongsinya Kembhoja Sdn Bhd. Pada Zarif Holdings perjanjian ini agak berisiko kerana tidaklah dia mengenal sangat latar belakang Kembhoja Sdn Bhd, hanya dalam tempoh yang pendek perkenalan mereka. Atas status rakan kongsi itu kelak akan mewujudkan tanggungjawab ke atas dirinya untuk memastikan perjanjian ini berjalan dengan baik.



Ini bukan kali pertama Zarif Holdings cuba untuk membentuk suatu perkongsian atau persepakatan. Beberapa kali dia telah mencuba namun tidak berjaya. Ada yang dia sendiri teruja dan berminat untuk menjadi rakan kongsi namun satu pihak lagi seperti tidak bersungguh. Ada juga yang berbaik seolah mahu bersetuju untuk menjadi rakan kongsi, tetapi akhirnya serampang dua mata. Dirinya menjadi pilihan kedua tanpa disedarinya. Zarif Holdings telah cuba memberi keyakinan untuk membentuk sebuah  proposal yang padanya boleh bergerak maju dan bertahan lama, namun respon yang diterima daripada pihak satu lagi tidak seperti yang diharapkan.

Pernah juga suatu ketika, dia seperti menyedari pihak yang dikenalinya agak lama seolah bersetuju membentuk sebuah persepakatan dengan bersetuju menjadi rakan kongsi. Dia berasa agak selesa dan teruja. Namun seperti serampang dua mata, agenda yang disusun oleh pihak satu lagi bukan dengannya tetapi membentuk perkongsian dengan pihak lain. Latar belakang orang yang hendak dijadikan rakan kongsi tersebut seperti yang digembar gemburkan seiras maklumat berkenaan pihaknya. 

Pada Zarif Holdings ia sesuatu yang meletihkan dan menyedihkan. Telah banyak juga usaha yang dibuat serta modal yang dikeluarkan bagi memastikan perkongsian tersebut berjaya, namun sebaliknya. Manakan tidak, pelbagai program telah diusahakan bersama secara atas kapasiti saling meyakini tetapi pada akhirnya tidak membuahkan hasil. Pelbagai isu timbul, soal kepercayaan, tiada keyakinan dan sikap acuh tak acuh. Situasi ini sebenarnya bakal mengundang risiko yang besar pada masa akan datang kerana ia telah wujud sebelum sesuatu perikatan terbentuk lagi.

Zarif Holdings sebenarnya masih belum banyak menyelidiki latar belakang Kembhoja Sdn Bhd. Namun dari jauh Zarif Holdings melihat seolah Kembhoja Sdn Bhd ini mempunyai latarbelakang yang baik walaupun jauh di sudut hati ada beberapa yang dia rasa kurang selesa atau berkenan. Zarif Holdings sebenarnya dari awal secara prinsipnya kurang selesa jika mahu berakan kongsikan pihak yang mempunyai kapasiti yang besar, namun kerana diandainya Kembhoja Sdn Bhd ini sama ideologi dalam pembentukan syarikat dan tersebut memerlukan pihak lain untuk bergantung, Zarif Holdings merelakan dirinya untuk mempunyai keyakinan.

Zarif Holdings lebih percaya perjanjian untuk membentuk perkongsian yang terbina atas dasar telah saling mengetahui latar belakang, prestasi masing-masing dan perancangan jangka pendek serta jangka panjang antara satu sama lain lebih menjamin kelangsungan sesuatu perjanjian. Malah niat yang benar-benar telus, jujur dan mahu saling menampung kekurangan untuk mewujudkan persepakatan yang kukuh menjadi dasar dan asas yang kukuh sepatutnya. Saling menampung kekurangan, mengelak perbezaan dan pertikaian serta memperkukuh persamaan. Walau sebagai rakan kongsi, setiap pihak ada keperluan privasi masing-masing dan ia adalah hak yang diperakui.

Hakikatnya pada hari itu, pemikiran Zarif Holdings kosong. Beberapa cubaan membentuk perkongsian yang tidak berjaya agak menghantui dirinya. Bahasa mudahnya, dia telah rasa agak serik. Pemikirannya kosong. Beberapa kali proposal yang dibentang tidak mendapat respon yang baik dari pihak kedua, kali ini dia menerima proposal daripada pihak kedua kepadanya, iaitu daripada pihak Kembhoja Sdn Bhd. Zarif Holdings menyedari dan mengetahui bahawa Kembhoja Sdn Bhd juga pernah memberikan proposal kepada suatu pihak lain, namun tidak diterima. Pihak tersebut diam seribu bahasa, tidak memberi jawapan sama ada bersetuju untuk membentuk rakan kongsi atau sebaliknya. Disebabkan mungkin Zarif Holdings adalah daripada kumpulan yang sama, maka Kembhoja Sdn Bhd menghantar proposal.

Zarif Holdings tidak pernah mengetuai syarikat sendiri, apatah lagi kumpulan syarikat. Dia hanya belajar sedikit secara teori daripada pembacaan dan perkongsian rakan-rakan sealiran dengannya. Antara yang dikongsikan oleh rakan seniornya ialah, sesebuah perkongsian tidak akan terus stabil dalam tempoh lima ke sepuluh tahun. Apatah lagi jika kurang dari lima tahun. Bagi mencapai ‘break even’ mungkin mencecah belasan tahun, di mana beberapa matlamat utama yang dimetrai dalam perjanjian perkongsian tersebut telah dapat dicapai. Gelora dan ombak yang memhentam tidak mudah untuk dihadapi, jika tidak kuat, perkongsian yang telah diwujudkan mungkin akan terlerai.

Hari itu telah kurang lebih dua bulan perjanjian dan pembentukan perkongsian ini dimetrai. Zarif Holdings telah meletakkan dirinya bermimpikan untuk membina sebuah empayar yang baru. Dia mahu melupakan segala kisah silam ketidakberjayaan dirinya untuk membentuk perkongsian sebelum-sebelum ini. Jika hendak dikaitkan dengan istilah cinta, dia mahu ‘move on’. Dia benar-benar mahu hanya menumpukan apa yang ada di depan matanya. Dia mahu berdiri sebagai seorang yang baru, lebih berkeyakinan untuk mengemudi sebuah perikatan tanpa terkesan dengan memori kelam yang lalu. Kerana perkongsian ini dengan orang yang tidak benar-benar lagi dikenalinya, mahu dia mahu mewujudkan perkenalan yang lebih rapat agar saling mengerti untuk mencapai matlamat perkongsian ini apa yang dibina pada dasarnya.

Zarif Holdings masih belum lagi kenal dengan gerak kerja Kembhoja Sdn Bhd, malah dia masih mancuba sedikit demi sedikit mengenali latar belakang pihak Kembhoja Sdn Bhd. Dia percaya bahawa gerak kerja yang seiringan dan berperancangan secara selari mampu membuah kerjasama yang lebih erat agar segala projek dan program pada masa mendatang berjalan lancar dan tidak menimbulkan banyak masalah. Skop kerja setiap pihak telah difahami dengan baik, peranan seperti yang telah ditetapkan oleh pihak suruhanjaya. Suruhanjaya telah menetapkan kriteria, syarat dan tanggungjawab tertentu bagi setiap rakan kongsi yang hendak mewujudkan perikatan. Setiap pihak perlu memenuhinya tanpa culas dan sekiranya berlaku ketidakpatuhan, pihak tersebut boleh diberi nasihat, peringatan dan denda. Sekiranya terus berlaku pelanggaran, perikatan tersebut boleh dibubarkan.

Dalam sela masa yang sama, Zarif Holdings menyedari pihak yang sebelum ini dia menghantar proposal untuk membentuk perkongsian, namun tidak dilihat benar-benar bersungguh dan meyakinkan, dalam masa yang sama telah membentuk pra perikatan kembali menunjukkan minat untuk meneruskan perbincangan dalam beberapa urusan. Zarif Holdings maklum bahawa dia kini telah mempunyai rakan kongsi yang telah dibina secara rasmi. Setiap perjanjian yang telah dimetrai ada syarat-syaratnya dan ia perlu dipatuhi. Zarif Holdings faham akan keadaan itu. Namun tanpa diduga, pihak tersebut telah berniat dengan sengaja untuk mewujudkan persepsi buruk terhadap dirinya. Dia benar-benar tidak menduga perkara ini boleh berlaku sejauh itu. Persepsi tersebut sampai ke pengetahuan rakan kongsinya dan keadaan tegang telah mula berputik.

Zarif Holdings menyedari, perkongsian yang telah diwujudkan ini kerana ada sifat kasihan dan ingin membantu apa yang patut. Padanya dia melihat ada kebaikan untuk terus mengembangkan secara bersama beberapa projek dan program pada masa akan datang. Kembhoja Sdn Bhd adalah salah seorang yang memikul sebuah perwarisan yang telah tiada ketuanya. Dengan itu Zarif Holdings cuba bertekad moga ada kebaikan atas tindakannya itu.

Malam dan siang bersilih ganti, tarikh terus meninggalkan bulan-bulan yang telah berlalu. Sesuatu yang telah berlalu tidak mungkin dapat dianjak dan dicapai kembali. Walau dengan menangis mengalir air mata darah sekalipun, walau berpaut jasad dan ruh berkali-kali. Ia sama sekali mustahil. Zarif Holdings menyedari Kembhoja Sdn Bhd kini kerap mahu mencari kesalahannya, cuba mengorek kisah-kisah silamnya berkenaan beberapa cubaan perkongsian yang tidak menjadi dan mempersoalkan sesuatu dengan nada tidak puas hati. Beberapa perbincangan dan interaksi tidak rasmi berkenaan hal ehwal semasa, jika Kembhoja Sdn Bhd menyedarinya, mahu dipersoalkan.

Apa yang mengejutkan Zarif Holdings, beberapa dokumen sulit atau milik peribadi pihaknya telah diakses dengan tanpa izinnya. Zarif Holdings dalam masa yang sama merasa kaget, pelik, geram dan tidak faham dengan apa yang sedang dihadapinya. Dalam keadaan dia ingin mencuba mewujudkan perkongsian yang lebih baik, berakarkan impian, cita-cita dan semangat baru, mahu melupakan kisah-kisah kelam yang lalu, hal ini terjadi pada dirinya. Bukan sekali, malah beberapa kali! Ia terus berlaku sehingga bertahun-tahun..

Beberapa projek dan program telah pun berjalan, malah ada yang telah berjaya walaupun hasilnya masih lagi belum pasti. Pada Zarif Holdings ia sama seperti menyemai sebatang pokok. Walaupun pokoknya telah kelihatan sihat, tegak, tegap dan tinggi, daunnya rimbun, hatta mengeluarkan bunga yang banyak, namun belum pasti mengeluarkan buah dan hasil yang diingini. Padanya, hanya Tuhan yang benar-benar layak untuk menentukan kelangsungan pokok tersebut. Manusia hanya berusaha dan itulah yang akan dinilai. Sedangkan hasil, hanya dariNya sahaja dan dia yang Maha Menetapkan dan Menentukan.

Dia juga menyedari, beberapa gerak kerja yang sepatutnya dilaksanakan oleh seseorang rakan kongsi tidak dilaksanakan dengan baik. Malah sedikit demi sedikit perbuatan rakan kongsi yang sedemikian telah mengundang beberapa kerugian bagi pihaknya. Dia perlu menampung, bermaksud kos yang lebih perlu dikeluarkan bagi mengelak sekatan seterusnya pembatalan daripada pihak pembekal. Beberapa utiliti premis tidak diselenggara dengan baik yang sepatutnya menjadi salah satu tanggungjawab Kembhoja Sdn Bhd sebagai rakan kongsi. Pembaziran bahan mentah serta pengabaian penjagaan utiliti terlalu kerap berlaku. Telah beberapa kali Zarif Holdings menegurnya, namun dilihat seperti tiada tindakan proaktif atau bersungguh untuk memperbetulkan keadaan. Malah kadang-kadang seperti tidak diendahkan langsung!

Dalam menyelia, mengendali dan menjalankan sesuatu projek atau program, Zarif Holdings menyedari dia sebagai pemodal utama, memegang peratus saham majoriti perlu menyediakan peruntukan, yang ianya perlu dipastikan sentiasa stabil dan mencukupi atau memenuhi keperluan. Pada Zarif Holdings dia menyedari beberapa keperluan rakan kongsi untuk menjalankan tugasnya tidak terpenuhi, namun padanya selagi sumber dan modal asal pihak rakan kongsi telah sedia ada serta masih mencukupi, ia telah memadai. Dia hanya perlu memastikan peruntukan bulanan keperluan projek dan program berjalan lancar dan struktur sistem perkongsian tidak diabaikan. Apa yang penting rakan kongsinya masih terus mampu bernafas dan semua projek dan program berjalan dengan lancar.

Atas kudrat yang ada, berdasarkan pengalaman, kemahiran dan pengetahuan yang Zarif Holdings miliki dia cuba sebaik mungkin dan sedaya upaya memenuhi keperluan tersebut. Dia menyedari masih belum mencukupi, apatah lagi memnuhi kepuasan Kembhoja Sdn Bhd sebagai rakan kongsi. Dia juga mengerti mungkin suatu hari nanti rakan kongsinya itu akan mempersoalkan dirinya yang tidak melaksanakan tanggungjawab seperti yang telah ditetapkan oleh suruhanjaya. Namun apakan daya, dengan kos sara hidup, bahan mentah, operasi jentera dan mesin-mesin berlaku peningkatan, kedudukan Zarif Holdings dalam lembaga yang masih kurang stabil, memang sangat merunsingkan.

Di dalam lembaga, Zarif Holdings menghadapi masalah tersendiri, bagaimana wujudnya politik dalaman organisasi. Kecelaruan bidang kerja, pertukaran skop tindakan tanpa melalui proses formal serta beberapa keputusan dan arahan yang tidak melaluinya sebagai salah seorang pengendali operasi bahagian dalam lembaga serba sedikit memberikan tekanan kepadanya. Beberapa karenah yang timbul daripada projek dan program yang sedang berjalan, sikap rakan kongsi sebegini benar-benar telah memberikan bebanan emosi, spiritual dan pemikiran kepadanya.

Dalam sesebuah perikatan rakan kongsi, mana-mana pihak rakan kongsi sangat berperanan terhadap rakan kongsi yang lain. Antaranya ialah membantu mengurangkan kos permulaan projek atau program (start-up cost), mudah untuk menguruskan projek seperti tanggungjawab dan juga kerja penyeliaan serta pengurusan. Selain itu terbinanya rakan kongsi membawa kepada sesuatu risiko yang akan dihadapi boleh dibahagi sama rata lantas mengurangkan bebanan sebelah pihak. Apa yang lebih penting, rakan kongsilah yang akan menjadi pembekal semangat dan motivasi untuk menjayakan sesebuah projek dan program. Antara ciri lain yang membantu ialah rakan kongsi yang boleh mewujudkan komunikasi yang baik, saling cuba melengkapi, bertoleransi lebih-lebih di peringkat awal perikatan, serta mempunyai kesedaran etika yang baik.

Kewujudan rakan kongsi juga mewujudkan keadaan salah seorang daripada rakan kongsi itu bukanlah mempunyai hak mutlak dalam perikatan yang termetrai. Segala keuntungan dan kebaikan akan diperoleh secara bersama dan dibahagikan sama rata mengikut keperluan atau peratusan masing-masing. Namun tidak dilupai, apa sahaja risiko atau kerugian daripada rakan kongsi hakikatnya akan membabitkan rakan kongsi yang lain, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Hari demi hari terus berlalu. Projek dan program yang telah pun wujud bertambah besar dan kompleks. Keperluan bertambah mengikut peredaran zaman dan keperluan semasa, disamping pelbagai kos utama dan sampingan yang semakin meningkat. Namun, keberadaan rakan kongsi seperti tidak mahu berubah. Kadang-kadang Zarif Holdings terfikir, apakah tidak wujud sekatan langsung untuk diserap pengajaran dan teguran sehingga seolah-olah masuk telinga kanan keluar telinga kiri? Berlaku seperti mencurah air di daun keladi, berlalu menghilang bersekali dengan tiupan angin.

Dia telah cuba mendapatkan khidmat nasihat daripada wakil suruhanjaya, agar dengan khidmat tersebut mungkin boleh membimbingnya untuk memilih apakah tindakan yang terbaik perlu diambilnya. Sekiranya perikatan rakan kongsi ini tidak berjalan mengikut yang sepatutnya, sikap mencari-cari kesalahan dan mudah menghukum, tidak mahu berubah ke arah keadaan yang lebih baik, padanya ia tidak memberi kebaikan dalam sesuatu perkongsian. Sekiranya berterusan, mengganggu emosi dan menyebabkan tekanan serta bebanan hidup, lebih baik dibubarkan sahaja..

Bersambung?

Hidup perlu bersyukur..

Bandar Baru Bangi,
8 Ramadan 1443H.

Comments