Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Islam

Pendahuluan
Pendidikan Islam boleh dilihat dari sudut definisi dan konsep. Terdapat pelbagai perspektif diberikan oleh para sarjana khusus dalam bidang pendidikan berkenaan pendidikan Islam. Namun secara umum, pendidikan islam merupakan suatu proses mendidik dan membentuk serta melatih seseorang individu dalam pelbagai aspek meliputi jasmani, emosi, rohani, intelektual, fizikal dan sosial bagi melahirkan manusia yang bersifat ‘kamil’, beriman, berkahlak mulia, sihat tubuh badan, berilmu dan berhikmah serta berkemahiran dan berpengetahuan dalam kerjaya. Konsep pendidikan Islam menekankan aspek nilai kemanusiaan serta menjuruskan ke arah kemenjadian manusia sebagai hamba bersifat rabbani yang menjalankan fungsi sebagai khalifah Allah di muka bumi.

Pendidikan Islam mesti diperkenal, didedah dan diajar sebagai al-din iaitu cara hidup (the way of life) meliputi tiga ranting agama iaitu akidah, ibadah dan akhlak. Pendidikan Islam bukan sekadar menyampaikan maklumat dan pengetahuan semata-mata tetapi hendaklah dicontohi, dizahirkan, diamalkan dan dihayati oleh setiap individu muslim secara umum dan para pelajar secara khusus yang beriman kepada Allah SWT. Pendidikan Islam dan pecahan bidang-bidang yang ada hakikatnya bukanlah semata-mata suatu mata pelajaran yang menyampaikan maklumat secara sempit dan kaku. Malah ia merupakan satu sistem dan gagasan pembentuk prinsip dan cara hidup yang berasaskan sumber wahyu sebagai panduan kehidupan manusia keseluruhannya.
Bidang dan Subjek Pendidikan Islam.




Di peringkat sekolah kebangsaan, Pendidikan Islam dipelajari sebagai satu subjek yang khusus seperti Matematik dan Bahasa Melayu, di mana bidang-bidang ilmu Islam dirangkumkaan ke dalamnya. Maka subjek Pendidikan Islam di sekolah kebangsaan meliputi topik-topik pembelajaran ilmu al-Quran, tauhid, fiqh, akhlak, sirah dan sebagainya. Namun di peringkat sekolah rendah agama (SRA) atau sekolah agama rakyat (SAR), bidang-bidang ini dipecahkan menjadi subjek-subjek khusus yang diajarkan di sekolah seperti subjek Hafazan, Tilawah, Bahasa Arab, Tauhid, Fiqh, Sirah, Akhlak, Imla’, Khat dan sebagainya. Terdapat juga klasifikasi khusus di peringkat negeri masing-masing seperti subjek Ulum Syariah yang padanya merangkumi bidang akidah dan Syariah atau subjek Al-Quran yang merangkumi hafazan, tilawah dan qiraati. Walaupun wujud kepelbagaian dimensi penstrukturan bidang dan subjek dalam pendidikan Islam ini, namun ia masih sama dari segi asas kandungan, cakupan, tahap dan subjek yang diajarkan kepada murid.

Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran
Sesuatu subjek dalam Pendidikan Islam hendaklah menggunapakai kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) atau pengajaran dan pemudahcaraaan (PdPc) yang sesuai. Asas pengajaran dan pembelajaran bidang Pendidikan Islam perlulah mempunyai elemen daripada sumber bagaimana Islam itu disampaikan. Nabi Muhammad SAW telah membawa risalah agama ini melalui cara penyampaian ilmu pengetahuan atau teori (seperti hadis Jibril yang menjelaskan kepada Nabi rukun-rukun agama), disusuli dengan praktikal atau amalan melalui contoh dan tauladan (seperti hadis sollu kama ra’aitumuni usolli) serta soal jawab di mana Nabi menjadi pakar rujuk para sahabat untuk penjelasan dan pengukuhan berkenaan sesuatu isu atau permasalahan berkaitan kehidupan beragama. Namun cara klasik seperti yang dijalaskan tadi perlulah diaplikasikan ke dalam medan pendidikan serta perguruan yang diamalkan di Malaysia ini. Sebagai contoh, guru perlu menyediakan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) sesi PdP dilaksanakan terhadap murid.

Di peringkat asas, guru perlulah mempunyai maklumat berkenaan kelas yang diajar. Maklumat tersebut meliputi mata pelajaran, minggu, hari dan tarikh, tehap kelas dan peruntukan masa. Guru juga perlulah menyedari keberadaan murid di dalam kelas dengan mengetahui jumlah kehadiran lelaki dan perempuan. Seterusnya guru perlu mempunyai maklumat umum berkenaan bidang pembelajaran, standard kandungan dan standard prestasi yang ingin dicapai. Seterusnya guru perlulan meletakkan objektif yang hendak dicapai dalam proses PdP. Maklumat berkenaan ini hendaklah dirujuk dan selari dengan sukatan pengajaran dan huraiannya sama ada secara tahunan, bulanan, mingguan atau harian. Ia diletak sebagai kriteria untuk menilai kejayaan PdP dilaksanakan dengan melihat hasil yang ditunjukkan oleh murid. Perancangan yang baik dan rapi jika dilaksanakan dengan betul akan menghasilkan pencapaian objektif pengajaran yang optimum.

Guru perlu mempunyai persiapan yang rapi berkenaan alat bantu mengajar (ABM) atau bahan bantu mengajar (BBM). ABM sangat penting kerana ia berfungsi memudahkan guru menyampaikan pengajaran serta dalam masa yang sama memudahkan murid menerima pembelajaran. Terdapat pelbagai bahan yang boleh memudahkan PdP seperti buku teks, buku rujukan, buku aktiviti, nota, kad imbasan/cantuman, model/boneka/diorama, gambar/grafik, darta/graf, tv/projector, pembesar suara/radio, PC/laptop/gajet, internet/wifi dan sebaginya. Bahan-bahan tambahan dan bantuan pengajaran seperti ini dapat membantu penyampaian guru dalam bentuk pengayaan, pemulihan dan pengukuhan bagi meningkatkan kefahaman pelajar.

Seterusnya guru perlulah sedar berkenaan pengetahuan sedia adan serta penerapan nilai. Guru juga perlu menyatakan pengetahuan dan maklumat telah sedia ada  kepada murid-murid pada permulaan sesi PdP. Guru hendaklah menyediakan senarai nilai etau eleman yang hendak diserapkan kepada murid. Pelbagai elemen merentasi kurikulum yang boleh diketengahkan oleh guru seperti bahasa, kelestarian alam sekitar, nilai murni, sains dan teknologi, kreativiti dan inovasi, keusahawanan dan kewangan, patriotisme dan perkara berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK).

Pelbagai aktiviti yang bersesuaian boleh dijalankan semasa PdP bidang Pendidikan Islam. Sesuatu aktiviiti boleh dilaksanakan sama ada secara penglibatan individu, berpasangan atau berkumpulan. Contoh-contoh aktiviti ialah membaca, menulis, menghafal, membunyikan, menyebut, bercerita, penerangan, syarahan, analogi, tunjuk cara/demontrasi, sumbang saran, penemuan, soal jawab, pembentangan, perbincangan, aplikasi, simulasi, bernasyid, latih tubi, kajian perpustakaan, akhbar dalam darjah (ADD), projek, penulisan rencana, forum, lawatan dan pelbagai lagi.

Selain itu, para guru juga boleh merancang nilai-nilai khusus yang bersesuaian dengan subjek, topik dan aktiviti PdP. Antara nilai yang boleh diterapkan dalam kelas ialah bersyukur, berkasih-sayang, bertolak ansur, berjimat cermat, berhemah tinggi, berbudi dan berbakti, kepimpinan dan kemasyarakatan, istiqamah dan iltizam, nahi munkar, ketekunan dan kesabaran, keadilan, kejujuran, kerjasama dan pelbagai lagi. Elemen dan niilai ini serta bagaimana ia berkait secara langsung dan tidak langsung dengan subjek atau topik, guru boleh menggunakan contoh pilihan daripada peta pemikiran i-Think seperti peta bulatan, peta buih/buih berganda, peta pokok atau dakap, peta alir atau pelbagai alir. Melaluinya murid mudah membentuk konsep daripada sesi PdP berkenaan apa yang dipelajarinya di dalam otak mereka.

Pada hari ini Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK-21) di peringkat kebangsaan menjadi keutamaan dalam sesi PdP. Pendidikan Islam di peringkat sekolah-sekolah agama juga menerima tempiasnya. Subjek pendidikan Islam atau bidang pengetahuan Islam ini perlulah melalui kaedah PAK-21 ini seperti komunikasi, kolaboratif, kreatif dan pemikiran kritis. Berkenaan dengan tahap pemikiran pula, guru pelulah meletakkan perancangan tahap kemahiran dan pemikiran yang sesuai sama ada PdP yang dilaksanakan melalui kemahiran asas, sederhana ataupun tinggi. Contoh kemahiran asas seperti menyebut, mendengar, menyalin, membaca, menulis dan mengira. Aras sederhana pula meliputi mengetahui, mengingat atau menghafal dan memahami. Manakala aras tinggi pula adalah mengaplikasi, menilai dan menganalisis, memberi contoh dan mencipta.

Proses penilaian perlu dilaksanakan dalam PdP pendidikan Islam, sama dengan subjek yang lain. Sesuatu penilaian boleh dilaksanakan melalui buku latihan/aktiviti, kerja berkumpulan, buku teks, secara lisan atau embentangan, simulasi atau lakonan, projek atau lembaran kerja, kuiz dansebagainya. Peringkat terakhir ialah melaksanakan refleksi khusu terhadap PdP pada hari tersebut. Refleksi boleh diperoleh dari aspek guru dan juga murid dengan menyatakan pencapaian objektif PdP. Selain itu penilaian dilihat dari sudut penerapan nilai serta elemen yang telah berjaya dilaksanakan. Di dalam refleksi juga guru perlu menetapkan tindakan susulan pada masa akan datang bekait dengan refleksi yang telah dibuat.

Contoh topik yang berkaitan adalah berwuduk. Guru akan menjelaskan tatacara berwuduk, rukun dan syarat selain daripada anggota wuduk. Menerangkan rajah anggota wujud dan dilorekkan bahagian serta had wuduk. Guru memberikan contoh secara khusus dengan menjelaskan satu persatu had anggota yang terbabit. Proses ini perlulah dilaksanakan secara bertahap dan berturutan agar pengetahuan ini menjadi pemahaman kepada murid berkenaan keperluan mengikut tertib semasa berwuduk dan berjaga-jaga dengan had anggota wujud. Guru perlu membuat simulasi di hadapan murid bagaimana tatacara berwuduk. Seterusnya murid boleh dibawa ke surau atau paip air untuk melaksanakan aplikasi. Penglibatan murid dengan melaksanakan amali berwuduk ini adalah hasil daripada pemernatian, penafsiran dan membuat tindakan daripada pembelajaran yang mereka peroleh. 

Penutup
Perubahan pemikiran dan budaya masyarakat ditambah dengan kemajuan teknologi, serta globalisasi dunia tanpa sempadan memerlukan Pendidikan Islam bergerak dan berdaya maju seiring dengan keperluan tersebut. Guru perlulah bersifat proaktif, kreatif, inovatif, kritis dan kritikal untuk menyesuaikan PdP pendidikan Islam dengan corak budaya, tabiat dan gaya hidup semasa para muridnya. Pendidikan Islam tidak boleh statik atau kelihatan jumud dengan teori atau praktikal pedagogi pendidikan secara klasik atau tradisional. Walaupun tidak dinafikan sebahagian keperluan dan kepentingan kaedah-kaedah ini terus digunapakai, namun desakan semasa memerlukan pengajaran dan pembelajaran bidang serta subjek pendidikan Islam memberi impak yang lebih tinggi terhadap kualiti dan kelangsungan Pendidikan Islam itu sendiri sama ada di Malaysia secara khusus atau dunia umumnya.

Hidup perlu bersyukur..

Bandar Baru Bangi,
23 Ramadan 1443H.

Comments