Pendahuluan
Kesepaduan berasal daripada perkataan bersepadu, lantas membawa maksud suatu keadaan yang erat iaitu tidak terpisah-pisah, saling berjalin atau bertahan erat, kukuh antara pelbagai unsur yang berkaitan. Keseimbangan bermaksud keadaan yang seimbang, manakala keharmonian pula bermaksud keadaan yang selaras, sesuai, sepadan, keadaan yang harmoni, mesra. Artikel ini akan membincangkan konsep kesepaduan dan keseimbangan dalam konteks kurikulum pendidikan manakala konsep keharmonian akan dibincangkan dalam konteks keberhasilan kurikulum serta manfaatnya melalui pengurusan pendidikan.
Sumber perbahasan terhadap elemen kesepaduan dan keseimbangan ini adalah hasil daripada hasrat yang terkandung di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPN) pada tahun 1988 dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) pada tahun 1996 secara jelas akan menentukan arah haluan, asas dan sumber inspirasi kepada semua usaha dan rancangan dalam bidang pendidikan. FPK menyatakan:
“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengatahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.”
Kesepaduan, Keseimbangan dan Keharmonian dalam Pendidikan
Sesuatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran perlulah bersistem. Aktiviti ini perlu diurus di mana sesuatu yang diurus itu mestilah mempunyai peringkat perancangan, pelaksanaan dan penilaian. Apabila sesuatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran diurus dengan memenuhi peringkat perancangan, pelaksanaan dan penilaian terhadap sesuatu kurikulum yang telah ditetapkan, maka inilah yang dinamakan sebagai proses pendidikan. Pencerahan ini selari dengan apa yang dimaksudkan sebagai pendidikan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka iaitu ‘perihal mendidik’.
Aspirasi FPK adalah melalui frasa ‘suatu usaha berterusan’ dengan meletakkan ‘secara menyeluruh dan bersepadu’ itu sebagai proses dan usaha, manakala ‘insan yang harmonis dan seimbang’ sebagai matlamat dan hasil. Istilah menyeluruh perlu didampingkan bersama dengan bersepadu agar seluruh elemen-elemen yang berkaitan akan wujud secara bersama, serasi dan selari, iaitu bukan secara terasing, tidak mengikat dan tidak berhubung.
Bersepadu atau ‘coherence’ di dalam bahasa English bermaksud ‘the situation in which all the parts of something fit together well’. Di Barat, pendidikan murid bersepadu disebut sebagai: “… learning may be enhanced when learners encounter consistent ideas across learning experiences …” Malah, jika merujuk kepada pendidikan perguruan di Barat, perbahasan ‘coherence’ lebih merujuk kepada program instruksional perguruan untuk mewujudkan pendidikan yang baik dan efektif dengan memberi penekanan terhadap kepentingan karakter yang utama sebagai petunjuk utama nilai sesuatu kurikulum. Ini bermaksud sesuatu pendidikan sama ada terhadap guru atau murid, ia perlu diprogramkan dengan ‘coherence’ iaitu “… ‘connection’ to its value-laden interpretations as ‘harmony’ and ‘wholeness’ …”
Namun konsep kesepaduan dalam konteks pendidikan di Barat masih mempunyai kelompangan dan tidak mampu menterjemahkan keperluan sebenar pembentukan manusia disebabkan pemisahan ilmu ketuhanan dan peranan agama dengan ilmu sains dan kehiupan manusia seharian. Ketidaksepaduan ini lantas membentuk ketidakseimbangan sehingga gagal menghasilkan manusia yang mempunyai nilai adab dan akhlak yang tinggi walaupun berpengetahuan dan berkemahiran.
Abdul Raof Dalip (1993) mentakrifkan bahawa konsep pendidikan sepadu yang diamalkan diMalaysia membawa erti penyatuan ilmu dengan kehidupan, keserasian antara pembangunan ummah dengan matapelajaran, perhubungan antara manusia dengan komponen-komponen dalam dirinya ke arah wujudnya keseimbangan rohani dan jasmani yang bertunjangkan tauhid, akidah, keutuhan Yang Maha Esa. Musa Daia mendefinisikan pendidikan bersepadu sebagai sebuah konsep pendidikan yang mewujudkan pertalian yang jelas di antara bidang kognitif, efektif, dan psikomotor dalam usaha mengembangkan individu secara menyeluruh sama ada dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani.
Perspektif pendidikan dalam Islam dan lebih khusus di Malaysia ialah proses yang membawa perubahan yang melibatkan akal, hati, rohani, jasmani, akhlak dan tingkah laku, ke arah menjadi insan yang baik sekaligus beradab untuk mempersiapkan seseorang manusia mengharungi kehidupannya. Pendidikan secara optimis bertujuan melahirkan manusia yang sempurna, sebaik-baik kejadian (ahsanu taqwim). Hasrat terhadap matlamat kemenjadian iaitu ke arah ahsanu taqwim terdiri daripada pembangunan intelektual dan kognitif, pembangunan kerohanian dan emosi serta pembangunan jasmani dan fizikal.
Matlamat pendidikan negara adalah untuk melahirkan warganegara yang mempunyai sahsiah yang baik, seimbang dan sepadu dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan kepada Tuhan. Hal ini memberi gambaran jelas matlamat kesepaduan dalam pendidikan, lantas memerlukan tindakan lanjut seperti integrasi dan islamisasi dengan menyatukan peranan dan fungsi ilmu naqli dan ilmu ‘aqli secara koheren.
Pengintegrasian ilmu atau pendidikan bersepadu menurut Syed Naquib Al-Attas dikenali sebagai konsep pendidikan bersepadu apabila beliau mula memperkenalkan konsep ‘pengislaman ilmu’. Di mana-mana bidang ilmu sama ada pemikiran, kemanusiaan, sains kemasyarakatan ataupun sains tulen perlu diberi satu perubahan yang menyeluruh dengan diberikan dasar Islam, diletakkan matlamat yang selaras dengan Islam, disusun semula dengan menerapkan prinsip-prinsip Islam dalam kaedah, strategi, data, masalah, objektif serta aspirasinya. Khusus dalam pendidikan Islam (fardu ain dan fardu kifayah) atau pendidikan dari perspektif Islam, penekanan konsep-konsep tertentu diberi perhatian seperti pendidikan seumur hidup, pembangunan seluruh potensi (roh, akal dan jasad) secara berpadu mencakupi aspek kognitif, afektif dan volitional, menyampaikan dua fungsi iaitu hamba kepada Allah ('ubudiyyah) dan khalifah Allah (wakil Allah di muka bumi), memakmurkan dunia secara homogen atau serampang dua mata untuk memperoleh kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
Keseimbangan dalam pendidikan berasaskan kepada iman yang teguh kepada Allah dan Rasul, malaikat, syurga, neraka, dan hari kebangkitan, akhlak yang baik dan mulia, berilmu dalam erti yang menyeluruh dan beramal soleh. Terkini, kurikulum standard sekolah di Malaysia berteraskan enam tunjang iaitu; komunikasi, kerohanian, sikap dan nilai, kemanusiaan, keterampilan diri, perkembangan fizikal dan estetika, serta sains dan teknologi. Enam tunjang tersebut merupakan domain utama yang menyokong antara satu sama lain dan disepadukan dengan pemikiran kritis, kreatif dan inovatif. Bagi memastikan kesepaduan yang dibina benar-benar seimbang, aspek yang diberi penekanan ialah ilmu, amali, amalan, penghayatan dan pembudayaan.
Dalam mewujudkan keserasian, kesinambungan dan keterikatan antara falsafah, dasar dan polisi pendidikan negara, beberapa faktor diberi perhatian khusus merangkumi agama, sosial, politik, ekonomi, individu dan sejagat. Faktor-faktor ini diketahui umum sebagai keperluan terhadap pembangunan insan sesebuah masyarakat dan negara. Apabila kesepaduan ini mencapai keseimbangan, ia akan menterjemahkan keharmonian sama ada dalam pembentukan seseorang individu murid, atau melahirkan seseorang guru yang professional, atau mewujudkan pengurusan pendidikan yang sistematik dan komprehansif serta berperanan secara holistik.
Beberapa contoh asas aplikasi di peringkat sekolah kebangsaan adalah seperti pembelajaran akhlak melalui subjek Bahasa Melayu, pengukuhan ilmu tauhid dalam subjek sains, aplikasi kiraan matematik dalam pengetahuan ibadah seharian, serta amali solat di sekolah dalam bentuk penilaian psikomotor. Penerapan pengetahun, nilai-nilai murni, penguasaan matematik dan seumpamanya diserapkan melalui mural-mural yang dilukis di lokasi-lokasi strategik untuk menanam elemen tersebut ke dalam minda bawah sedar murid. Isu-isu semasa didedahkan dan dibincangkan agar murid sedar akan realiti dunia di hadapan mata dan mampu memberi respon atau tindak balas sekiranya mereka berhadapan situasi tersebut di luar pagar sekolah. Di sekolah murid seharusnya ditanamkan di dalam minda mereka bahawa wujud perhubungan yang kukuh antara ilmu-ilmu yang dipelajari di sekolah dengan aplikasi kehidupan seharian meraka.
Keharmonian pendidikan sudah dapat dilihat berlaku di Malaysia walaupun masih perlu kepada penambahbaikan secara berterusan dan menyeluruh sama ada dari aspek pendidikan itu sendiri mahupun pengurusan pendidikan. Pendidikan negara kita telahpun mempunyai falsafah pendidikannya yang tersendiri, misi, visi dan matlamat pendidikan yang jelas, kewujudan kurikulum kebangsaan seperti KBSR dan KBSM, organisasi pendidikan dari peringkat sekolah kepada daerah, kemudian negeri dan seterusnya kebangsaan, skim-skim perkhidmatan yang lebih efisien dan stabil, jenis-jenis prasarana sekolah, kepelbagaian tahap latihan dan program perguruan, pengukuhan profesionalisme keguruan, jenis pendidikan eksklusif seperti pendidikan khas, teknikal serta vokasional, dasar pendidikan yang diperbaharui sesuai dengan keadaan semasa, pelbagai jaringan kerjasama serta peruntukan belanjawanterhadap pendidikan negara. Kesemua ini dilihat mampu memberi kesan pengurusan pendidikan yang lebih harmoni lantas memberi jaminan keharmonian yang bakal wujud dalam pembentukan dan kemenjadian murid pada masa akan datang.
Penutup
Konsep ilmu tanpa amal ibarat pohon yang tidak berbuah perlu kerap ditekankan kerana kemenjadian murid tidak berlaku sekadar teori tetapi secara praktikal bermula dari dalam pagar sekolah. Guru Besar berperanan penting dalam menghayati kesepaduan, keseimbangan dan keharmonian pendidikan dalam ruang lingkup autonomi mereka terhadap sekolah. Andai setiap sekolah benar-benar melaksanakan peranan ini, tidak mustahil negara ini mampu melahirkan generasi warganegara yang lebih unggul dan cemerlang.
Rujukan
Ikwan Lubis, Maimun Aqsha Lubis, Siti Hajar Taib, Mohd Azaharin Ismail dan Wan Ali Akbar Wan Abdullah. 2021. Dasar Falsafah dan Polisi Pendidikan Bersepadu: Pengalaman Malaysia. ASEAN Comparative Education Research Journal on Islam and Civilization (ACER-J). 4(1): 1-19.
Bibliografi
Abdul Raof Dalip. (1993). Peranan Pendidikan Sepadu Membentuk Ummah dan Masyarakat: Teras KBSM. Dlm. Adnan Kamis (penys.) Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah, Pandangan dan Maklum Balas. Bangi: Penerbitan Universiti Kebangsaan Malaysia.
Fred M. Newmann, Betsann Smith, Elaine Allensworth dan Anthony S. Bryk. (2001). Instructional Program Coherence: What It Is and Why It Should Guide School Improvement Policy. Educational Evaluation and Policy Analysis. 23(4): 297-321.
Karen Hammerness. (2006). From Coherence in Theory to Coherence in Practice. Teachers College Record. 108(7): 1241–1265.
Margret Buchmann dan Robert E. Floden. (1990). Program Coherence in Teacher Education: A View from The United States. annual meeting of the Philosophy of Education Society. USA: Miami.
Osman Bakar (Prof. Emeritus Datuk Dr.). (2018). Aspek Kesejagatan dan Peradaban Falsafah Pendidikan Kebangsaan Dalam Pengajian Tinggi. Seminar Pendidikan Berasaskan Nilai. Gombak: Universiti Islam Anatarabangsa Malaysia.
Saharia Hj. Ismail. (2015). Pembangunan Insan Dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Journal of Human Capital Development. 8(2): 83-99.
Tajul Ariffin Noordin (Dr.) dan Nor Aini Dan (Dr.). (2002). Pendidikan dan Pembangunan Manusia Pendekatan Bersepadu. Bandar Baru Bangi: As-Syabab Media.
Zetty Nurzuliana Rashed dan Siti Suhaila Ihwani. (2019). Konsep Integrasi Ilmu Menurut Perspektif Barat dan Islam. e-Jurnal Penyelidikan Dan Inovasi. 6(1): 15-27.
Hidup perlu bersyukur..
Bandar Baru Bangi,
6 Rejab 1443H.
Comments