Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Seorang guru berperanan sebagai seorang mu’allim, murabbi, mursyid, mudarris dan mu’addib. Guru Pendidikan Islam terutamanya yang mengajar subjek pembacaan Al-Quran mempunyai tanggungjawab yang besar dalam mendidik dan mengajar ilmu-ilmu berkenaan Al-Quran terutamanya tajwid. Di peringkat sekolah, subjek yang merujuk kepada pembacaan Al-Quran antaranya Qiraati dan Tilawah. Kedua-dua subjek ini sangat berkait rapat kepentingannya dengan subjek Tajwid kerana ia dilihat sebagai penerusan dan kelangsungan praktikal pembacaan Al-Quran. Tajwid merupakan elemen terpenting dalam pembacaan al-Quran. Pengamalan tajwid ketika membaca al-Quran merupakan fardu ain manakala mempelajari nama-nama hukumnya merupakan fardu kifayah bagi muslimin dan muslimat. Oleh yang demikian guru sangat berperanan untuk memperbetul, memperbaiki dan memastikan kecemerlangan pembacaan Al-Quran dalam kalangan anak murid.
Dalam konteks pembelajaran membaca Al-Quran di sekolah, terdapat beberapa tahap murid perlu diberi perhatian. Tahap asas ialah kemampuan membezakan huruf, kemampuan mengetahui antara simbol baris, kedudukan dan bunyinya. Tahap sederhana ialah kemampuan mengenal dan menyebut kata, baik dalam satu kalimah atau satu frasa atau potongan ayat. Pengulangan dan penegasan guru terhadap penguasaan murid secara individu membaca satu kalimah atau potongan/frasa ayat sangat penting untuk menyemak, memperbetul kesalahan, seterusnya memperbaiki mutu pembacaan Al-Quran murid.
Guru perlu melaksanakan pembelajaran tajwid ini dengan mengulang-ulang kalimah atau satu potongan ayat daripada al-Quran dan diikuti oleh murid. Kaedah ini boleh dilakukan secara beramai-ramai dan seterusnya seorang demi seorang. Kaedah memperdengarkan bacaan Al-Quran sama ada dari guru kepada murid dan seterusnya dari murid kepada guru (bertalaqqi dan bermusyafahah) mampu memberi impak yang sangat besar kepada kualiti bacaan al-Quran oleh murid serta boleh mendatangkan kesan yang mendalam kepada jiwa murid. Tahap seterusnya kemampuan dalam ketelitian dan kelancaran membaca. Peringkat tinggi ialah pembacaan bertajwid dengan lancar dan seterusnya berlagu. Sikap dan minat yang ditunjukkan oleh seseorang murid terhadap pembacaan Al-Quran boleh dilihat melalui rasa senang serta kecenderungan atau keinginan yang tinggi untuk membaca Al-Quran.
Seterusnya pembelajaran tilawah Al-Quran dengan bertajwid melibatkan beberapa aspek. Guru berperanan memberi penekanan terhadap rukun tilawah Al-Quran, kesalahan-kesalahan dalam membaca Al-Quran dan martabat tilawah Al-Quran. Guru hendaklah memberi pengajaran kepada murid pembacaan Al-Quran dengan memelihara hukum-hukum tajwid seperti menjauhkan kesalahan dalam membaca al-Quran, memelihara makhraj dan sifat-sifat huruf, menjaga bacaan mad dan qasr, tarqiq dan tafkhim. Selain itu menjaga waqaf dan ibtida’ dengan memulakan bacaan pada kalimah yang mempunyai hubungan dan berhenti pada ayat yang sempurna lafaz dan maknanya.
Guru perlu memastikan Al-Quran dibaca dengan tartil dan dengan kaedah-kaedah qira’at yang sahih sahaja. Guru perlu memastikan murid mampu memelihara tajwidnya ketika membaca Al-Quran dengan menyebut setiap huruf dengan makhrajnya yang betul tanpa mengurangkan harakat setiap huruf serta memberikan haq dan mustahaq pada setiap huruf tersebut. Selain itu, murid perlu mengetahui bahawa mereka perlu sentiasa berusaha membaca Al-Quran dengan suara yang terbaik. Selain itu guru boleh menggalakkan murid yang baik suaranya untuk memperdengarkan bacaan al-Quran kepada rakan-rakan sekelas. Guru juga perlu menjelaskan keadaan-keadaan yang sesuai Al-Quran dibaca dengan suara yang kuat atau dengan suara yang perlahan.
Guru perlu terus memberi galakan kepada murid agar menjadi seorang yang dapat menguasai bacaan al-Quran dengan cemerlang. Kata-kata motivasi daripada guru seperti sentiasa gigih berusaha dan istiqamah setiap hari dan melazimi pembacaan Al-Quran kerap akan meningkatkan kemahiran murid tersebut. Penghayatan terhadap kepentingan dan keperluan membaca Al-Quran dengan bertajwid sangat memberi kesan dan hasil yang mendalam terhadap gaya pemikiran dan cara seseorang murid membaca Al-Quran setiap hari.
Ulama telah bersepakat bahawa membaca al-Quran dengan bacaan tartil dan bertajwid mempunyai kepentingan yang utama kerana ia memberi kesan terhadap pembacaan al-Quran seseorang. Guru berperanan penting memberi nasihat dan motivasi kepada murid untuk terus tabah dan tidak berputus asa memperbaiki bacaan al-Quran. Di antara kesan penghayatan membaca Al-Quran dengan bertajwid ialah perasaan ikhlas niat semata-mata kerana Allah SWT. Niat menentukan tujuan dan matlamat yang hendak dicapai, bersungguh memperbetulkan bacaan semata-mata mengharap redha dan rahmat Allah SWT.
Hidup perlu bersyukur..
Bandar Baru Bangi,
21 Jumadil Awwal 1443H.
Comments