Kepentingan Pengajaran Seni Khat Di Sekolah

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Islam adalah agama sejagat dan ia memenuhi fitrah manusia. Manusia diciptakan oleh Allah SWT dengan memiliki sifat dan keperluan kehidupan yang merangkumi intelek, spiritual, emosi, fizikal dan sosial. Antara komponen yang menyumbang kepada keperluan tersebut ialah nilai-nilai etika dan estetika. Selain daripada seni lukisan, binaan dan muzik atau bunyi-bunyian, seni yang sangat digemari oleh masyarakat Islam itu sendiri secara khusus dan masyarakat bukan Islam amnya ialah seni kaligrafi atau lebih khusus seni khat. Di alam Nusantara ini, seni khat yang dipelopori daripada negara di bahagian Timur khususnya telah berkembang dan meresap masuk ke dalam penulisan jawi. Akhirnya seni khat bukan sahaja melibatkan tulisan-tulisan Al-Quran mahupun hadis, tetapi juga penulisan jawi seharian. Tidak dinafikan seni khat merupakan salah satu elemen, identiti, jatidiri dan juga ciri yang menjadi syiar bagi agama Islam dan masyarakat Melayu Nusantara apabila kita sering melihat seni khat di istana, masjid, sekolah, mimbar, mihrab, pejabat, makan, hiasan dalaman rumah, pejabat, mahupun kedai dan sebagainya. Antara jenis khat yang ada seperti nasakh, tsuluts, riq'ah, diwani, kufi, ijazah, murabba' dan sebegainya.

Perspektif yang lebih umum, seni khat mempunyai kepentingan di dalam pengajaran pendidikan Islam kerana Islam merangkumkan nilai antara seni dan pendidikan iaitu pendidikan keimanan, ruh, akhlak dan jasad. Khusus di sekolah, merujuk matlamat Falsafah Pendidikan Negara ialah melahirkan insan yang bersepadu memenuhi kriteria dan keperluan kemenjadian insan itu sendiri. Penulisan seni khat memenuhi aspek perkembangan kognitif, psikomotor dan sosio-emosi murid merangkumi ilmu dan kemahiran. Aspek pendidikan keimanan dan ruh, jiwa manusia yang sebagai hamba dan khalifah perlu diseimbangkan antara beribadat dan memakmurkan atau mentadbir alam. Oleh yang demikian, pastinya manusia memerlukan suatu sentuhan seni yang boleh meringankan beban pemikiran mereka. Pengaruh motivasi dan kandungan Al-Quran sebagai panduan hidup manusia dan bahan pengajaran dan pembelajaran menjadikan penulisan Al-Quran dengan menggunakan ciri dan jenis khat tertentu menarik minat serta rasa keindahan ketika membaca atau meneliti ayat-ayat tersebut. Lebih mendatangkan nilai apabila penulisan tersebut menggunapakai pelbagai bahan semulajadi sebagai pena, dakwat dan platform penulisan.

Dari aspek akhlak, kesenian khat telah memberi ruang kepada murid untuk membentuk masyarakat saluran pendidikan dan pembinaan akhlak mulia agar tidak menghasilkan seni yang bertentangan dan menyalahi syariat. Aspek ini boleh dilihat bagaimana sejarah penulisan Al-Quran Rasm ‘Uthmani. Para penulis Al-Quran perlu menulis atau menyalin balik Al-Quran daripada pelepah-pelepah, penulisan di batu, kayu dan kulit haiwan dikumpulkan ke dalam suatu lembaran rasmi yang lebih baik dan tersusun. Pastinya para penulis Al-Quran ini perlulah sentiasa berwudhuk mempunyai keperibadian yang mulia serta tidak mengikut hawa nafsu. Mereka perlu menyalin dan menulis dengan cermat agar tidak berlaku kesalahan Kalamullah sehingga membawa kesalahan kepaa ayat-ayat Al-Quran. Identiti khat yang mempunyai pertaian kukuh dengan ayat Al-Quran serta hadis pastinya mendorong dan membimbing jiwa si penulis agar menghayati ayat yang ditulis seterusnya membawa kepada tadabbur atau penghayatan isi kandungan ayat atau matan hadis yang ditulis.

Manakala dari aspek jasad pula, pastinya ia tidak boleh dinafikan peranan dan kepentingannya terhadap pertumbuhan dan perkembangan fizikal atau psikomotor seseorang individu atau murid. Jika disorot antara matlamat asas pendidikan ialah seseorang murid mampu menguasai 3M iaitu menulis, membaca dan mengira. Penulisan seni khat akan memenuhi nilai tambah dalam penguasaan ‘menulis’, malah ditambah pula dengan nilai etika serta estetika yang terdapat dalam seni khat itu sendiri. Pengajaran seni khat mampu memperkembangkan koordinasi, pergerakan, kekuatan dan keseimbangan tubuh badan secara keseluruhan. Pergerakan tangan, kedudukan atau postur tubuh, jari dan tangan yang memengang pena dan mengawal penulisan, kawalan nafas, keselesaan kedudukan tubuh, semuanya memberi peranan dalam menghasilkan penulisan seni khat yang baik. 

Selain daripada itu, sesebuah negara bangsa perlu mempertahankan keslestarian seni, budaya, ciri masyarakat mereka. Pengajaran seni khat di sekolah mampu menjamin kelsetarian nilai seni ini agar terus hidup dan dihudupkan. Manusia memang datang dan pergi silih berganti. Generasi akan diganti dengan generasi berikutnya. Jika hilang seni ini, maka hilanglah juga satu nilai daripada nilai-nilai bangsa dan agama. Peranan sekolah untuk terus tegar mengajar seni khat ini di dalam kelas, kepada para murid, juga kepada bakal guru amatlah penting dan ia merupakan suatu keperluan, ditambah daripada sokongan masyarakat. Rantai-rantai dan rangkaian ini perlu terus diperkukuh dan dipertahankan sebaiknya ibarat menggenggam bara api. Tidak hairanlah seni khat perlu menjadi salah satu sukatan pengajaran yang berterusan kepada murid di sekolah dan akhirnya mampu menjadi pemangkin terhadap tercapainya Falsafah Pendidikan Negara.

Hidup perlu bersyukur..

Bandar Baru Bangi,
20 Jumadil Awwal 1443H.

Comments