Pendahuluan
Falsafah dikaitkan dengan suatu usaha berterusan mencari hakikat sesuatu kebenaran melalui kebijaksanaan berfikir sehingga menemui hikmah sesuatu perkara. Falsafah sepatutnya menumpang sesuai perkara yang bermanfaat atau bermakna. Apabila sesuatu aspek falsafah hendak diwujudkan akan timbul persoalan ‘apakah falsafah tersebut mampu diaplikasikan dalam kehidupan praktis?’ Sekiranya ingin dilihat turutan kewujudan, pastinya kehidupan praktis itu wujud terlebih dahulu sebelum wujudnya falsafah, malah falsafah merupakan hasil renungan dan penilitian terhadap kehidupan praktis yang terdahulu.
Falsafah Pendidikan Kebangsaan menyatakan,
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.
Falsafah Pendidikan Islam pula menjelaskan,
Suatu usaha berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan Al-Quran dan As-sunnah bagi menjadi hamba Allah yang bertanggungjawab untuk kebaikan dunia dan akhirat.
Khusus di Selangor, Falsafah Pendidikan JAIS menyatakan,
Pendidikan Islam JAIS adalah satu usaha berterusan ke arah membina potensi individu berilmu, beriman, beramal, berakhlak mulia dan berketerampilan secara seimbang dan sepadu berlandaskan wahyu Allah dan sunnah Rasulullah bagi melahirkan masyarakat muslim yang bertaqwa, maju, mampu bersaing untuk mendapat kesejahteraan di dunia dan kebahagiaan di akhirat.
Salah satu contoh falsafah pendidikan yang juga wujud dalam dunia pendidikan ialah Falsafah Pendidikan ABIM,
Pendidikan adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang harmoni dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Allah untuk melahirkan insan yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, berketerampilan, bertanggungjawab sebagai hamba dan khalifah yang boleh memberi sumbangan kepada negara, masyarakat dan ummah seluruhnya.
Selain itu ialah Falsafah Pendidikan Al-Hikmah-ABIM,
Pendidikan Islam adalah proses pembinaan dan penyempurnaan insan mukmin yang berilmu, berhikmah. berketrampilan, beriltizam dengan nilai-nilai kesalihan dan setia melaksanakan tanggungjawab pengabdian serta kebaktiannya sebagai hamba Allah dan khalifah-NYA. Berpandukan petunjuk wahyu dan berlandaskan ‘aqidah Islamiah yang berteraskan tauhid, usaha ini bermatlamat membentuk peribadi rabbani yang terpadu, seimbang dan murni demi mencapai keredhaan Allah.
Ada juga Falsafah Pendidikan PASTI,
Pendidikan PASTI merupakan satu usaha bersepadu dan berterusan ke arah melahirkan generasi tunas Islam yang unggul dari aspek Syakhsiyyah, keilmuan dan amalan-amalan yang bertunjangkan kepada Islam, Iman dan Ihsan. Mengambil kira potensi dan bakat yang sedia ada, pendidikan PASTI berusaha mengembangkan kemahiran kognitif, psikomotor, bahasa sosio-emosi dan sosial selain kepelbagaian bakat serta kecerdasan yang sedia terpupuk di dalam diri tunas Islam. Usaha-usaha PASTI menerusi pembentukan peribadi unggul ini bertujuan mempersiapkan diri mereka menjadi warga yang cintakan negara serta berpegang teguh dan mengamalkan cara hidup Islam dalam kehidupan seharian supaya diredhai oleh Allah SWT di dunia dan di akhirat.
Ianya adalah satu proses pendidikan berteraskan tauhid bagi membina dan melahirkan insan rabani yang beriman, berilmu dan berakhlak mulia serta berkemampuan membentuk diri sendiri, masyarakat, negara dan dunia sebagaimana yang dituntut oleh Al-Quran dan As-Sunnah melalui sistem pendidikan yang bersepadu, seimbang, menyeluruh dan berterusan.
Jika dilihat sekali imbas, setiap falsafah yang disenaraikan di atas mengetengahkan falsafah pendidikan sebagai suatu ‘proses atau usaha yang berterusan’. Bermaksud, mana-mana pihak yang berusaha secara berterusan untuk mencapai tujuan atau matlamat yang dinyatakan dalam falsafah masing-masing, mereka telah mampu mempraktikkan falsafah tersebut. Walaupun hakikatnya masih belum tentu dan belum pasti apakah hasrat utama atau inti falsafah tersebut tercapai atau sebaliknya.
Tadabbur Al-Quran
Tadabbur berasal daripada perkataan Bahasa Arab dabbara – yudabbiru – tadbiran wa tadabburan. Di dalam laman web Al-Kafi li al-Fatawi oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, tadabbur merupakan usaha untuk mencari makna disebalik zahir suatu perkara. Kalimah tadabbur juga digunakan pada setiap usaha manusia untuk mendalami hakikat satu perkara. Definisi ini dirujuk daripada kitab Mafhum al-Tafsir wa al-Ta’wil wa al-Istinbat wa al-Tadabbur wa al-Mufassir oleh Dr. Musa’id al-Toyyar.
Mengapa aktiviti tadabbur penting dalam mencapai falsafah-falsafah pendidikan? Mari kita lihat…
Di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan frasa ‘berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan’ jelas menunjukkan bahawa segala usaha yang dilakukan mestilah di atas landasan keimanan dan ketaatan kepada Allah SWT. Buah ketaatan adalah ketakwaan dan kitab rujukan serta pedoman orang yang bertakwa ialah Al-Quran seperti yang disebut dalam surah Al-Baqarah (2) ayat 2. Daripada pelbagai sumber rujukan yang sangat banyak dalam bidang pendidikan sama ada buku teks, buku rujukan, buku aktiviti, nota, helaian dan apapun bentuk, hanya Al-Quran yang tiada keraguan di dalamnya.
Hal ini juga selari dengan apa yang disebut di dalam beberapa contoh falsafah pendidikan yang disenaraikan. Falsafah Pendidikan Islam yang menyatakan ‘berdasarkan Al-Quran dan As-sunnah, Falsafah Pendidikan JAIS ‘berlandaskan wahyu Allah’, Falsafah Pendidikan ABIM ‘berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Allah’, Falsafah Pendidikan Al-Hikmah ‘berpandukan petunjuk wahyu’, Falsafah Pendidikan PASTI ‘berpegang teguh dan mengamalkan cara hidup Islam’, serta Falsafah Pendidikan Islam Musleh ‘sebagaimana yang dituntut oleh Al-Quran’.
Sukatan pelajaran di peringkat sekolah rendah sama ada sekolah kebangsaan atau sekolah agama, pembacaan atau hafalan surah-surah lazim telahpun dimasukkan. Jika di sekolah rendah kebangsaan ia dimasukkan dalam sukatan mata pelajaran Pendidikan Islam, di sekolah rendah agama ia mungkin merupakan sukatan dalam subjek tilawah Al-Quran atau bacaan, atau qiraati atau hafazan. Asasnya, di peringkat rendah para murid sudah didedahkan dengan surah-surah lazim atau juzuk 30 yang kebiasaannya bermatlamat sebagai amalan bacaan di dalam solat.
Fungsi dan Peranan Aktiviti Tadabbur Al-Quran
Seperti yang diterangkan di dalam web tersebut juga, tadabbur Al-Quran tidak memerlukan seseorang itu memenuhi syarat-syarat tertentu kecuali kefahaman secara umum tentang satu-satu ayat. Hal ini kerana Allah SWT telah menjadikan al-Quran itu mudah untuk difahami secara umum. Ia berbeza dengan aktiviti tafsir Al-Quran yang merupakan satu bidang ilmu yang khusus serta memerlukan syarat atau penguasaan ilmu tertentu oleh seseorang pentafsir Al-Quran. Tadabbur merupakan tujuan penurunan al-Quran itu sendiri, iaitu untuk diambil iktibar daripadanya dan seterusnya diamalkan. Adapun tafsir sebagai satu ilmu untuk mengetahui makna ayat-ayat al-Quran sahaja. Malah ia hanya merupakan wasilah untuk mencapai maqasid penurunan al-Quran.
Tafsir adalah wasilah untuk mencapai maqasid iaitu tadabbur. Maka tadabbur adalah wajib ke atas setiap umat Islam, bahkan Allah SWT menyeru seluruh umat manusia untuk melakukan tadabbur terhadap ayat-ayat Al-Quran. Sangat besarlah jasa dan bakti para mufassir melalui usaha-usaha mereka mentelaah ayat Al-Quran berdasarkan kapasiti dan kesarjanaan mereka mempermudah seluruh umat Islam untuk memahami dan menghayati isi kandungan Al-Quran. Dr. Musa’id al-Toyyar menyatakan terdapat empat kali kalimah tadabbur disebut di dalam Al-Quran di mana dua tempat sewaktu membicarakan berkenaan orang munafik dan dua lagi sewaktu membicarakan perihal orang kafir.
Lihatlah betapa hebatnya fungsi aktiviti tadabbur Al-Quran ini seperti di dalam firman Allah SWT daripada Surah Sod (38) ayat 29 yang bermaksud:
(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.
Bagaimana Aktiviti Tadabbur Boleh Dijayakan?
Seperti yang telah dinyatakan di atas, tadabbur adalah maqasid dan wasilahnya adalah tafsir. Maka rujukan-rujukan yang diperlukan untuk melaksanakan aktiviti tadabbur ialah kitab-kitab tafsir, namun tidak semua kitab tafsir benar-benar sesuai sebagai bahan rujukan tadabbur. Ini kerana setiap kitab tafsir mempunyai metode, matlamat, gaya penyampaian yang berbeza antara satu sama lain. Di dalam laman web Al-Kafi li Al-Fatawi, antara kitab tafsir yang boleh dijadikan pedoman seperti Jamiʿ al-Bayan ʿan Taʾwil ay al-Qurʾan oleh Ibn Jarir al-Tabari, Tafsir al-Quran al-‘Azim oleh Ibn Kathir, Tafsir al-Jami' li Ahkam al-Qur'an oleh al-Qurtubi dan Tafsir Al-Kasysyaf oleh al-Zamakhsyari.
Manakala kitab-klitab khusus yang disebut fungsinya sebagai tadabbur ialah Qawa’id al-Tadabbur al-Amthal li Kitab Allah Azza wa Jalla oleh Syeikh Abd al-Rahman Habannakah, Fath min al-Rahim al-Rahman fi Bayan Kaifiyyat Tadabbur Kalam al-Manan oleh Syeikh Ahmad Mansur, Ta’lim Tadabbur al-Quran al-Karim oleh Syeikh Hasyim ‘Ali al-Ahdal, Mafatih li al-Ta’amul ma’a al-Quran oleh Syeikh Solah Abd al-Fatah al-Khalidi dan sebagainya.
Contoh Elemen Aktiviti Tadabbur Al-Quran
Antara elemen-elemen yang boleh diketengahkan atau ditonjolkan sebagai panduan guru untuk dikongsikan kepada para murid adalah seperti berikut:
1- Nama surah dan maksud nama. Contoh, Surah al-Fatihah yang bermaksud ‘Pembukaan’. Walaupun terdapat pelbagai nama yang diberikan oleh para sarjana, kita boleh memilih salah satu atau menyertakan beberapa nama yang paling masyhur dan kerap digunakan.
2- Teks surah. Teks surah dalam Bahasa Arab disertakan mengikut tulisan Rasm ‘Uthmani. Ini kerana penulisan ini lebih masyhur, tepat dan diterima majoriti umat Islam.
3- Terjemahan surah. Jika patuhi etika terhadap Al-Quran, ayat-ayat Al-Quran itu tidak boleh diterjemahkan. Ini kerana kemuliaan yang ada padanya, kebimbangan terjemahan tidak tepat pada penggunaan asal kalimah tersebut di dalam Al-Quran sehingga berkemungkinan terpesong daripada kehendak sebenar pemilik Kalam ini iaitu Allah SWT. Namun, terjemahan yang ada pada hari ini adalah berasakan kepada terjemahan tafsir Al-Quran yang telah diusahakan oleh para mufassir seperti yang telah dinyatakan sebelum ini.
4a- Info pengenalan surah. Di dalam bahagian ini boleh dinyatakan tempat penurunan Al-Quran sama ada Makkiyyah atau Madaniyyah, bilangan ayat, turutan surah dan juzuk ke berapa.
4b- Info tambahan surah boleh disertakan seperti nama-nama lain bagi surah, khasiat atau kaifiat surah. Kadang kala ada sesuatu surah yang mempunyai keistimewaan tersendiri yang tiada pada surah yang lain. Antara info tambahan ialah sebab penurunan surah. Sekiranya maklumat ini panjang, ia boleh dimasukkan di dalam bahagian ringkasan kanduangan surah. Keistimewaan tersebut sekiranya banyak atau perlukan penjelasan lebih, boleh dimasukkan ke dalam bahagian ringkasan surah.
5- Terjemahan perkataan-perkataan pilihan.
6- Ringkasan kandungan surah. Ini sangat penting kerana olahan, perbincangan atau perincian daripada terjemahan sangat diperlukan. Ia boleh dianggap sebagai tafsir Al-Quran atau penceritaan Kenapa disebut sebagai penceritaan? Sasaran yang ditujukan di dalam tdabbur ini ialah pada murid sekolah, maka penyampaian dalam bentuk penceritaan dirasakan terbaik dan paling sesuai. Kitab-kitab tafsir seperti yang disenaraikan di atas boleh dijadikan rujukan.
7- Penghayatan. Ini adalah bahagian paling utama kerana sesuatu ilmu tidaklah bermanfaat melainkan dapat diamalkan. Seperti kata pepatah, ‘ilmu yang tidak diamalkan ibarat pohon yang tidak berbuah’. Sesuatu proses ke arah pemahaman dan penghayatan adalah bermatlamatkan para murid memperoleh panduan dan pedoman bagaimana untuk dilaksanakan dan dijadikan amalan dalam kehidupan seharian. Ia juga boleh dianggap sebagai buah atau rumusan bagi setiap surah yang ditadabburkan.
Hidup perlu bersyukur..
Bandar Baru Bangi,
13 Rabi'ul Akhir 1443H.
Comments