Tiada Ancaman Islam Sebagai Agama Persekutuan Terhadap Agama dan Kepercayaan Lain di Malaysia

Peruntukan berkenaan agama dan kepercayaan lain di negara ini telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan yang juga diiktiraf sebagai pemuafakatan kontrak sosial antara tiga etnik terbesar iaitu Melayu, Cina dan India. Perkara 3(1) menyatakan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian persekutuan. Manakala di Perkara 11 pula telah menjelaskan suatu pedoman kebebasan beragama bagi agama dan kepercayaan lain iaitu setiap kumpulan berhak menganut dan mengamalkan agama masing-masing, menguruskan hal ehwal agamanya sendiri, menubuhkan dan menyelenggarakan yayasan-yayasan bagi maksud agama dan khairat agama mereka serta memperoleh dan mempunyai harta serta memegang dan mentadbirkannya mengikut lunas perundangan. Atas dasar Perkara 3(1) yang perlu difahami ialah konsep kebebasan beragama adalah berbeza antara negara Islam dengan Barat atau dalam prinsip agama Islam dengan agama selain Islam. Kebebasan beragama menjadi penting dalam undang-undang Islam kerana sistem perundangan Islam tidak mewujudkan pengasingan antara undang-undang dan prinsip agama. 


Walaubagaimanapun perlu ditegaskan bahawa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Islam itu sendiri adalah seiring iaitu sama sekali tidak menghalang sebarang aktiviti atau ritual keagamaan, pembinaan rumah-rumah ibadat, mengutip dan membelanjakan harta dengan tujuan keagamaan. Malah di Malaysia kebenaran diberikan untuk membina dan menjalankan operasi sekolah-sekolah berunsurkan keagamaan seperti sekolah mubaligh selain hari-hari kebesaran utama agama dan kepercayaan lain juga turut diiktiraf dan diberi status cuti umum sama ada peringkat persekutuan mahupun negeri. Asasnya peruntukan di dalam perlembagaan ini juga tidak mengancam hal ehwal agama selain Islam yang berkaitan dengan perkahwinan dan penceraian, pertukaran agama, percukaian, harta warisan, kebebasan bersuara dan berdakwah. Menurut Fathi Uthman di dalam Freedom of Expression in Islam, “Tiada apa-apa jenis kuasa di negara Islam boleh digunakan untuk memaksa orang untuk memeluk Islam. Fungsi asas negara Islam adalah untuk memantau dan menghalang kuasa-kuasa yang mungkin berusaha untuk menafikan kebebasan kepercayaan rakyat.

Namun terdapat batasan di dalam Perkara 11(4) yang menegaskan bahawa penyebaran agama selain daripada agama Islam kepada orang Islam adalah dilarang sama sekali. Selain itu ialah peruntukan yang menyentuh perihal penganut agama Islam seperti yang termaktub dalam Perkara 121 dan 121A di mana kedudukan Mahkamah Syariah adalah setara dengan Mahkamah Sivil. Peruntukan ini tidak menghalang mana-mana non-muslim untuk memberi keterangan di dalam Mahkamah Syariah. Harus difahami dan diakui bahawa tiada sebarang kebebasan yang tertulis sebagai hak asasi manusia yang tiada sebarang limitasi. Perkataan 'kebebasan' boleh diertikan sebagai ketiadaan elemen yang menghalang, contohnya keinginan dan kemampuan seseorang untuk memilih tidak terhalang. Asas sesuatu kebebasan sememangnya perlu sama rata antara penganut atau agama lain. Namun begitu, kebebasan tidak wajar diamalkan sehingga menjejaskan hak orang lain. Limitasi terhadap hak kebebasan beragama adalah terhad kepada perkara yang boleh menggugat ketenteraman awam, kesihatan awam dan juga moral seperti yang tertulis dalam Perkara 11(5). Apa yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan amalan serta pelaksanaannya pada hari ini membuktikan tiada sebarang bentuk ancaman Islam sebagai agama Persekutuan terhadap agama dan kepercayaan lain di Malaysia.

Hidup perlu bersyukur..

Bandar Baru Bangi,
1 Rabi'ul Awwal 1443H.

Comments