Malaysia merupakan sebuah negera yang berbilang budaya, agama, bahasa serta mempunyai pelbagai suku dan puak. Walaupun Islam diletakkan sebagai gama bagi persekutuan di dalam Perlembagaan Persekutuan, namun penganut agama lain bebas mengamalkan dan menganuti agama masing-masing. Sejak sekian lama, agama yang mempunyai penganut tertinggi adalah Islam diikuti Buddha, Kristian, Hindu dan agama tradisi dari negara China. Selebihnya penanut Animisme, Sikh, Baha’i serta kepercayaan lain dan wujud juga kelompok yang mendakwa sebagai atheis.
Setiap agama menganjurkan kebaikan. Islam yang berasal daripada perkataan ‘salam’ membawa maksud sejahtera. Malah syiar Islam yang membawa mesej keamaan dan kesejahteraan dipraktikkan oleh keseluruhan penganutnya melalui ibadat atau budaya memberi salam disamping galakan memberi makan. Dalam konteks amalan hidup pula, Islam menganjurkan nilai-nilai murni seperti keselamatan, keadilan sosial, keamanan, keserdehanaan, permuafakatan dan berserah kepada Tuhan. Kehidupan Nabi Muhammad SAW selalu dijadikan contoh moral, dibukukan dalam bentuk cerita untuk diajar kepada anak-anak umat Islam sejak kecil lagi.
Bagi agama-agama lain sebegitu juga. Agama Hindu menganjurkan idea bahawa Tuhan (Brahman) wujud dan boleh dialami secara mendalam dengan mencapai keadaan kesedaran. Melaluinya mereka percaya dengan kitaran kelahiran, kematian dan kelahiran semula yang disebut samsara di mana sistem ini bergantung dengan amalan-amalan iaitu karma seseorang. Karma akan menentukan kehidupan seterusnya di alam yang lain. Jika mereka melakukan kebaikan mereka akan memperoleh kebaikan, sebaliknya jika mereka melakukan kejahatan mereka akan dibalasi dengan kejahatan juga. Manakala kepercayaan dan prinsip dalam agama Sikh adalah menggariskan satu kaedah untuk mengatasi ego dan merendah diri untuk mewujudkan sifat ilahi dan bergabung dengan pencipta dan penciptaan sebagai satu.
Agama Buddha pula menjunjung tinggi nilai-nilai kemoralan yang disebut Pancasila. Terdapat lima tiang utama Pancasila iaitu ‘aku bertekad akan melatih diri menghindari pembunuhan makhluk hidup’, ‘aku bertekad akan melatih diri menghindari pencurian atau mengambil barang yang tidak diberikan’, ‘aku bertekad akan melatih diri menghindari melakukan perbuatan melanggar tatasusila’, aku bertekad akan melatih diri menghindari melakukan perkataan dusta’ dan ‘aku bertekad akan melatih diri menghindari makanan atau minuman yang dapat menyebabkan lemahnya kesadaran’.
Penganut agama Kristian berpegang dengan perintah Tuhan yang telah ditulis padanya Sepuluh Hukum pada dua keping batu tulis lalu memberikannya kepada Musa di Gunung Sinai. Sepuluh Hukum tersebut merangkumi menyembah Tuhan Yehuwa sahaja, jangan menyembah berhala, jangan menyalahgunakan nama Tuhan, merayakan hari Sabat, menghormati ibu bapa, jangan membunuh, jangan berzina, jangan mencuri, jangan memberikan kesaksian palsu dan jangan mengingini kepunyaan orang lain. Sementara agama Animisme yang lain berpegang dengan konsep kebaikan yang dibalas dengan kebaikan dan keburukan akan dibalas dengan keburukan yang akan ditentukan oleh alam.
Elemen kebaikan melalui nilai murni merupakan suatu keunggulan yang mendasari setiap agama di Malaysia. Seterusnya keunggulan ini diikat bersama dengan Rukun Negara sebagai teras dan dasar perpaduan. Setiap pemuka agama perlu sentiasa mengajak dan melakukan proses dakwah kepada penganut agama mereka agar sentiasa taat kepada ajaran agama masing-masing seterusnya berpegang teguh dengan prinsip Rukun Negara dan menghayati kandungannya. Perkongsian di atas secara jelas membenarkan bahawa dasar kebaikan dan nilai murni merupakan teras dalam setiap agama dan ia sangat ampuh untuk mengukuhkan perpaduan pelbagai bangsa dan agama di negara ini. Inilah persamaan yang wujud dalam setiap agama dan ia perlu dipertahankan.
Hidup perlu bersyukur..
Bandar Baru Bangi,
29 Safar 1443H.
Comments