Perjuangan Orang Melayu Menentang Kuasa Asing: Sorotan Tahun 1445-1946 (Siri 1)

Pendahuluan

Perjalanan penentangan orang Melayu terhadap kuasa asing telah bermula sejak tertubuhnya kerajaan kesultanan Melayu Melaka. Penentangan berlaku sama ada terhadap serangan kuasa asing dalam bentuk percubaan penjajahan atau dalam tempoh penjajahan. Sekiranya disoroti tindakan penentangan oleh orang Melayu, ia bermula daripada peristiwa beberapa serangan atau percubaan penjajahan oleh kerajaan Siam terhadap Melaka. Penentangan ini lebih jelas kelihatan apabila berlakunya penjajahan kuasa asing terhadap wilayah-wilayah semenanjung Tanah Melayu ini.

Siri-siri perjuangan dan penentangan oleh orang Melayu terhadap kuasa asing membuktikan bahawa orang Melayu bukanlah sebuah bangsa yang mudah untuk dijajah. Malah penentang orang Melayu terhadap kuasa asing bukanlah sekadar di semenanjung Tanah Melayu, tetapi merebak sehingga ke kepulauan-kepulauan Melayu iaitu Indonesia. Sejarah membuktikan pejuang-pejuang orang Melayu menentang penjajahan serta sebarang bentuk penaklukan oleh bangsa asing menjadi kenangan megah kepada bangsa Melayu sepanjang masa.


Penentangan Terhadap Portugis dan Siam
Namun harus difahami bahawa bukanlah seluruh Tanah Melayu telah dijajahi. Sebagai contoh, Portugis hanya berjaya menakluki Kota Melaka, namun tidak berjaya menguasai Naning, Rembau, Muar dan Pagoh. Ringkasnya ketika Kota Melaka telah ditakluki oleh Portugis, Johor, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang dan Terengganu masih berkerajaan sendiri. Sepanjang tempoh Siam menjajah Kedah, orang Melayu di sana telah beberapa kali bertempur dengan orang-orang Siam. Belanda pula hanya dapat menjajah Kota Melaka, Naning serta Kuala Selangor daan negeri-negeri lain tidak pernah ditakluk oleh Belanda.

Penentangan Terhadap British
Penguasaan British terhadap Pualu Pinang dan Singapura daripada Raja-raja Melayu adalah melalui tipu helah serta perikatan perjanjian yang dibuat bersama Belanda pada tahun 1824. Negeri-negeri lain tidak pernah ditakluk British secara peperangan, namun ia berubah status kepada negeri-negeri yang dilindungi British (protected states) dengan kehendak Raja-raja Melayu sendiri. Tetapi tetap tidak boleh dinafi keadaan ini telah mewujudkan penentangan oleh orang Melayu seperti yang berlaku di Perak, Selangor dan Pahang. Kronologi penentang orang Melayu terhadap penjajahan kuasa asing boleh diringkaskan seperti dalam jadual di bawah:
  1. Penentangan percubaan penjajahan Siam ke atas Melaka dan Pahang (1445-1446)
  2. Penjajahan Portugis terhadap Melaka (1511)
  3. Penentangan terhadap Portugis semasa era Sultan Mahmud (1511-1528)
  4. Penentangan terhadap Portugis semasa era Sultan Alauddin Riayat Shah I dan II (1528-1564, 1576 dan 1578)
  5. Penentangan terhadap Portugis semasa era Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II (1586-1587 dan 1589)
  6. Penentangan Acheh terhadap Portugis (1537-1629)
  7. Penentangan Naning terhadap Portugis (1586)
  8. Orang Melayu Johor membantu Belanda menyerang Portugis (1606)
  9. Orang Melayu Johor membantu Belanda mengalahkan Portugis (1640-1641)
  10. Naning dan Rembau menentang Belanda (1641-1643)
  11. Perak menentang Belanda (1651, 1676-1677, 1690)
  12. Penentangan Linggi dan Melaka terhadap Belanda (1756-1758)
  13. Penentangan Melaka terhadap Belanda (1782-1784)
  14. Penentangan Selangor terhadap Belanda (1783-1786)
  15. Penentangan Kedah di Pulau Pinang terhadap British (1786-1791)
  16. Penentangan Kedah terhadap Siam (1821-1839)
  17. Penentangan Naning terhadap British (1831-1832)
  18. Penjajahan British di Selangor (1870-1875)
  19. Penentangan Perak terhadap British (1874-1876)
  20. Penentangan Negeri Sembilan terhadap British (1875-1876)
  21. Penjajahan British di Pahang (1891-1895)
  22. Penentangan terhadap British di Kelantan (1915)
  23. Penentangan terhadap British di Terengganu (1922, 1925, 1928)
  24. Gerakan kebangsaan orang Melayu menentang Penguasaan British (15 Ogos 1945 – 31 Mac 1946)
  25. Gerakan kebangsaan orang Melayu menentang Malayan Union (1 April 1946 – 31 Januari 1948)
Sebagai contoh, asas penentangan rakyat tempatan terhadap British disebabkan kelemahan dan ketidakseimbangan sistem residen yang diwujudkan untuk memerintah negeri-negeri Tanah Melayu. Residen yang dilantik telah membuat perubahan secara drastik dan terburu-buru. Antaranya ialah penguasaan ekonomi negeri yang sebelum ini dimiliki oleh rakyat, pembesar dan Raja Melayu sehingga mengabaikan kepentingan rakyat tempatan. Residen juga telah mewujudkan cukai-cukai ke atas penduduk tempat terhadap tanah, pokok serta hasil tanaman dan hasil bumi. Selain itu, ada juga residen yang dilantik tidak mempunyai peribadi yang baik dan boleh dihormati kerana dalam kalangan mereka ada yang tidak tahu berbahasa Melayu, tidak menghormati institusi Raja, tidak peka dengan perasaan penduduk tempatan dan tiada integriti dalam mentadbir. 

Antara bentuk kelemahan yang dikenalpasti dalam sistem Residen yang diwujudkan ini ialah Residen tidak diberikan panduan jelas untuk menjalankan tugas sehingga mereka menjadi terlalu berkuasa. Keadaan ini dibuktikan apabila Gabenor Negeri-negeri Selat di Singapura juga gagal mengawal kuasa Residen. Selain itu, pentadbiran yang dilaksanakan oleh Residen di setiap negeri tersebut tidak seragam kerana mempunyai undang-undang tersendiri. Perubahan-perubahan dari segi perundangan yang dibuat oleh Residen, bertentangan dengan sistem yang sedia wujud pada ketika di negeri-negeri Tanah Melayu. Antara dasar lain yang telah dilaksanakan oleh British secara umum sehingga memberi kesan secara menyeluruh ke atas Tanah Melayu ialah membawa masuk pelombong Cina dan Eropah selain tenaga buruh daripada daripada tanah besar China dan India. Faktor-faktor ini telah menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan orang Melayu turun-temurun.

Penentangan terhadap kuasa asing daripada peringkat awal sehingga akhir abad ke-18 dilihat lebih tertumpu kepada penentangan bersifat adat atau tradisional tempatan. Ini kerana perubahan dalam pentadbiran hal ehwal tempatan yang melibatkan campur tangan kuasa asing seperti pengutipan cukai, pentadbiran tanah dan sebagainya menimbulkan rasa tidak senang rakyat tempatan. Selain itu juga, penentangan lebih tertumpu kepada isu tempatan dan tidak melibatkan kesatuan fahaman untuk menentang penjajahan dalam peringkat seluruh orang Melayu di Tanah Melayu. Situasi ini tidaklah dinafi kerana pada waktu tersebut kesemua wilayah atau negeri dalam Tanah Melayu ini berkerajaan sendiri dan tidak membentuk sebarang kerjasama, perikatan atau persekutuan seperti hari ini.

Hidup perlu bersyukur..

Bandar Baru Bangi,
24 Safar 1443H.

Comments