Kepentingan Kemahiran dan Penggunaan Teknologi Maklumat dalam Sesi Pengajaran dan Pembelajaran

Mengenalpasti Konsep Asas Teknologi Maklumat

Istilah teknologi maklumat berasal daripada dua perkataan teknologi dan maklumat. Teknologi adalah berkenaan sesuatu kajian atau aktiviti melalui penggunaan pengetahuan sains bertujuan untuk dilaksanakan dalam bidang industri seperti pertanian, perniagaan, perdagangan, kesihatan, kewangan, ekonomi dan pendidikan. Aktiviti berteknologi melibatkan aktIviti secara teknikal dan ia sangat berkait dengan kemajuan dan kemodenan semasa.

Asasnya maklumat bermaksud pengumuman, keterangan, butir, ilmu dan pengetahuan melibatkan dua pihak atau lebih melalui proses penghantaran dan penerimaan. Di dalam bidang teknologi, maklumat merangkumi data, pengetahuan dan maklumat itu sendiri. Data ialah suatu fakta mentah yang diperoleh. Maklumat adalah penafsiran data yang memberi makna dan pengetahuan ialah bagaimana maklumat tadi boleh memberi manfaat dan berfungsi untuk mencapai sesuatu matlamat yang telah dirancang. 

Maka konsep teknologi maklumat ialah berkenaan teknologi yang digunapakai dalam urusan atau tindakan pemerolehan, penyimpanan, pemprosesan seterusnya penyebaran maklumat menggunakan platform elektronik seperti komputer peribadi, telefon bimbit, laptop, tab, server, rangkaian dan sebagainya.


Mengaplikasikan Kemahiran Interpersonal dalam Melaksanakan Tugasan Berkumpulan Melalui Teknologi Maklumat

Kemahiran interpersonal adalah kemahiran yang wujud dalam individu seseorang yang digunakan ketika berkomunikasi dan berkolaborasi dengan orang lain. Kemahiran interpersonal adalah sifat yang kita dapat pelajari sepanjang hidup kita secara formal atau informal, secara disedarai atau sebaiknya.  Pelaksanaan tugasan melibatkan teknologi maklumat secara berkumpulan sangat memerlukan kemahiran interpersonal. Sebagai contoh tugasan yang memerlukan kemahiran penggunaan Microsoft Word, Excel, atau Power Point atau Adobe Illustrator dan seumpamanya.

Peringkat pertama ialah bagaimana seseorang mewujudkan perkenalan dan komunikasi yang baik sesama ahli kumpulan. Selepas sesuatu kumpulan diwujudkan, mereka perlu melantik seseorang sebagai ketua untuk dirujuk dan dipandu pelaksanaan tugasan. Setelah mengenalpasti dan memahami kehendak tugasan, ketua mampu merencana dan membahagikan tugasan kepada setiap individu dalam kumpulan. Pembahagian adalah secara perbincangan, kesediaan dan kesanggupan setiap ahli. 

Ahli yang diberi bahagian tugasan yang perlu diselesaikan perlulah sedaya upaya melaksanakan sebaik mungkin dan berusaha memperoleh maklumat tambahan sekiranya tidak mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan. Seterusnya, setiap ahli perlu berusaha menyiapkan tugasan masing-masing mengikut tempoh yang ditetapkan sebelum ianya dikumpul semula untuk digabungkan menjadi satu hasil tugasan berkumpulan.

Sekiranya ada ahli yang mempunyai masalah atau kekangan perlulah dimaklumkan kepada ketua atau ahli yang lain agar tugasan yang telah diamanahkan untuknya dapat dibantu atau diambil alih oleh rakan lain dalam kumpulan tersebut. Pemahatan, kesatuan pemikiran, komitmen, kerjasama dan ketangkasan menyiapkan tugasan merupakan faktor yang penting bagi memastikan hasil tugasan secara berkumpulan memenuhi tajuk, keperluan dan markah atau gred yang ditetapkan. Setiap ahli bertanggungjawab kepada ahli yang lain agar sama-sama memperoleh keputusan yang baik dalam tugasan yang telah diberikan.

Menghubungkait Pengetahuan Teknologi Maklumat dalam Kehidupan Insan dengan Beradab serta Berakhlak Supaya Dapat Menghadapi Cabaran Globalisasi, Industrialisasi dan Pertumbuhan Ekonomi

Setiap teknologi dan maklumat yang wujud di sekeliling diri manusia mempunyai manfaat dan keburukan tersendiri. Umpama penggunaan sebilah pisau. Andai ia digunakan untuk memotong sayur, buah dan menyembelih haiwan ternakan untuk dijadikan juadah makanan, maka ia memberi manfaat kepada kehidupan insan. Namun sekiranya ia digunakan untuk membunuh orang tanpa sebab, mengukut, menakutkan orang lain, menggunakan pisau memotong kabel untuk dicuri, memotong kabel brek kenderaan orang, maka ia pastinya memberi keburukan kepada orang lain dan diri sendiri.

Contohnya internet menyumbang lubuk ilmu dan pengetahuan yang sangat banyak kepada murid, pelajar, malah tenaga pengajar. Namun jika ia digunakan untuk memperoleh ilmu yang salah, melayari laman yang tidak berfaedah dan menyalahi norma, menggunakan internet untuk menipu, menfirnah dan menyebarkan maklumat tidak benar, maka internet tidak lagi selamat dan berfungsi untuk mendatang manfaat.

Begitulah juga dengan teknologi dan maklumat atau teknologi maklumat itu sendiri. Ia perlulah digunakan dengan mematuhi undang-undang, peraturan dan prosedur yang ditetapkan, serta dipandu dan dibimbing dengan nilai, etika serta akhlak. Seiring dengan tujuan manusia sebagai khalifah, teknologi maklumat ini adalah sebagai suatu alat atau sistem yang mampu memberi banyak manfaat kepada kehidupan di atas muka bumi ini andai ia dimakmurkan dengan cara yang betul. Akhirnya peranan khalifah dapat dipenuhi dan seterusnya menjadi suatu bentul amal ibadah kepada Allah SWT. 

Namun jika teknologi maklumat ini digunakan tanpa kawalan maka realiti semasa yang bersifat global akhirnya menyebabkan wujudnya kelompok yang rakus, tamak, tidak berperikemanusiaan sehingga mendatangkan kemusnahan kepada kehidupan seterusnya seolah menafikan sifat ketamadunan manusia. Industri yang wujud tidak lagi memberi manfaat yang banyak, malah menyumbang juga kepada pencemaran dan kemusnahan flora serta fauna. Walaupun ekonomi berkembang pesat, kemodenan tangkas diperoleh, namun sekiranya ia memusnahkan ‘harta’ dan ‘kehidupan’ generasi akan datang, teknologi maklumat tidak lagi mampu mendirikan tamadun yang hebat, malah memusnahkan impian kehidupan sejagat yang harmoni.

Umat Islam perlulah seiring bergerak dengan perkembangan pesat kemodenan teknologi maklumat agar tidak ketinggalan dalam arus globalisasi. Umat Islam perlu menjadi model dan perintis kepada pengguna teknologi maklumat yang beretika, mengamalkan nilai murni dan berkahlak agar menjadi contoh seterusnya melandasi penggunaan teknologi maklumat ke arah kemarmonian sejagat.

Hidup perlu bersyukur,

Bandar Baru Bangi,
6 Rabi'ul Awwal 1443H.

Comments