Pendahuluan
Perkataan pendidikan merupakan kata nama terbitan daripada kata akar didik yang membawa maksud jaga, pelihara dan ajar. Perkataan pendidikan juga bersinonim dengan ajaran, latihan, tarbiah, pelajaran, bimbingan, asuhan dan tunjuk ajar. Dalam Bahasa Inggeris, pendidikan disebut sebagai education yang dikatakan berasal daripada cantuman dua kalimah dalam bahasa latin iaitu e’ex dan ducereduc bererti ‘memimpin’ yang dapat diinterpretasikan sebagai mengumpul maklumat ke dalam diri bagi membentuk bakat. Terdapat beberapa kalimah dalam bahasa Arab yang kerap digunakan untuk merujuk kepada pendidikan iaitu tarbiyyah, ta’lim dan ta’dib. Walaupun ketiga-tiga kalimah ini membawa maksud pendidikan namun jika diteliti secara lebih mendalam ternyata ketiga-tiga istilah ini membawa maksud yang berlainan.
Kalimah tarbiyyah berasal daripada kata dasar rabba yang bermaksud mengasuh, memelihara atau memimpin. Ia juga merujuk kepada proses perkembangan potensi individu, mengasuh atau mendidik untuk menuju kepada satu keadaan yang selesa dan matang. Kalimah ta’lim berasal daripada konotasi ‘alima yang membawa maksud mengetahui, memberitahu, melihat, mencerap dan menganggap. Ia merujuk kepada proses menyampaikan atau menerima ilmu pengetahuan yang kebiasaannya didapati melalui latihan, arahan, tunjuk ajar atau lain-lain bentuk pengajaran. Ta’dib pula berasal daripada kalimah aduba bermaksud memperhalusi, berdisiplin dan berbudaya. Ia merujuk kepada proses pembinaan watak dan pengajaran asas-asas penting untuk hidup bermasyarakat, termasuklah memahami dan menerima prinsip yang paling asas iaitu keadilan.
Al-Attas menjelaskan antara ketiga-tiga kalimah tersebut, kalimah ta’dib lebih tepat kerana ia mempunyai makna yang lebih spesifik untuk menggambarkan proses pendidikan manusia berbanding dengan kalimah tarbiyyah yang mempunyai maksud yang lebih luas sehingga meliputi haiwan, di samping penekanannya kepada pengasuhan fizikal lebih daripada penyuburan mental dan rohani. Hujah beliau diperkukuh lagi dengan mengambil contoh Rasulullah SAW di mana baginda telah menggunakan perkataan ta’dib untuk merujuk tentang pendidikan yang diberikan oleh Allah kepada Baginda.
Unsur Pendidikan dalam Al-Quran
Al-Quran ialah kalam Allah yang mengandungi mukjizat, diturun kan kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Jibril AS, ditulis dalam mashaf, dipindahkan kepada kita secara mutawatir dan menjadi ibadat dengan membacanya. Secara umumnya, seluruh kandungan Al-Quran ini merupakan ajaran dan ilmu yang digunakan untuk mendidik manusia. Maka tidak hairanlah apabila Al-Quran secara hakikatnya merupakan kitab panduan dan rujukan manusia. Namun teradapat unsur pendidikan yang primer menjelaskan bagaimana pendidikan itu bermula daripada Allah SWT sendiri terhadap para malaikatnya seterusnya kepada Nabi Adam AS.
Proses mendidik telah dimulai oleh Allah SWT terhadap makhluk dan hambanya. Terdapat beberapa ayat yang menerangkan proses pendidikan yang dilaksanakan oleh Allah SWT sendiri. Allah SWT mendidik Nabi Muhammad SAW khususnya dan manusia amnya secara terancang, tersusun dan bertahap, sesuai dengan keadaan dan tempat, keperluan semasa, hal ehwal Nabi dan masyarakat ketika itu, semuanya boleh diketahui melalui asbab al-nuzul. Perbahasan di dalam ilmu asbab al-nuzul akan merungkai bagaimana proses pendidikan langsung daripada Allah SWT ini sangat sempurna dan akhirnya telah mencapai tahap kemenjadian manusia yang tertinggi.
Pertama, Allah yang memulakan proses pendidikan terhadap makhluknya kerana Allah memiliki sifat Maha Mengetahui. Ini adalah melalui pengakuan Allah SWT di hadadan para malaikatNya dalam surah Al-Baqarah (2) ayat 31 yang bermaksud:
Dia (Allah) telah berkata, Sungguh, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui. Tiadalah ilmu melainkan ianya berasal dari sisi Allah SWT.
Kalam Allah telah wujud sebelum wujudnya makluk yang lain dan sebelum wujudnya Nabi Adam AS.
Kedua, Allah SWT menyatakan bahawa Dia-lah yang mendidik manusia dan mendidik Nabi Adam AS. Allah mengajar manusia melalui firmanNya yang bermaksud:
Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.
(Surah al-Alaq, 96:5)
Allah mengajar Nabi Adam AS melalui firman yang bermaksud:
Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam akan segala nama benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu ia berfirman “Terangkanlah kepadaKu nama benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar.”
(Surah Al-Baqarah, 2:31)
Al-asma’ ialah nama-nama sesuatu benda atau perkara yang mana dengan mengenali atau mengetahui nama sesuatu perkara atau benda merupakan kunci atau asas kepada pembentukan ilmu kepada seseorang manusia.
Ketiga, Allah SWT telah mendidik Nabi Muhammad SAW dengan memulakan membaca Al-Quran dengan menyebut nama Allah SWT di dalam Surah al-Alaq ayat 1-4 (al-Alaq 96: 1-5) yang bermaksud:
Bacalah (Wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah.
Ia juga selari dengan apa yang difirmankan oleh Allah SWT di dalam Surah Ar-Rahmaan (55) ayat 2 yang bermaksud:
Dia lah yang telah mengajarkan Al-Quran.
Keempat, Allah SWT mengiktiraf peranan para rasul iaitu mengajarkan manusia isi kandungan Al-Quran serta ilmu dan kebijaksanaan serta membimbing manusia membersihkan hati dan jiwa mereka daripada perkara syirik dan maksiat. Firmah Allah SWT dalam surah Al-Baqarah (2) ayat 151 yang bermaksud:
(Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat), dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui.
Kelima, Seterusnya Allah SWT memberi pengukuhan berkenaan keperibadian Nabi Muhammad SAW. Allah bimbingan manusia agar merujuk dan meneladani Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian mereka. Allah SWT berfirman di dalam Surah Al-Ahzab (33) ayat 15 yang bermaksud:
Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.
Keenam, Allah SWT menafikan bahawa wujudnya ilmu yang salah atau unsur negatif dalam peribadi Nabi Muhammad SAW yang seterusnya mungkin boleh mencalar dan merosakkan peranan Baginda sebagai rasul. Firman Allah SWT dalam dalam Surah YaaSiin (36) ayat 69 yang bermaksud:
(Nabi Muhammad bukanlah penyair) dan Kami tidak mengajarkan syair kepadanya, dan kepandaian bersyair itu pula tidak sesuai baginya. Yang Kami wahyukan kepadanya itu tidak lain melainkan nasihat pengajaran dan Kitab Suci yang memberi penerangan.
Ketujuh, akhirnya Allah SWT berfirman di dalam Surah Luqman (31) ayat 17 sehingga 19 dengan mengungkapkan kata-kata nasihat berbentuk didikan Luqman al-Hakim terhadap anak-anaknya yang bermaksud:
Hai anakku, dirikanlah shalat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah). Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (karena sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang sombong lagi membanggakan diri. Dan sederhanalah dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.
Allah SWT menjadikan Al-Quran sebagai sumber dan rujukan utama pendidikan. Mengapa Al-Quran dinamakan sebagai kitab suci antaranya kerana bebas daripada campur tangan manusia, kandungannya sesuai dengan fitrah manusia dan kandungannya tidak bercanggah di antara satu sama lain. Namun keistimewaan yang lebih khusus antara Al-Quran dengan ucapan yang lain seperti hadis Qudsi dan hadis Nabawi (ucapan teragung selepas Al-Quran) ialah al-Quran merupakan Kalam Allah atau firman Allah SWT. Al-Quran diturunkan dengan lafaz dan makna yang jelas, dengan perantaraan Malaikat Jibril AS kemudian tersebar dalam bentuk-bentuk yang tetap dan tidak dapat diubah, ditiru atau dipesongkan serta mendapat jaminan Allah SWT akan keterpeliharaannya. Ini berdasarkan firmanNya di dalam Surah al-Hijr (15) ayat 9 yang bermaksud:
Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan alQuran dan kamilah yang memelihara dan menjaganya.
Unsur Pendidikan Daripada Hadis Nabi Muhammad SAW
Meneroka unsur pendidikan dalam sumber rujukan utama umat Islam pastinya tidak terbatas pada Al-Quran sahaja. Al-Quran itu sebuah kitab suci dalgi agung yang memiliki ketinggian bahasa dan ayat-ayatnya mempunyai makna tersurat dan tersirat. Salah satu penjelas dari isi Al-Quran adalah hadis atau sunah Nabi Muhammad SAW, rasul khatimu al-anbiya’ diberi autoriti oleh Allah untuk menyampaikan setiap wahyu kepada umat manusia.
Di sisi ahli hadis mereka berpendapat,
“Sunnah adalah setiap yang disandarkan kepada Nabi SAW daripada perkataan, perbuatan, taqrir (persetujuan), sifat khuluqiyyah, sifat khalqiyyah dan kehidupan baginda SAW sama ada sebelum perutusan Baginda SAW menjadi rasul”.
Manakala di sisi ahli usul mereka menjelaskan,
“Sunnah adalah setiap yang diambil daripada Nabi SAW selain daripada Al-Quran melalui perkataan, perbuatan dan taqrir (persetujuan) Baginda SAW”.
Pertama, hadis paling utama yang mempunyai unsur pendidikan ialah apa yang disebut sebagai ‘Hadis Jibril’. Hadis ini berada dalam kategori pendidikan yang disampaikan oleh Nabi melalui perkataan baginda. Hadis ini berkisar kedatangan malaikat Jibril AS ketika menemui Nabi Muhammad SAW untuk mengajar penegrtian Iman, Islam dan Ihsan serta tanda-tanda hari kiamat yang diriwayatkan oleh Umar bin Khatab RA dan Abu Hurairah RA. Secara jelas Nabi SAW memperakukan bahawa tujuan Jibril AS datang adalah untuk mengajar manusia berkenaan agama mereka iaitu Islam. Hadis ini dipetik daripada Sahih Bukhari (No. 50), Sahih Muslim (No. 8) dan Arbain Nawawi (No. 2). Dari Umar bin Khattab RA berkata yang bermaksud:
Suatu ketika, kami (para sahabat) duduk dekat dengan Rasululah SAW. Tiba-tiba muncul kepada kami seorang lelaki memakai pakaian yang sangat putih dan rambutnya amat hitam. Tidak terlihat padanya tanda-tanda bekas perjalanan dan tidak ada seorang pun dalam kalangan kami yang mengenalinya. Ia segera duduk di hadapan Nabi, lalu lututnya ditemukan kepada lutut Nabi dan meletakkan kedua tangannya di atas kedua peha Nabi. Kemudian ia berkata: “Wahai, Muhammad! Khabarkan kepadaku tentang Islam” Rasulullah SAW menjawab, “Islam adalah engkau bersaksi tiada Tuhan yang layak disembah melainkan hanya Allah dan sesungguhnya Muhammad adalah Pesuruh Allah; mendirikan solat; mengeluarkan zakat; berpuasa di bulan Ramadhan dan engkau menunaikan haji ke Baitullah, jika engkau telah mampu melakukannya”. Lantas lelaki itu berkata, “Engkau benar”, maka kami merasa hairan. Ia yang bertanya lantas ia pula yang membenarkannya. Kemudian ia bertanya lagi, “Khabarkan kepadaku tentang Iman”. Nabi menjawab, “Iman adalah engkau beriman kepada Allah, malaikatNya, kitab-kitabNya, para RasulNya, hari akhirat dan beriman kepada takdir Allah yang baik dan yang buruk”. Ia berkata, “Engkau benar”. Dia bertanya lagi, “Beritahukan kepadaku tentang ihsan”. Nabi SAW menjawab, “Hendaklah engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihatNya. Kalaupun engkau tidak melihatNya, sesungguhnya Dia melihatmu.” Lelaki itu berkata lagi, “Beritahukan kepadaku bila terjadi Kiamat?” Nabi menjawab, “Yang ditanya tidaklah lebih tahu daripada yang bertanya.” Dia pun bertanya lagi: “Beritahukan kepadaku tentang tanda-tandanya!” Nabi menjawab, “Jika seorang budak wanita telah melahirkan tuannya; jika engkau melihat orang yang bertelanjang kaki, tanpa memakai baju (miskin papa) serta pengembala kambing telah saling berlumba dalam mendirikan bangunan megah yang menjulang tinggi.” Kemudian lelaki tersebut segera pergi. Aku pun terdiam, sehingga Nabi bertanya kepadaku, “Wahai, Umar! Tahukah engkau, siapa yang bertanya tadi?” Aku menjawab, “Allah dan RasulNya lebih mengetahui.” Baginda bersabda, “Dia adalah Jibril yang mengajarkan kalian tentang agama kalian.”
Kedua, pendidikan melalui sunnah Nabi dalam bentuk perbuatan adalah sangat penting. Kepentingan ini dijelaskan bagaimana Nabi SAW mengarahkan dan secara langsung membiarkan para sahabat melihat segala perbuaran dan gerak geri baginda mengerjakan ibadah terutamanya solat, haji, ada-adab dan sebagainya. Kedudukan solat sebagai ibadah yang paling utama di sisi Allah SWT sehingga Nabi mengarahkan agar para sahabat melihat bagaimana baginda menunaikan solat. Daripada Malik bin al-Huwairith RA bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
Dan solatlah kamu sepertimana kamu melihat aku solat.
(Riwayat Sahih al-Bukhari, No. 631, 6008 dan 7246)
Ketiga, pendidikan melalui sunnah taqririyyah Nabi SAW. Ia bermaksud sesuatu perkara, perbuatan dan siatuasi yang disampaikan kepada baginda SAW, ia hanya didiamkan oleh baginda tanpa mengingkari hal tersebut. Contoh situasi yang ingin diketengahkan ialah berkenaan panduan menunaikan solat yang diberikan oleh Nabi SAW. Daripada Ibn Umar RA berkata, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
Janganlah salah seorang daripada kamu solat asar melainkan apabila tiba di Bani Quraizhah.
(Riwayat Sahih al-Bukhari, No. 946 dan 4119)
Ibn Umar berkata,
Lalu tibalah waktu asar ketika sebahagian daripada mereka dalam perjalanan. Maka berkata sebahagian daripada mereka, “Jangan kita solat sehingga kita sampai di Bani Quraizhah”. Adapun telah berkata sebahagian mereka yang lain, “Bahkan, kami akan menunaikan solat kerana Nabi SAW tidak bermaksud demikian”. Maka kejadian tersebut diceritakan kepada Nabi SAW dan Baginda SAW tidak mencela salah seorang daripada mereka.
Kesimpulan
Di dalam Al-Quran dan hadis Nabi SAW sendiri telah mengetengahkan unsur-unsur pendidikan, secara khusus bagaimana proses mendidik itu berlangsung dan dilaksanakan. Kesepaduan pemahaman terhadap beberapa kaedah yang dijelaskan tadi, kemudiannya para alim dalam tamadun Islam mengembangkan pemikiran ini. Perbahasan berkenaan pendidikan dalam ruang lingkup falsafah, metode, konsep dan aplikasi dibincangkan secara terperinci. Ilmu pendidikan ini terus berkembang dari semasa ke semasa sesuai dengan keperluan dan tuntutan semasa.
Rujukan
- _______. (2020). Kamus Dewa Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
- Abdullah Ishak. (1995). Pendidikan Islam dan Pengaruhnya di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
- al-Attas, Syed Muhammad Naquib. 1979. Preliminary thoughts on the nature of knowledge and the definition and aims in educations. al-Attas, S.M.N (pynt.). Aims and Objectives of Islamic education, hlm. 19-47. London: Hodder & Stoughton
- Al-Attas, Syed Muhammad Naquib. 1992. Tujuan dan Objektif Pendidikan Islam. Samsudin Jaapar (ptjh.). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
- Halsted, J. M. (2004). An Islamic concept of education. Comparative Education. Vol. 40. No. 4. (Nov. 2004): 517-529.
- Hamzah Djunaid. (2014). Konsep Pendidikan Dalam Alquran (Sebuah Kajian Tematik). Lentera Pendidikan. Vol. 17 No. 1 Juni 2014: 139-150.
- Irsyad Al-Hadith Siri Ke-503: Pembahagian Perbuatan Nabi SAW. Lihat di pautan https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/4530-irsyad-al-hadith-siri-ke-503-pembahagian-perbuatan-nabi-saw
- Pusat Rujukan Persuratan Melayu. https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=didik [Diakses pada 19 Ogos 2021]
- Mahyuddin Ashaari. (2001). Pendidikan al-Quran menjana keupayaan berfikir. Jurnal Pendidikan Islam. Jil. 9. Bil. 4. November 2001.
- Munirah. (2016). Petunjuk Alquran Tentang Belajar Dan Pembelajaran. Lentera Pendidikan. Vol. 19 No. 1 Juni 2016: 42-51.
- Rahmadani. (2019). Pendidik Dalam Perspektif Al-Qur’an. Jurnal Sains Riset. Volume 9, Nomor 2, Agustus 2019: 17-25.
- Rosnani Hashim. (2006). Falsafah penyelidikan pendidikan dari perspektif Islam: Konsep dan matlamat. Jurnal Pendidikan Islam. Jil. 12. Bil. 1. Julai 2006.
- Simpson, J.A & Weiner. E.S.C. (1989). The Oxford English Dictionary. 2nd ed. Volume 5. (Dvanda-Follis). Oxford: Clarendon Press
- Zakaria Stapa, Noranizah Yusuf Dan Abdul Fatah Shaharudin. (2012). Pendidikan Menurut Al-Quran Dan Sunnah Serta Peranannya Dalam Memperkasakan Tamadun Ummah. Jurnal Hadhari Special Edition: 7 – 22.
Hidup perlu bersyukur..
Bandar Baru Bangi,
10 Muharram 1443H.
Comments