Pemikiran Al-Attas: Pendekatan Integratif Ke Atas Sistem Pendidikan

Assalamualaikum dan salam sejahtera. 

Ismail Raji al-Faruqi menggunakan istilah 'malaise' terhadap punca utama kemunduran umat Islam yang disebebkan oleh sistem pendidikan yang lemah iaitu tidak mempunyai asas intelektual dan metodologi falsafah pendidikan yang kukuh. Beliau merasa kesal terhadap fenomena pemisahan antara akal iaitu ilmu pengetahuan dengan agama. Kebangkitan umat Islam daripada kemunduran mereka tidak akan berjaya melainkan memperbaiki sistem pendidikan sedia ada. sistem pendidikan Islam hendaklah disatukan dan dilengkapkan dengan sistem pendidikan sekular. Penyatuan ini kemudiannya akan mewujudkan datu sistem pendidikan yang baru yang penuh dengan roh islam atau disebut sebagai islamisasi. Sistem pendidikan ini akan berfungsi sebagai sebahagian daripada pembentukan ideologi yang utuh. 


Syed Muhammad Naquib al-Attas menzahirkan kebimbangan mengenai sistem pendidikan negara ketika zaman 1960-an sehingga 1970-an kerana ideologi barat dan sekularisme telah masuk ke dalam negara. Alasan ia dikembangkan dalam negara ini kononnya cuba memperbaiki hidup dengan cara material iaitu berpegang bahawa ilmu itu boleh diuji melalui pengalaman dan fikiran seperti ilmu matematik, fizik dan kimia. Di samping itu pengetahuan berkenaan kesejahteraan hidup di dunia tidak perlu dirujuk kepada agama dan wahyu dalam erti kata lain memadai dengan akal sahaja. Situasi ini seolah-olah telah membentuk asas dan menjadi teras utama dalam pendidikan. Al-Attas berpendapat bahawa tujuan pendidikan menurut Islam tidak hanya mewujudkan warganegara dan pekerja yang baik, tetapi lebih dari itu adalah untuk melahirkan manusia yang baik. 

Cetusan tersebut berlaku ketika beliau mengulas berkenaan sistem pendidikan di negara ini dengan menjelaskan tujuan pendidikan daripada tingkat yang paling rendah hingga tingkat yang paling tinggi seharusnya tidak ditujukan untuk menghasilkan warganegara yang sempurna (complete citizen), tetapi untuk melahirkan manusia yang baik. Bagi al-Attas warganegara yang kelihatan sempurna belum tentu menjadi insan yang baik tetapi insan yang baik sudah pasti mempunyai ciri warganegara yang sempurna. 

Salah satu bentuk pemikiran al-Attas berkenaan pendidikan adalah berasaskan falsafah dan metodologi pendidikan yang mengarah satu tujuan. Tujuan yang hendak dicapai ialah islamisasi dalam sudut fikiran, jiwa raga yang memberi kesan terhadap kehidupan umat Islam secara peribadi mahupun masyarakat. Kebiasaannya para sarjana mendefinisikan pendekatan integratif dalam Islam ialah menyatupadu elemen-elemen ilmu barat dan timur dalam penghayatan Islam. Namun bagi al-Attas ilmu tidak berdiri bebas nilai (value free) tetapi ilmu terikat (value bond) dengan nilai-nilai diyakini kebenarannya. Pendekatan integratif yang dikemukakan oleh al-Attas adalah ke arah melahirkan insan baik (insan adabi) yang mempunyai kaitan langsung dengan situasi dan harapan guru dan ibu bapa dalam menentukan masa depan murid dan anak-anak mereka. 

Menurut Al-Attas, tujuan mencari ilmu adalah untuk menanam kebaikan atau keadilan dalam diri manusia sebagai seorang manusia dan individu, bukan hanya sebagai seorang warganegara ataupun anggota masyarakat. Ilmu itu bersifat subjektif dan bergantung pada orang yang meneliti dan menilainya, oleh itu sesuatu ilmu yang diterima perlulah diislamisasikan terlebih dahulu khasnya ilmu-ilmu rasional dan semasa. Beliau menegaskan sesuatu ilmu atau teori yang dipeloporkan seseorang sarjana, belum tentu bermakna dalam kehidupan sekiranya nukilan atau karya tersebut terpengaruh atas kepentingan peribadi, sekularisme, adat dan budaya serta memisahkan konsep ketauhidan kepada Allah SWT. Orientasi integratif al-Attas lebih berorientasikan mengislamisasi ilmu. Orinetasi ini memainkan peranan penting dalam mempelopori kemunculan ilmu pengetahuan baru dan seterusnya membawa kesedaran yang lebih bersifat semasa dari aspek warisan intelektual, sejarah dan tamadun. Al-Attas telah membentangkan idea ini dalam Persidangan Pendidikan Islam Sedunia Kali Pertama di Mekah pada tahun 1977. 

Semenjak itu idea tentang integrasi dan Islamisasi ilmu ini amat popular, lebih-lebih Al-Attas mengaitkannya dengan situasi semasa yang dikuasai oleh pengaruh konsep sekularisme atau apa yang disebut sebagai tasawwur atau world-view yang sekularistik. Bagi mengembalikan tasawwur yang bersifat tauhidik, Islamisasi ilmu perlu dilaksanakan. Al-Attas membahagikan konsep ilmu dalam Islam terbahagi kepada dua bahagian iaitu ilmu fardu ain yang mewakili disiplin agama dan ilmu fardu kifayah yang mewakili disiplin kognitif. Sehubungan dengan itu, ilmu pengetahuan dan segala ajaran dalam pendidikan Islam perlu disepadukan dengan pelbagai mata pelajaran lain yang ditawarkan dan inilah yang disebut ‘islamisasi’ menurut pandangan al-Attas. Beliau menyarankan agar ilmu pendidikan Islam diterapkan ke dalam semua mata pelajaran ilmu fardhu kifayah atau ilmu 'aqli sebagai suatu sistem pendidikan bersepadu. 

Apa yang dimaksudkan beliau ialah ilmu pendidikan Islam digunapakai atau diserapkan ke dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi subjek yang berkaitkan ilmu 'aqli iaitu ilmu pengurusan sistem seperti subjek matematik, sains, teknologi, komunikasi dan pelbagai yang lain. Menurut al-Attas, insan adalah makhluk yang bersifat dual-nature iaitu terdiri daripada dua unsur rohani dan jasmani. Oleh yang demikian, insan perlu dibangunkan secara bersepadu merangkumi aspek rohani sebagai asas untuk memandu dan mengawal elemen manusia yang lain seperti intelektual, emosi dan sosial. Al-Attas, melalui bukunya Islam and Secularism mengatakan tujuan mencari ilmu adalah untuk menanam kebaikan atau keadilan dalam diri manusia sebagai seorang manusia dan individu, bukan hanya sebagai seorang warganegara ataupun anggota masyarakat. 

Pemikiran al-Attas terhadap pendekatan kesepaduan dan Islamisasi ilmu telah memberi kesedaran kepada para mahasiswa, anak didiknya dan pendokongnya sama ada formal atau tidak formal di seluruh dunia. Pemikiran beliau banyak memberi manfaat yang menyeluruh dan mengkagumkan kepada institusi pendidikan dan pengajian tinggi. 

Rujukan
1. Nor Asiah Ibrahim Shah, Mohd Othman Yussoff dan Hafizah Kusnek@Khusni. (2017). Pendekatan Integratif Syed Muhammad Naquib Al-Attas: Pelaksanaan Ke Atas Sistem Pendidikan Di Malaysia. Persidangan Antarabangsa Pengajian Islamiyyat Kali Ke-3 Irsyad2017). H. 445-464. 

Hidup perlu bersyukur.. 

Bandar Baru Bangi, 
11 Muharram 1443H.

Comments