Malaysia Negara Bermasyarakat Majmuk

Assalamualaikum dan salam sejahtera. 

Malaysia merupakan sebuah negara yang berbilang kaum, bahasa, agama dan budaya. Masyarakat Malaysia hidup dan bergaul bersama antara satu sama lain lantas membentuk kehidupan masyarakat majmuk dan keadaan ini bermula sejak sebelum merdeka. J.S Furnival memberi maksud masyarakat majmuk sebagai masyarakat yang dicirikan oleh kumpulan-kumpulan etnik yang tinggal di bawah satu unit politik (sebuah negara) tetapi tidak bersatu. Proses urbanisasi dan peningkatan demografi setiap kaum dan etnik tersebut pesat berlaku. Kategori utama etnik atau kaum di Malaysia terbahagi kepada dua iaitu bumiputera dan bukan bumiputera yang sebelum merdeka dipanggil sebagai ‘the Malays’ dan ‘other Malaysians’. 


Perkara 153 Perlembagaan Persekutruan telah mengiktiraf kedudukan istimewa dua kelompok iaitu orang Melayu dan kaum-kaum Bumiputera. Jika dirujuk kenyataan berkenaan kemasukan pelajar ke Universiti Teknologi Mara (UiTM), dijelaskan bahawa Bumiputera semenanjung ialah pribumi orang Melayu yang beragama Islam atau orang Asli. Bumiputera Sabah ialah penduduk pribumi Sabah dan Bumiputera Sarawak ialah penduduk pribumi Sarawak. Antara teori yang menjelaskan asal usul orang Malayu adalah daripada etnik Melayu-Proto. Nenek moyang kumpulan etnik ini meliputi orang Seman (Negrito), Temiar (Senoi), Seman, Jakun, Sakai dan beberapa kelompok lagi. Terdapat juga teori asal usul orang Melayu dari etnik Malayu-Kulon yang merupakan rumpun penutur bahasa Austronesia dan telah mengidentitikan diri mereka sebagai Melayu sejak abad ke-2M lagi. 

Pribumi asal Sarawak terdiri daripada suku Iban (Dayak laut) yang terbesar, diikuti Bidayuh (Dayak darat) dan selebihnya adalah Melayu, Melanau, Kadayan, Bisaya, Orang Ulu (Kelabit, Murut dan Pekan) dan Orang Penan. Manakala pribumi asal Sabah terdiri daripada Kadazan, Bajau, Murut Suluk dan Brunei. Sejarah pembentukan masyarakat majmuk yang sangat ketara di Malaysia bermula seiring dengan imperialisme Barat ke atas Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. 

Faktor imperialisme ini bermaksud kegiatan ekonomi yang dijalankan telah membawa masuk ramai imigran luar terutama dari tanah besar China dan India sebagai tenaga buruh. Antara sektor ekonomi yang terlibat seperti perladangan getah, gambir dan lada hitam yang melibatkan buruh dari India dan aktiviti perlombongan bijih timah yang melibatkan buruh dari China. Aktiviti perdagangan ketika itu juga telah mempengaruhi pembentukan komposisi etnik melalui proses imigran dari negara China dan Indonesia ke Tanah Melayu. Kelompok utama kaum Cina terdiri daripada Hokkien, Kantonis, Hakka, Teochew dan Hailam, manakala kelompok utama kaum India merupakan orang Tamil yang datang dari Chennai dan mereka terdiri daripada Telegu, Malayalam, Punjabi dan Ceylon. 

Ciri-ciri wujudnya masyarakat majmuk menurut Furnival ialah terdapatnya kepelbagaian budaya, pemisahan fizikal, pengenalan kaum melalui pekerjaan, kekurangan kontak sosial dan wujud satu kumpulan etnik mendominasi politik lantas ia menggambarkan ketidakseimbangan. Namun penghayatan Rukun Negara dan semangat ‘Bangsa Malaysia’ diharapkan dapat mewujudkan perpaduan yang kukuh antara kaum daripada hubungan berbentuk terpisah kepada hubungan berbentuk sebati di Malaysia. Catatan di atas membuktikan bahawa masyarakat Malaysia sememangnya mempunyai ciri-siri sebuah masyarakat majmuk. 

Hidup perlu bersyukur.. 

Bandar Baru Bangi, 
12 Muharram 1443H.

Comments