Liku Kemerdekaan Tanah Melayu dan Pembentukan Malaysia

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Tidak dinafikan bahawa asas perjuangan menuntut kebebesan tanah air, seterusnya proses menuntut kemerdekaan bermula sejak pencerobohan Potugis di Melaka pada tahun 1511. Keadaan ini lebih jelas kelihatan daripada kalangan pemimpin orang Melayu. Walaupun wilayah-wilayah lain di Tanah Melayu ketika itu masih dikuasai oleh pemerintah tempatan, namun rentetan sejarah menunjukkan satu persatu ia kemudiannya dijajah terutama oleh British. Era penjajahan berlangsung seiring dengan perjuangan kemerdekaan sehinggalah kepada kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, Malaya dan seterusnya penubuhan Malaysia. 


Beberapa peristiwa yang telah dihadapi dalam menuju kepada kemerdekaan pelaksanaan pembentukan perlembagaan (1948), pilihan raya (1955), Suruhanjaya Reid (1956), dan perundingan kemerdekaan (1956-57). Gabungan parti antara UMNO-MCA-MIC (1955) tidaklah begitu mudah kerana ketiga-tiganya membawa ideologi kaum yang berbeza. Namun gabungan ini telah menunjukkan kerjasama antara tiga kaum majoriti di Tanah Melayu. Ia kemudian diikuti dengan perundingan kemerdekaan apabila Tunku Abdul Rahman mengetuai rombongan ke London. Peranan Suruhanjaya Reid dan seterusnya pembentukan perlembagaan telah menghasilkan satu perjanjian murni atau dipanggil sebagai kontrak sosial antara orang Melayu dan bukan Melayu demi kepentingan bersama bagi mencapai kemerdekaan

Dalam tempoh pembentukan Malaysia pula beberapa tindakan kerajaan yang telah dilaksanakan antaranya Jawatankuasa Perundingan Perpaduan (1961), Suruhanjaya Cobbold (1962) dan Jawatankuasa Antara Kerajaan (1962). Perjuangan terhadap pembentukan Malaysia ini sangat signifikan bagi memerdekakan wilayah yang masih dijajah British, membentuk persefahaman untuk pembangunan, keseimbangan kaum dan perpaduan dan membanteras komunis.

Liku-liku atau cabaran perjuangan ini boleh dilihat dari dua perspektif iaitu dalaman dan luaran. Cabaran dalaman yang dilihat sangat getir, sensitif dan berakar umbi adalah perpaduan kerana sesebuah negara perlulah mempunyai tanah, rakyat dan kuasa. Rakyat perlu bersatu untuk membentuk kuasa pemerintahan di atas tanah yang mereka pijak. Perpaduan melibatkan dua aspek utama iaitu perpaduan antara orang Melayu dan perpaduan kebangsaan iaitu antara bukan Melayu dan antara Melayu dengan kaum lain termasuk bumipetra. Perpaduan yang paling utama ialah dalam kalangan orang Melayu sebagai tuan tanah dari segi ideologi dan identiti mereka agar akhirnya benar-benar membentuk jatidiri bangsa Melayu yang kuat. Seterusnya orang Melayu serta kaum-kaum lain perlu disatukan menjadi ‘rakyat Malaysia’.

Manakala cabaran perpaduan kebangsaan terdiri daripada empat faktor utama. Pertama, membina perpaduan dan kesatuan budaya kerana setiap bangsa mempunyai bahasa, tradisi, agama dan budaya hidup masing-masing. Penjajahan British menyebabkan penghijrahan besar-besaran kaum Cina dan India dan bermula era kemajmukan masyarakat. Tidak dinafikan pengaruh sejarah sangat berperanan dalam proses sosialisasi politik semasa tempoh ini. Kedua, tidak wujud kesatuan wilayah yang bersatu padu. Sebagai contoh, kebanyakan orang Melayu tertumpu di kawasan pantai timur dan utara yang kurang maju, sedangkan orang Cina hidup kawasan pantai barat yang lebih maju. Perasaan tidak senang hati dan persepsi wujud antara kaum. Ketiga, tiada keseimbangan terhadap pemusatan kekuatan ekonomi dan politik. Ketika itu, kuasa politik berada di tangan orang Melayu, sementara ekonomi didominasi oleh orang Cina. Keempat, status orang Melayu, status tuan tanah dipertikai dan orang bukan Melayu menganggap bahawa keistimewaan orang Melayu bersifat sementara dan tidak patut dikekalkan.

Cabaran luaran adalah seperti yang telah dinyatakan iaitu idea Malayan Union dan ancaman komunis. Selepas Jepun menyerah kalah berleluasanya kekejaman komunis. Antara tindakan yang dilaksanakan untuk mengekang komunis ialah pengisytiharan darurat (1948), Rancangan Briggs (195), langkah ketenteraan, perang saraf dan Rundingan Baling (1955). Idea Malayan Union dibentang oleh British selepas Jepun menyerah kalah namun ditentang terutamanya oleh orang Melayu kerana ianya menggugat kedaulatan Raja Melayu, peras ugut tergadap institusi istana dan pemberian kerakyatan secara jus soli. 

Perjuangan menuntut kemerdekaan Tanah Melayu menjadi lebih agresif dan melibatkan seluruh wilayah dalam persekutuan. Ia dilakukan melalui pertubuhan dan persatuan, memaksima peluang media massa, berasaskan semangat berbentuk kebangsaan serta lebih terancang. Harta yang digadaikan, nyawa yang dipertaruhkan, masa yang diperuntukkan, jiwa yang perlu dikentalkan, perpaduan yang mesti diperteguhkan, toleransi dalam berprinsip sama sekali tidak menafikan bahawa proses memerdekakan Persekutuan Tanah Melayu, seterusnya menubuhkan Malaysia telah melalui jalan yang amat berliku.

Hidup perlu bersyukur..

Bandar Baru Bangi,
23 Zulhijjah 1442H.

Comments