Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Bidalan Melayu ada menyebut, "rupa boleh diubah, tabiat dibawa mati". Bidalan lain pula menyebut "asal ayam pulang ke lumbung, asal itik pulang ke pelimbahan". Tidak dinafikan dalam realiti kehidupan sebenar ada ketikanya kita amat sukar berubah. Mungkin ia berbentuk suatu ketika, atau mungkin juga ia adalah perangai yang telah menjadi tabiat. Antara faktor yang boleh memudahkan juga boleh menyukarkan seseorang melakukan dan menerima perubahan adalah bergantung kepada corak dan hambatan mental atau cara fikirannya.
Pengaruh utama corak mental ialah perspektif terhadap nilai diri sendiri yang telah terbentuk secara sedar atau sebaliknya sejak awal kehidupan seseorang. Nilai-nilai diri yang dibentuk oleh perspektif dalaman diri atau diistilahkan sebagai konsep kendiri ini akan memandu cara berfikir, tahap keyakinan serta ruang keberadaan seseorang sama ada dia meletakkan dirinya sebagai telah memperoleh kepuasan -zon selesa- atau sebaliknya. Konsep kendiri yang terbentuk dalam setiap individu merupakan realiti dan cabaran paling utama kepada seseorang untuk membentuk suatu ciri perubahan diri lantas melakukan tindakan perubahan.
Pengaruh semasa yang wujud di persekitaran seseorang termasuklah individu-individu yang rapat dengannya atau berada di sekeliling dirinya boleh menjadi faktor yang kuat terhadap seseorang untuk menerima dan melaksana perubahan diri. Teori dan kajian berkenaan kelakuan organisasi, ia seolah boleh diadaptasi kepada kelakuan peribadi. Ini kerana organisasi pasti mempunyai unit tertentu dengan fungsi dan peranan tertentu. Apabila seseorang ketua memahami dan mampu menyelami serta menghayati dengan baik sifat, sikap atau 'peribadi' setiap unit, pasti beliau mampu untuk mengenalpasti kelemahan dan kekuatan, lantas melaksana penambahbaikan terhadap kelemahan dan memperkasa kelebihan yang sedia ada.
Setiap diri seseorang mempunyai corak fikiran yang berbeza, namun corak tersebut tetap berasal daripada konteks yang sama, iaitu sama ada cenderung kepada otak kiri atau otak kanan. Kecenderungan ini boleh juga memberi kesan terhadap diri sendiri iaitu sama ada menyedari kelemahan untuk pelaksanaan perubahan serta penambahbaikan secara pemikiran otak kanan atau pemikiran otak kiri.
Sekiranya pemberat adalah otak kanan, maka boleh jadi seseorang hanya mengesan kelemahan diri yang ada secara kesimpulan tanpa menyedari dan menyenaraikan setiap satu kelemahan tersebut. Apabila dia tidak berusaha untuk menyedari setiap satu kelemahan dan apakah kelemahan dirinya boleh memberi kesan negatif terhadap orang di sekeliling? Akhirnya dia tidak mampu mengatasi kelemahan tersebut satu persatu lantas orang di sekelilingnya berterusan menerima tempias kesan negatif terhadap kelemahan tersebut.
Namun jika kecenderungan pemikiran ini adalah otak kanan dan dibantu dengan otak kiri, kedua-dua hemisfera otak akan berfungsi dengan seragam dan sekata dengan semampunya. Hasilnya seseorang pasti akan mudah mengesan kelemahan diri, seterusnya punca dan faktor yang menatijahkan kelemahan tersebut. Lantas lebih berkesan apabila dia mampu menyedari apakah kelemahan ini telah dan boleh memberi kesan negatif terhadap orang di sekeliling atau sebaliknya secara fizikal, emosi atau sosial.
Contoh yang paling mudah untuk direalitikan. Seseorang pasti ada pengalaman bagaimana ia berasa sukar, malas, berat dan menyampah untuk bangun dari tidur pada awal pagi. Pasti dia menyedari antara perasaan yang telah disebutkan tadi, apakah ia merupakan faktor dalaman atau faktor luaran, atas kehendaknya dan dalam kawalannya atau bukan kehendaknya dan di luar kawalan dirinya.
Apa yang dimaksudkan ialah, sukar dan berat berkemungkinan besar merupakan faktor luaran yang bukan daripada kehendaknya dan di luar kawalannya. Dia memang mahu bangun awal pagi, namun dia masih tidak mampu untuk menguatkan keazaman agar benar-benar bangun di awal pagi dan ianya berterusan.
Namun sebaliknya, malas dan menyampah merupakan faktor dalaman yang berpunca daripada dirinya sendiri dan berkemungkinan selari dengan niat dan matlamat dirinya terhadap bangun awal pagi. Sekiranya dibicarakan berkenaan bangun awal pagi, ia pasti akan bersifat melawan, tidak bersetuju dan tidak mahu mengendahkan perihal tersebut. Sejak dari situ, pastinya tidak akan timbul keazaman untuk bangun awal pagi dan dia akan berterusan untuk mengelak dirinya bangun awal pagi.
Situasi yang pertama tadi sebenarnya mempunyai jalan keluar. Keazaman boleh dibentuk dan diperkukuhkan. Apabila keazaman dan tekadnya kuat, dia pasti akan mencari ikhtiar dan berusaha agar benar-benar mampu untuk bangun di awal pagi. Dia akan berfikir, apakah cara yang membolehkannya bangun di awal pagi? Sekiranya secara sukarela dia tidak mampu, mungkin ia perlu menggunakan cara paksaan atau ketegasan ke atas dirinya sendiri.
Dia akan berfikir, antara cara paksaan atau ketegasan yang mudah untuk dilaksanakan ialah menetapkan alarm di telefon bimbit atau menetapkan bunyi loceng pada jam meja. Penetapan jenis irama atau bunyi, kelantangan bunyi tersebut akan dipilih agar benar-benar berkesan untuk menghasilkan suatu daya paksaan dan ketegasan tersebut. Walaubagaimanapun, ia perlu seimbang dan boleh diubah mengikut penerimaan emosi setiap kali usaha bangun awal pagi. Ini kerana, jika padanan emosi tidak diambil kira, bimbang gajet atau jam tadi akan 'dimusnahkan'. Jika jam mungkin lagi tidak dipedulikan, namun jika ianya adalah telefon bimbit dan ia 'dimusnahkan' dalam keadaan separa sedar, akan timbul pula bebanan lain.
Kedua-dua situasi ini jelas selari secara zahir dengan apa yang difirmankan oleh Allah SWT dalam Surah Ar-Rad ayat 11 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa-apa yang pada diri mereka”. Melaksana perubahan dalam diri seolah seseorang berbicara dan berkomunikasi dengan diri sendiri. Berkomunikasi dengan dalaman diri dan berkomunikasi dengan tuan atau pemilik badan secara jasmani dan rohani iaitu Allah SWT. Melalui pegangan akidah yang kukuh, seseorang yang menginsafi peranan dan kedudukan kehambaan berpegang teguh dengan keyakinannya bahawa setiap yang berlaku adalah atas kehendak dan Maha Berkuasa Allah SWT terhadap seseuatu, termasuk perubahan dirinya.
Asas kepada sesuatu komunikasi ialah adanya input, proses dan output. Ketiga-tiga langkah ini terangkum dalam konsep kendiri seseorang. Di dalam Encyclopedia of Applied Psychology, konsep kendiri didefinisikan sebagai pegangan kepercayaan seseorang tentang kualiti dirinya dan bagaimana di menilai kualiti tersebut. Ia juga dimaksudkan sebagai tanggapan seseorang terhadap dirinya seperti yang dijelaskan oleh Shavelson dan Bolus. Tanggapan ini pula diperincikan iaitu meliputi kepercayaan, perasaan, sikap harga diri dan juga nilai.
Nilai di sini bermaksud penilaian iaitu bagaimana seseorang memberi nilai terhadap dirinya berdasarkan pengalaman kehidupan yang dilalui. Azizi dan rakan-rakan meletakkan cara bagaimana penilaian diri itu dibuat sama ada secara positif atau negatif dan ia selari dengan apa yang dinyatakan oleh Habibah dan Noran. Habibah dan Noran memperincikannya lagi bahawa konsep kendiri meliputi persepsi tentang diri dan alam sekelilingnya melalui derianya di samping perasaan tentang kebolehannya yang merangkumi keyakinan dan harga dirinya.
Seolahnya wujud perkaitan maksud yang diberikan dalam bidalan yang disebutkan di awal tadi iaitu 'terlalu susah mengubah perangai yang sudah menjadi tabiat' dan 'tabiat orang tidak akan berubah' dengan konsep kendiri terutamanya dalam aspek melaksana perubahan diri. Seseorang yang berusaha 'bangkit' melaksanakan tindakan seterusnya berubah menjadi lebih baik boleh diilhamkan berdasarkan fungsi bagaimana tahapan seseorang yang beriltizam bangun pagi untuk bermunajat seperti di bawah.
Dikatakan seseorang yang tidur itu sebenarnya diri mereka dibelenggu oleh rantai-rantai iblis. Apabila mereka terjaga lantas mengucapkan zikir dan doa, maka terputus satu belenggu. Apabila berwuduk atau mandi, maka terputus lagi satu belenggu. Apabila mereka solat, maka terputus habis kesemua belenggu yang menghalang seseorang untuk bangun. Itulah realitinya, sesuatu perubahan bermula dengan niat dan diikuti dengan iltizam dan mesti dibuktikan dengan tindakan. Selangkah tindakan yang diambil, satu hasil kebaikan yang diperoleh. Satu lagi tindakan seterusnya, kebaikan-kebaikan lain akan mengikuti dan menyusuri.
Hanya tinggal, "Aku hendak berubah atau tidak..??"
Hidup perlu bersyukur..
Bandar Baru Bangi,
27 Zulhijjah 1442H.
Comments