Isu Dalam Pembelajaran: Kelemahan Murid Dalam Akademik

Pendahuluan 
Setiap anak yang dilahirkan berbeza antara satu sama lain. Ketika mereka menjejakkan kaki ke alam persekolahan pastinya akan wujud kategori murid yang lemah, sederhana dan pandai. Guru merupakan pendidik yang diamanahkan untuk mengajar murid menjadi insan berilmu dan bermanfaat. Amanah seorang guru dalam profesion perguruan adalah menjalankan tugas merancang aktiviti pengajaran berdasarkan sukatan pelajaran, membimbing murid supaya mereka berusaha belajar secara individu atau secara berkumpulan, menentukan corak penyusunan meja-kerusi untuk mewujudkan P&P yang sesuai, menjaga keselamatan murid, membantu membentuk sahsiah murid, menjadi contoh dan model sebagai teladan kepada murid, memberi nasihat serta motivasi kepada murid yang menghadapi masalah dan sebagainya. Amanah ini perlu dilaksanakan sebaiknya agar matlamat melahirkan individu yang berkarakter unggul untuk masyarakat, berketrampilan, berkemahiran, cemerlang dalam akademik, mempunyai peribadi yang mulia dan jatidiri yang kukuh dapat dicapai. 



Permasalahan Kajian 
Kepelbagaian individu merujuk kepada ciri atau sifat manusia yang mempunyai potensi sama ada memajukan keupayaan seseorang (contohnya seperti optimistik, sentiasa berani mencuba) atau membataskan keupayaan seseorang untuk belajar di dalam persekitaran sekolah (contohnya seperti takut melakukan, takut bertanya) seperti yang dijelaskan oleh Henson dan Eller di dalam bukunya Educational Psychology for Effective

Satu kajian rintis yang dilakukan ke atas dua orang murid sekolah rendah telah dirujuk. Mereka berdua berbeza pencapaian akademik. Kaedah temu bual dibuat berdasarkan beberapa soalan di mana seorang mempunyai tahap pencapaian akademik yang baik dan seorang lagi mempunyai pencapaian akademik yang lemah. Kedua orang murid tersebut adalah jantina yang sama iaitu lelaki, berumur sembilan tahun dan berada di dalam kelas yang sama. Dapatan daripada sesi temu bual tersebut menunjukkan terdapat beberapa faktor yang telah mempengaruhi pencapaian akademik mereka berdua. Hasil kajian ini menggambarkan walaupun dari aspek luaran atau fizikal murid kelihatan hampir sama, namun tidak mustahil sifat dan sikap dalaman kedua-dua mereka mempunyai perbezaan yang besar. Faktor-faktor ini perlulah dikenalpasti dengan mendalam agar langkah efektif untuk mengatasi sesuatu permasalahan murid terutama prestasi akademik dapat dilaksanakan. 

Faktor Murid Lemah Dalam Akademik 
Berdasarkan beberapa artikel yang dirujuk, terdapat tiga faktor utama yang menjadi punca murid lemah dalam akademik iaitu faktor guru/kelas/sekolah, faktor peribadi murid, faktor latar belakang murid dan rakan sebaya. 

Pertama: Faktor Guru/Kelas/Sekolah 
Faktor guru terbahagi kepada dua iaitu kemahiran interpersonal dan kaedah pengajaran guru. Kemahiran interpersonal guru dikaitkan dengan keperibadian guru yang dijelmakan melalui kualiti pengajaran dan pengawalan kelas, hubungan interpersonal antara guru dan murid serta masalah fobia murid terhadap guru. Kelemahan kaedah pengajaran guru boleh dilihat terbahagi kepada tiga punca utama iaitu kurang pengalaman, penggunaan kaedah pengajaran yang tidak sesuai dan lemah untuk melaksanakan refleksi atau penilaian berterusan bagi mengenalpasti sebarang kecemerlangan untuk dipertingkatkan atau sebarang kelemahan untuk diatasi dan diperbaiki. 

Antara kelemahan yang dikenalpasti melalui kaedah pengajaran ini berkait dengan pelaksanaan dan penggunaan alat atau bahan bantuan mengajar yang tidak menarik, sukar difahami mesej daripada bahan tersebut atau tidak sesuai. Sekiranya keadaan ini berterusan, bahan tambahan tersebut tidak lagi berfungsi untuk menarik perhatian murid, malah boleh mendatangkan rasa jemu dalam kalangan murid. Kemahiran guru menggubal soalan juga adalah penting. Apabila seseorang guru menggubal soalan sebagai latihan atau penilaian untuk murid, tahap kesukaran soalan boleh mempengaruhi skor dan gred pencapaian murid. 

Faktor soalan yang melibatkan bentuk-bentuk soalan, tahap soalan sama ada senang, sederhana dan sukar, rangkuman topik yang terlibat dan pemilihan soalan mempunyai kaitan dengan tahap kecemerlangan murid. Faktor masa pengajaran memberi kesan yang signifikan terhadap kelemahan murid dalam akademik. Perkara yang diketengahkan ialah masa yang diperuntukan terlalu singkat dan tidak mencukupi. Peruntukan masa pengajaran yang singkat tidak banyak membantu bagi murid yang mempunyai tahap kecerdasan sederhana dan lemah. Hakikatnya peruntukan masa yang telah ditetapkan iaitu satu sesi selama 30 minit sehingga satu jam telah pun memadai. Namun guru perlulah menggunakan ruang masa yang disediakan itu dengan sebaik mungkin dan merancang pengajaran berdasarkan peruntukan masa yang telah ditetapkan. Penting fungsi refleksi dalam penyediaan rancangan pengajaran harian adalah untuk menilai sesi pembelajaran lepas. Sekiranya topik yang diajar tidak selesai dengan sempurna atau ada murid yang masih ketinggalan berdasarkan anggaran bilangan atau peratus murid yang menguasai pembelajaran secara baik, sederhana dan lemah, maka guru perlu mengulang, membuat latih tubi, penilaian individu atau seumpamanya sehinggalah refleksi membuahkan majoriti atau keseluruhan murid menguasai topik. 

Persekitaran yang tidak kondusif adalah melibatkan kelas dan seterusnya kawasan sekolah. Kelas yang tidak lengkap fasiliti asas atau tidak mencukupi seperti kipas, lampu, runag udara dan seumpamanya boleh menyebabkan pengudaraan yang tidak baik dan pencahayaan yang tidak sempurna. Peralatan pembelajaran yang tidak dijaga dengan baik seperti kerusi yang tidak seimbang atau meja yang bergoyang, papan putih yang kotor atau pecah juga boleh menghilangkan minat belajar. Selain itu kipas dan tingkap yang kotor, lantai yang pecah, pintu tercabut, dinding dan almari atau rak yang berhabuk menjejaskan keselesaan murid untuk mengikuti sesi pembelajaran. 

Kedua: Faktor Peribadi Murid 
Faktor murid terbahagi personaliti, psikologi dan tahap kognitif. Faktor personaliti mempunyai perkaitan yang kuat dengan latar belakang diri murid seperti pengalaman-pengalaman lepas termasuk latar belakang keluarga dan seterusnya boleh mempengaruhi minat dan sikap murid. Faktor minat adalah faktor utama yang akan mendahului berbanding faktor sikap dan ia membentuk personaliti. Faktor minat dan motivasi sangat berperanan dalam membina tabiat dan keupayaan kognitif. Minat yang mendalam terhadap bahan bacaan atau bahan latihan yang berkait secara langsung dengan sesuatu subjek memudahkan seseorang murid menghayati proses pembelajarannya sama ada secara formal di dalam kelas atau informal. 

Beberapa kajian terdahulu merumuskan dua faktor yang berkaitan dengan psikologi murid iaitu kurang minat belajar dan kurang mengambil perhatian semasa belajar. Faktor tidak minat terhadap sesuatu subjek, atau sesuatu perbuatan yang diminta di dalam kelas seperti membaca, mengira atau melaksana sesuatu tindakan atas arahan guru merupakan situasi yang menyumbang kepada wujudnya masalah pembelajaran dalam kalangan murid. Apabila murid tidak minat, maka dengan mudah akan terjelma daripada perilaku atau respon mereka dengan tidak atau kurang memberi perhatian ketika sesi pembelajaran. 

Faktor sikap murid terhadap sesuatu subjek berkait secara langsung dengan minat mereka. Minat akan mempengaruhi tabiat seseorang murid untuk mengulangkaji pelajaran, membuat penetapan masa dan jadual, membuat nota, selain segera menyiapkan tugasan yang diberi. Faktor sikap dan minat ini menunjukkan hubungan yang signifikan terhadap pencapaian dan prestasi murid terhadap akademik mereka. Faktor sikap dan minat ini juga boleh mempengaruhi matlamat, kehendak dan cita-cita seseorang murid kerana murid yang belajar dengan penuh minat akan berasa seronok dan terdorong untuk lebih berusaha dalam mencapai keputusan cemerlang. 

Sikap negatif yang akan lahir daripada seseorang murid yang tidak minat terhadap pembelajaran mereka di sekolah ialah kurang memberi perhatian, kemerosotan kehadiran serta keterlibatan dalam aktiviti P&P, tiada motivasi dan akhirnya membentuk gaya belajar yang tidak cemerlang. Punca seseorang murid tidak minat sehingga menyebabkan kurangnya mereka memberi perhatian di dalam kelas berkait secara langsung dengan keseluruhan empat faktor yang dibincangkan dalam artikel ini. Kebiasaannya murid yang mempunyai rekod kehadiran baik adalah sangat tinggi peluang memperolehi gred yang bagus (gred A atau gred B) dalam peperiksaaan jika dibandingkan dengan murid yang mempunyai rekod kehadiran kurang memuaskan iaitu akan lebih condong memperolehi gred yang teruk seperti gred D, E atau gred F. 

Perlu disedari bahawa kesan minat dan sikap terhadap keterlibatan murid dalam pembelajaran adalah satu ciri psikologikal yang dipengaruhi oleh faktor kontekstual, seperti iklim bilik darjah, sokongan ibu bapa dan pengaruh rakan sebaya yang merupakan ekosistem pembelajaran seseorang murid. Ciri psikologikal murid dan persekitaran sangat mempengaruhi hasil pembelajaran mereka dan ekosistem tersebut berfungsi sebagai ‘pemboleh akademik’ (academic enablers) serta berfungsi sebagai peramal penting pencapaian akademik murid. 

Selain minat dan sikap, tahap kognitif pula memberi kesan secara langsung terhadap gaya dan kaedah pembelajaran, penguasaan konsep dan teknik, penguasaan bahasa, serta kecerdasan atau kebolehan berfikir pada aras yang lebih tinggi. Teknik pembelajaran yang lemah atau kurang berkesan boleh menyebabkan salah faham atau salah tafsiran pada sesuatu permasalahan dan persoalan dalam satu-satu topik atau subjek. Murid yang mempunyai kecerdasan yang tinggi selalunya berpeluang memahami dengan cepat kandungan pembelajaran di dalam kelas berbanding murid yang rendah kecerdasannya. 

Murid-murid yang rendah atau kurang cerdas juga mempunyai ingatan yang lemah dan tidak dapat mengingat maklumat serta apa yang telah diajar dalam jangka masa yang panjang. Akhirnya keadaan ini menyebabkan mereka membuat tanggapan yang berlainan, tidak tepat atau salah. Contoh yang boleh digambarkan ialah seseorang murid yang lebih cenderung kepada gaya menghafal nota kerana dia sukar untuk mengingati formula atau teknik berbanding memahami sesuatu konsep dalam subjek Fizik yang akhirnya menyebabkan murid tersebut berdepan kesukaran terutamanya apabila struktur soalan berubah walaupun dikekalkan konsep fizik yang sama. 

Antara faktor peribadi murid yang mempunyai kaitan juga ialah jantina. Walaupun faktor ini dilihat tidak terlalu signifikan, namun laporan dan statistik yang menunjukkan perempuan lebih ramai cemerlang dalam pelajaran dan lebih ramai di universiti atau kolej membuktikan faktor jantina ada kaitan dengan prestasi akademik murid. Kesungguhan dalam mengulangkaji pelajaran dicatat lebih dominan pada murid perempuan berbanding murid lelaki. Malah kajian menadapati murid atau pelajar perempuan lebih sanggup menghabiskan duit untuk membeli buku akademik bagi tujuan pembelajaran mereka berbanding murid lelaki. 

Ketiga: Faktor Latar Belakang Murid
Perkara yang diberi perhatian berkenaan faktor latar belakang murid ialah keberadaan keluarga dan ibu bapa, sosioekonomi dan tempat tinggal. Terdapat kajian yang menjelaskan bahawa faktor ibu bapa adalah faktor kedua penting selepas faktor guru. Apabila seseorang murid datang daripada keluarga yang bermasalah seperti ibu bapa atau ahli keluarga yang sering bertengkar atau menghadapi masalah penceraian, keadaan ini boleh mengundang tekanan kepada murid dan menganggu tumpuan mereka terhadap pelajaran. Kesannya murid merasa rendah diri, malu dengan rakan-rakan dan akhirnya kurang aktif mengikuti pembelajaran dan aktiviti di sekolah. Sekiranya keadaan ini berlarutan, keadaan murid akan menjadi lebih parah dan merbahaya sehingga menyebabkan mereka terlibat dengan masalah keruntuhan akhlak dan gejala sosial. 

Taraf sosioekonomi sesebuah keluarga boleh memberi pengaruh yang agak besar kepada murid terutamanya pada peringkat persekolahan rendah, namun semakin berkurangan di peringkat pelajaran yang lebih tinggi iaitu menengah rendah dan menengah tinggi. Faktor yang mendasari kemampuan sosioekonomi khususnya tahap pendidikan dan pendapatan ibu bapa dilihat mempunyai perkaitan dalam mempengaruhi sikap dan personaliti murid. Ia memberi kesan terhadap aspirasi, motivasi, konsep kendiri dan penyertaan murid dalam proses P&P di sekolah. 

Sememangnya wujud murid yang mempunyai keluarga berpendapatan rendah dan situasi keluarga yang kurang stabil. Murid yang menghadapi keadaan ini dilihat lebih lemah dalam akademik berbanding keluarga yang berpendapatan sederhana dan situasi keluarga yang stabil. Situasi keluarga murid boleh dipengaruhi oleh lokasi tempat tinggal, suasana kediaman, kejiranan serta fasiliti yang disediakan. Kepadatan penduduk dalam sesebuah kawasan perumahan boleh memberi kesan terhadap faktor tempat tinggal murid. Murid sekolah luar bandar sedikit ketinggalan dalam akademik jika dibandingkan dengan murid dari sekolah bandar. Murid di sekolah luar bandar ini kebanyakannya adalah dari tahap sosioekonomi yang rendah, sedangkan murid di sekolah bandar berada dalam kemampuan dan kestabilan dalam sosioekonomi serta mereka lebih optimistik dan suka bersaing dalam mengejar cita-cita. 

Walaubagaimanapun tidaklah dinafi bahawa murid yang datang dari golongan susah dan sederhana mampu menjadikan faktor kekurangan tahap sosioekonomi mereka sebagai motivasi untuk lebih berjaya seterusnya mengimpikan dapat memperbaiki taraf kehidupan keluarga pada masa akan datang. Manakala murid daripada golongan berada pula telah termotivasi kerana keluarga mereka mempunyai kemampuan untuk membiayai kelas tuisyen atau kelas tambahan untuk anak-anak mereka bagi subjek-subjek yang masih rendah prestasi akademiknya. 

Keempat: Faktor Rakan Sebaya 
Masa peralihan antara alam kanak-kanak ke alam dewasa merupakan suatu tempoh yang penuh dengan ketidakseimbangan emosi dan corak pemikiran sehingga boleh memberi tekanan. Pada masa yang sama, murid terdedah dengan fenomena dunia tanpa sempadan dari aspek maklumat di hujung jari dan sangat terdedah dengan unsur-unsur negatif. Oleh yang demikian murid perlu menyesuaikan diri dari segi perubahan emosi dan fizikal mereka, cara berikteraksi dengan orang yang lebih dewasa dan kaedah untuk mengadaptasi diri dengan persekitaran serta hal ehwal semasa. Sekiranya murid tidak memiliki keupayaan tersebut serta tidak mampu mengeksplouasi maklumat yang diperoleh untuk tujuan yang baik dan bermanfaat, mereka akan mudah terjebak dengan unsur-unsur negatif. 

Hubungan dan jalinan antara individu murid serta komunikasi sesama mereka membentuk kelompok rakan sebaya. Rakan sebaya boleh memberi pengaruh sama ada membantu meningkatkan pencapaian dalam akademik seseorang murid atau sebaliknya. Walaupun ada dapatan kajian menunjukkan bahawa kesan secara langsung sokongan dan pengaruh rakan sebaya tidak memberi sumbangan terhadap pencapaian akademik murid, namun kesan secara tidak langsung boleh berlaku. Pengaruh rakan sebaya yang tidak baik boleh memberi kesan kepada murid dan remaja yang sedang mencari-cari identiti diri, tambahan pula bagi yang kurang kasih sayang dan pengawasan keluarga. Perbincangan dalam konteks rakan sebaya lebih kepada kecenderungan rakan sebaya ke arah perlakuan melanggar disiplin seterusnya memberi kesan negatif kepada pelajaran. Rentetan daripada masalah ini pencapaian akademik mereka juga turut terjejas. 

Tujuan Menyelesaikan Masalah 
Dalam artikel ini, penumpuan lebih diberikan untuk mengesan dan mengenalpasti faktor dominan yang menyebabkan murid lemah dalam akademik. Setelah faktor-faktor tersebut diperoleh, maka ia dijangka akan mendatangkan banyak faedah kepada guru dan pihak sekolah dan berkongsi dengan masyarakat contohnya Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Melalui maklumat ini juga, para guru akan menyedari apakah kemungkinan-kemungkinan yang menyebabkan prestasi murid lemah dalam akademik. Seterusnya aktiviti pengajaran dan pembelajaran dan sesi sokongan lain seperti kaunseling dan motivasi boleh dirancang serta dilaksanakan untuk membantu murid kembali bersemangat seterusnya cemerlang dalam akademik. 

Kepentingan Menyelesaikan 
Masalah Masalah ini perlu diselesaikan kerana setelah faktor-faktor yang menyebabkan murid lemah dalam akademik diketahui, tindakan susulan perlu diambil. Masalah ini perlulah diselesaikan sebaik mungkin melalui apa juga cara yang sesuai, walaupun ia mengambil masa, memerlukan pertambahan komitmen dan mungkin juga wang ringgit. Ia bagi memastikan peranan dan fungsi guru dan sekolah serta matlamat, dasar dan falsafah pendidikan dapat dicapai dengan jayanya oleh setiap pihak terutama pengurusan pendidikan negara secara umum. Generasi yang lahir kelak adalah diharapkan terbaik dan lebih baik untuk mewarisi masyarakat yang bertamadun di negara ini selain mampu menghadapi cabaran alaf baru. Apabila tindakan penyelesaian telah mula dilakukan, maka keberkesanan langkah perlu sentiasa dipantau secara teratur dan saintifik untuk mengetahui sama ada tindakan yang diambil bersesuaian dan mampu menyelesaikan masalah prestasi akademik murid yang lemah atau perlu kepada perubahan atau penambahbaikan. 

Cara Penyelesaian Masalah 
Terdapat tiga cara untuk menyelesaikan masalah murid lemah dalam akademik mengikut faktor-faktor yang telah dijelaskan. 

Pertama: Faktor Guru/Kelas/Sekolah 
Kaedah pengajaran guru yang dilaksanakan dengan rapi dan tersusun berdasarkan perancangan pengajaran akan melibatkan pembentukan struktur kognitif, gaya pengajaran dan sukatan kurikulum. Para guru perlu bijak, kreatif, inovatif dan proaktif untuk mempelbagai kaedah dan strategi pengajaran. Pemantauan atau pencerapan proses P&P di sekolah perlulan dilaksanakan dengan kerap dan berskala. Guru yang lemah dalam pengajaran perlulah segera dikenalpasti seterusnya diberi bimbingan, tunjuk ajar seperti menyertai program peningkatan profesion keguruan. Guru yang lemah dalam pedagogi untuk subjek tertentu juga boleh diperbaiki melalui kerjasama panitia dan perkongsian dengan guru yang berpengalaman. Ia merupakan cara utama yang perlu diberi penekanan merangkumi aspek guru sebagai pembimbing pembelajaran, pemberi motivasi, kesungguhan dalam mengajar dan penguasaan ilmu terhadap topik yang diajar. Fungsi ini perlu diwujudkan dan diperkasakan dalam peribadi setiap guru kerana ia mampu menyumbang kepada kecemerlangan prestasi akademik murid. Kerjasama antara sekolah-sekolah juga amat baik dan menarik untuk para guru dan pentadbir sekolah saling bertukar idea dan pendapat ke arah penambahbaikan yang berterusan. 

Pihak pentadbir dan kepimpinan sekolah perlu peka terhadap kondisi persekitaran sekolah umumnya dan fasiliti fizikal sekolah terutama kelas. Sekolah perlulah dalam keadaan kesediaan yang maksima menerima kehadiran murid dengan memastikan keceriaan, kebersihan dan keselamatan sentiasa dijaga dan dipelihara. Pertandingan kelas terbersih atau terceria mampu memancing persaingan antara sesama guru kelas agar bersemangat bersama anak-anak murid mereka memastikan kelas sentiasa dalam keadaan ceria dan selesa untuk sesi P&P. Peringatan juga boleh diberikan kepada kelas atau guru kelas yang tidak mencapai markah minita yang ditetapkan agar wujud komitmen yang berterusan daripada mereka. Selain itu, peralatan yang rosak, using dan tidak mencukupi perlulah segera diambil tindakan agar ia tidak menjadi beban kepada guru kelas dan murid untuk menjalani P&P dengan selesa dan berkesan. 

Kedua: Faktor Peribadi dan Latar Belakang Murid 
Di sekolah, guru memainkan peranan penting dalam menggalakkan murid untuk meningkatkan pencapaian akademik mereka. Murid yang merasakan mereka dihargai guru menunjukkan keterlibatan emosi dan tingkah laku positif di sekolah. Guru perlulah proaktif untuk mencari pendekatan yang sesuai bagi menggalakkan murid bersaing secara sihat sesama mereka, seterusnya menggalakkan keterlibatan murid dalam aktiviti di sekolah. Semakin tinggi keterlibatan murid di sekolah, semakin meningkat pencapaian mereka dalam akademik. 

Pihak pentadbir atau kepimpinan sekolah juga boleh mengambil manfaat dengan menjadikan prinsip Rukun Negara sebagai nukleus atau wadah kemenjadian dan jatidiri murid di sekolah seterusnya membentuk perwatakan nasional. Pelbagai bentuk program, aktiviti dan pendekatan boleh dilaksanakan untuk mencapai hasrat ini. Ia perlu dilaksanakan dengan penuh hemat membantuk jatidiri seorang warganegara dan bukannya dibiarkan difahami sendiri oleh rakyat, khususnya generasi muda. Kefahaman, kepercayaan dan penghayatan yang terpesong mendedahkan murid kepada unsur negatif dan boleh menjejaskan keharmonian kehidupan harian mereka. 

Penglibatan ibu bapa ahli atau keluarga dalam perkembangan pendidikan murid juga banyak mempengaruhi pencapaian akademik murid. Selain ibu bapa, kerabat atau waris lain dalam kalangan adik beradik atau saudara mara juga berperanan dan boleh menjadi wakil kepada ibu bapa. Dorongan dan galakan ibu bapa khususnya dapat memupuk keupayaan murid untuk berjaya. Aspek ibu bapa sebagai pembimbing, pemberi galakan dan dorongan, prihatin terhadap perkembangan dan perjalanan pembelajaran serta mampu menyediakan kelengkapan persekolahan yang baik menyumbang kepada kejayaan anak-anak. 

Sekolah perlu memperkasakan peranan dan fungsi unit bimbingan dan kaunseling di bawah hal ehwal murid. Unit ini perlu sentiasa didendangkan dalam kalangan murid agar ia disedari kewujudannya. Di peringkat sekolah menengah ia sangat praktikal untuk dilaksanakan kerana murid akan lebih bersikap eksklusif dalam tempoh umur sebegini. Mereka perlu dipimpin oleh guru untuk berkongsi masalah dengan unit tersebut agar tidak melarat dan tidak cenderung kepada penyelesaian dalam bentuk negatif. Di peringkat sekolah rendah pula, kemahiran mengenalpasti permasalahan peribadi murid perlu diperkasakan dalam kalangan guru agar psikologi dan motivasi murid sentiasa dalam keadaan terbaik untuk menerima pembelajaran. 

Ketiga: Faktor Rakan Sebaya 
Sokongan pembelajaran dan keterlibatan murid secara menyeluruh dalam aktiviti dan program sekolah mempengaruhi pencapaian akademik murid di mana keterlibatan dipostulasikan sebagai perantara. Komunikasi antara murid diperkemas dan diperkasakan agar wujud persekitaran yang harmoni antara setiap murid. Keterlibatan murid boleh diperkukuh secara terancang untuk memenuhi aspek afektif, tingkah laku dan kognitif. PIBG juga boleh memainkan peranan melalui kerjasama dengan pihak sekolah untuk membentuk sokongan pembelajaran yang kolektif dan holistik merangkumi tiga penjuru iaitu guru, rakan sebaya dan ibu bapa. 

Sebagai seorang murid, mereka sangat terpengaruh dengan keluarga di mana mereka lahir dan membesar, terutama ibu bapa. Ibu bapa yang mencorak dan mewarnakan tingkah laku anak-anak mereka. Didikan dan tunjuk ajar oleh ibu dan bapa serta ahli keluarga di rumah menjadi panduan berguna kepada anak-anak mereka. Apabila anak-anak keluar rumah untuk belajar, ruang lingkup pergaulan mereka bertambah luas. Faktor-faktor yang mencorakkan akhlak mereka juga turut bertambah dengan adanya guru-guru dan rakan-rakan sebaya. Pemantauan berterusan, sikap ketegasan yang bertempat, menjadikan anak sebagai rakan dan berdamping dengan mereka di waktu gembira dan sedih, membimbing mereka apakah perilaku yang dibenarkan dan dilarang, serta sentiasa mengingatkan hidup manusia adalah kehidupan bertuhan akan meletakkan ibu bapa sebagai role model terbaik dalam minda murid. 

Penutup
Sekolah merupakan medan juang masayarakat secara khusus untuk merealisaikan Falsafah Pendidikan Negara (FPN). Memaknakan FPN perlu digalas oleh para guru, pentadbir dan kepimpinan sekolah. Kerjasama yang erat, berkesan dan berterusan mampu memberi kesan yang positif terhadap kecemerlangan murid. Pihak sekolah, PIBG dan masyarakat umum perlu saling berganding bahu menyelesaikan permasalah yang wujud di sekitar ekosistem pendidikan dan pembelajaran anak-anak agar sentiasa dalam keadaan yang dinamik, positif dan sejahtera. Tidak lain ia bertujuan menjamin murid-murid mendapat akses dan kemudahan pendidikan yang terbaik. Diharapkan segala langkah yang telah diambil menghasilkan keputusan akademik yang cemerlang dalam kalangan murid serta kemenjadian mereka seperti yang inspirasilan di dalam Falsafah Pendidikan Negara.

Rujukan
1- Nur Maizatul Azra Mukhta, Faizal Hashim, Marina Mokhtar, Nor Aimi Abdul Wahab, Noorezal Atfyinna Mohd Napiah dan Suhaiza Hasan. (2017). Faktor Yang Mempengaruhi Pencapaian Pelajar Dalam Mata Pelajaran Fizik: Satu Sudut Pandangan. International Academic Research Journal of Social Science. 3(1): 195-201.

2- Tamam Timbang, Zamri Mahamod Dan Afendi Hamat. (2011). Faktor Dan Kesan Masalah Membaca Dalam Kalangan Murid Sekolah Rendah Kerajaan Di Brunei Darussalam. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu. 1(1): 89-107.

3- Hanita Mohd Yusoff dan Norzaini Azman. (2018). Pencapaian Akademik Murid Lelaki Dan Perempuan: Peranan Sokongan Pembelajaran Dan Keterlibatan Murid. Malaysian Journal of Learning and Instruction. 15(2): 257-287.

4- Noor Erma Binti Abu dan Leong Kwan Eu. (2014). Hubungan Antara Sikap, Minat, Pengajaran Guru Dan Pengaruh Rakan Sebaya Terhadap Pencapaian Matematik Tambahan Tingkatan 4. Jurnal Kurikulum & Pengajaran Asia Pasifik. 2(1): 1-10.

5- Mohd Faizal Bin Mazalan. (2012). Faktor Yang Berkaitan Dengan Pencapaian Matematik Pelajar Melayu Sekolah Menengah Agama Daerah Pontian. Tesis Ijazah Sarjana Pendidikan (Matematik). Universiti Teknologi Malaysia: Fakulti Pendidikan.

6- Siti Nazurana Konaen, Fadzilah Abd Rahman dan Samsilah Roslan. (2019) Meneroka Sikap dan Motivasi Murid Rendah Pencapaian Bahasa Melayu: Satu Kajian Kes di FELDA. International Journal of Education and Training (InjET). 5(1): 1-9.


Hidup perlu bersyukur..

Bandar Baru Bangi,
14 Muharram 1443H.

Comments