Ulasan Video Kenapa Singapura Dan Malaysia Berpisah

Pengenalan

Malaysia dan Singapura merupakan dua buah negara yang berasal daripada satu rumpun yang sama. Pada 16 September 1963, sebuah negara yang dinamakan Malaysia telah dibentuk terdiri daripada Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak. Di Singapura ia berasaskan kepada sebuah referendum yang telah dilakukan di Singapura pada 1 September 1962 untuk meninjau pendapat penduduk Singapura dan hasilnya mendapati rakyat Singapura bersetuju menyertai untuk Persekutuan Malaysia. 

Namun Persekutuan Malaysia tidak bertahan lama. Selepas dua tahun Malaysia dibentuk, pada 7 Ogos 1965 Perjanjian Pemisahan ditandatangani oleh Malaysia dan Singapura, selanjutnya pengisytiharan pemisahan ini telah dibuat pada 9 Ogos 1965. Faktor utama Singapura keluar dari Persekutuan Malaysia adalah dasar dan ideolog People’s Action Party (PAP) dari Singapura yang tidak selari dengan Parti Perikatan di Malaysia.

Kenapa Singapura dan Malaysia Berpisah

Ideologi Politik

Lee Kuan Yew (LKY) yang telah memenangi pilihanraya Singapura pada 30 Mei 1959 ingin membentuk sebuah masyarakat Singapura berasaskan pendekatan Pensyarikatan Singapura. Beliau bermatlamat penggabungan Singapura-Malaysia sebagai alat untuk mencapai kemerdekaan dan meningkatkan kebajikan dan kemakmuran Singapura di samping penyatuan ini membolehkan kepulauan tersebut terlepas daripada cengkaman kolonial British. Selain itu, tanpa sebarang sumber asli, Singapura melihat ianya sebagai langkah kritikal bagi memastikan kesinambungan pulau tersebut untuk berkembang maju dan akan menghasilkan perdagangan lebih luas di dalam wilayah Malaysia. 

Singapura menyertai Malaysia atas permintaan kerajaan PAP yang dipimpin oleh LKY sendiri. Dari sisi Malaysia, terdapat dua teori daripada pihak Tunku Abdul Rahman (TAR) iaitu teori keselamatan dan teori perluasan. Teori pertama paling utama iaitu TAR mempertimbangkan idea penggabungan ini mampu mengekang ancaman komunis.

PAP yang menerajui kerajaan Singapura pada waktu tersebut percaya akan kesaksamaan untuk semua bangsa, tidak mengira Melayu, Cina dan India dengan menggunakan slogan ‘Malaysian Malaysia’. Ia bermaksud Malaysia untuk semua bangsa Malaysia tanpa mengambil kira etnik dan agama yang dianuti iaitu berasaskan meritokrasi. Menurut LKY, Malaysia akan menjadi lebih maju berbanding Malaysia yang sedia ada kini sekiranya TAR bersikap tegas dan tidak hanya mementingkan kepentingan hak istimewa masyarakat Melayu sahaja bagi membentuk Malaysia yang berbilang kaum dengan membenarkan masyarakat Cina dan India menyertai sistem pentadbiran negara. 

Sebaliknya kerajaan pusat Malaysia mempunyai ideologi berbeza iaitu lebih mengutamakan agenda pro-Melayu, yang lebih mengutamakan penduduk asal Malaysia, termasuklah kaum bumiputera. Hak-hak ini diberikan kepada kaum berkenaan dalam perkhidmatan awam, pendidikan dan perniagaan. Perjuangan konsep ‘Malaysian Malaysia’ diteruskan oleh LKY walaupun setelah bergabung dengan Malaysia. 

Terdapat ketidakseimbangan kaum dalam komposisi gabungan ini di mana Singapura mempunyai majoriti Kaum Cina manakala Semenanjung Malaysia mempunyai majoriti kaum Melayu. Perselisihan antara kaum Melayu dan kaum Cina telah mewujudkan keadaan yang tegang antara kedua belah pihak seolah penggabungan ini dilihat suatu pembaharuan dalam struktur sosial mereka.

Situasi ini telah mendorong masyarakat Melayu untuk mewujudkan gerakan-gerakan Melayu terutamanya daripada ahli United Malay Nation Organization (UMNO) dengan melakukan perhimpunan menentang PAP. Perhimpunan-perhimpunan tersebut telah mengakibatkan berlakunya pergaduhan kaum antara masyarakat Melayu dan Cina di Singapura pada tahun 1964  iaitu pada 21 Julai dan 2 September sehingga menyebabkan 22 kematian serta 454 orang cedera. Ekstrimis dikatakan punca berlakunya ketegangan kaum ini. Keadaan tegang ini akhirnya berjaya diselesaikan apabila Jawatankuasa Muhibbah tempatan bersama ahli-ahli politik melawat ke kawasan sensitif untuk meredakan keadaan.

Perbezaan ideologi telah menyebabkan berlakunya beberapa konflik politik. Krisis antara Malaysia dan Singapura semakin serius selepas UMNO dikatakan telah melanggari perjanjian bersama dalam perjanjian politik di wilayah masing-masing. UMNO dilihat terlibat dalam sebuah pilihanraya di Singapura pada 21 September 1963 di bawah sepanduk parti Singapore Alliance. Namun parti tersebut kalah dalam pilihanraya. 

PAP juga turut melanggari perjanjian di mana mereka menyertai pilihanraya persekutuan di Malaysia pada tahun berikutnya tanggal 24 April 1964. Namun PAP gagal mendapat keputusan yang baik. Mereka hanya sekadar berjaya memenangi satu kerusi sahaja di Bangsar. Hubungan PAP dengan UMNO semakin kritikal disebabkan perbezaan ideologi dan visi kedua-dua parti politik ini.

TAR memberitahu bahawa hanya terdapat dua cara bagi menyelesaikan masalah antara Malaysia dan Singapura. Pertama, tindakan tegas akan dikenakan kepada sesetengah pemimpin Singapura atas sikap mereka yang tidak disenangi sehingga menimbulkan kebimbangan akan terjadinya rusuhan kaum. Kedua, pemisahan Singapura dari Persekutuan Malaysia. Justeru, pilihan kedua telah dipilih.

Semasa TAR berucap mengenai perpisahan Singapura dengan Malaysia, beliau menghuraikan latar belakang sebab kerajaan mengambil keputusan mengejut tersebut. Menurutnya sudah tiada pilihan lain melainkan menyingkirkan Singapura yang membelakangkan segala keputusan dengan kerajaan pusat. Pada ketika itu, TAR yakin perpisahan dengan Singapura merupakan satu-satunya cara untuk menyelesaikan masalah ini tanpa pertumpahan darah kerana dalam sekelip mata, segala usaha untuk menubuhkan negara Malaysia yang bersatu boleh musnah. Lantas Singapura diisytiharkan sebagai negara yang merdeka dan berdaulat.

Hakikatnya, hasrat kedua-dua pemimpin TAR dan LKY terhadap penggabungan adalah harmoni dan sangat baik. Namun ideologi dan prinsip sesebuah negara juga perlu dipertahankan sebagai tonggak jatidiri dan maruah bangsa, agama dan negara. Berdasarkan kajian Mohamed Nordin Sopiee, antara lain menyatakan bahawa “Tunku Abdul Rahman was able to bring to fruition in 1963 an idea he first publicly suggested in 1955”, iaitu pada 26 Disember 1955. 

Sementara itu, LKY telah berjuang untuk kemerdekaan melalui penyatuan dengan Persekutuan Tanah Melayu kerana pada pandangan beliau prospek ekonomi Singapura tidak begitu baik dan kemerdekaan Malaya akan mengakibatkan ‘Singapore’s economic isolation’. Ini berasaskan pemilik perniagaan dan golongan kenservatif yang berasa kecewa dengan keputusan Pilihanraya Umum Singapura pada 2 April 1955 kerana sedia maklum wujud sekelompok ekstrimis komunis di dalam PAP.

Walaupun Singapura telah menjadi sebahagian daripada negara yang merdeka, namun harapan LKY agar negaranya memperoleh kestabilan politik dan ekonomi dilihat suram. Ini kerana dalam masa yang sama Singapura menghadapi tekanan daripada Indonesia yang tidak gembira atas pembentukan Malaysia tersebut. Kesan daripada dasar konfrontasi Indonesia terhadap Malaysia juga dirasai oleh Singapura yang pada masa yang sama menerima beberapa siri pengboman ke atas tanah air mereka.

Penutup

Sejarah mengatakan hak keistimewaan kaum bumiputera adalah salah satu isu yang sangat sensitif di Malaysia. Kerajaan yang ada perlu bijak dalam menangani isu ini dan berhati-hati. Pastinya, hak bumiputera harus dikekalkan sebagai keistimewaan orang asal di Malaysia, di samping hak-hak kaum lain tidak dinafikan. Singapura dan Malaysia telah menjadi sahabat yang baik dan saling bergantung antara satu sama lain selepas perpisahan ini. Walaupun terdapat beberapa isu menjadi hangat, namun kedua-dua pemimpin bijak untuk mengatasinya.


Rujukan

  1. M. Bravo. (2006). Culture Shock: A Survival Guide to Custom and Etiquette Singapore. Marshall Cavendish Edition.
  2. P. Boyce. (1968). Malaysia and Singapore International Diplomacy: Documents and Commentaries. Australia: Sydney University Press.
  3. W. G. Huff. (1994). The Economic Growth of Singapore-Trade and Development in the Twentieth Century. Cambridge: Cambridge University Press.
  4. Charles Richard Ostrom. (1973). A Core Interest Analysis of the Formation of Malaysia and the Separation of Singapore. Ann Arbor: University Microfilms.
  5. Zainal Abidin Wahid. (1996). Malaysia-Singapura Bersatu Semula. Backbench. Bil. 18 Julai 1996.
  6. Che Mat, Ab. Wahab. (1998). Dr. Mahathir dan Dasar Luar Malaysia: Kajian Kepimpinannya dalam Mengurus Isu-isu Hubungan Malaysia-Singapura. Master Thesis, University of Malaya.
  7. Straits Times Press. (2013). One Man’s View of The World: Lee Kuan Yew. Singapura: Straits Times Press Pte. Ltd.
  8. Bjorn Schelander. (1998). A History of the Lion City. University of Hawai’i: Center for Southern Asian Studies.
  9. N. Ganesan. (2005). Realism and Interdependence in Singapore’s Foreign Policy: Politics in Asia. New York: Routledge Taylor and Francis Group.
  10. Cheng, Adeline Low Hwee. (2001). The past in the present: Memories of the 1964 'racial riots' in Singapore. Asian Journal of Social Science. 29 (3): 431-455.
  11. Mohamad Nordin Sopiee. (1976). From Malayan Union to Singapore Separation-Political Unification in the Malaysia Region 1945-1965. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.


Hidup perlu bersyukur..

Bandar Baru Bangi,
13 Zulhijjah 1442H.

Comments