Pendahuluan
Pusat Rujukan Persuratan Melayu memberikan definisi paradigma sebagai lingkungan atau batasan pemikiran (seseorang atau sesuatu organisasi) pada sesuatu masa yang dipengaruhi oleh pengalaman, pengetahuan, kemahiran, dan kesedaran yg ada. Perubahan paradigma Malaysia bermaksud perubahan utama yang berlaku terhadap negara semenjak zaman kerajaan Melayu tradisional sehinggalah penubuhan Persekutuan Tanah Melayu. Antara bentuk perubahan yang berlaku adalah dalam konteks autoriti pentadbiran negara, pembentukan jatidiri bangsa dan asas kemajuan pembangunan.
Autoriti Pentadbiran Negara
Kerajaan Melayu Tradisional di negara ini dengan pemerintahan berkerajaan sendiri bermula apabila Parameswara ditabal sebagai Sultan Melaka Pertama pada tahun 1400M. Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka ini terus berkembang sehingga mencapai kegemilangannya pada abad ke-15. Namun tempohya tidak lama kerana Melaka ditakluki Portugis pada 1511. Bermula detik hitam ini, kronologi penjajahan terus terukir diikuti Belanda, British, Jepun dan British lagi dalam lipatan sejarah negara sehinggalah kembali kepada pemerintahan sendiri apabila mencapai kemerdekaan tahun 1957. Walaupun negara telah kembali ditadbir oleh rakyatnya namun kesan penjajahan masih wujud dalam pentadbiran dan perundangan negara yang berpandungan perundangan British. Sedangkan pada asalnya di zaman kesultanan Melayu pentadbiran dan perundangan adalah merujuk kepada sistem agama Islam. Semoga pemerkasaan pentadbiran dan perundangan Islam dalam negara ini mencapai matlamatnya untuk disyiarkan.
Pembentukan Jatidiri Bangsa
Camputangan penjajah dalam pentadbiran tempatan, mengenakan cukai dan mengambil dengan rakus sumber bumi negara menaikkan kemarahan pihak istana dan rakyat. Tempoh penjajahan yang panjang telah membentuk peribadi rakyat yang kental, berprinsip, berkemahiran dalam memperjuangkan agama, negara dan bangsa meraka. Semangat nasionalisme pula terus berkembang ketika era abad terakhir pentadbiran British sehingga pembentukan Persekutuan Tanah Melayu. Pembentukan jatidiri dalam kalangan Melayu Muslim terutamanya dilihat didasari oleh kekuatan pegangan agama Islam dan adat kemelayuan, sensitif dengan isu semasa yang ‘menjentik’ hal ehwal agama dan bangsa serta teguh dengan prinsip ‘tuan tanah’. Kisah dan sejarah negara lain yang turut dijajah serta masih dalam pergolakan menjadi iktibar dan pengajaran kepada setiap warganegara. Jatidiri dan peribadi ini diharapkan terus kukuh menjadi identiti ketuanan bangsa sehingga bila-bila.
Asas Kemajuan Pembangunan
Semasa era Kerajaan Melayu Tradisional lagi telah berdirinya tamadun yang hebat. Namun ia pudar sepanjang tempoh penjajahan dan hanya sedikit berlakunya pembangunan kerana penjajah tidak berminat membawa kemajuan kepada negara yang dijajah. Peranan institusi beraja yang terus hidup dalam sanubari dan identiti rakyat memastikan penjajahan tidak bertukar menjadi pemilikan. British dalam mengekalkan kuasanya mentadbir negara, namun tetap bekerjasama baik dengan tokoh-tokoh serta pemimpin tempatan serta berperanan penting membangunkan negara dan membawa kemajuan terutama teknologi terkini. Ia jelas kelihatan terutama semasa dekad terakhir penjajahan British untuk menyediakan tapak berkerajaan sendiri apabila idea Malayan Union ditentang hebat. Asas dan pengalaman ini menghidangkan kepada pemimpin dan rakyat pengetahuan serta pengalaman ke arah mentadbir dan membangunkan sendiri negara mereka, Persekutuan Tanah Melayu.
Penutup
Memperoleh kemerdekaan hanya sekadar menjadi mimpi di siang hari tanpa usaha yang berterusan oleh segenap pihak rakyat. Bersyukur dengan kemerdekaan adalah sangat penting, namun mengisi ruang kemerderkaan dan mempertahankannya amat dan lebih penting lagi.
Hidup perlu bersyukur..
3 Zulhijjah 1442H.
Comments