Sambung Belajar

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Prolog

Merasakan diri ini serba tidak mencukupi, tidak sempurna, tidak memiliki apa yang dimahukan, tidak memenuhi sesuatu yang melengkapkan di lirik mata..

Dilihat masih tidak mampu melakukan yang terbaik, dilihat sering melakukan kesilapan dan kesalahan. Ada sahaja yang tidak kena. 

Apakah memang masih tidak mampu untuk memahami? Apakah benar sukar untuk memahami? Tidak pandai memberi kebaikan dan kebahagiaan? Setiap tindakan seolah tidak betul dan ada salahnya..

Memang benar, sangat berbeza antara memberi dan menerima, antara menjadi pemberi atau penerima, mahu diri sebagai orang yang memberi atau orang yang menerima. Berbezalah tindakan dan hasilnya orang yang mahu menjadi salah satu antara keduanya.

Kepuasan ialah, telah usaha untuk lakukan yang terbaik. Sebaik mungkin. Walau dituduh, disangka dan dilakukan macam-macam.

Soalan: "Pakcik, saya ada satu soalan. Kita perlu pilih orang yang mencintai kita atau yang kita cintai...?" Pakcik: "Erkk.."

 


Tidakkah persoalan dan permainan minda tersebut membawa keserabutan?

Dalam prinsip agama Islam wujudnya suatu bentuk hukum yang dinamakan sebagai fardu dan wajib. Walau ia ada perbezaan maksud antara Mazhab Syafi'i dan Hanafi, namun asas keduanya adalah bermaksud suruhan atau perintah mesti, wajip, perlu dilaksanakan. Sekiranya tidak dilaksanakan, ianya merupakan kesalahan dan membawa kesan dosa.

Salah satu kewajipan tersebut adalah menuntut ilmu. Ia adalah suatu suruhan yang menuntut kepada suatu tindakan atau perbuatan seseorang mencari ilmu, belajar ilmu, belajar pengalaman, menuntut tunjuk ajar, mencari hikmah dan buah fikiran yang terbaik untuk diri sendiri. Sebuah hadis sabda Nabi Muhammad:

طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيْضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ

”Mencari ilmu itu adalah wajib bagi setiap muslim”.

Menuntut dan mencari pasti akan menemui kepayahan, kesukaran dan pelbagai rintangan yang tak terduga. Apakah mungkin? Ya. Tidakkan seolah menuntut ini seperti membawa maksud menagih? Adakah pernah anda berpengalaman untuk mencari cinta sejati dan menuntut agar dicintai sepenuh hati? Bagaimana pengalaman itu? Penuh getir, luka, pilu dan sebagainya, bukan?

Samalah juga dengan menuntut ilmu. Maka tidak mustahil, panduan telah diberikan oleh para alim apakah bekal-bekal yang perlu ada bagi seorang pencari dan penuntut ilmu. Panduan ini adalah berguna sehingga seorang penuntut ilmu itu berjaya dalam pencariannya.

Sepertinya soal cinta. Apakah niatnya terhadap cinta yang didambakan? pastinya cinta sejati. Cinta tulus suci penuh murni. Segala kesempurnaan seolah mahu wujud dalam cinta yang dicarinya. Tidak mahu kejelekan, kekurangan dan kelemahan. Itulah impiannya, sehingga membentuk niatnya terhadap cinta.

Ehh..

Baiklah, suatu kepastian, apa yang paling utama dalam menuntut dan mencari ilmu adalah niat. Mari kita soroti apa yang disebutkan oleh Sheikh Al-Zarnuji dalam kitabnya Ta'lim al-Muta'allim.

Niat mencari ilmu, khususnya dalam bidang agama Islam mestilah memenuhi dan mencakupi hal-hal yang disebutkan di bawah:

1- Niat - Niat perlulah hanya mengharapkan keredaan Allah SWT semata-mata, iaitu menggapai kebahagiaan akhirat, menghapuskan kebodohan dan kejahilan di dalam dirinya. Semakin banyak belajar, semakin bodoh dirasakan dan semakin banyak ilmu serta pengetahuan yang tidak diketahui. Walaupun antara niat lain ialah membasmi kebodohan masyarakat di sekelilingnya, namun kebodohan dalam diri sendiri adalah umpama gunung yang besar dan perlu dipecahkan. 

Imam al-Syafie pernah berkata: 

"Semakin aku bertambah ilmu, semakin aku tahu akan kebodohanku". 

Sepakat para ahli fiqh meletakkan syarat niat agar sesuatu amalan dikira ibadah dan ibadahnya menjadi sah.

Daripada Amirul Mukminin Abi Hafs, Umar bin al-Khattab RA katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى الله وَرَسُوْلِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوْ اِمْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ

“Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut yang dia niat. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan siapa yang hijrahnya kerana dunia untuk dia dapatinya atau perempuan untuk dikahwininya, maka hijrahnya mengikut apa yang dia hijrah kepadanya”.

Ilmu yang benar membawa kepada petunjuk hakiki, melorong kepada taufiq dan hidayah. Namun, jika ilmu yang dipelajari bertambah tetapi tidak membawa kebaikan terhadap ruh dan jiwa, dibimbangi ilmu tersebut mengarahkan tuannya kepada kecelakaan.

Mengetahui agama satau perkara. Memahami agama pula perkara yang lain. Menghayati serta menjiwai ilmu serta hikmah beragama pastinya suatu yang lain pula. Selagi diri sendiri masih belum memahami dirinya sendiri. Sangatlah sukar untuk mencapai dan menggapainya..

Dinukilkan sebuah bait syair yang berbunyi:

اَلا  لاَ  تَناَلُ  اْلعِلْمَ   إِلاَّ  بِسِتَّةٍ      سَأُنْبِيْكَ عَنْ مَجْمُوْعِهَا بِبَيَانٍ

ذَكاَءٍ وَحِرْصٍ وَاصْطِباَرٍ وَبُلْغَةٍ      وَإِرْشَادِ أُسْتَاذٍ وَطُوْلِ زَمَانٍ

“Ingatlah! Engkau tidak akan mendapatkan ilmu kecuali dengan memenuhi enam syarat. Akan aku khabarkan keseluruhannya secara terperinci. Iaitu: Kecerdasan,  kemahuan,  sabar,  biaya, bimbingan guru dan waktu yang lama.”

2- Kecerdasan - Disebutkan bahawa para alim membahagikan kecerdasan menjadi dua iaitu: pertama, kecerdasan yang diberikan oleh Allah contohnya seseorang yang memiliki daya hafalan yang kuat. Kedua, kecerdasan yang diperoleh dengan usaha yang berusngguh-sungguh contohnya dengan cara mencatat, membuat nota, mengulang pelajaran yang diajarkan, membuat latihan atau latih tubi, berdiskusi dan seumpamanya.

Bila telah sedar bahawa diri bukanlah daripada golongan yang cemerlang PMR, SPM, tetapi biarkan ia berlalu. Kerana SPM juga bermaksud Selamat Pagi Malaysia. Setiah hari baru merupakan peluang untuk menambah baik diri sendiri. 

Antara bahagian tubuh yang terpenting ialah otak. Otak kita merupakan pusat berfikir serta yang mengatur anggota tubuh lainnya. Jika otak adalah nama fizikalnya, maka nama abstraknya ialah akal. Peranan otak sangat mempengaruhi bahagian tubuh yang lain. Otak sama hal keadaanya dengan anggota tubuh yang lain iaitu memerlukan latihan/penggunaan yang berterusan seperti otot-otot di tubuh badan. Otak yang sering melakukan latihan maka akan meningkatkan kecerdasan serta menjadikannya lebih aktif, fokus dan terurus dalam berfikir.

Rasulullah SAW sendiri diperintahkan oleh Allah SWT untuk terus berdoa dalam surah Taha ayat 114: 
"Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku"

Walaupun menuntut ilmu memerlukan kecerdasan otak, namun bagi meningkatkan dan mewujudkan kecerdasan otak, perlulah belajar sebanyak mungkin. Semakin banyak ilmu dan pengetahuan baru yang kita pelajari maka akan semakin mencerdaskan otak kita. Otak yang bekerja dengan belajar banyak perkara dan pengalaman akan menciptakan aliran arus saraf yang baru di dalam otak sehingga akan semakin mencerdaskan akal. Ilmu pengetahuan yang ada di dalam akal sebahagian besar bersumber dari kapasiti seseorang itu menuntut ilmu. 

Sebaik dan sebesar manapun kualiti dan saiz otak yang dimiliki oleh seseorang jika tidak digunakan untuk belajar sesuatu yang baru serta tidak diasah kemampuannya, perlahan-lahan akan menemui bayangan kebodohan dirinya. Seperti halnya pisau, semakin diasah dan digunakan akan semakin tajam dan berkilat. Kerana sering dijaga peranannya. Tetapi jika jarang digunakan maka akan menjadi tumpul, kotor dan akhirnya tidak berguna. Tiada istilah terlambat untuk menuntut ilmu, kerana belakang kuali yang berlapis hitamnya, andai sabar menggosok dan disental pasti akan menjelma juga sinaran besi kuali yang memancar.

Paling utama disebutkan juga, Imam al-Syafi'i pernah mengadu kepada gurunya Imam Waqi’ mengenai masalah hafalannya yang semakin merosot, lantas gurunya menyuruh Imam Syafi'i meninggalkan maksiat seraya berkata: 
“Sesungguhnya Ilmu Allah itu cahaya, dan Cahaya Allah itu tidak akan dikurniakan kepada seorang pelaku maksiat”.
Maka difahami daripada nasihat Imam Waqi’ ini bahawa sesungguhnya perbuatan maksiat jelas akan melemahkan ingatan dan menjadi punca lemahnya kecerdasan otak manusia.

3- SemangatBerpuas hati dengan tahap ilmu yang ada akan menyebabkan seseorang berhenti untuk terus belajar sesuatu ilmu pengetahuan baru. Sebaliknya, jika setiap kali seseorang memperoleh ilmu baru lantas menyedari akan kekurangannya, pasti akan terus berusaha untuk mempelajari sesuatu untuk memperbaiki dirinya. Kita perlu sentiasa berusaha menuntut ilmu dan tidak pernah merasa takabbur dan sombong dengan ilmu dimiliki.

Terus mengekalkan semangat memerlukan sokongan dan motivasi. Seorang penuntut ilmu perlulah sentiasa berkomunikasi, berkongsi dengan rakan-rakan penuntut ilmu yang lain. Wujudnya perasaan persaiangan secara sihat untuk memperoleh pencapaian yang cemerlang dan penguasaan ilmu yang lebih banyak. Gerakkan diri untuk membelek kisah kejayaan orang orang yang telah berjaya. Kerapkan diri menjengah ke perpustakaan kerana gedung dan lautan ilmu terbentang luas di hadapan mata. Jadikan buku sebagai teman yang setia, sentiasa berkepit ke hulu ke hilir. Pedulikan sekiranya dicemburui oleh pasangan. Ehh..

Carilah di dalam internet kata-kata semangat dan motivasi. Rapatkan diri dengan guru-guru dan mintalah nasihat serta doa adaripada mereka. Tidak segan bertanya soalan yang tidak difahami dan tunjukkan semangat belajar dan menginginkan kejayaan. Menghidupkan suasana positif semasa menuntut ilmu menjamin perasaaan seronok dan tenang menuntut ilmu.

Jika kau fikirkan kau boleh,
Kau hampir boleh melakukan,
Jika kau fikirkan ragu-ragu,
Usahamu tidak menentu.

Jika kau fikirkan kekalahan,
Kau hampiri kegagalan,
Jika kau fikirkan kemenangan,
Kau hampiri kejayaan.

Engkaulah apa kau fikirkan,
Terkandung dalam pemikiran,
Kau fikir boleh melakukan,
Fikirkan boleh!

Percaya apa kau lakukan,
Tabah apa kau usahakan,
Bertindak atas kemampuan,
Engkau boleh!!

4- Bersungguh-sungguh - pepatah sangat jelas menyatakan:
 مَنْ جَدَّ وَجَدَ 
Barangsiapa yang bersungguh-sungguh, maka pasti ia akan mendapatkannya. Begitu pula dalam menuntut ilmu, kesungguhan adalah salah satu modal penting untuk menguasai ilmu yang sedang dipelajari. Sabda nabi SAW riwayat dari Bukhari dan Muslim
"Siapa yang mengehendaki (kejayaan) hidup di dunia, hendaklah dengan ilmu. Siapa yang mengehendaki (kejayaan) hidup di akhirat, hendaklah dengan ilmu dan siapa yang mengehendaki kedua-duanya (kejayaan hidup di dunia dan akhirat) hendaklah dengan ilmu"
Sentiasa bersemangat akan menatijahkan tindakan yang bersungguh-sungguh. Ia boleh lahir apabila jelas matlamat dan niat awal menuntut ilmu. Ditambah dengan keceerdasan otaknya, maka perasaan tidak puas dengan ilmu yang dimiliki akan membuak-buak. Ini merupakan suatu hal yang penting dalam memperoleh sesuatu ilmu baru atau memperkukuh ilmu yang sedia ada. Seorang penuntut ilmu tidak boleh merasa puas dengan ilmu yang dimiliki. Zaman awal Islam mengkisahkan, seseorang sanggup menempuh padang pasir, mendaki gunung dan menuruni lembah, berbulan-bulan, menempuh kepanasan mentari dan kesejukan malam, semata-mata menuntut sepotong sabda Nabi Muhammad SAW.

Wawasan diri,
Penuhi dada dengan ilmu,
Wawasan agama,
Bekalan masa depan dan akhirat.

Kuat, usaha, jujur dan amanah,
Sentiasa mengharap keredhaan Allah,
Kuat, usaha, jujur dan amanah,
Sentiasa mengharap keredhaan Allah.

Umat Islam harus cemerlang,
Hari ini mesti lebih baik dari semalam,
Jangan buang masa,
Siapa kata kita tidak boleh,
Kita ada Allah Maha Kuasa,
Kita punya kuasa tenaga,
Doa sebagai senjata,
Umat Islam sentiasa boleh,
Umat Islam sentiasa boleh.

Umat Islam zaman lampau,
Taat perintah Rasulullah,
Bersama berusaha,
Bersatu tuju wawasan,
Wawasan dunia dan akhirat.

Umat Islam harus cemerlang,
Hari ini mesti lebih baik dari semalam.

Jangan buang masa,
Siapa kata kita tidak boleh,
Kita ada Allah Maha Kuasa,
Kita punya kuasa tenaga,
Doa sebagai senjata,
Umat Islam sentiasa boleh,
Umat Islam sentiasa boleh.

Aqidah ibadah harus sempurna,
Ibadah tanpa aqidah wawasan syaitan,
Ulama warisan Anbiya,
Pegangan mereka harus diikut,
Ajaran sesat wajib hindari,
Pegangan mereka harus diikut,
Ajaran sesat wajib hindari.

Umat Islam harus cemerlang,
Hari ini mesti lebih baik dari semalam.

Allah (umat Islam harus cemerlang)
(Hari ini mesti lebih baik) dari semalam.

Jangan buang masa,
Siapa kata kita tidak boleh,
Kita ada Allah Maha Kuasa,
Kita punya kuasa tenaga,
Doa sebagai senjata.

Umat Islam sentiasa boleh (umat Islam harus cemerlang),
Umat Islam sentiasa boleh (umat Islam sentiasa boleh),
Umat Islam sentiasa boleh,
Akhirnya Islam cemerlang seluruh dunia..

5- Bekal - Bekalan atau pembiayaan yang mencukupi untuk menuntut ilmu adalah sangat diperlukan. Inilah dunia. Bukankah kita selalu mendengar ungkapan,
"Duit bukan segalanya. Tapi hampir segalanya memerlukan duit!"
Hal ini kerana, tidak ada yang percuma di dunia ini melainkan perlu kepada pengorbanan jiwa dan harta untuk mencapainya. Apa yang percuma adalah nikmat hakiki yang dikurniakan oleh Allah SWt walaupun kita sebagai hamba sangat kurang mensyukurinya seperti udara untuk bernafas, hujan yang turun menghidupkan bumi, serta nyawa yang diberkan olehNya.

Ilmu memerlukan kepada pengorbanan maka tidak perlulah merasa takut menginfakkan harta pada jalannya. Bukan lagi kadangkala, tapi semestinya kita memerlukan bekal kewangan untuk membeli buku rujukan tambahan, alat tulis, mengakses perpustakaan swasta, membayar yuran pembelajaran serta membayar denda buku yang lewat dikembalikan ke perpustakaan. Ehh..

Walaupun 'jangan merasa takut dan bimbang' untuk menginfakkan harta pada jalan menuntut ilmu, namun perancangan kewangan perlu diberi perhatian khusus. Tidak semua orang memerlukan kita, tapi tetap ada yang memerlukan duit yang kita miliki. Bukankah kita mengetahui bahawa tidak semua harta yang kita miliki adalah milik kita? Pertimbangan antara keperluan dan kehendak, antara kewajipan dan kewajipan yang lebih utama, serta balasan sekiranya ia diabaikan.

Pejabat Mufti WP menjelaskan:
"Kami cenderung untuk memilih pandangan yang mengatakan orang yang meninggal dunia ketika keluar mencari nafkah adalah mudah-mudahan tergolong dalam golongan yang mendapat syahid di akhirat iaitu mereka mendapat ganjaran syahid di akhirat kelak, manakala di dunia hukumnya tetap dimandikan, disolatkan dan dikafankan seperti biasa. Hal ini disebabkan keluar bekerja mencari rezeki adalah perbuatan amal soleh yang amat dituntut oleh agama. Ia juga merupakan salah satu daripada cabang jihad iaitu berusaha mencari nafkah yang halal untuk menyara ahli keluarganya demi meneruskan kelangsungan hidup."
6- Bersahabat dan mendapat bimbingan guruPentingnya menjadikan guru sebagai sahabat, sentiasa mendampingi untuk mendapatkan tunjuk ajar dan panduan, berkelakuan baik, menghormati dan memuliakan guru. Hal ini dibuat semata-mata untuk mendapatkan reda guru yang pada akhirnya akan memberkati ilmu yang diajar seterusnya kita memperoleh berkat dari Allah.

Mungkin sebahagian daripada kita mendakwa bahawa mereka boleh menuntut ilmu tanpa berguru, mereka belajar sendiri, membaca buku rujukan yang diberikan. Namun kita tidak akan pernah mengetahui apakah pengetahuan dan pemahaman kita terhadap sesuatu ilmu dan pengetahuan itu benar ataupun salah. Seseorang tidak akan memperoleh ilmu yang benar-benar bermanfaat, diberkati dan mampu dihayati tanpa ada petunjuk dan bimbingan daripada seorang insan yang bernama guru. 

Guru adalah sandaran bagi seorang penuntut ilmu, malah di dalam Islam peranan sanad dalam konteks pengajaran dan pembelajaran ilmu sangat diberi perhatian dan diiktiraf kedudukannya serta memperoleh kemuliaan. Disebutkan bahawa Abdullah bin al-Mubarak telah berkata: 
Isnad adalah sebahagian dari agama, kalau bukan kerana isnad maka setiap orang yang berkeinginan akan mengucapkan apa yang dia inginkan”.
Pernah dengar berkenaan bagaimana Imam Malik sangat menekankan adab ketika mengajar ilmu kepada anak muridnya? Belajar adab tidak hanya melalui tulisan dan perkataan, tetapi ianya menjadi lebih dihayati dan terkesan apabila keindahan adab itu ternyata di hadapan mata kita  melalui tingkah laku para guru kita, para ahli ilmu yang sentiada tawaduk, hati, akal dan nyawa mereka sentiasa dekat dengan Allah SWT, menjelmakan akhlak yang mulia di tengah-tengah lautan manusia.

7- Waktu yang panjang - Menuntut ilmu memerlukan waktu yang panjang dan lama. Proses menuntut ilmu bukanlah proses yang singkat dan pendek. Disebutkan bahawa Imam Al-Baihaqi berkata: ”Ilmu tidak akan mungkin didapatkan kecuali dengan kita meluangkan waktu.” Diceritakan juga bahawa Imam Al-Qadhi pernah ditanya: “Sampai bila seseorang harus menuntut ilmu?” Beliau menjawab: ”Sehingga dia meninggal dan tertuang bekas tintanya bersama ke liang kubur.”

Seseorang penuntut ilmu tidaklah boleh untuk mudah patah semangat. Masih terlalu banyak yang harus dipelajari oleh penuntut ilmu di dunia yang sangat terbatas waktunya. Selagi hayat dikandung badan, selama itulah menjadi kewajipan setiap muslim untuk menuntut ilmu Allah SWT. Diharapkan semoga para penuntut ilmu berusaha memenuhi syarat-syarat menuntut ilmu seperti yang telah digariskan oleh Imam al-Syafi'i rahimahullah ini. Mudah-mudahan kita dapat mencapai keberkatan ilmu dan juga keredaan daripada Allah SWT.

*Bukan mudah untuk memaksa diri menyibukkan diri membaca, mengolah dan menulis. Diharapkan dengan jalan menyambung pelajaran ini mampu mengalihkan serba sedikit perasaan dan ingatan serta memberi ketenangan dek sibuk bekerja. Takkan nak serah diri kat tentera Israel bagi 'brainwash' sehingga hilang segala ingatan? Tidak dinafikan, jalan menuntut ilmu ini memang ada kemanisannya. Ibarat memakan gula-gula bernama Nano-nano. Erk..

**Penulisan ringkas ini mengambil masa sekitar empat jam.


Hidup perlu bersyukur..

Bandar Baru Bangi,
23 Syawal 1442H.

Comments