PENGHANTAR PSIKOLOGI PENDIDIKAN

PENGENALAN

Pengetahuan berkenaan psikologi pendidikan adalah amat penting terhadap pengajaran dan pembelajaran kerana ia amat berkait dengan perkembangan murid. Seseorang guru sejak dari peringkat awal mestilah mengetahui ilmu psikologi pendidikan untuk mengetahui, memahami, dan mempelajari tingkah laku, emosi dan pemikiran seseorang murid. Ini kerana bidang psikologi dapat digunakan untuk mengawal dan mengurus tingkah laku, emosi serta pemikiran murid bagi memastikan proses pembelajaran dan pengajaran dapat dijalankan secara efektif.

Psikologi merujuk kepada satu kajian secara mendalam berkaitan tingkah laku yang merangkumi perasaan, sikap serta pemikiran manusia serta haiwan secara nyata dan terselindung (Boon Pong Ying dan Ragbir Kaur, 1998). Bidang psikologi amat penting bagi mengenal pasti perubahan yang berlaku terhadap individu serta faktor-faktornya semasa awal kelahiran hinggalah dewasa.  

Golongan guru merupakan anggota sekolah yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan kurikulum dan program pendidikan di sekolah. Peranan yang dimainkan oleh seseorang guru dalam sesebuah sekolah amat penting, terutama dari segi pencapaian aspirasi dan matlamat sekolah. Oleh yang demikian, guru yang mendidik mestilah menguasai aspek psikologi terutamanya yang berkaitan dengan perkembangan manusia.

Pelbagai ragam, karenah, perangai, emosi, tahap pemikiran, latar belakang para murid di dalam sesebuah kelas. Sumber gambar Google.

DEFINISI

1) Psikologi

‘Psiko’ sering dikaitkan dengan perasaan, jiwa, mental, dan emosi dan ‘psikologi’ pula adalah kajian mengenai perasaan, jiwa, mental dan emosi. Kesemua takrifan itu adalah persepsi pertama yang terlintas dalam pemikiran kita apabila mendengar perkataan-perkataan tersebut. Bagaimanapun Kamus Dewan memberi maksud psikologi sebagai kajian tentang proses mental dan pemikiran, terutamanya berhubung dengan perlakuan manusia dan haiwan. Ia adalah suatu pola pemikiran dan perlakuan seseorang ataupun sesuatu kumpulan tertentu dengan kebijaksanaan memahami sifat manusia.

Sebahagian psikologi pendidikan dapat difahami menerusi hubungannya dengan disiplin-disiplin yang lain, khususnya bidang psikologi. Ia memiliki hubungan dengan disiplin psikologi yang seolah-olah hubungan antara perubatan dengan biologi. Psikologi pendidikan mampu menjelaskan pelbagai bidang dalam kajian pendidikan melibatkan reka bentuk pengajaran, teknologi pendidikan, perkembangan kurikulum, pembelajaran organisasi, pendidikan khas dan pengurusan bilik darjah. 

2) Psikologi Pendidikan

Pada asasnya, psikologi pendidikan adalah sebuah disiplin psikologi yang khusus mempelajari, meneliti, dan membahas seluruh tingkah laku manusia yang terlibat dalam proses pendidikan. Ia meliputi tingkah laku belajar (oleh murid), tingkah laku mengajar (oleh guru) serta tingkah laku antara proses belajar dan mengajar (interaksi guru dan murid). Psikologi pendidikan menurut sebahagian ahli psikologi merupakan sub disiplin psikologi dan bukannya psikologi itu sendiri.

Menurut Arthur S. Reber (1998) menyatakan psikologi pendidikan adalah sebuah sub disiplin ilmu psikologi yang berkaitan dengan teori dan masalah kependidikan. Ianya berguna dalam hal-hal seperti penerapan prinsip-prinsip belajar dalam kelas, pengembangan dan pembaharuan kurikulum, ujian dan penilaian bakat dan kemampuan, sosialisasi dan interaksi.  Proses-proses tersebut digabungjalin dengan pendayagunaan ranah kognitif dan penyelenggaraan pendidikan keguruan.

Secara praktis, Barlow (1985, dalam Tardif, 1987) mendefinisikan psikologi pendidikan sebagai sebuah pengetahuan berdasarkan riset psikologis yang menyediakan serangkaian sumber-sumber untuk membantu dan melaksanakan tugas sebagai seorang guru dalam proses belajar dan mengajar secara lebih selektif. Dalam buku Educational Psychology yang diterjemahkan oleh Buchori (1978), psikologi pendidikan adalah kajian secara sistematik berkenaan proses-proses dan faktor-faktor yang berhubungan dengan pendidikan manusia.

Menurut Wikipedia, psikologi pendidikan merupakan kajian tentang bagaimana manusia belajar dalam latar pendidikan, keberkesanan campur tangan pendidikan, psikologi pengajaran dan psikologi sosial sekolah sebagai pertubuhan. Walaupun istilah "psikologi pendidikan" dan "psikologi sekolah" seringnya digunakan sebagai sinonim untuk satu sama lain, para penyelidik dan ahli teori cenderung dikenali sebagai ahli psikologi pendidikan, manakala pengamal di sekolah atau dalam keadaan berkait sekolah dikenali sebagai ahli psikologi sekolah. Psikologi pendidikan melibatkan diri tentang bagaimana pelajar belajar dan berkembang, seringnya dengan menumpukan sub kumpulan seperti kanak-kanak cerdik dan mereka yang kehilangan upaya.

TUJUAN PSIKOLOGI PENDIDIKAN

Psikologi pendidikan merupakan bidang psikologi gunaan atau praktik. Ia membina serta mengkasilkan teori-teori serta prinsip-prinsip yang menjadi asas kepada memahami tingkahlaku pelajar dan guru dalam bidang pendidikan. Pengetahuan mengenai psikologi pendidikan ini sangat penting bagi para pendidik untuk mengurus pelaksanaan pendidikan di sekolah. 

Terdapat banyak sebab kenapa guru-guru perlu ada ilmu dan mengaplikasikan psikologi pendidikan dalam bilik darjah. Sebagai guru, anda sepatutnya memberi sebab-sebab yang konkrit kenapa psikologi pendidikan perlu digunakan dalam bilik darjah. Pengetahuan psikologi pendidikan melengkapkan guru dalam empat bidang iaitu menerang, menghurai, mengenal dan meramal tingkah laku murid-muridnya (Rahil Mahyuddin dan Habibah Elias, 2007). 

Psikologi pendidikan bermula daripada disiplin psikologi umum dapat meningkatkan kualiti serta hasilan proses-proses pendidikan. Sebagai salah satu bidang sains, prinsip-prinsip dan teori-teori dalam psikologi pendidikan lebih mengutamakanpengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Aspek-aspek lain yang penting dalam psikologi pendidikan adalah untuk:

a. Melengkapkan guru-guru dengan ilmu tentang teori-teori dan prinsip-prinsip psikologi supaya dapat diaplikasikan dalam bilik darjah;

b. Menyedarkan guru-guru tentang aspek perbezaan individu berdasarkan domain kognitif, afektif dan psikomotor. Ini akan membolehkan guru merancang aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran berdasarkan potensi dan kebolehan murid; dan

c. Melengkapkan guru-guru dengan ilmu berhubung dengan naluri dan keperluan murid-murid. Ini akan membolehkan guru-guru menggunakan motivasi dalam pengajaran dan pembelajaran.

Muhibbin (1999) menggariskan sepuluh jenis kegiatan pendidikan yang memerlukan prinsip-prinsip psikologi seperti berikut:

a. Pemilihan penerimaan pelajar;

b. Perencanaan pendidikan;

c. Penyusunan kurikulum;

d. Penelitian kependidikan;

e. Pentadbiran pendidikan;

f. Pemilihan bahan pelajaran;

g. Interaksi pengajaran dan pembelajaran;

h. Bimbingan dan motivasi;

i. Kaedah mengajar; dan

j. Pengukuran dan penaksiran.


MANFAAT PSIKOLOGI PENDIDIKAN

Psikologi pendidikan merupakan bidang psikologi gunaan atau praktikal. Ia membina serta menghasilkan teori-teori serta prinsip-prinsip yang menjadi asas kepada memahami tingkahlaku, emosi, serta pemikiran pelajar. Psikologi pendidikan memberikan banyak panduan kepada pendidik dan calon pendidik untuk meningkatkan kecekapan proses pembelajaran pada keadaan yang berbeza-beza seperti (Abd. Majid Mohd. Isa dan Rahil Mahyuddin, 1997): 

a. Memahami Perbezaan Individu (Murid);

b. Mewujudkan suasana pembelajaran yang Kondusif di dalam kelas; 

c. Pemilihan Strategi dan Metode Pembelajaran; 

d. Memberikan Bimbingan kepada Pelajar; dan

e. Menilai Hasil Pembelajaran. 


1) Memahami Perbezaan Individu (Murid) 

Seorang pendidik harus berhadapan dengan pelbagai tingkah laku, pemikiran serta emosi pelajar di dalam kelas dengan berhati-hati kerana karakter masing-masing adalah tidak sama. Oleh itu, sangat penting untuk memahami perbezaan karakter pelajar-pelajar tersebut dari segi aspek pertumbuhan dan perkembangan pelajar agar proses pembelajaran yang berkesan dan cekap dapat diterapkan.

2) Mewujudkan Suasana Pembelajaran Kondusif Dalam Kelas 

Pemahaman yang baik tentang ruangan kelas yang digunakan dalam proses pembelajaran sangat membantu pendidik untuk menyampaikan ilmu material kepada pelajar dengan berkesan. Suasana pembelajaran yang kondusif haruslah diwujudkan oleh pendidik sehingga proses belajar mengajar dapat berjalan dengan berjaya.

3) Pemilihan Strategi Dan Metode Pembelajaran 

Metod pembelajaran didasarkan pada karakter perkembangan pelajar. Psikologi pendidikan dapat membantu pendidik dalam menentukan strategi atau metode pembelajaran yang tepat dan sesuai, dan mampu mengaitkannya dengan karakter dan keunikan individu, jenis belajar dan gaya belajar dan tingkat perkembangan yang sedang dialami oleh pelajar. Guru dapat memahami iaitu mempu memberi gambaran dan menerangkan tingkah laku pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan seterusnya meramalkan tingkahlaku gantian yang mungkin berlaku dan mengawal tingkah laku tersebut.

4) Memberikan Bimbingan Kepada Pelajar

Seorang pendidik harus memainkan peranan yang berbeza di sekolah, tidak hanya dalam pelaksanaan pembelajaran, tetapi juga berperanan sebagai pembimbing bagi pelajar. Bimbingan adalah jenis bantuan kepada pelajar untuk membantu mereka dalam mencari jalan penyelesaian terhadap masalah yang mereka hadapi. Psikologi pendidikan seharusnya memberi penumpuan terhadap dua sub kumpulan iaitu murid yang bijak dan genius serta murid yang kehilangan upaya dan lemah daya pemikiran.

5) Menilai Hasil Pembelajaran 

Guru harus melakukan dua kegiatan penting di dalam kelas seperti mengajar dan mentaksir. Kegiatan tersebut dapat membantu dalam menilai tahap pembelajaran mereka. Psikologi pendidikan dapat membantu guru dan murid dalam mengembangkan tahap pembelajaran di dalam kelas agar menjadi lebih baik.


KONSEP-KONSEP ASAS PSIKOLOGI

Terdapat empat konsep yang menjadi asas kepada psikologi iaitu naluri, keperluan, desakan dan motivasi yang setiap satunya mempunyai penjelasan yang tersendiri. Malah asas psikologi ini juga boleh dikaitkan dengan keutamaan memenuhi kehendak maqasid syari’ah.

Menurut Hilgard (1979) naluri ialah kuasa semulajadi biologi yang mendorong seseorang bertindak mengikut sesuatu cara. Fantino mentakrifkan naluri sebagai pola tingkah laku yang semulajadi dan bukanlah sesuatu yang dipelajari. Naluri berlaku melalui tiga peringkat iaitu:

a. Adanya desakan untuk capai sesuatu tujuan tanpa apa-apa rangsangan;

b. Pengetahuan sedia ada yg diwarisi utk capai tujuan tanpa dipelajari atau membuat latihan;

c. Bentuk tingkah laku adalah sama bagi semua ahli kumpulan yang dikenali sebagai ‘tingkah laku’.

Manusia mempunyai beberapa naluri antaranya naluri melarikan diri, naluri melawan, naluri keibubapaan, naluri ingin tahu, naluri mencari makanan, naluri minta tolong, naluri jijik, naluri kejantinaan, naluri memperagakan diri, naluri merendah diri, naluri ingin memiliki, naluri meruntuh dan membina, naluri ingin berkumpulan, naluri ketawa dan sebagainya. Naluri tersebut dikenali sebagai naluri asas atau tersusun dalam diri manusia seterusnya menjadi pengerak tingkah laku manusia dan asas kehidupan manusia.

Keperluan bermakna sesuatu yang dikehendaki oleh seseorang individu untuk berfungsi secara berkesan. Abraham Maslow membahagikan keperluan kepada dua kategori iaitu keperluan fisiologi atau hayat dan keperluan psikologi. Keperluan fisiologi atau hayat merupakan keperluan yang wujud daripada kekurangan atau keperluan organik seperti makanan, air, objek, dan seks. Manakala keperluan psikologi wujud daripada hubungan antara organisme dan manusia dengan persekitaran.

Desakan merupakan fenomena dalaman yang dialami individu apabila berlaku ketidakseimbangan dalam badan. Kekurangan sesuatu keperluan asas seperti makanan, minuman, udara, seks, dan kasih sayang yang diperlukan oleh badan membentuk ketidakseimbangan. Kekurangan ini mewujudkan desakan supaya kekurangan ini dapat dipenuhi. Terdapat tiga jenis desakan utama yang dialami oleh individu iaitu desakan lapar yang disebabkan oleh keperluan makanan, desakan dahaga yang disebabkan oleh keperluan minuman iaitu air dan desakan seks yang disebabkan oleh keperluan jantina.

Motivasi atau pergerakan ialah kecenderungan organisme untuk menjalankan aktiviti yang dirangsang oleh suatu insentif. Tingkah laku seperti ini wujud kerana ketegangan fisiologi atau psikologi, dan menuju arah pencapaian satu-satu matlamat. Motivasi wujud secara semulajadi dan ianya tidak diwarisi. Semakin kuat keinginan untuk mencapai sesuatu, semakin tinggi motivasinya.

Elemen al-daruriyat dalam maqasid syari’ah merupakan objektif yang mana kehidupan agama dan keduniaan manusia tertegak dengannya. Jika sekiranya ia tidak ada nescaya hidup manusia di dunia ini akan menghadapi kesukaran dan hilang nilainya baik di dunia mahupun akhirat. Al-daruriyat yang asasi ini ada lima iaitu memelihara agama, memelihara nyawa, memelihara akal, memelihara keturunan dan memelihara harta benda. Setiap urusan agama dibina atas perkara-perkara ini dan hanya memeliharanya sahajalah maka segala urusan individu dan masyarakat akan dapat berjalan selari dengan tuntutan agama Islam.


HUBUNGAN-HUBUNGAN PSIKOLOGI PENDIDIKAN 

1) Perkaitan dengan Tingkah Laku

Tujuan utama psikologi pendidikan ialah untuk memahami tingkah laku murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Ini dapat dilaksanakan melalui pemerhatian guru terhadap tingkah laku murid. Dengan cara ini, guru dapat mengembangkan tingkah laku altenatif yang diperlukan untuk mengubah tingkah laku murid yang tidak diingini.

Tingkah laku bermasalah boleh didefinisikan sebagai tingkah laku yang tidak normal dan terkeluar dari nilai dan norma sosial masyarakat, tidak kira di dalam kehidupan bermasyarakat atau termasuk sekolah. Tingkah laku bermasalah merujuk kepada sebarang tingkah laku yang yang boleh merosakan kelancaran dan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran khususnya di dalam bilik darjah. Kajian terhadap masalah murid sekolah ini membawa kepada dua pecahan utama tingkah laku murid bermasalah iaitu, positif dan negatif. 

Tingkah laku bermasalah positif yang dikenal pasti seperti perlakuan ingin tahu, cepat belajar, pintar cerdas dan proaktif. Manakala untuk tingkah laku bermasalah negatif pula terbahagi kepada tiga:

a. Perlakuan distruktif (tingkah laku anti sosial);

b. Perlakuan disruptif (tingkahlaku mengganggu); dan

c. Tingkah laku bergantung yang berlebihan. 

Tingkah laku disruptif memberikan impak negatif di dalam kelas melalui pelbagai cara dan mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran pelajar secara individu, guru atau keseluruhan kelas. 

2) Perkaitan dengen Emosi

Emosi membawa definisi bangkitan perasaan dan rasa dalaman hasil tindak balas seseorang terhadap sesuatu perkara, pengalaman dan peristiwa yang berlaku seperti emosi takut, marah, kecewa, gembira, suka dan kasih sayang (Muhammad Uthman Najati dlm. Fariza, 2005). Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2007) pula menyebut emosi sebagai satu perasaan jiwa yang kuat seperti sedih, marah, takut, ketawa dan menangis yang terangsang dan melibatkan perubahan psikologi serta fisiologi pada seseorang. 

Penglibatan emosi di sekolah merangkumi reaksi positif dan negatif murid terhadap persekitarannya melibatkan guru, rakan sekelas serta sesi pengajaran dan pembelajaran. Dimensi emosi positif adalah seperti mempunyai guru yang baik hati, senang didekati dan yakin guru boleh mengajar dengan baik; mempunyai fasiliti sekolah yang baik, suasana kelas yang ceria, kebersihan sekolah yang sentiasa dijaga, suka, senang dan tenang belajar di sekolah serta mendapat keputusan yang baik atau cemerlang di sekolah. Sebaliknya, reaksi emosi negatif atau gangguan emosi akan memberi kesan buruk kepada individu murid yang mengalaminya jika tidak dapat dikawal dengan baik seterusnya kepada persekitaran.

3) Perkaitan dengan Kognitif (Pemikiran)

Kognitif merupakan salah satu aspek penting dari perkembangan pelajar berkaitan langsung dengan proses pembelajaran dan sangat menentukan keberhasilan mereka di sekolah. Guru sebagai tenaga pendidik yang bertanggungjawab melaksanakan interaksi pendidikan di dalam kelas perlu memahami hal yang berkaitan dengan perkembangan kognitif. Ini kerana dengan pengetahuan tersebut ia dapat membantu guru dalam melaksanakan proses pembelajaran yang sesuai dengan kemampuan kognitif murid.

Psikologi kognitif membantu kita melihat pembelajaran sebagai proses pembinaan dan bukan proses terbuka. Tema kognitif untuk pendidikan meliputi: 

a. Menekankan kepentingan menstrukturkan pengetahuan; 

b. Mementingkan kognisi kesedaran diri dan pengawalan diri;

c. Menekankan peranan interaksi sosial dalam perkembangan kognitif; dan

d. Mementingkan kontekstual semula jadi pengetahuan, strategi dan kemahiran.

Penglibatan kognitif adalah seperti murid dapat mengaitkan apa yang dipelajari, menonjolkan daya kreativiti, mendapat keputusan yang baik, menguasai kemahiran, menyiapkan tugasan, bekerjasama dan bertanggungjawab mengenai topik atau modul yang diajar.


RUMUSAN

Psikologi pendidikan dapat diertikan sebagai salah satu cabang psikologi yang secara khusus mengkaji tingkah laku, emosi dan pemikiran individu dalam konteks situasi pendidikan dengan tujuan untuk menemukan pelbagai fakta, generalisasi dan teori-teori psikologi berkaitan dengan pendidikan, yang diperoleh melalui metode ilmiah tertentu, dalam rangka pencapaian keberkesanan proses pendidikan. Psikologi pendidikan sebagai integrasi dari disiplin ilmu psikologi yang berupaya menggunakan konsep atau prinsip-prinsip psikologi dalam memecahkan masalah-masalah yang terjadi dalam dunia pendidikan.


BIBLIOGRAFI

1. Nur Fazlina Binti Andi Sofian & W. Anor W. Sulaiman. Phd Sarjana Psikologi Kaunseling (MCP) Fakulti Psikologi Dan Pendidikan, Universiti Malaysia Sabah.

2. Psikologi Dalam Pendidikan. http://psikologi-pendidikan-group2.blogspot.com/

3. Maqasid Syariah, MIAS. https://www.mais.gov.my/maqasid-syariah/


Hidup perlu bersyukur..

Bandar Baru Bangi, 11 Dzulqa'idah 1442H.

Comments