Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Memasak atau belajar memasak resepi daripada bangsa atau negara asing membelikan kepuasan yang berlaianan selain daripada memberi manfaat untuk mengenali lebih dekat sesuatu budaya bangsa atau negara. Hidangan yang mendominasi penggunaan sayuran atau buah yang disumbat ke dalamnya nasi/beras ini membawa nostalgia kepada Empayar Uthmaniah serta negara-negara sekitar seperti Turki, Greece, Cyprus, Balkan dan negara-negara Timur Tengah yang lain seperti Jordan, Syria, Iraq dan Iran.
Semasa belajar di Mesir, antara makanan yang aku suka menikmatinya ialah mahshi atau dolma. Melampaui bau yang enak disebabkan penggunaan daun ketumbar yang banyak dan warna-warna yang terang, makanan ini dikatakan mempunyai sejarah yang membanggakan.
Sayuran atau buah-buahan yang kebiasaannya digunakan untuk masakan seperti zucchini, terung, tomato, lada akan dilubangkan atau ruangan dalamnya dikosongkan. Kemudian ia disumbatkan atau diisi dengan nasi atau beras. Cara lain selain menyumbat nasi ke dalam ringga buah adalah dengan membalutnya menggunakan kobis bulat atau daun anggur. Kobis ini akan dileraikan terlebih dahulu dan kemudiannya dilayurkan atau dilembutkan dengan rendaman ke dalam air yang mendidih untuk seketika. cara balutan adalah seperti membalut makanan Malaysia iaitu popia. Apa yang menarik, sejarah ada menyatakan bahawa makanan ini disediakan dengan cara 'communal activity' atau secara berganding bahu, secara ramai.
Kebiasaannya wanita Baladi (wanita tempatan) yang mahu memasak Mahshi ini, meraka akan berkumpul di sekitar meja dengan periuk nasi yang besar dan sayur-sayuran yang lain. Kemudian mereka mula mengosongkan dan memasukkan nasi/beras yang telah ditanak separuh kedalamnya. Selain itu mereka juga akan menggulung dan memasukkan ke dalam daun anggur atau kobis bulat.
Disebabkan aktiviti ini memakan masa, Mahshi sering dibuat sambil berbual-bual. Antara perkara menarik tentang hidangan ini ialah ia boleh menjadi satu bentuk hidangan vegetarian. Walaubagaimanapun, terdapat juga variasi dengan memasukkan daging cincang dalam pemadat. Sekiranya ia dimasak dengan menggunakan daging, maka Mahshi disajikan hangat dengan sos tomato. Jika tidak, kebiasaannya disajikan pada suhu bilik. Sajian ini dikatakan sering dimakan dengan yoghurt.
Semasa awal proses memasak.
Alhamdulillah, dari sedgi rasa aku sendiri memberi markah 8/10. Sememangnya aku tidak mengetahui mengapa ia terlalu kuat dalam ingatan. Rupa-rupanya, bau mahshi ini benar-benar menjadikan aku mengigau siang malam. Penggunaan daun ketumbar yang dimasukkan ke dalam adunan nasi membangkitkan memori aku. Inilah bau dan rasanya. Nampak tak nilai kemelayuan dalam masakan ini? Iaitu penggunaan peria! Memang rasanya tidak mengiurkan dan untuk akan datang memang tidak akan letak. Cara penyediaan dan pernggunaan bahan hanyalah melalui tontonan memerusi beberapa saluran Youtube. Resepi sedikit diubahsuai mengikut citarasa sendiri.
Sememangnya memori Mahshi ini adalah jenis balutan dengan daun kobis bulat dan daun anggur. Daun anggur yang segar terlupa untuk dicari, malah yang ditemui di kedai hanyalah jenis jeruk. Sedangkan sebelum ini ada yang pernah menawarkan daun anggur untuk dipetik. Sekiranya ada yang ingin mencuba, pilihan membalut dengan kobis bulat adalah pilihan kerana manis kubis memang sangat terasa. Alhamdulillah, nampak sangat agar resepi ini perlu diulang lagi.
Hidup perlu bersyukur..
Bandar Baru Bangi,
7 Dzulqaedah 1442H
Comments