Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Prolog
Setiap orang yang masih hidup ini pastinya akan berhadapan mehnah, cabaran dan tribulasi kehidupan. Manakan tidak, hanya kerehatan itu diperoleh setelah kematian daripada kehidupan dunia, iaitu awal kehidupan akhirat ketika berada di alam barzakh. Namun, kerehatan itu juga tidaklah terjamin melainkan amal yang dibawa itu menjadi pertukaran, atau matawang untuk 'membeli kerehatan' itu tadi.
Melakukan perubahan diri merupakan suatu sunnatullah, ia jelas disebutkan di dalam Al-Quran. Ia dijelaskan di dalam Al-Quran sepertimana petikan Surah Al- Ra’ad (13:11):
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri”.
Transformasi, penghijrahan, peralihan, perubahan itu sendiri atau seumpama dengannya, maksud dan signifikasi perkataan itu tetap sama iaitu melakukan perubahan daripada satu keadaan kepada satu keadaan yang lebih baik. Ia merupakan komponen paling penting apabila seseorang ingin mencapai sesuatu kemajuan dan penambahbaikan dalam diri atau hidupnya.
Tidak mudah untuk seseorang menyedari perubahan yang berlaku pada dirinya dan ada juga sesetengahnya sukar untuk membuat perubahan diri. Malah ada yang enggan atau degil keluar dari zon selesa masing-masing. Antara sebabnya ialah kurang motivasi diri atau dikuasi ego sendiri. Oleh yang demikian, kita sepatutnya bertindak lebih proaktif dalam melaksanakan perubahan diri. Antara langkah proaktif yang boleh dilaksanakan untuk menemui cara yang bersesuaian untuk melaksanakan transformasi diri adalah melalui melakukan Analisis SWOT (Strengths, Weakness, Opportunities dan Threats) ke atas diri sendiri.
Analisis SWOT merupakan suatu bentuk analisis situasi dengan mengidentifikasi pelbagai faktor secara sistematik terhadap kekuatan (Strengths) dan kelemahan (Weakness), serta peluang (Opportunies) serta ancaman (Threats) dari persekitaran.
S= Strength adalah situasi atau kondisi yang menunjukkan kekuatan yang dimiliki dalam diri seseorang atau dalaman sesebuah organisasi untuk menjadi lebih baik dan positif di masa akan datang. Contoh kekuatan diri yang dimiliki sekarang:
- Fokus
- Berkemahiran dalam bidang komputer
- Berfikiran positif
- Pandai mengurus masa
- Suka belajar
- Kemas
- Boleh berkomunikasi dengan semua peringkat masyarakat
W- Weakness adalah situasi yang menunjukkan kelemahan yang dimiliki dalam diri seseorang atau dalaman sesuatu organisasi dan keadaan ini boleh memberi kesan negatif pada masa akan datang. Contoh kelemahan diri yang dimiliki sekarang:
- Mudah beremosi
- Memendam perasaan
- Cerewet
- Mudah berfikiran negatif
- Darah gemuruh
- Mencari peluang melengahkan kerja
- Kerap membuang masa
O= Opportunity adalah situasi berbentuk peluang atau kesempatan di luar diri peribadi seseorang atau luaran organisasi yang dapat memberi peluang berkembang lebih baik di masa depan.
Contoh kesempatan atau peluang termasuklah:
- Belajar ke peringkat lebih tinggi
- Berniaga secara sambilan
- Berdaya saing
- Peluang mendapat bantuan kewangan
- Berpeluang menghadiri kursus kemahiran
- Meningkat kemahiran dan profesionalisme
- Menyertai program fitness
T= Threat adalah situasi ancaman yang datang dari luar diri peribadi seseorang atau luaran organisasi dan ianya dapat memberi ancaman di masa hadapan. Contoh ancaman antaranya ialah:
- Orang terdekat
- Persekiran tempat kerja
- Campur tangan keluarga
- Tiada jaminan bantuan kewangan
- Ekonomi semasa keluarga
- Harga barangan meningkat
- BMI tidak ideal
Penilaian Kendiri
Penggunaan atau pelaksanaan teknik SWOT yang berkesan mampu membantu dan mendedahkan peluang-peluang yang diri sendiri tidak dapat kesan sebelum ini. Ia juga mampu membantu mengenalpasti kekuatan dan kelemahan diri, seterusnya menggunakan kekuatan tersebut ke tahap maksima serta memperbaiki kelemahan yang ada menjadi seminima mungkin. Hasilnya ada berkemungkinan besar boleh menguruskan dan menghapuskan ancaman yang boleh menjejaskan keupayaan anda untuk terus maju ke hadapan.
Jika seseorang melihat diri mereka sendiri dengan menggunakan teknik SWOT, mereka boleh membangunkan kepakaran, bakat dan kebolehan yang diperlukan untuk memajukan diri atau kerjaya. Penggunaan SWOT boleh membantu seseorang untuk fokus pada kekuatan diri, meminimumkan ancaman, serta mengambil peluang-peluang yang disediakan untuk meletuskan transformasi diri secara maksima.
Epilog
Pemangkin kepada suatu perubahan yang hebat memerlukan iltizam, istiqamah, sabar dan ikhlas dalam berdoa dan merancang perubahan. Niat, matlamat dan tindakan haruslah seiring dan disulami dengan pergantungan tertinggi hanya kepada Allah SWT.
Bandar Baru Bangi, 13 Dzulqa'idah 1442H.
Comments