Ucapan Hari Guru 2021

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Kesyukuran setinggi-tingginya diucapkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kasih sayangnya kita semua masih dapat mengecapi kehidupan yang diberi pinjaman sementara ini.

Pada tanggal 16 Mei setiap, warga pendidik akan meraikan Hari Guru. Namun bagi tahun 2021, detik Hari Guru ini pastinya mengundang pelbagai perasaan dan emosi dalam lubuk sanubari setiap para guru. Manakan tidak, Hari Guru ini melalui tempoh-tempoh yang mencabar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana situasi jangkitan Covid-19 yang masih tinggi, ditambah dalam kesyahduan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan disertai pengkhabaran serangan dan kekejaman Zionis Israel ke atas umat Islam di Palestin. Lebih memilukan, ramai juga yang terbunuh daripada golongan warga emas, wanita dan kanak-kanak kecil. Peristiwa yang memberikan impak kenangan ini pastinya terus diingati sampai bila-bila.


Lagu Kami Guru Malaysia

Tarikh keramat sambutan Hari Guru pada setiap tahun sesugguhnya akan mengimbau banyak kenangan manis dan getir tugas seorang guru yang telah diberi kepercayaan untuk mendidik anak bangsa. Hakikatnya, kedudukan, tanggungjawab dan peranan seseorang guru sangat dihormati dan dihargai sejak zaman berzaman dalam ketamadunan manusia. Ini kerana ia terzahir bersama-sama dengan pengharapan dan kepercayaan para ibu bapa menyerahkan anak kepada seseorang guru untuk dididik dengan adab dan ilmu sebagai bekalan kehidupan menuju alam kedewasaan.

Guru mempunyai potensi yang sangat besar untuk mempengaruhi dan mengubah cara berfikir seseorang murid. Ini kerana Imam Al-Ghazali dikatakan memberi penjelasan bahawa seseorang guru mestilah mempunyai rasa bertanggungjawab, rasa belas ihsan dan kasihan, serta memperlakukan murid seumpama anak mereka sendiri. Hak seorang guru dilihat lebih besar daripada hak kedua ibu bapa murid tersebut karana ibu bapa menjadi sebab kelahiran mereka ke dunia, sedangkan guru menjadi sebab anak tersebut memperoleh kehidupan yang bermakna dan bermaruah menuju negeri kekal abadi. Ibu bapa menyediakan kecantikan pakaian dan makanan lazat buat anak mereka, namun guru menyediakan kecantikan adab dan ‘makanan’ ilmu, pengalaman dan kemahiran. 

Berguru Demi llmu, Bina Generasi Baharu, itulah tema sambutan Hari Guru 2021.

Impian dalam jalur kehidupan seseorang manusia boleh bermula daripada seseorang guru yang memberi kepercayaan dan keyakinan diri, yang menarik dan mendorong membawa ke dataran yang tinggi, yang menusuk tepat di kalbu dengan tombak budi dan ilmu, sebagai bekalan untuk membawa obor kebenaran dan kejayaan dengan peribadi yang penuh luhur. Maka, tepatlah ungkapan ini dengan tema yang telah disebutkan.

Jika dilihat peranan guru sejak kebelangan ini secra lebih halus, akan jelas kelihatan bahawa tanggungjawab untuk terus membawa gelaran ‘guru’ semakin mencabar. Lihat sahaja bagaimana cabaran dan kesungguhan para guru menyediakan pengajaran dan pembelajaran yang terbaik semasa pandemik Covid-19 melalui PdPR. PdPR ini perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab kerana guru perlu memikul sebuah ‘harapan’ dan ‘kepercayaan’ yang besar.

Sambutan Hari Guru yang diadakan setiap tahun sesungguhnya adalah satu pengiktirafan dan penghargaan terhadap peranan guru mendidik anak bangsa. Justeru, adalah amat wajar jika Sambutan Hari Guru ini diraikan bersama oleh murid, ibu bapa dan masyarakat, sebagai pengiktirafan guru. Inilah cara yang terbaik untuk menyatakan rasa terima kasih, penghargaan dan penghormatan terhadap jasa guru yang tidak ternilai.

Namun buat para guru, dalam melaksanakan peranan selaku pendidik anak bangsa, nilai-nilai seperti jujur, amanah, bertanggungjawab, beretika, akauntabiliti, sahsiah diri serta mengawal emosi hendaklah menjadi pakaian pada setiap masa. Semua ini penting kerana guru adalah role-model kepada keberkesanan sesebuah sistem pendidikan yang telah dibina bukan sahaja kepada murid di sekolah, malah masyarakat dan generasi mereka.

Jadilah kita sebagai seorang pendidik dan pembentuk insan yang berkualiti kerana “Quality teaching produces quality learning. Quality learning produces quality education. Finally quality education produces quality citizens.” Marilah semua guru berpegang teguh dengan sebuah ungkapan Hadis dari junjungan mulia kita Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Mas’ud Uqbah bin Amir al-Ansari R.A, baginda bersabda:

مَنْ دَلَّ عَلَى خَيْرٍ فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِ فَاعِلِهِ

Maksudnya: 

“Barangsiapa yang menunjukkan kepada kebaikan maka dia akan mendapat pahala sepertimana pahala orang yang mengerjakannya.”

Di dalam kitab Nuzhah al-Muttaqin Syarh Riyadh al-Salihin menjelaskan, 

“Amalan kebaikan yang boleh ditunjukkan merangkumi perbuatan, percakapan dan penulisan dan inilah kelebihan dan anugerah besar daripada Allah SWT yang Maha Pemurah Lagi Maha Besar Kurniaan-Nya”. 

Di dalam kitab Madarij al-Salikin pula mengungkapkan, 

“Orang yang memberikan suatu kemanfaatan tidak akan terputus amal perbuatannya, selama mana kemanfaatan tersebut dinisbahkan kepadanya. Ini adalah tugas dari para nabi dan rasul, serta yang menyeru kepada agama ini dengan ikhlas.”

Jadilah seorang guru yang berperanan menunjuki anak murid jalan kepada kebaikan. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Jarir bin Abdullah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً، فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ، كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا، وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ

Maksudnya: 

“Barangsiapa yang memulakan suatu perbuatan dalam Islam suatu sunnah yang baik, lalu diamalkan orang selepasnya, dituliskan bagi pemulanya pahala orang yang beramal denganya, dan tidak akan berkurang daripada pahala mereka suatu pun.” 

Sasterawan Negara, Osman Awang dalam sajaknya yang bertajuk “Guru Oh Guru” menyebut:

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa,          

            Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta,

Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara,

            Jika hari ini seorang Ulama’ yang mulia,

Jika hari ini seorang Peguam menang bicara,

            Jika hari ini seorang Penulis terkemuka,

Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa,

            Sejarahnya bermula oleh seorang guru biasa,

Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca.

Wahai Guru! Sesungguhnya, mendidik adalah tugas yang amat mulia dan tiada ternilai harganya. Jalankanlah tugas dengan lebih gigih, jujur dan terus bekerja sebagai satu pasukan. Terjemahkanlah tanggungjawab dan peranan ini dalam bentuk pelaksanaan tugas yang berkualiti dan khidmat yang terbaik kepada rakyat. Sama-samalah kita memanjatkan doa kepada Allah SWT semoga kita diberikan kekuatan dan kesihatan untuk terus melaksanakan tugas mulia ini.

Sekian, terima kasih Guru!

HAK

GB,

SRIU

BBB

16 Mei 2021M bersamaan 4 Syawal 1442H.

Comments