Makan dan Makan Kemudian Menulis

 Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Makan, ia bukan perkataan yang asing dalam kalangan manusia Malah kalangan jin juga sangat biasa dilakukan dengan perkataan ini, melainkan malaikat. Kerana sifat manusia dan jin itu hampir sama kecuali asal usul kejadiannya, maka memakan makanan halal lagi baik merupakan perintah yang perlu dilaksanakan.

Ada yang suka makan, ada yang suka masak makanan, ada yang suka masak dan tidak suka makan apa yang dimasak, juga ada yang suka makan apa dia masak sahaja, serta ada yang suka makan apa sahaja, ikut dan. Semunya melambangkan prinsip dan tabiat seseorang, sama ada tabiat makannya atau sifat serta sikap peribadinya. Tiada yang salah, melainkan jika ia menjadi melampau-lampau.

Kadang-kadang penulisan yang formal dan berakademik membosankan dan meletihkan. Maka, sesekali diselitkan entri yang tidak memerlukan rujukan formal, melainkan dirujuk daripada idea semasa, perasaan, pengalaman, emosi, ingatan dan angan-angan akan datang. Akhirnya penulisan sebegini menjadi suatu bentuk luahan walaupun ia disebut sebagai catatan, coretan dan seumpama.

Gambar sekadar hiasan.

Ada orang yang pandai mengayat dalam perbicaraan. Ada orang pandai mengayat dalam penulisan. Ada juga yang pandai keduanya atau tidak tahu keduanya. Pandai mengayat ini pula bergantung kepada ruang lingkup isu, 'mood' atau apa bidang yang sedang disentuh. Pandai mengayat untuk mendapatkan simpati, atau mendapatkan perhatian, atau menarik 'mood' atau emosi orang, atau menarik hati seseorang agar suka kepadanya dan pelbagai lagi.

Samalah juga dengan entri dalam blog ini berserta penggunaan laras bahasa, perkataan, gaya penulisan dan tajuk-tajuk yang ditulis serta kandungannya. Boleh jadi sesuatu yang ditulis tidaklah diminati orang, kurang menarik, tidak terkini atau semasa, atau 'tidak berkenaan' dengan apa yang dicari dan hendak dibaca oleh seseorang. Maka seorang penulis lebih mengetahui tujuan penulisan dan telah meletakkan aspek apa yang menjadikannya ia terus menulis atau berhenti menulis, atau mengubah gaya serta cara penulisan dan sebagainya. Tujuan dan matlamat yang jelas ini kemudian yang mengemudi hala tuju penulisan yang berikutnya.

Menulis seperti juga makan. Lebih banyak menulis dan makan, mungkin lebih kepuasan diperoleh. Namun terlebih makan dan terlebih menulis membawa kesan negatif juga kerana mendatangkan penyakit dalam badan serta menghilangkan fokus dan nilai sesuatu penulisan. Menulis seperti juga makan, makan memerlukan bahan dan sumber yang halal, baik sedangkan menulis memerlukan idea yang baik.

Bendi Tumis Bawang Goreng

Brokoli Bawang Putih

Brokoli Kuah Bertelur

Ikan Fillet Masam Manis

Maggi kari Tumis Berkuah

Roti Atta cicah Daging Asam Pedas

Itulah sahaja apa yang hendak dinyatakan dan dikongsi pada hari ini. Sememangnya terdapat beberapa isu dan cerita yang masih dalam kepala untuk diluahkan. Cuma alasan masa dan kemalasan yang menghalang. Kenapa banyak brokoli dan bendi tu? Jika pakar kesihatan pasti tahu sebabnya. Sedar tak sedar lima hari ini didatangi bulan Rejab.

Hidup perlu bersyukur..

Bandar Baru Bangi,

25 Jamadil Akhir 1442H.

Comments