Menu Sempena Ramadhan 1441H


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Apa yang disayukan semakin pilu. Apa yang dirindukan semakin terasa. Andai pada peringkat awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, masing-masing berdoa dan mendambakan agar ia segera selesai dan wabak Covid-19 ini segera pergi. Namun, Tuan kepada virus ini masih tidak membenarkan ianya pergi dari bumi bertuah Malaysia ini, apatah lagi di seluruh bumi ini.
Sayu....
Hati ini makin sayu...

Itulah rangkap bak kata Siti Nurhaliza. Terkenangkan dan bimbangkan mak dan ayah, berdua sahaja di kampung terlerai juga sedikit apabila adik-adik yang belum berkahwin balik kampung menaiki ETS. Alhmdulillah, urusan dipermudahkan dan mereka sekarang berada di kampung.




Apa yng diperintahkan oleh kerajaan itu amatlah betul dan sangat bertepatan sekali walau sebenarnya diri sendiri juga rasa ingin memberontak, mahu sahaja dirempuh balik ke kampung. Namun, apabila terfikirkan juga keselamatan dan kesihatan, jaminan agar semua pihak benar-benar terselamat dan terhindar daripada wabak ini, maka dilenturkan jua hati. Memujuk diri dengan kaedah antaranya daf'u al-dharar muqaddamu 'ala jalbi al-masalih yang bermaksud menolak bahaya lebih diutamakan daripada mencapai manfaat. Walaupun sekitar enam bulan tidak pulang ke kampung, perancangan menyambut aidilfitri memang di kampung pada tahun ini, namun mengelak bahaya wabak lebih diutamakan. Malah negeri Perak yang telah mencapai status hijau serta memahami kesimpulan hadis berkenaan wabak daripada kisah Saidina Umar RA, mengharapkan redha Ilahi semata.


'New norm' atau 'new normal' telah menjadi dan perlu dijadikan fenomena dan suatu realiti. Hendak atau tidak, setiap individu terpaksa dan perlu memaksa diri dan orang sekeliling mengamalkan dan mematuhinya. Ia jelas memenuhi tuntutan agama dalam keadah fiqh antaranya sad al-dzara'i' iaitu menutup segala lubang-lubang, sebab-sebab atau faktor-faktor yang memungkinkan sebarang bahaya merebak dan menimpa masyarakat.

Namun, wabak ini bukanlah penghujung umur dunia. Banyak hadis tidak mengaitkan yang wabak ini salah satu daripada tanda-tanda besar Hari Kiamat. Ramadhan yang diraikan kedatangannya hampir sebulan yang lalu kini telah hampir ke penghujungnya. Bagi memujuk hati ketika awal-awal kedatangan Ramadhan dan sepanjang bulan tersebut, pelbagai menu diusahakan dan dijayakan. Selain itu bagi memenuhi ruang masa dan peluang untuk mencuba dan belajar resepi-resepi baru. Alhamdulillah, walaupun ada yang menjadi dan tidak kurang juga yang tidak menjadi, itulah namanya pengalaman.

Antara menu-menu yang dijayakan bersempena bulan Ramadhan 1441H ini ialah:

1. Kek Coklat Moist. Kerana memang meminati coklat dan juga kek coklat, bersempena Ramadhan telah dua kali membuatnya dengan menggunakan dua resepi yang berbeza. Resepi pertama tiada garam, resepi kedua menggunakan sedikit garam. Testimoni yang diterima oleh orang yang memakannya, resepi kedua lebih sedap. Terkejut juga, padahal sukatan asal hanya setengah camca teh garam tapi termasukkan satu camca teh. Senyum aje lah..




2. Bengkang Roti. Walaupun namanya bengkang, tapi rasa bengang juga. Sebab apa? Sebab kurang menjadi. Tapi tak mengapa, sabar kerana ini pertama kali. Antara faktornya ialah terjalak letak air susu menyebabkan bahagian dalam sangat basah dan bergelinangan. Apabila dibakar, daripada luar nampak indah dan menyelerakan, namun di dalam sangat lembik dan masih berair. Tetapi bau dan rasanya tetap mengancam.



3. Pedal dan hati ayam gorang kunyit. Tidak dinafikan ada sesetangah manusia di atas muka bumi ini tidak menyukai atau menggemari atau tidak terbiasa memakan organ dalaman. Walaupun kajian dan petua dalam agama menyatakan tidak digalakkan organ dalaman dimakan, namun tidaklah sampai ke pringkat makruh atau haram. Tidak dinafikan organ dalaman ini tidak baik jika makan terlalu banyak kerana ia banyak kolestrol.  Yeke? Sila cari sendiri ya.. Nikmat dunia yang sementara ini baiklah dirasai juga.



4. Cakoi. Bila teringatkan cakoi ini, pertama yang dikenang ialah cakoi yang dimasak oleh Maklong di kampung. Saiznya besar-besar, gorengannya agak gelap namun tetap lembut dan sangat terasa kenikmatannya ketika mengunyah dan menelannya. Ini kali kedua atau ketiga memasak cakoi, tapi bukan dari resepi Maklong. Memang betullah cakoi ini mampu mengubati hati yang lara apabila berhadapan dengan orang yang ceroi.



5. Ikan tilapia hitam masak kerabu lemak. Panjang pulak namanya kan. Resepi ini memang tiada lagi di mana-mana perkongsian resepi. Mungkin juga ada, dengan nama yang lain. Bahan-bahannya terdiri daripada bahan ulaman kerabu, namun masakannya menggunakan santan. Ikan yang sesuai adalah ikan yang mempunyai struktur isi pejal. Walaupun menu ini kelihatan agar berselera, namun sebenarnya status masakan ini ialah 'tak jadii'...



6. Pau. Ini adalah cubaan kali pertama. Menjadi, tetapi kurang pada intinya. Inti pau ini adalah coklat, lebihan 'topping' untuk kek coklat moist yang dibuat sebelumnya. Topping ini sememangnya tidak sangat likat, menyebabkan ketika dikukus coklat di dalamnya meresap ke dalam badan pau. Kekebuan dan kelembutannya tidak dinafikan. Resepi ini tidak menggunakan tepung pau, tetapi tepung biasa sahaja. Dapat lihat satu daripada pau yang mengalir coklat keluar? Itulah bagaimana sehati sejiwanya pau ini dengan pembuatnya mengenangkan kesedihan tidak dapat balik beraya di kampung..



7. Nasi Dagang. Dek kerana PKP, maka sukarlah untuk memperoleh juadah yang pelbagai. Akibatnya, tindakan membuat sendiri apa yang teringin. Ini hasil daripada orang rumah yang tolong siapkan, Nasi Dagang. Nasi menggunakan beras biasa. Walaupun sedikit kurang menjadi nasinya, namun penangan lauk dan kombinasi yang sepatutnya sungguh menyelerakan.



8. Sambal kering ikan bilis. Kelihatan basah sahaja kan? Ianya tidaklah 100 peratus berjaya walaupun resepinya sangatlah mudah. Mungkin kerana terlebih sambalnya dan agak basah. Namun rasanya tidaklah teruk dan masih berfungsi untuk membuka selera semasa bersahur walau tidaklah setiap hari.



9. Kimichi. Sebenarnya agak terliur dengan bahan atau masakan atau menu yang masam-masam ni. Jika dengar sahaja, telah terliur di dalam mulut. Pernah sekali semasa belajar di luar negara, semasa berjalan-jalan di sebuah pasar, terbau jeruk limau nipis. Tiba-tiba ingatan terus ke tanah air dan mulut secara langsung terliur. Kerana mahu elak mengidam, maka dibeli sebiji jeruk limau pembuatan tempatan. Sedap juga rasanya, rasa jeruk! Pertama kali rasa adalah resepi yang dibuat oleh adik, dan minat sehingga sekarang. Apapun asalnya kimichi ini kurang menjadi kerana silap dijerukkan kobis dengan garam terlalu lama. Ini mengakibatkan kobis tersebut terlalu masih. Setelah diubahsuai beberapa dengan mengurangkan kemasinan kobis tersebut, ia masih menyelerakan untuk dibuat akesesori atau pelengkap dengan makanan utama.



10. Kuah dal. Asalnya adalah dari membeli kuah kari dari sebuah kedai. Kuahnya yang pekat dan sememangnya masakan di kedai tersebut sedap, kuah ini diubahsuai menjadi kuah dal. Dal yang telah direndam semalaman ditambah dengan bahan-bahan lain mengubahnya kepada kuah dal.



11. Sambal belacan. Agak gelap bukan? tapi sebenarnya ia biasa sahaja, ada yang cerah ada yang gelap. Kegelapan sambal belacan ini adalah disebabkan oleh warna gelap gula melaka. Jika dikurangkan atau tidak menggunakan gula melaka, maka warnanya tidaklah sepekat ini. Masih berbaki dan ia sebagai bahan pelengkap juadah yang dibuat khas sempena Ramadhan ini.



12. Nasi kerabu. Kondisi bagaimana ia terhasil adalah sama dengan nasi dagang.  Resepi ini menjadi, cuma kekurangan sambal-sambal khusus yang sebetulnya ada dalam sesuatu resepi nasi kerabu. Namun dengan bantuan sambal belacan serta keropok.



13. Sambal cili padi/kecil. Ini merupakan bekalang paling utama semasa makan. Ia disediakan hampir setiap bulan sekali Pelengkap deria rasa di lidah ini sangatlah penting. Apa nak buat, dah memang kuat makan pedas. Ia juga sangat erguna untuk ditambah dalam menu lain seperti sambal tempoyak, sambal belacan atau sebagai penambah pedas dalam mana-mana masakan.



Begitulah serba sedikit perkongsian menu atau juadah yang disediakan sempena Ramadhan. Ada juga yang dibuat sebelum dari itu. Nikmat masa, ruang dan peluang tidak salah digunakan untuk mempelajari sesuatu. Malah dalam masa yang sama menjimatkan penggunaan duit berbelanja di luar. Semoga ada manfaatnya.

Hidup perlu bersyukur..

Bandar Baru Bangi,
28 Ramadhan 1441H.


Comments