Pedoman Qur’ani Menghadapi Wabak Covid-19

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Keamanan dan Kesejahteraan

Keamanan didefinisikan sebagai suatu keadaan yang aman, atau dimaksudkan sebagai ketenteraman, kesejahteraan dan kesentosaan. Malah perkataan ‘Islam’ daripada istilah asalnya atau menurut bahasa membawa maksud sejahtera, aman dan harmoni. Seorang muslim merupakan seseorang yang menyerahkan dirinya kepada Allah SWT dengan mengesakanNya dengan penuh kenyakinan serta melaksanakan segala suruhan dan meninggalkan larangan. Lawan perkataan keamanan ialah kebimbangan, ketakutan, hura-hara, kegelisahan dan kacau-bilau. 

Al-Qur’an ada menjelaskan perihal sebuah keamanan. Sesuatu keamanan dan huru-hara adalah bukti kekuasaan Allah SWT dan ia tida berlaku tanpa izinNya. Firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr (59) ayat 23 yang bermaksud:

“Dia lah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Menguasai (sekalian alam); Yang Maha Suci; Yang Maha Selamat Sejahtera (dari segala kekurangan); Yang Maha Melimpahkan Keamanan; Yang Maha Pengawal serta Pengawas; Yang Maha Kuasa; Yang Maha Kuat (menundukkan segala-galanya); Yang Melengkapi segala KebesaranNya. Maha Suci Allah dari segala yang mereka sekutukan denganNya.”



Antara faktor luaran yang boleh mempengaruhi keamanan ialah keselamatan dan pertahanan, kestabilan dan kerjasama politik, pembasmian kemiskinan, gejala sosial dan perlakuan jenayah. Faktor kesihatan tidak jelas pengaruhnya kepada keamanan dalam lingkungan sosial seperti dalam sesebuah masyarakat atau negara. Ia lebih dilihat sebagai faktor peribadi atau individu. Namun, sekiranya faktor kesihatan ini terjejas dalam liputan yang luas dan besar, ia memberi kesan kepada keamanan masyarakat atau negara seperti H1N1, SARS, Virus Nipah dan seumpamanya. Contoh jelas yang berlaku sekarang ialah penularan Covid-19 sehingga mewujudkan wabak, iaitu berlakunya kejadian serangan penyakit yang menular dan merebak dengan cepat dalam kalangan penduduk sesuatu kawasan. Istilah wabak ini pula dikategorikan kepada beberapa tahap iaitu epidemik, endemik dan pandemik. 

Endemik merujuk kepada penyakit atau wabak yang sentiasa wujud di sesuatu kawasan atau daerah tertentu. Epidemik pula penyakit berjangkit yang mudah merebak dalam kalangan penduduk sesuatu kawasan pada waktu yang sama. Manakala pandemik bermaksud wabak yang menyerang dalam skop lebih besar dan tidak terhad kepada sesuatu komuniti atau daerah semata-mata. Situasi pandemik ini akan mengancam kawasan yang lebih luas seperti sebuah negeri, negara, benua atau mungkin juga seluruh dunia jika dibiarkan melarat. Penularan Covid-19 ini telah mencapai tahap pandemik.

Fenomena wabak Covid-19 telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat, bukan sahaja di Malaysia malah seantero dunia. Peningkatan demi peningkatan kes positif dan jumlah kematian akibat wabak ini sudah pasti meningkatkan lagi kegelisahan, kebimbangan dan rasa panik. Ianya dirasai oleh setiap peringkat lapisan dan kumpulan sosial masyarakat, setiap sektor industri atau ekonomi, kumpulan kesihatan, tidak terkecuali juga barisan keselamatan dan ketenteraman awam.

Apabila kita mengetahui bagaimana faktor-faktor luaran ini memberi kesan kepada diri kita dan juga masyarakat sehingga mewujudkan rasa bimbang dan gelisah, maka Al-Qur’an telah memberi pedoman kepada kita agar ianya diatasi dan dibendung dengan faktor dalaman diri kita. Walaupun diketahui setiap penyakit perlu dirawat dan diubati, namun kebimbangan dalam diri perlu diatasi kerana ianya secara langsung merupakan suatu bentuk bantuan psikologi agar kehidupan berterusan dalam keadaan yang sihat dan stabil.

Antara cara menghadapi kebimbangan ini ialah mempertingkatkan rasa kehambaan dan pergantungan kepada Allah SWT. Cara ini secara langsung akan meningkatkan tahap keimanan diri seseorang. Inilah langkah paling asas seseorang manusia dan sebagai seorang rakyat Malaysia. Firman Allah SWT dalam surah al-An'aam (6) ayat 82 yang bermaksud:

“Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”

Seperti yang telah dijelaskan, realiti penularan wabak ini juga akan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan kepimpinan dan pemerintahan sesebuah negara. Sesebuah kerajaan yang sedang berhadapan dan ‘berperang’ dengan wabak ini pastinya sedang berusaha bersungguh-sungguh memastikan ianya diatasi dan wabak ini terhenti. Sesebuah kerajaan pastinya mahu mengelak kematian rakyatnya, kerana tanpa rakyat maka tidaklah terbentuk sebuah negara dan lemahlah pembentukan generasi masa hadapan. Di dalam konteks ini, Allah SWT memberi gambaran umum mengenainya. 

Antara isu berat yang perlu diharapi oleh pemerintah Malaysia pada waktu ini, selain penularan Covid-19 ialah penularan berita dan informasi palsu. Secara pasti berita palsu akan menyebabkan salah faham dalam kalangan rakyat serta mengundang kegelisahan yang berganda dalam kalangan masyarakat secara tidak langsung. Setiap informasi berkenaan wabak perlulah diperoleh atau dikeluarkan daripada pihak yang berautoriti sahaja. Malah, pihak yang berautoriti itu pula perlulah memastikan individu yang menyampaikan maklumat tersebut daripada kalangan yang berkelayakan dan juga berautoriti paling atas. Ia selaras dengan apa yang difirmankan oleh Allah SWT dalam surah an-Nisaa' (4) ayat 83 yang bermaksud:

“Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka; dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu).”

Sesuatu berita palsu pastinya dusta, tidak selari dengan kebenaran, malah ia merupakan suatu fitnah. Orang yang membuat dan menyebarkan fitnah merupakan kelasahan dan dosa besar. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah (2) ayat 191 yang bermaksud:

“Dan bunuhlah mereka (musuh yang memerangi kamu) di mana sahaja kamu dapati mereka, dan usirlah mereka dari tempat yang mereka telah mengusir kamu; dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan dan janganlah kamu memerangi mereka di sekitar masjid Al-Haraam sehingga mereka memerangi kamu di situ. Oleh itu kalau mereka memerangi kamu (di situ), maka bunuhlah mereka. Demikianlah balasan bagi orang-orang yang kafir.”


Bahaya dan Kegelisahan

Seperti yang telah dijelaskan, sesuatu keamanan yang dikecapi serta kebimbangan yang berlaku dalam diri seseorang manusia atau dalam kalangan sesebuah masyarakat, tidaklah melainkan ianya berlaku seizin Allah SWT. Ia merupakan fitrah kehidupan dalam sunnatullah yang tidak boleh dielak terjadinya ia kerana sesuatu bahaya adalah ketetapan Allah SWT jua. Firman Allah SWT dalam surah Yaasiin (36) ayat 23 yang bermaksud:

"Patutkah aku menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah? (Sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku, dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku."

Malah, setiap ketetapan bencana itu tersirat pula hikmah dan kebaikan. Firman Allah SWT dalam surah al-An'aam (6) ayat 17 yang bermaksud:

“Dan jika Allah mengenakan (menimpakan) engkau dengan bahaya bencana, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menghapuskannya melainkan Dia sendiri; dan jika Ia mengenakan (melimpahkan) engkau dengan kebaikan, maka Ia adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

Firman Allah SWT dalam surah Yunus (10) ayat 107 yang bermaksud: 

“Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

Bahaya dan ketakutan ini hendak atau tidak perlu dihadapi bersama-sama, setiap individu, setiap kelompok masyarakat. Al-Qur’an menceritakan beberapa teladan bagaimana sesuatu kebimbangan dan kegelisahan itu dihadapi dan diharungi. Firman Allah SWT dalam surah Yunus (10) ayat 22 yang bermaksud:

“Dia lah yang menjalankan kamu di darat dan di laut (dengan diberi kemudahan menggunakan berbagai jenis kenderaan); sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera, dan bahtera itu pula bergerak laju membawa penumpang-penumpangnya dengan tiupan angin yang baik, dan mereka pun bersukacita dengannya; tiba-tiba datanglah kepadanya angin ribut yang kencang, dan mereka pula didatangi ombak menimpa dari segala penjuru, serta mereka percaya bahawa mereka diliputi oleh bahaya; pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata (sambil merayu dengan berkata): "Demi sesungguhnya! jika Engkau (Ya Allah) selamatkan kami dari bahaya ini, kami tetap menjadi orang-orang yang bersyukur".

Covid-19 merupakan makhluk yang disebut sebagai tidak bernyawa. Saiznya sangat seni dan halus serta tidak boleh dilihat dan ditemui dengan pandangan mata kasar. Sekiranya virus ini kelihatan umpama asap atau debu, atau dikesan dengan kehadiran angin, atau diketahui dengan perubahan suhu, maka ia boleh menjadi sebahagian petunjuk mengesan virus ini untuk dihindari. Jika seperti asap atau debu, bolehlah berlari jauh mengelaknya. Jika seperti angina, perlulah berlindung di dalam bangunan untuk mengelaknya. Sekiranya ianya panas atau sejuk, ia boleh dielak dengan berada dalam suhu yang berlawanan. Namun, petunjuk itu semua tiada untuk mengesan Covid-19 ini. Malah menurut pihak berautoriti kesihatan, ia memerlukan masa sehingga 14 hari untuk mengesan dan menyedari simptom orang yang menghidapinya.



Ini secara langsung, menggambarkan kekuasaan dan kehebatan Allah SWT terhadap penciptaan sesuatu makhluk. Secara umum dengan mata kasar, seolah mustahil untuk mengelak dari terjebak dengan wabak ini. Sesuatu yang tidak kelihatan, tidak diketahui kewujudannya di mana, tidak disedari jangkitannya dari mana, tidak dipastikan bila ianya mula berjangkit, perkara inilah yang menjadi igauan dan ketakutan. Jika sebengini seni dan halusnya perihal kewujudan Covid-19 ini, pastinya pencipta virus ini lebih seni dan lebih halus. Walau takut bagaimana seseorang manusia menghadapi wabak ini, maka berserahlah dan berpautlah kepada rahmat Allah SWT serta pergantungan usaha kepadanya Yang Maha Seni dan Maha Halus ini. Firman Allah SWT dalam surah al-An'aam (6) ayat 103 yang bermaksud:

“Ia tidak dapat dilihat dan diliputi oleh penglihatan mata, sedang Ia dapat melihat (dan mengetahui hakikat) segala penglihatan (mata), dan Dia lah Yang Maha Halus (melayan hamba-hambaNya dengan belas kasihan), lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.”

Ayat-ayat sebelum ayat ini mengkhabarkan kebesaran Allah SWT yang menciptakan langit dan bumi serta menciptakan segala sesuatu, malah Dia Maha Mengetahui segala sesuatu. Selayaknya dengan sifat-sifat dan kekuasaan-Nya, Dia sahaja yang mentadbir segala-galanya, maka Dia sahaja yang berhak disembah. Antara sifat-sifat Allah SWT ialah Dia tidak boleh dilihat dan tidak dapat dijangkau oleh penglihatan mata, sedangkan Dia mengetahui hakikat segala apa yang dapat dilihat oleh pandangan mata manusia, Dia Maha Halus dan Maha Mendalam pengetahuan-Nya. 

Mengelak diri daripada mudarat merupakan perintah Allah SWT. Berlandaskan iman, seseorang akan berusaha sebaiknya untuk mengelak daripada dijangkiti disamping mengubati penyakit ini. Ia merupakan salah satu rukun iman iaitu beriman kepada qadha dan qadar Allah SWT. Keimanan terhadap perkara ini tidak langsung menafikan usaha sebaik mungkin perlu dilaksanakan, malah penganjuran tersebut dikiran wajib kerana manusia perlu berusaha untuk mengelak diri mereka daripada terjatuh ke dalam kemudaratan atau kebinasaan. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah (2) ayat 195 yang bermaksud:

“Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”

Setiap saranan, arahan dan perintah daripada kerajaan haruslah dipatuhi dan diikuti oleh keseluruhan rakyat. Sebagai pemerintah, kuasa dan peranan yang dijalankan pastinya memelihara maslahah sejagat dan kemakmuran bersama, tidak kepentingan yang berasaskan hawa nafsu. Tindakan yang diambil dikira suatu kewajipan dan amanah yang perlu dilaksanakan sebagai pemimpin dan kepatuhan daripada rakyat juga merupakan kewajipan kerana rakyat yang tidak menuruti arahan pemimpin dalam keadaan pemimpin tersebut tidak melakukan maksiat dan murka Allah SWT secara umum, adalah berdosa.

Penyakit yang berasal daripada wabak ini menyebabkan langkah sekatan pergerakan dilaksanakan, atau perintah darurat bagi sesetangah negara. Pastinya situasi ini menyebabkan banyak perniagaan tidak dapat dilaksanakan, ramai pendudukan yang tidak boleh bekerja, lantas terputus sumber pendapatan. Ini menyebabkan mereka berada dalam keadaan serba kekurangan dan kebuluran. Di dalam al-Qur’an Allah SWT telah menjelaskan bahawa kebuluran dan penyakit merupakan ujian daripada Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-An'aam (6) ayat 42 yang bermaksud:

"Dan demi sesungguhnya Kami telah utuskan Rasul-rasul kepada umat-umat yang dahulu daripadamu (lalu mereka mendustakannya), maka Kami seksakan mereka dengan kebuluran dan penyakit, supaya mereka berdoa (kepada Kami) dangan merendah diri (serta insaf dan bertaubat)."


Beriman dan Berdoa Kepada Allah Dalam Menghadapi Wabak

Walau berlaku bagaimana sekalipun huru-hara, kebimbangan, ketakutan atau kegelisahan di luar sana, tetapi di dalam hari, jiwa dan diri seseorang perlulah mencari ketenangan dan kekuatan daripada Allah SWT. Mendekatkan diri kepada Alllah SWT mempu mengukuhkan peribadi dan keyakinan diri. 

Antara salah satu sebab Allah SWT mendatangkan musibah adalah kerana kerosakan yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia itu sendiri. Walaupun ia mungkin dilakukan oleh sesetangah pihak, namun pihak yang lain tidak mengambil peduli, tidak menghalang, malah tidak menegur dan hanya memandang kerosakan dengan sebelah mata, bencana yang Allah SWT turunkan ini tidak mengenal bangsa, agama, pangkat, keturunan, warna politik atau sempadan negara. Keseluruhan manusia menghadapinya. Firman Allah SWT dalam surah ar-Ra'd (13) ayat 11 yang bermaksud:

“Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.”

Berterusan kepada Allah SWT merupakan senjata paling ampuh dalam menghadapi serangan Covid-19 ini. Berdoa agar dijauhi daripada bala dan wabak, diberi perlindungan untuk semua ahli keluarga, kaum kerabat, jiran tentangga, rakan dan taulan, rakyat mendoakan pemimpin, pemimpin mendoakan rakyat, saling mendoakan, pastinya Allah itu sangat hampir dengan orang-orang yang mengadu dan merintih kepada-Nya. Firman Allah SWT dalam surah al-A'raaf (7) ayat 55 yang bermaksud:

“Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.”

Apabila kita mengetahui bahawa kita ada kesalahan kepada Allah SWT, telah melakukan kerosakan di atas muka bumi ini, maka marilah kita bersama-sama memohon keampunan daripada Allah SWT atas segala kesalahan dan dosa tersebut dan tetap teguh beriman. Inilah saranan daripada Allah SWT sendiri melalui firmanNya dalam surah al-A'raaf (7) ayat 56 yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.”

Melalui doa yang sentiasa kita titipkan kepada Allah SWT, semoga Dia ‘mengangkat’ musibah ini, firman Allah SWT dalam surah al-An'aam (6) ayat 41 yang bermaksud:

“Bahkan Dia lah (Allah) yang kamu seru lalu Ia hapuskan bahaya yang kamu pohonkan kepadaNya jika Ia kehendaki; dan kamu lupakan apa yang kamu sekutukan (dengan Allah dalam masa kamu ditimpa bahaya itu).”

Setiap hamba perlulah berdoa dengan penuh pengharaman dan rasa kehinaan kepada-Nya. Manusia yang sombong tidak takut kepada Allah SWT dan seolah-olah berlakon ketika berdoa dan tidak bersungguh-sungguh. Mereka berdoa ketika berhadapan dengan mudarat dan kesukaran, tetapi kembali melakukan maksiat apabila berada dalam kesenangan dan keamanan. Ancaman Allah kepada mereka yang memperlekeh keimanan kepada Allah melalui firman-Nya dalam surah az-Zumar (39) ayat 8 yang bermaksud:

“Dan apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, ia segera berdoa kepada Tuhannya dengan keadaan rujuk kembali bertaubat kepadaNya; kemudian apabila Allah memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) daripadaNya, lupalah ia akan segala bahaya yang menyebabkannya merayu kepada Allah sebelum itu dan ia pula menjadikan sekutu-sekutu bagi Allah, untuk menyesatkan dirinya (dan orang lain) dari jalan Allah. Katakanlah (kepadanya): "Bersenang-senanglah engkau dengan kekufuranmu itu bagi sementara, sesungguhnya engkau dari penduduk neraka.”

Janganlah sesekali ada pihak yang suka mendabik dada bahawa merekalah yang paling hebat, paling maju dan moden, paling gagah menhadapi sebarang kemungkinan dan kesukaran. Ini adalah kerana, kehebatan dan kekuasaan sebenar adalah milik Allah SWT dan mereka yang bersifat sebegini menggambarkan dirinya yang sombong kepada Allah SWT. Mereka tidak meletakkan pergantungan kepada Allah, tetapi hanya yakin kepada usaha manusia semata-mata. Firman Allah SWT dalam surah az-Zumar (39) ayat 49 yang bermaksud:

“Maka apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, ia segera berdoa kepada Kami; kemudian apabila Kami memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) dari Kami, berkatalah ia (dengan sombongnya): "Aku diberikan nikmat ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku". (Tidaklah benar apa yang dikatakannya itu) bahkan pemberian nikmat yang tersebut adalah ujian (adakah ia bersyukur atau sebaliknya), akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu).”

Bagi sesiapa yang sedang dijangkini Covid-19 ini, atau menghadapi simptom-simptom dan sedang melalui proses kuarantin, perbanyakkanlah berdoa kepada Allah SWT kerana perbuatan ini merupakan contoh daripada para Nabi sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-Anbiyaa' (21) ayat 83 yang bermaksud:

“Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: "Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani".”

Ia juga merupakan saranan saranan di dalam al-Qur’an melalui firman Allah SWT dalam siurah asy-Syu'araa' (26) ayat 80 yang bermaksud:

"Dan apabila aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan penyakitku”


Kesimpulan

Sebagai rumusan, marilah kita bersama-sama seluruh rakyat Malaysia, seluruh warga dunia, daripada setiap lapisan sosial dan lapisan masyarakat berganding mahu, saling membantu dan berkerjasama memutuskan rantaian Covid-19 ini. Janganlah kita bersikap sambil lewa kerana tiada jaminan kita benar-benar terhindar daripada wabak ini melainkan kita telah berusaha bersungguh-sungguh mengelak dan menjauhkan diri daripada dijangkiti. Usaha sebaik mungkin, bakinya diserahkan kepada Allah SWT. Allah melihat usaha, hasilnya Dia yang menentukan. Sokong dan dukunglah pemerintah pada hari ini dalam usaha mereka mengekang dan memulihkan wabak sepenuhnya dalam negara ini. Firman Allah SWT dalam surah an-Nur (24) ayat 55 yang bermaksud:

“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.”

Hidup perlu bersyukur…

Bandar Baru Bangi,
18 Sya’ban 1441H.

Comments