Mengisi Masa

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Hari ini merupakan hari keempat fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia bagi membendung dan memutuskan rantaian Covid-19. Setelah lebih 14 hari belalu pada peringkat pertama PKP, kini polis menggunakan cara 'keras', berbanding 'tegas' dan 'nasihat' pada minggu-minggu sebelum ini.

Sebenarnya jauh di dasar hati, diri berhasrat untuk pulang ke kampung. Hanya mak dan ayah saha berdua di kampung, tanpa anak-anak yang semuanya tersekat pergerakan di tempat lain. Asalnya ingin menunggu pada minggu kedua pelaksanaan PKP, rupa-rupanya apabila kerajaan menyatakan pelaksanaan PKP ini 'berubah wajah' yang mungkin daripada Goku yang dalam keadaan biasa, kini telah berubah kepada beberapa peringkat 'super saiya'. Apapun, kerana bagi memastikan juga mak dan ayah terhindar daripada sebarang wabak, mana dituruti juga perintah PKP dan dalam masa yang sama dipendamkan jua hasrat menemani mereka di kampung. Andai telah berada di kampung, betapa gembiranya hati hampir sebulan di kampung...

Bunga itu hiasan laman. Gambar ini hiasan post.

Jika ingin dimuhasabah, banyak perkara yang boleh dimuhasabahkan. Antaranya ialah peluang-peluang untuk menambah dan memperkasa ibadah wajib mahupun sunat. Ibadah wajib seperti mendalami dan memperbaiki ibadat-ibadah tersebut terutama solat dengan membaca pelbagai bahan rujukan seperti fiqh solat, formula solat sempurna, solat empat mazhab, soal jawab solat, ensiklopedia solat dan sebagainya. Manakan tidak, ibadah pertama yang akan disoal kelak ialah solat. Maka perbaikilah solat mencapai tahap sesempurna mungkin. 

Selain itu ialah ibadah sunat. Andai ketika hari bekerja biasa kita memberikan alasan kepada diri sendiri tidak mempunyai masa untuk membaca Al-Qur'an, solat dhuha, berzikir, berselawat, solat-solat sunat rawatib, solat-solat sunat malam dan seumpamanya, maka waktu PKP ini adalah masanya ia dilaksanakan. Amat rugilah jika jika beralasan tiada masa ketika bekerja, namun ketika masa yang sangat banyak ini tidak pula kila laksanakan sebaik dan semaksima mungkin. Jika menipu pada diri sendiri, bahkah seolah kita mempermain hati kita sendiri yang pastinya Allah sangat mengetahui segala bisikan hati-hati kita. Allahu rabbi..

Tidak kurang juga perbuatan yang dianggap ibadah ialah menuntut ilmu. Ia bukan ibadah yang ringan, malah merupakan suatu tuntutan berbentuk fardu ain berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW. Metode paling ampuh menuntut ilmu, paling asas, dan paling terbukti keberkesanannya ialah membaca, selari dengan suruhan ayat pertama yang diwahyukan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW, surah al-'Alaq ayat 1-5. Allahumma solli wa sallim wa barik 'alaih wa 'ala aalih..

Sepanjang tempoh PKP ini, beberapa idea dan penulisan yang terhenti, tidak sempurna dan idea baru sedang dirangka. Dalam selang-selang masa tersebut juga, beberapa sinopsis kajian-kajian lepas dibuat sebagai perkongsian kepada sesiapa yang memerlukan atau mahu mengisi masa juga dengan membaca. Walau tidaklah penulisan yang hebat, namun mungkin ia serba sedikit dapat memberi manfaat kepada yang ingin mengambil manfaat. Berpegang teguh dengan sabda Nabi Muhammad SAW terhadap tiga perkara yang dibawa mati kelak. Pertama, sedekah jariah; kedua, doa anak yang soleh; ketiga, ilmu yang bermanfaat. Jika kita lihat, hakikatnya ketiga-tiga amalan ini merupakan amalan berbentuk jariah atau berterusan. Tidaklah punyai harta yang banyak. Doa pastinya akan sentiasa dititipkan. Hanya yang mampu sedikit untuk berkongsi ilmu.

Moga-moga diberi kemudahan olehNya dalam menyelesaikan beberapa penulisan. Realitinya, beberapa kekangan boleh berlaku. Kadang-kadang ada 'mood' tapi idea tidak kunjung tiba. Kadang tu idea dah ada sebab bahan dah cari, tapi tiada pula 'mood'. Kadang idea dan 'mood' dah sampai, cuma badan penat kerana telah buat urusan lain lebih awal. Walau semua ini kadang dipandang sebagai alasan semata-mata, tapi inilah hidupnya seorang manusia. Melalui kehidupan sebaiknya, sebaik mungkin memberi hadiah kepada diri sendiri. Cuma memberi sesuatu kepada orang lain lebih merasa puas daripada menunggu atau mengharap sesuatu dari orang lain. Carilah ketenangan sebaiknya untuk diri sendiri.

Menahan rindu kampung...

#Covid-19
#Lagujiwang







Hidup perlu bersyukur ...

Bandar Baru Bangi,
10 Sya'ban 1441H.

Comments