Kajian 'Resensi Kajian Hukum Penyusuan'

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, résénsi bermaksud pertimbangan atau pem­bicaraan mengenai buku dan lain-lain atau ulasan buku. Objektif kajian ini ialah membuat ulasan terhadap kajian lalu dan dapatan dari hasil-hasil kajian yang telah dilakukan oleh para pengkaji dan ilmuwan. Ia melibatkan sumber primer, sekunder dan tertier, pandangan klasik dan moden. Ulasan yang diberi adalah untuk melihat sejauh mana perbincangan hukum penyusuan dibahaskan. Resensi ini dilakukan secara kualitatif iaitu analisis dokumen, kajian teks dan kepustakaan di samping melibatkan metode induktif dan tematik. Melalui analisis yang dibuat menemukan asas gaya perbahasan dalam kitab-kitab fiqh klasik dan kontemporasi hampir sama dan ini boleh jadi disebabkan mereka menggunapakai metode perbahasan yang ilmiah diterima. Namun bagi kajian-kajian yang lebih terkini terutama dalam jurnal-jurnal, artikel, kajian ilmiah dan seumpamanya, perbahasan lebih tertumpu kepada isu-isu atau permasalahan tertentu.



Pelaksanaan resensi dalam kajian ini dibuat secara menyeluruh dan kolektif. Resensi sumber hukum atau dalil adalah dari al-Qur'an dan al-Sunnah, iaitu surah al-Nisa' (4:23) dan hadis riwayat 'Aisyah RHA dalam Sahih Bukhari (2553) dan Muslim (4144). Seterusnya, walaupun kitab-kitab fiqh klasik yang muktabar dirujuk, namun bagi kajian kontemporasi hanya kajian di Malaysia sahaja yang dirujuk. Ini bagi memastikan dapatan yang diperoleh melalui karya klasik adalah berkait dengan perkara asas dan dasar hukum, manakala kajian kontemporari lebih meraikan adat, suasana dan ruang lingkup tempatan yang lebih sesuai untuk aplikasi semasa dan setempat.

Kajian resensi ini telah menemui pelbagai perbezaan pendapat serta ianya diakui dan disedari. Hal ini pasti berlaku kerana sememangnya wujud empat aliran mazhab utama sebagai rujukan umat Islam iaitu Hanafi, Maliki, Syafi'i dan Hanbali. Namun, kajian resensi ini telah menemui antara mazhab lain yang diketengahkan dan dijadikan sandaran hujah dalam kajian hukum penyusuan ialah mazhab Zahiri. Antara perkara yang jelas belaku perbezaan ialah berkenaan definisi penyusuan sama ada dari segi bahasa mahupun syarak, sama ada di dalam aliran mazhab yang sama ataupun mazhab yang berbeza. Kajian resensi ini menemui sepuluh bentuk tema berkenaan definisi penyusuan dari segi bahasa, manakala dari segi syarak hanya definisi dari mazhab Syafi'i sahaja diketengahkan dan hampir sepuluh bentuk definisi yang ditemui. Penemuan lain daripada kitab klasik lebih menjurus kepada perbahasan pendalilan hukum, rukun, syarat, tempoh, had, pembuktian dan keterangan penyusuan.

Resensi terhadap kajian kontemporari atau lebih kepada sorotan literatur menemui antara isu yang dibahaskan ialah berkenaan langkah mendokumentasi bukti penyusuan, kesedaran masyarakat terhadap hukum penyusuan, status anak angkat menjadi anak susuan, upah penyusuan, suntikan hormon sintetik, penubuhan bank susu, fenomena perkongsian susu ibu, nursing in public, cabaran wanita berkerjaya memenuhi tuntutan agama penyusuan anak, pembuktian ibu angkat terhadap penyusuan dan status bapa daripada penyusuan suntikan hormon. Jelas daripada dapatan-dapatan ini bahawa kegagalan dalam memahami fungsi maslahah untuk diimplementasikan dalam kalangan masyarakat menjadi faktor penting yang menjurus kepada pengabaian hukum penyusuan.

Hasil kajian mendapati pembangunan suatu garis panduan berkaitan hukum penyusuan perlu dibuat. Garis panduan tersebut mestilah terhindar daripada pertentangan hukum yang asas dan janggal sehingga menjadikannya tidak sesuai diaplikasikan di Malaysia yang berlatarbelakang masyarakat majmuk dan kebebasan bersuara. Garis panduan tersebut mestilah berasaskan gagasan aqwal syafi'iyyah mengikut realiti dan keperluan semasa. Namun, antara dapatan penting kajian ini ialah 'illah penyusuan merupakan suatu bentuk kelonggaran atau rukhsah kepada keperluan bayi dan ia terikat dengan rukun, syarat serta implikasi hukum.

Hidup perlu bersyukur...

Bandar Baru Bangi,
7 Sya'ban 1441H.

Comments