Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Hari demi hari berlalu. Andai 1 Ramadhan atau 1 Syawal boleh diagak bila akan menjelma, namun tidak bagi tempoh PKP Covid-19 ini. Walaupun kerajaan telah memaklumkan fasa kedua PKP adalah sehingga 14 April 2020, namun masih tiada kepastian yang pasti mengenainya. Menunggu sehingga 10 April apabila kerajaan akan mengumumkan apa seterusnya.
Berada di rumah setiap hari bukanlah perkara yang menyeronokkan, namun bekerja setiap hari juga bukanlah perkara yang mengembirakan. Tempoh PKP membawa lembaran baru kepada penduduk dunia berkenaan sistem kehidupan seharian, meliputi setiap aspek sama ada sosial, politik, ekonomi dan sebagainya. Jika diketahui dalam lipaytan sejarah beberapa kejadian wabak telah menyerang dunia, namun ia sekadar sejarah sebelum dari ini. Realitinya, alam telah memberi ruang manusia moden akhir zaman ini merasai dan menghadapi situasi wabak di seluruh dunia. Ruang ini pula diberi oleh Tuan dan Tuhan alam, Allah SWT.
Inilah hasil ikan masin pelaling.
Jika apabila setiap hari bekerja, lebih-lebih setiap hari berada di dalam pejabat, maka barangkali boleh dibilang berapa kali tubuhnya terkena pancaran matahari dan berapa kali pula bayang-bayangnya wujud dari sinaran matahari. Apabila tempoh PKP ini dilalui, setiap hari berpeluang melihat pancaran dan merasai kepanasannya. Melihat terik mentari, lantas teringat pesanan bonda "jangan dibazirkan cahaya matahari yang menyinari ... ".
Apabila berada di rumah, selain berperanan mengeringkan pakaian yang dijemur, matahari juga boleh menghilangkan bau, hama dan mungkin mematikan kuman serta bakteria tertentu yang menghinggapi bantal, cadar, toto, tilam, pakaian dan seumpamanya yang berada di rumah kita. Selain khasiatnya kepada tubuh memberi bekalan vitamin, matahari adalah punca kedua selepas air bagi sesuatu kehidupan. Melihat kepada peluang yang ada, ditambah beberapa kali teringin untuk membuatnya sendiri, maka kali ini manfaat matahari digunakan untuk membuat ikan masin.
Ikan masin yang telah berjaya dibuat adalah sebanyak dua kali setakat ini. Pertama daripada ikan pelaling dan kali kedua ikan duri serta ikan tamban. Keinginan membuat ikan masin pelaling kerana terjatuh hati dengan rasa ikan masin daripada ikan selar atau kembong yang pernah dibeli di sebuah pasaraya. Manakala ikan tamban dan duri hasil daripada carian di internet, apakah ikan yang sesuai untuk membuat ikan masin. Banyak sebenarnya ikan yang sesuai, ada juga mencari ikan belanak, tetapi sukar pula menjumpainya di musim PKP ini.
Cara membuatnya tidaklah sukar dan bahan utama yang diperlukan hanyalah garam kasar. Pelbagai cara, kaedah, pilihan langkah untuk membuat ikan masin. Paling utama ialah memastikan kebersihan, lantas mengelak bau busuk atau hanyir, mengelak tarikan serangga, sehingga mampu menjamin kualiti ikan masin yang dibuat. Kesemua ikan masin ini adalah sebagai bekalan bulan Ramadhan kelak, dan boleh diagihkan kepada kerabat dan saudara berhampiran. Kalau saya, nasi putih panas, ikan masin digoreng bersama hirisan bawang besar, ada pula cili padi yang digoreng sekali, diperah sedikit air limau, takut terlepas waktu imsak pula nanti dek menambah-nambah..
Sekian lama saya asyik memikirkan, bagaimana di zaman Nabi Yusuf AS ketika Allah SWT menguji kaumnya dengan tujuh tahun kesuburan dan tujuh tahun musim yang menyulitkan, mereka menyimpan bekalan makanan. Pastinya pada waktu tersebut telah ada pengetahuan dan kepakaran mengumpulkan serta memelihara bekalan makanan pada wantu subur untuk digunakan pada waktu yang sulit. Pastinya salah satu ialah makanan tersebut diawet dan membuat ikan masin merupakan salah satu cara mengawet makanan untuk disimpan lama dan digunakan pada masa akan datang.
Ini pula ikan masin tamban dan duri.
Insha Allah, andai ada rezeki ikan duri ini bakal dibuat masak lemak dengan nanas. Tiba-tiba teringin dengan menu yang acap kali dijumpa di majlis atau kenduri perkahwinan, walau kebiasaannya ikan masin tanglang menjadi pilihan.
Hidup perlu bersyukur...
Bandar Baru Bangi,
14 Sya'ban 1441H.
Comments