Kajian Zakat Harta Syubhah

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Kajian ini adalah melibatkan pembentukan atau pembangunan parameter harta syubhah yang menjurus kepada kewajipan berzakat pada harta syubhah tersebut. Asasnya aktiviti ekonomi di Malaysia  melibatkan penyertaan dari pelbagai pihak, sektor dan bidang, merentasi sempadan agama, budaya, ideologi, geografi dan politik. Realiti aktiviti ini mewujudkan persepsi atau perspektif yang pelbagai dalam kalangan institusi sehinggalah kepada akar umbi, iaitu individu rakyat. Ia menimbulkan suatu pemahaman yang menyatakan tidak semua aktiviti ekonomi ini benar-benar bersih dan patuh syarak, maka mereka menghukumnya sebagai syubhah.

Sikap bermudah menghukum sesuatu trasaksi sebagai syubhah boleh menimbulkan salah faham yang besar dan merugikan institusi Islam, umat Islam, seterusnya agama Islam itu sendiri. Ini kerana mereka berpendapat apabila wujud unsur haram dalam sesuatu transaksi atau aktiviti ekonomi yang dijalankan, maka keseluruhannya dianggap sebagai haram sedangkan pendapat tersebut berdiri di atas sangkaan semata-mata. Sangkaan ini pula disebabkan wujudnya elemen yang samar-samar dalam transaksi yang mereka jalankan.



Juga terdapat pendapat yang bersandarkan natijah apabila berlaku percampuran antara halal dan haram, maka ia dihukumkan haram tanpa merujuk kepada dalil atau nas daripada al-Qur'an dan hadis serta perincian kaedah fiqh yang ditetapkan oleh syarak sebelum sesuatu hukum dikeluarkan terhadap sesuatu perbuatan. Pengalaman dan pemahaman yang tidak kukuh mengenai persoalan halal, haram dan syubhah dilihat sebagai punca fenomena ini berlaku.

Akibatnya, sebahagian individu dan syarikat milik orang Islam secara mudah dan sukarela melakukan pelupusan wang di kaunter-kaunter zakat kerana mereka beranggapan wang tersebut tidak patuh syarak dan tidak wajib dizakatkan kerana ia bukan suatu bentuk harta yang diiktiraf dalam Islam. Apabila diketahui mereka memiliki wang atau harta syubhah, lantas mengkategorikannya sebagai harta tidak patuh syarak yang menjadikan harta syubhah bukanlah harta yang wajib dizakatkan kerana Allah SWT hanya menerima zakat dari sumber harta yang halal dan baik sahaja.

Reka bentuk kajian ini ialah kualitatif dengan menggunapakai strategi grounded theory. Strategi ini diakui sebagai suatu kaedah yang bertujuan membangunkan suatu rujukan umum, garis panduan atau parameter yang boleh digunapakai oleh masyarakat dalam sesuatu bidang tertentu. Kajian ini juga adalah daripada jenis kajian tindakan yang melibatkan suatu bentuk tindakan susulan yang perlu dilaksanakan berasakan dapatan kajian dengan menganggarkan impak serta menggariskan beberapa cadangan tindakan. 

Metode kajian ini ialah kajian teks dan analisis kandungan. Ia melibatkan proses mengesan, mengumpul, memilih dan menetapkan serta diperkukuh dengan rujukan pakar. Instrumen kajian yang digunakan ialah temu bual yang melibatkan protokol temu bual berstruktur serta temu bual berkelompok. Prosedur analisis data pula adalah secara induktif melalui paradigma pentafsiran dan juga tematik. Analisis data juga dilakukan ke atas dapatan temu bual yang diperoleh.

Bagi memperoleh suatu perspektif yang jelas berkenaan isu yang dikaji, kajian ini memberikan pencerahan berkenaan konsep syubhah dan harta haram. Ini bagi memastikan perbezaan antara kedua istilah ini benar-benar diketahui dan difahami secara teori dan praktikal. Perbahasan haram asasnya terbahagi kepada lizatihi dan lighairihi serta terdapat banyak faktor yang menimbulkan situasi syubhah.

Perbahasan secara panjang lebar berkenaan soal halal, haram dan syubhah di dalam kajian ini adalah dengan mengutarakan pandangan daripada Imam al-Ghazali daripada karya magnum opus beliau iaitu Ihya' 'Ulum al-Din sebagai sandaran utama hujah. Namun perbahasan ini disertakan juga dengan pendapat daripada mazhab empat meliputi Syafi'i, Hanafi, Maliki dan Hanbali serta ulama kontemporari, iaitu melibatkan pandangan ulama mutaqaddimin dan muta'akhkhirin. Ini menjadikan kajian ini bersifat kolektif dan komprehensif.

Isu yang dibawa pada awal tadi iaitu apabila salah faham berlaku terhadap harta syubhah yang dianggap haram, lantas merugikan umat Islam ialah, apabila wang syubhah ini tidak dianggap haram maka ia tidak dilupuskan. Setelah wujud parameter atau rujukan umum bagi memastikan harta atau wang yang diperoleh benar-benar patuh syarak atau sebagainya, maka secara langsung menghindari wujudnya harta syubhah, lantas perlu dikeluarkan zakat. Ini menjadikan kutipan zakat akan bertambah dan manfaat zakat dapat dimaksimakan serta diperkasakan kepada golongan asnaf.

Hidup perlu bersyukur...

Bandar Baru Bangi,
6 Sya'ban 1441H.

Comments