Kajian Penyusuan Anak Orang Lain Menurut Islam

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Penyusuan merupakan satu keperluan yang penting dan ia memenuhi fitrah manusiawi. Malah bukan manusia sahaja, termasuk juga haiwan. Kajian ini berkisar penyusuan anak orang lain menurut perspektif Islam. Kenapa perspektif Islam ditekankan? Ini tidak lain kerana agama Islam terbina bukan bersumberkan budaya atau adat semata-mata, tetapi lebih tinggi dan mulia daripada itu ialah bersumberkan ketuhanan atau rabbaniyyah lantas menjadikan penyusuan termasuk dalam perkara ibadah dan mempunyai hukum-hakam yang khusus. Hal ini menjadikan pelaksanaan ibadah penyusuan serta kepatuhan kepada hukum-hukum penyusuan sangat berkait rapat dengan keislaman dan keimanan seseorang kepada Allah SWT dan RasulNya SAW.

Penyusuan anak orang lain diiktiraf dalam Islam seperti yang difirmankan oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah (2):233 yang bermaksud "... Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut ...". Ia sekali gus mengangkat peranan wanita yang tidak terhad di dalam ruang lingkup keluarganya sahaja, namun melebar dan meluas melalui sumbangan mereka kepada pembangunan institusi kekeluargaan dan pembinaan masyarakat bertamadun. Para wanita mempunyai kesediaan yang sangat tinggi sesuai dengan fitrah kejadian mereka yang bersedia untuk mengandungkan bayi selama sembilan bulan, menghadapi risiko dan komplikasi kelahiran, seterusnya kepayahan menjaga, menyusukan dan mengasuh anak. Perbahasan hukum penyusuan di dalam kitab-kitab fiqh terutamanya mazhab empat iaitu Hanafi, maliki, Syafi'i dan Hanbali meliputi pendefinisian penyusuan, pendalilan, rukun, syarat, tempoh, kadar, hak dan kewajipan, pembuaktian dan keterangan, serta upah penyusuan. Penyusuan juga dibahaskan dalam pelbagai kitab tafsir dan syarah hadis.



Penyusuan susu ibu merupakan amalan yang baik dan Islam sangat menggalakkannya kerana susu ibu boleh memberi jaminan kesihatan dan tumbesaran bayi, selain pemulihan kesihatan ibu selepas melahirkan anak. Sokongan dan galakan amalan penyusuan susu ibu dibuktikan melalui sejarah yang secara langsung dijelaskan di dalam al-Qur'an dan sirah Nabi Muhammad SAW. Pihak-pihak yang terlibat secara langsung dan menjadi punca kepada wujudnya hukum penyusuan ini ialah ibu, bapa dan anak. Hukum ini seterusnya berkembang dalam kalangan adik-beradik sususan, ibu serta bapa saudara susuan dan ke atas. Kesannya, penyusuan merupakan salah satu penyebab kepada pengharaman perkahwinan atau yang disebut di dalam kitab fiqh sebagai golongan al-muharramat.

Peri pentingnya perbahasan penyusuan dalam fiqh kekeluargaan Islam adalah kerana penyusuan susu ibu boleh mensabitkan hubungan nasab seseorang. Apabila berlaku penyusuan anak orang lain, ini bermaksud berlakunya penyusuan yang melibatkan pihak ajnabi. Asalnya seseorang ajnabi tidak mempunyai hubungan nasab dan bukanlah daripada golongan mahram, namun kerana penyusuan hubungan nasab dan mahram itu wujud. Seseorang wanita yang menyusukan seorang anak umumnya dipanggil sebagai al-murdhi’atun sama ada ibu kandung atau bukan. Secara khusus, apabila wanita yang menyusukan itu bukan ibu kandung, ia dinamakan sebagai dzi’ru atau dza’ran – ظَئْرًا  , ظِئْرُ – bermaksud ibu susuan atau wanita yang menyusui anak orang lain.

Pelaksanaan penyusuan anak orang lain perlulah melalui kefahaman dan prosedur yang betul. Bagi memperoleh respon dan maklumbalas dari pihak-pihak yang berkepentingan dalam hal ini, kajian ini menggunapakai metode focus group discussion atau perbincangan meja bulat dengan melibatkan pihak dari Jabatan Mufti, Jabatan Pendaftaran, Jabatan Kesihatan dan ahli akademik selain kajian kepustakaan. Antara isu yang ditimbulkan, apabila masyarakat kurang faham berkenaan hukum penyusuan, ia akan menyebabkan tahap kesedaran yang rendah lantas melahirkan masyarakat yang kurang peduli atau menagmbil berat. Hasilnya, terdapat ibubapa yang tidak memaklumkan kepada anak mereka sekiranya mereka mempunyai ibu dan adik-beradik susuan. Antara inisiatif yang telah dibuat ialah pelancaran 'Kad Radha'ah' oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). JAIS juga sudah melaksanakan proses mewar-warkan kepada masyarakat umum untuk pendaftaran penyusuan.

Terdapat pelabagai faktor dalaman dan luaran penyebab berlakunya penyusuan anak orang lain. Faktor dalaman seperti ibu mempunyai penyakit kronik atau tidak mempunyai susu badan yang mencukupi. Manakala antara faktor luaran ialah keperluan khas bayi, penceraian dan kesibukan ibu mencari nafkah. Islam memerintahkan agar upah diberi kepada wanita yang menyusukan anak mereka apabila telah dipersetujui mengambil ibu susuan. Ini bertujuan sebagai jaminan anak tersebut mendapat segala keperluannya dalam tempoh penyusuan. Bagi pihak ibu susuan, faktor yang mendorong ialah masalah kewangan atau punca pendapatan yang rendah, keinginan mengambil anak angkat serta khidmat mahu menolong orang lain yang bermasalah menyusukan anak. Antara ciri-ciri utama bagi seseorang ibu susuan ialah status kesihatan, kesediaan ibu susuan dan penerimaan anak susuan. Ciri lain ialah ibu susuan sebaiknya merupakan wanita yang baik akhlaknya, baik penampilan, kuat pegangan agamanya walaupun Islam tidak menegah penyusuan dalam kalangan ibu dan anak susuan yang berbeza agama selain wanita tersebut dalam lingkungan umur yang subur .

Beberapa isu yang dilihat signifikan dengan pelaksanaan penyusuan anak orang lain ialah perekodan dan dokumentasi melalui pendaftaran penyusuan secara bersistem. Ia penting sebagai pembuktian penyusuan selain jika timbul isu memerlukan kepada pengakuan. Seterusnya sistem ini diwartakan di dalam enakmen atau akta-akta berkaitan yang pastinya tidak hanya melibatkan orang Islam, malah non-muslim juga. Selain itu komitmen ini penting bagi mengumpul data penderma dan penerima susu meliputi seluruh Malaysia sekiranya bank susu dibangunkan.

Penyusuan anak orang lain menjadi satu kepentingan dan keperluan apabila ia dikaitkan secara langsung dengan keperluan memenuhi kehendak syarak secara khusus yang melibatkan memelihara agama melalui pematuhan hukum penyusuan, pemeliharaan nyawa melalui keperluan anak yang perlu menyusu, pemeliharaan akal iaitu khasiat susu ibu, pemeliharaan nasab melalui pensabitan mahram dan pemeliharaan harta iaitu pemberian upah. 

Hidup perlu bersyukur..

Bandar Baru Bangi,
6 Sya'ban 1441H.

Comments

Unknown said…
Perkongsian yang menarik berkenaan penyusuan anak orang lain. Boleh saya tahu sumber-sumber rujukan yang saudara rujuk?
al-hakim said…
Penulisan ini sebagai resensi daripada kajian asal yang menggunapakai metode focus group discussion. Rujukan lain dalam penulisan ini adalah daripada pelbagai kajian sebelumnya berkenaan hukum yang berkaitan dengan penyusuan.